Thursday, October 21, 2021

PRESTASI MESTI BOLEH DIUKUR .


Sejak bulan September lepas, Cawangan-Cawangan PAS telah mula mengadakan mesyuarat agung mereka yang berakhir pada bulan Oktober. Sementara pada pertengahan bulan November ini kesemua Kawasan-Kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Tahun ini merupakan tahun pemilihan di mana para perwakilan akan memilih pimpinan mereka untuk sesi yang baharu.

Di antara agenda utama di dalam mesyuarat-mesyuarat agung tersebut adalah membentang, membahas dan meluluskan laporan tahunan. Sama ada Kawasan atau Cawangan, tanggungjawab untuk menyediakan dan membentangkan laporan tersebut adalah pada Setiausaha masing-masing. Lazimnya penilaian sama ada pimpinan sesi tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggumgjawab mereka adalah berdasarkan laporan tahunan yang dibentangkan walaupun terdapat faktor-faktor lain.

Laporan tahunan yang baik adalah yang memberi tumpuan kepada pencapaian-pencapaian pada sesi tersebut. Ia tidak sepatutnya berjela-jela dan akan mengelirukan mereka yang membacanya kecuali memang tujuan laporan tersebut untuk mengelirukan. Bagi mereka yang mempunyai latar belakang teknikal, sudah tentu akan membentangkan statistik-statistik dan bukan sesuatu yang subjektif. Kejayaan atau kegagalan boleh diukur berdasarkan parameter-parameter yang jelas dan nyata.

Bukan sekadar program-program yang  dianjurkan perlu dibentangkan tetapi perlu juga dibentangkan statistik yang dapat menentukan sama ada program-program itu berjaya atau tidak. Contohnya untuk program-program kemasyarakatan, statistik seperti penglibatan masyarakat tempatan atau sumbangan yang disampaikan juga perlu dibentangkan untuk menentukan kejayaan dan keberkesanan program-program tersebut. 

Kita mungkin boleh menyenaraikan berpuluh-puluh program dan para perwakilan pada mesyuarat agung akan terpesona tetapi pada hakikatnya program-program tersebut tidak dapat menarik masyarakat atau kesannya adalah terhad. Tidak dapat dinafikan kita akan mendapat markah penuh untuk usaha dan komitmen tetapi sebagai parti politik  perlu kita perlu berusaha untuk meluaskan pengaruh kita.

Sementara untuk program-program dalaman pula, perlu juga statistik bukan sahaja untuk kehadiran tetapi juga peningkatan bilangan ahli-ahli teras yang konsisten menghadiri program-program tersebut atau program-program yang dapat dicetuskan dari program tersebut. Ini adalah 2 contoh, terdapat banyak lagi perkara yang boleh dibentangkan. Statistik-statistik ini penting kerana ia dapat memberi gambaran yang sebenar pencapaian sesuatu program. Ia tidak akan menipu.

Kita berada pada era di mana masyarakat termasuk ahli-ahli PAS menuntut pemimpin-pemimpin mereka melakukan yang terbaik. Kita bukan berada pada era di mana mereka boleh berpuas hati dengan retorika-retorika atau akan terpesona dengan ucapan-ucapan yang bersemangat. Mereka mahukan sesuatu yang tangible. Mereka mahu melihat hasiknya. Staitistik-statistik dapat menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan. Tidak perlu penjelasan yang panjang lebar.

Walau bagaimanapun kesemua itu perlu bermula dengan perancangan. Perancangan yang menetapkan sasaran-sasaran dan tempoh masa untuk mencapainya. Setiap pemimpin perlu memiliki matlamat dan sasaran bagi organisasi yang mereka pimpin. Tidak kira sama ada anda di peringkat paling rendah atau paling tinggi, matlamat ini adalah satu keperluan. Sama ada jangkapendek atau jangkapanjang, perlu ada tempoh masa. Setelah dilantik pada mesyuarat agung, seorang pemimpin perlu memiliki visi yang jelas dan perlu bekerja dengan serta merta.

Pada kebiasaannya, pada sesi yang baharu sesuatu organisasi akan menganjurkan permukiman atau "retreat" untuk menyediakan perancangan bagi sesi yang baharu. Bukan sahaja di peringkat tertinggi atau pertengahan tetapi program ini turut dianjurkan di peringkat akar umbi seperti di peringkat Cawangan. Usul-usul atau sasaran-sasaran kerja tahunan akan diputuskan tetapi kesemuanya itu tidak bermakna jika tidak terdapat sebarang kesungguhan untuk memastikan ia dilaksanakan.

Pengagihan tugas itu penting tetapi masalah di dalam organisasi sukarela adalah untuk memastikan mereka yang diberikan tanggungjawab melaksanakannya. Mereka tidak dibayar gaji atau diberi elaun seperti di syarikat swasta atau di pejabat kerajaan. Memberi motivasi kepada mereka yang tidak dibayar gaji untuk bekerja adalah satu seni tersendiri dan payah hendak difahami oleh mereka yang tidak pernah terlibat. Dilema yang dihadapi oleh mana-mana pimpinan dan di mana-mana peringkat sekalipun adalah untuk memujuk atau memaksa. Sama ada untuk bersikap tegas atau berlembut. Kadang-kala akibat hendak menjaga hati, sasaran-sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai kerana tidak ada yang menegur mereka yang diberi tanggungjawab. Terdapat juga keadaan di mana teguran dibuat tetapi sasaran masih tidak dapat dicapai kerana mereka yang diberi tanggungjawab merajuk atau memprotes. 

Secara kesimpulan di mana peringkat sekalipun perlu ada perancangan sama ada jangkapendek atau jangkapanjang. Walaupun di peringkat Cawangan, perlu ditetapkan sasaran-sasaran yang perlu dicapai. Sasaran-sasaran ini perlu tangible dan realistik. Ia boleh dinilai dengan jelas melalui parameter-paramenter tertentu. Ia bukan sesuatu yang subjektif supaya kejayaan atau kegagalan, keberkesanan atau ketidaksampaian dapat dilihat dengan jelas.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Bendahari PAS Pusat
21 Oktober 2021

Tuesday, August 31, 2021

WAKIL RAKYAT : PEMBUAT DASAR ATAU PEGAWAI KEBAJIKAN?


Hari ini apabila berlaku sesuatu masalah rakyat akan menuntut agar Menteri turun padang dan menyelesaikannya dengan segera. Walaupun perkara tersebut boleh diselesaikan di peringkat jabatan atau oleh pegawai-pegawai kerajaan namun mereka berharap dengan perhatian Menteri tindakan kerajaan akan dapat disegerakan. Kita tidak boleh menyalahkan rakyat jika memiliki kafahaman sedemikian. Kadang-kala hanya dengan kehadiran "orang atasan" sesuatu tindakan akan berlaku.

Walau bagaimanapun menyelesaikan satu masalah sahaja tidak memadai kerana masalah yang sama mungkin akan muncul di tempat-tempat lain. Penyelesaian yang terbaik adalah dengan satu tindakan atau meluluskan satu pelan atau meluluskan satu polisi yang dapat memastikan masalah yang sama tidak akan muncul sama sekali.

Tidak ada gunanya jika sesuatu masalah itu dapat diselesaikan namun begitu punca sebenar masalah tersebut tidak ditangani. Akibatnya masalah yang sama akan terus berulang di tempat-tempat lain. Ketika itu Menteri atau pemimpin kerajaan mungkin tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan turun padang. Justeru itu perlunya satu penyelesaian yang holistik.

Walau bagaimanapun rakyat perlu diraikan. Kadang-kala kehadiran pemimpin kerajaan sudah memadai untuk meredakan kemarahan rakyat. Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan walaupun kadang kala tidak banyak yang dapat mereka lakukan dengan  turun padang tersebut.

Ketika saya merupakan Exco Perumahan Negeri Selangor ( 2008 hingga 2018 ) saya kerap menerima permintaan untuk turun padang ke pembangunan berstrata bagi menyelesaikan masalah penduduk. Walau bagaimanapun terdapat masalah yang hanya boleh diselesaikan dengan meminda akta dan ketika itu Akta 663. 

Masalah yang sama akan timbul selagi akta tidak dipinda walaupun Exco atau wakil rakyat turun setiap minggu. Akhirnya dalam tahun 2013, Akta 663 telah gantikan dengan Akta 757 yang dapat menyelesaikan banyak masalah. Walaupun urusan penggubalan akta ini adalah di peringkat Kerajaan Persekutuan namun kami telah banyak berkongsi pengalaman di Selangor dengan mereka.

Hari ini ketika rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19, rakyat sentiasa menuntut Menteri, Timbalan Menteri dan pimpinan-pimpinan kerajaan lain turun untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Kerajaan telah bertindak dengan mewujudkan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu rakyat, menyelamatkan nyawa dan memulihkan ekonomi. Satu demi satu diperkenalkan. Pelan Pemulihan Negara ( PPN ) diharap dapat membawa negara keluar dari krisis pandemik ini. Pelan dan program yang holistik dan realistik diperlukan.

Satu lagi contoh bagaimana polisi baru dapat menyelesaikan masalah rakyat adalah usaha pemain bolasepak England dan Manchester United yang gagal menyempurnakan penalti pada Euro 2020, Marcus Rashford. Beliau telah dikurniakan anugerah Member of the Order of the British Empire ( MBE ) pada bulan Oktober 2020 kerana usaha beliau membantu pelajar-pelajar sekolah menerima makanan percuma. Dengan kerjasama sebuah badan kebajikan beliau berjaya mengumpul 20 juta pound dan berjaya  membantu 1.3 juta pelajar-pelajar sekolah. 

Walau bagaimanapun adalah lebih mudah jika kerajaan Boris Johnson mengubah polisi mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar sekolah itu. Akhirnya hasil kempen Rashford, kerajaan telah meminda polisi mereka berkaitan makanan percuma di sekolah-sekolah. Hanya dengan satu pindaan polisi dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Di negara-negara Barat, seorang wakil rakyat dikenali sebagai "lawmaker" atau pembuat undang-undang. Tugas mereka adalah membahas dan meluluskan undang-undang atau polisi. Tugas ini adalah amat penting kerana satu undang-undang atau satu polisi akan memberi kesan kepada berjuta-juta rakyat.

Tidak dapat dinafikan lawatan atau turun padang dapat memberikan sentuhan peribadi ( personal touch ) yang begitu penting kepada rakyat yang berhadapan dengan masalah tetapi kesannya adalah terhad. Hanya kepada mereka yang terlibat.

Seorang ahli Parlimen Malaysia pernah memohon maaf kepada para pengundi di kawasan beliau kerana jarang melawat mereka. Tetapi ada pengundi yang menjawab balik, "Tidak mengapa, terus memainkan peranan YB di Parlimen". Walau bagaimanapun tanpa turun padang seorang wakil rakyat mungkin tidak akan mengetahui akan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan beliau dan tidak tahu apakah polisi, program, pindaan undang-undang atau undang-undang baharu yang diperlukan. Atau keberkesanan program yang dilaksanakan.

Perlu ada keseimbangan kerana wakil rakyat di negara kita dikaitkan dengan KBSM atau "Kenduri Bersalin Sakit Mati". Rakyat hendak melihat wakil rakyat di hadapan mata mereka ketika masa-masa tertentu atau mereka akan dianggap tidak mesra rakyat. Selalunya rakyat tidak tahu berapa jam wakil rakyat mereka berucap atau berbahas di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri. 

Kita tidak boleh menyalahkan rakyat kerana ia telah menjadi budaya di dalam masyarakat kita sejak Merdeka. Namun begitu wakil-wakil rakyat kita lebih-lebih lagi mereka yang memegang jawatan di dalam kerajaan memahami tugas mereka. Saya pernah mendengar seorang pengundi merungut kerana wakil rakyat beliau jarang dilihat di kawasan. Tetapi pengundi itu tidak langsung mengambil kira peranan yang dimainkan oleh YB itu di Parlimen. Usaha perlu dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat.

Walau bagaimanapun bukan sekadar kefahaman tetapi sistem dan rangkaian sokongan di dalam masyarakat kita hendaklah lengkap dan jelas di mana mereka yang susah tidak lagi memerlukan khidmat seorang wakil rakyat untuk mendapatkan bantuan. Di sesetengah negara Barat terdapat "social worker" yang dibayar gaji oleh kerajaan untuk membantu rakyat sepenuh masa. Rakyat tidak perlu tercari-cari apabila berhadapan dengan masalah kerana kesemuanya tersedia di hadapan mereka.

Perkara ini penting jika kita mahukan Ahli-Ahli Parlimen yang lebih berwibawa dan yang bukan sekadar pegawai kebajikan tetapi mahir di dalam pelbagai kepakaran sesuai dengan negara kita yang menuju ke arah sebuah negara maju. Satu contoh adalah Singapura di mana Ahli-Ahli Parlimen mereka bukan dari kalangan pimpinan akar umbi. Tetapi mereka yang berjaya di dalam bidang masing-masing. Kerana itu terdapat di antaranya adalah peneraju industri, tokoh korporat, profesor, pegawai tinggi kerajaan, tokoh kesatuan sekerja dan bekas jeneral angkatan tentera.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Kemasyarakatan Dan Perumahan ( REACH )
15 Julai 2021

KEHIDUPAN SELEPAS PANDEMIK : BAHAGIAN 2 - PERUBAHAN SIKAP INDIVIDU.


Pandemik tidak dapat dinafikan akan memberi kesan yang teramat besar kepada kerajaan, ekonomi dan juga politik. Tetapi apakah kesannya di peringkat individu? Berikut adalah di antara jangkaan-jangkaannya :

1.) SIKAP KITA TERHADAP BENCANA AKAN BERUBAH.

Di satu masa dahulu apabila kita membaca tentang bencana-bencana seperti gempa bumi, banjir, gunung berapi atau wabak-wabak penyakit seperti SAR dan Ebola mungkin ramai yang menyangka ia hanya akan berlaku di negara-negara luar. 

Contohnya orang Amerika atau Eropah akan berkata ia hanya berlaku di Asia Timur atau Afrika tetapi apabila Covid-19 melanda maka Amerika dan Eropah pula paling teruk terkesan. 

Di Malaysia pula apabila Covid-19 mengganas di Negara China, kerajaan Pakatan Harapan tidak dilihat menganggap pandemik ini sebagai satu ancaman yang serius kerana masih membenarkan pelancong-pelancong dari negara itu masuk ke Malaysia. Ketika itu kita tidak menganggap pandemik ini sebagai masalah besar sehingga kerajaan Perikatan Nasional menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) pada 18 Mac tahun lepas.

Selepas pandemik kita tidak akan lagi menganggap sesuatu bencana itu tidak akan menimpa negara kita, masyarakat kita, keluarga kita atau diri kita. Kita akan menjadi lebih berhati-hati. Akan timbul perasaan bimbang atau cemas apabila kita mendengar berita sesuatu bencana atau wabak walhal sebelum ini perasaan ini tidak ada pada diri kita.

2.) LEBIH BERHATI-HATI DAN CERMAT DENGAN KEWANGAN.

Selain dari kesan kepada kesihatan dan meragut nyawa, pandemik ini memberi kesan kepada ekonomi. Kedudukan kewangan hampir setiap keluarga menerima kesannya. Ada yang hilang pekerjaan atau bagi yang berniaga hilang punca pendapatan. Ada pula yang melihat pendapatan mereka berkurangan dengan begitu drastik. Ramai yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan. Ramai yang terpaksa mengubah cara hidup mereka.

Negara pernah beberapa kali melalui kemelesetan ekonomi sebelum ini. Ada yang dibuang kerja dan ada pula yang dipotong gaji. Walau bagaimanapun kesan pandemik ini adalah lebih parah dan lebih meluas dari kemelesetan ekonomi. Ia sepatutnya menginsafkan kita semua.

Selepas ini kita sepatutnya lebih berhati-hati dengan kewangan kita kerana krisis seperti pandemik ini boleh berulang. Mungkin bukan wabak penyakit tetapi krisis-krisis lain yang boleh memberi kesan kepada ekonomi kita. Pengalaman dari pandemik ini sepatutnya mengajar kita agar berhati-hati apabila bebelanja dan mula menabung dengan bersungguh-sungguh. 

Kerajaan hari ini telah menyediakan pelbagai program bantuan untuk rakyat. Tetapi jika berlaku krisis atau bencana di masa akan datang, kita tidak tahu apakah jenis kerajaan yang memerintah negara ini. Belum tentu  kerajaan ketika itu adalah kerajaan prihatin seperti kerajaan hari ini. Atau kerajaan ketika itu tidak memiliki dana yang mencukupi seperti hari ini. Justeru itu rakyat perlu sentiasa berwaspada dan membuat persiapan untuk menghadapi sebarang masa-masa yang susah.

3.) RAKYAT YANG SUDAH BOSAN DENGAN SEBARANG BENTUK KAWALAN.

Rakyat tidak dapat bergerak dengan bebas atau menjalani hidup seperti biasa ketika pandemik. Pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) yang dikuatkuasakan menentukan bagaimana kita bekerja, berniaga, bergerak, beribadat, bersosial malah kesemua aspek kehidupan kita.

Rakyat boleh menerima kawalan dan peraturan yang dikuatkuasa kerana sedar kepada implikasi melanggarnya. Sama ada kepada nyawa mereka atau implikasi undang-undang yang akan menyebabkan mereka disaman.

Tetapi ramai yang menyatakan bantahan atau meluahkan rasa tidak puas hati mereka walaupun mereka patuh kepada arahan-arahan tersebut. Walau bagaimanapun terdapat segelintir yang enggan dan terpaksa dikenakan tindakan jika tertangkap.

Setelah dikenakan kawalan-kawalan dan berbulan-bulan dikurung di dalam rumah, ia berupaya mewujudkan semangat memberontak di dalam jiwa rakyat terutamanya di kalangan anak muda. Mereka mungkin boleh penerima arahan-arahan melibatkan Covid-19 kerana ia berkaitan dengan nyawa tetapi mungkin tidak begitu mudah untuk menerima arahan-arahan yang lain.

Justeru itu mereka yang memimpin atau menguruskan apa sahaja organisasi sama ada perniagaan atau sukarela perlu memiliki kebolehan berdiplomasi yang tinggi. Masyarakat hari ini berbeza dari masyarakat sebelum pandemik. Jika mereka terlalu ditekan atau dikongkong maka buruk padahnya.

4.) HUBUNGAN KELUARGA LEBIH DIHARGAI.

Pandemik dan PKP mengakibatkan keluarga terpisah. Untuk tahun kedua berturut-turut, rakyat tidak dapat berhari raya di kampung halaman mereka. Ini sudah tentu memberi kesan kepada mereka yang setiap tahun berhari raya di kampung. Malah bagi mereka yang jarang pulang ke kampung akan turut merasai kekosongan ini. Ibu dan bapa tidak dapat bertemu dengan anak-anak. Datuk dan nenek tidak dapat bertemu dengan cucu-cucu. Adik beradik tidak dapat berkumpul.

Keadaan sedemikian meningkatkan kesedaran terhadap betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Pandemik ini sepatutnya meningkatkan rasa kasih sayang di antara ahli keluarga walaupun mereka berjauhan. 

Kita hanya menghargai sesuatu perkara hanya setelah kehilangannya. Begitulah juga dengan pertemuan di antara ahli keluarga. Selepas segala sekatan dimansuhkan sudah tentu ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk balik ke kampung atau melakukan ziarah ke atas saudara mara mereka.

Mungkin ianya sama bagi masjid dan surau di mana bilangan jemaah dihadkan. Setelah berbulan-bulan tidak dapat ke masjid atau surau, mungkin ia akan menginsafkan kita semua. Selepas ini yang tidak rajin ke masjid atau surau akan keluar dari pandemik ini dengan semangat baharu.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Mayarakat Dan Perumahan ( REACH )
27 Julai 2021

KEHIDUPAN SELEPAS PANDEMIK : BAHAGIAN 1 - INTERAKSI DAN KERAJAAN.


Pandemik Covid-19 yang sedang mencengkam negara dan dunia telah membawa banyak perubahan kepada hidup kita. Selain dari impak ekonomi yang memberi kesan besar kepada kita semua, terdapat juga impak-impak sosial. Pandemik ini telah memaksa kita mengubah cara hidup kita. Perubahan ini dijangka akan terus kekal walaupun setelah pandemik ini berakhir. Berikut adalah kesan-kesan tersebut.

1.) PERNIAGAAN ATAS TALIAN ( ONLINE ) AKAN TERUS BERKEMBANG.

Satu kajian oleh Standard Chartered tahun lepas menunjukkan 73 peratus rakyat Malaysia hari ini lebih selesa untuk membeli atas talian ( online ). Sebelum pandemik hanya 30 peratus rakyat Malaysia memilih untuk membeli secara online.

Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku dan di antaranya adalah,

a.) Pelbagai perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan mereka susah hendak begerak dengan bebas.

b.) Pelbagai langkah-langkah di pasaraya, pasar atau kedai-kedai seperti penjarakan sosial, pendaftaran dan terpaksa beratur panjang dan masa membeli-belah yang dihadkan.

c.) Pasaraya, pasar atau kedai-kedai yang ditutup akibat pelbagai sebab seperti terdapat kes Covid-19 di kalangan kakitangan atau pengunjung.

d.) Kebimbangan Covid-19 akan tersebar melalui wang kertas atau duit syiling yang bertukar tangan.

Menurut Juwai IQI pada bulan Jun lepas, 57 peratus lebih ramai rakyat Malaysia membeli secara atas talian selepas pandemik. Pembeli mempunyai pilihan yang lebih banyak dengan membeli atas talian. Mereka dapat membandingkan kualiti dan harga tanpa keluar dari rumah mereka. Mereka juga berpeluang membaca maklumbalas dari pembeli-pembeli lain.

Apabila rakyat Malaysia telah menerima pembelian secara atas talian sebagai satu cara hidup maka ini membuka peluang kepada lebih ramai pengusaha dan peniaga. Contohnya menurut Juwai juga bilangan penjual Lazada meningkat 300 peratus selepas pandemik.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melapor transaksi jual beli dalam talian mencatatkan lonjakan ketara sehingga RM2.5 bilion tahun lepas berbanding RM1.7 bilion dalam tahun 2019. Peningkatan jumlah perniagaan dalam talian yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga meningkat dengan 489,958 tahun lalu berbanding 243,560 dalam tahun 2019.

Perniagaan cara baru tidak memerlukan modal yang banyak berbanding dengan cara tradisi. Anda tidak perlu menyewa ruang kedai atau menggaji pekerja yang ramai untuk menjalankan perniagaan.

Selain dari menggunakan platform atau aplikasi yang ternama ramai yang memasarkan produk mereka melalui media sosial. Memandang masyarakat telah biasa dengan pembelian atas talian maka terdapat mereka yang dapat meneruskan kehidupan ketika pandemik dengan cara begini. Ada seorang pengusaha makanan dapat menjual sehingga 100 bungkus nasi berlauk sehari melalui media sosial.

Terdapat 2 kemungkinan selepas pandemik berakhir. Sama ada masyarakat akan kembali membeli secara tradisi atau terus membeli secara di atas talian. Walau bagaimanapun trend di atas talian ini telah bermula sejak sebelum pandemik. Pandemik hanya telah mempertingkatkan transaksi dan meluaskannya. Justeru itu ia tetap akan menjadi satu sektor yang penting.

2.) MEDIA SOSIAL MENJADI SEMAKIN PENTING.

Ketika pandemik di mana pergerakan adalah terhad dan rakyat tidak dapat berkumpul atau bertemu dengan bebas maka media sosial merupakan saluran utama untuk mereka berinteraksi. Media sosial seperti WhatsApp dan Facebook menjadi penghubung di antara mereka. Sama ada untuk bertanya khabar atau bersosial ia merupakan saluran paling penting. 

Jika sebelum pandemik mereka berinteraksi dengan bebas seperti di restoran, warung, gerai, masjid, surau, pasar, pasar malam, padang atau taman tetapi ketika pandemik mereka bertemu di sosial media. Satu kelebihan pertemuan di sosial media ialah ia melibatkan lebih ramai peserta dari pertemuan bersemuka sebelum pandemik. Pertemuan di warung mungkin paling ramai melibatkan 10 orang tetapi di dalam "group" sosial media boleh melibatkan berpuluh-puluh orang peserta.

Malah program-program atas talian seperti ceramah, kuliah, forum, seminar atau konvensyen dapat menarik lebih ramai peserta dari jika diadakan secara bersemuka. Mereka yang mungkin tidak dapat hadir kerana faktor-faktor jarak dan masa tidak mempunyai masalah untuk hadir. 

Tetapi ada yang tidak bersetuju dengan program atau mesyuarat secara atas talian kerana mendakwa ia tidak mewujudkan keakraban di antara peserta. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada citarasa masing-masing. Sesuatu yang baharu memang akan mengambil masa. Saya tahu satu kumpulan guru-guru sekolah yang dapat menganjurkan bacaan Yaasin setiap malam secara atas talian sepanjang PKP. Mereka dapat mengumpulkan guru-guru sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara. Program ini telah berjaya mengukuhkan ukhwah di antara mereka dan ia tidak mungkin dapat dilaksanakan secara bersemuka. 

3.) KERAJAAN TIDAK BOLEH BEKERJA SAMBIL LEWA.

Pandemik melihat sentimen rakyat berubah-ubah. Kes positif yang dikesan ada masanya naik mendadak dan ada masanya menurun. Langkah-langkah kerajaan untuk menangani pandemik ada masanya dipuji dan ada masanya dipertikai. Keadaan sungguh tidak stabil. Tambahan pula terdapat mereka yang sentiasa mencari kesalahan kerajaan. Mencurah minyak kepada api yang marak. Mengeksploitasi kesusahan untuk kepentingan politik.

Justeru itu kerajaan perlu bekerja berkali-kali ganda lebih keras. Kerajaan perlu lebih teliti. Pemimpin kerajaan perlu lebih berhati-hati. Pandemik mengajar rakyat untuk mengambil tahu tentang perkembangan di sekeliling mereka. Mereka lebih krtikal. Mungkin disebabkan mereka terkurung di dalam rumah atau kebebasan mereka dihadkan maka mereka mempunyai lebih banyak masa untuk memikirkan perkara-perkara yang sebelum ini tidak menarik minat mereka.

Tambahan pula media sosial memainkan peranan yang penting. Menurut DATAREPORTAL terdapat 28 juta pengguna media sosial di Malaysia pada tahun 2020 atau 86 peratus dari penduduk negara ini. Peningkatan sebanyak 7.7 peratus atau 2 juta dari tahun 2019. Sementara KASPR Datahaus melaporkan peningkatan penggunaaan internet di Malaysia pada 3 hari pertama PKP ( 18 Mac hingga 20 Mac 2021 ) adalah yang kedua tertinggi di dunia iaitu 9 peratus. Menurut kajian Statista ( 2020 ), 29.7 peratus pengguna media sosial di Amerika Syarikat menggunakan media sosial 1 hingga 2 jam lebih lama ketika pandemik dan 20.5 peratus menggunakannya 30 minit hingga 1 jam lebih lama. Sudah tentu trend yang sama berlaku di negara kita. Statista juga melaporkan rakyat Malaysia melayani media sosial sebanyak 3.01 jam setiap hari. Justeru itu peranan dan keberkesanan media sosial tidak boleh dinafikan.

Keadaan yang sama akan kekal selepas pandemik. Rakyat tidak akan menerima begitu sahaja sebarang keputusan kerajaan atau penjelasan pemimpin kerajaan tanpa dibahas dengan panjang lebar di dalam media sosial. Mereka perlu menjadi lebih profesional dan meyakinkan. Setiap tindakan atau kata-kata perlu difikirkan beberapa kali kerana mereka berada di bawah mikroskop rakyat.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
22 Julai 2021

KERAJAAN PERLU FIKIR SEGALA-GALANYA.


Orang kata menjadi pembangkang lebih senang dari menjadi kerajaan. Bagi sesiapa yang pernah menjadi kerajaan sudah tentu memahami. Apabila terdapat satu tuntutan atau desakan kepada kerajaan ia akan melibatkan banyak perkara-perkara lain. Kadang-kala walaupun hanya satu perkara yang hendak dilaksanakan namun terdapat sepuluh perkara malah lebih yang perlu dipertimbangkan. Sama ada ia faktor kewangan, faktor perundangan, faktor pentadbiran atau faktor kemanusiaan kesemuanya perlu diambil kira.

Ketika saya Exco Perumahan di Selangor terdapat satu penempatan peneroka bandar ( setinggan ) yang menimbulkan masalah kepada taman perumahan yang bersebelahan. Penyelesaiannya hanya dengan merobohkan penempatan tersebut. Mungkin perobohan akan menyelesaikan masalah penduduk taman tetapi pelbagai perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu. Memang mudah menghantar penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) dan jentolak-jentolak untuk meratakan penempatan tersebut. Pihak Polis juga akan memastikan mereka yang cuba menghalang akan ditahan. Walau bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain.

Pertama di mana hendak menempatkan penduduk selepas rumah mereka dirobohkan. Kedua bagaimana mereka hendak pergi bekerja jika kediaman baru mereka itu jauh dari penempatan asal mereka. Adakah ini akan melibatkan kos tambahan kepada perbelanjaan bulanan mereka? Atau adakah mereka terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu menampung kos perjalanan?

Kerajaan negeri telah menawarkan mereka rumah kos rendah untuk dibeli dengan harga subsidi. Harga yang ditawarkan adalah RM35,000 sebuah tetapi nilainya di pasaran adalah RM80,000. Walau bagaimanapun dari puluhan keluarga yang ditawarkan pada peringkat awal hanya beberapa keluarga sahaja yang mendapat kelulusan pinjaman bank.

Akhirnya kerajaan perlu menyelesaikan masalah ini tetapi ia tidak dapat dilakukan dengan sekelip mata. Jika kerajaan negeri bukan satu kerajaan yang prihatin, mereka boleh merobohkan rumah-rumah di situ dalam masa beberapa jam sahaja tetapi kerajaan perlu memikirkan satu penyelesaian yang komprehensif.

Keadaannya yang hampir sama berlaku apabila terdapat desakan supaya pekerja-pekerja Muslim dihalang dari bekerja di kilang arak di Selangor. Perbincangan awal adalah tentang cadangan untuk menawarkan pekerjaan alternatif kepada mereka. Pelbagai agensi telah dicadangkan untuk membantu mereka yang mahu mencari pekerjaan baharu. Begitu juga dengan isu Pegawai Perhubungan Pelanggan ( GRO ) di mana ada perbincangan tentang betapa perlunya diwujudkan satu program untuk mereka yang mahu mencari pekerjaan yang lain. Kerajaan perlu memikirkan dari A hingga Z.

Isu kilang-kilang haram juga sama. Kerajaan perlu bertindak tegas ke atas kilang-kilang haram terutamanya yang mencemari alam sekitar seperti sungai atau yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat. Walau bagaimanapun perlu ada perancangan yang komprehensif kerana pemilik-pemilik kilang ini mungkin telah kaya raya tetapi pekerja-pekerja kilang yang kehilangan pekerjaan akan paling tekesan. Kita boleh menghantar pulang pekerja-pekerja warga asing tetapi jika mereka adalah warga tempatan maka masalah mereka adalah masalah kita semua.

Itu sebabnya sebuah NGO pernah mencadangkan agar kilang-kilang terlibat dengan pencemaran alam sekitar bukan sahaja perlu ditutup tetapi aset-aset pemiliknya dirampas. Tujuannya mungkin agar aset ini dapat membantu pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan selain dari memulihkan alam sekitar yang dicemari.

Ketika di dalam kerajaan juga terdapat satu isu tentang kakitangan kontrak yang bekerja dengan kerajaan negeri. Ada yang telah bertahun-tahun berkhidmat di dalam kerajaan. Pada mulanya saya menyangka dengan satu arahan dari Menteri Besar perkara tersebut dapat diselesaikan. Namun begitu terdapat pertimbangan-pertimbangan lain yang perlu diambil kira. Ia bukan satu perkara yang mudah.

Walau bagaimanapun lebih susah untuk menjadi pembangkang setelah menjadi kerajaan. Bagi pembangkang yang bertanggungjawab mereka sudah tentu mengetahui kekangan yang dihadapi oleh kerajaan kerana mereka pernah menjadi kerajaan. Mereka boleh menyerang kerajaan bagai orang yang dirasuk hantu tetapi bagi mereka yang mengetahui seperti pegawai-pegawai kerajaan akan menggeleng kepala. Sudah tentu mereka hairan kenapa pembangkang berkata sedemikian walhal mereka patut mengetahui tentang keadaan sebenar kerana pernah dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Lembaga Pengarah GLC atau jawatan-jawatan perlantikan politik yang lain. 

Malah lebih memalukan jika mereka menuduh kerajaan gagal melaksanakan sesuatu perkara walhal ketika mereka diberi peluang menjadi kerajaan mereka juga tidak melaksanakannya. Rakyat tidak mudah tertipu. Mereka sudah tentu akan dipersoalkan apabila rakyat menyedari kisah yang sebenar. Sudah tentu ia amat memalukan.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
29 Julai 2021

SUKAN OLIMPIK : MENUNGGU KEHADIRAN SEPAK TAKRAW.


Akhirnya sukan Olimpik ke 28 telah bermula di Tokyo pada 23 Julai lepas dan akan melabuhkan tirainya pada 8 Ogos ini. Sukan kali ini merupakan kejayaan bagi Jepun kerana bertegas mahu meneruskannya dan terpaksa melaksanakan pelbagai langkah-langkah untuk memastikan temasya sukan kali ini selamat ketika pandemik Covid-19 sedang melanda. 

Apabila tarikh asal temasya ini ditangguhkan kepada tahun ini, ramai yang masih tidak percaya temasya ini dapat berlangsung. Darurat telah diisytiharkan beberapa kali untuk bandaraya dan wilayah tertentu di Jepun akibat kes Covid-19 yang meningkat. Pada 8 Julai, 2 minggu sebelum majlis pembukaan, Perdana Menteri Yoshihide Suga telah mengumumkan Tokyo akan diletakkan di bawah perintah darurat untuk kali keempat dan kali ini sehingga 22 Ogos. Ketika sukan ini berlangsung, kerajaan Jepun telah menambah bilangan kawasan-kawasan yang diletakkan di bawah perintah darurat. 

Kejayaan temasya sukan kali ini mungkin akan diukur berdasarkan kejayaan penganjur mengawal kesan pandemik. Walau bagaimanapun statistik pada 30 Julai lepas mendedahkan 220 orang termasuk 20 orang atlet telah disahkan positif Covid-19. Tokyo 2020 akan diingat sama ada sebagai satu kejayaan manusia menewaskan Covid-19 atau satu bencana akibat kedegilan manusia.

Walaupun ketika pandemik, kemeriahan Tokyo 2020 tidak berkurangan berbanding dengan temasya-temasya sebelum ini. Walaupun penonton adalah dihadkan namun jumlah atlet sekitar 11,000 orang adalah lebih kurang sama seperti di Rio de Janeiro pada tahun 2016. Bilangan negara juga lebih kurang sama seperti di Rio. Tetapi jumlah sukan yang dipertandingkan bertambah dari 28 kepada 33 dengan itu jumlah acara juga bertambah dari 306 kepada 339. Sukan-sukan baharu adalah sofbol ( softball ), karate, surfing ( selancar ),  papan luncur ( skateboarding ) dan sukan memanjat ( sport climbing ).

Bagi negara kita, harapan untuk meraih pingat adalah tertumpu kepada 3 sukan walaupun sukan-sukan lain tidak boleh ketepikan. Sukan-sukan itu adalah badminton, lumba basikal ( trek ) dan akuatik ( terjun ). Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican pada 21 Julai lepas mengumumkan sasaran negara adalah 3 pingat. Di Rio empat tahun lepas, Malaysia meraih 5 pingat dengan 3 pingat perak dari badminton, 1 pingat perak dari akuatik ( terjun ) dan 1 gangsa dari lumba basikal ( trek ).

Malaysia telah mendapat pingat pertama Sukan Olimpik di Barcelona tahun 1992. Razif Sidek dan Jalani Sidek telah memenagi pingat gangsa dalam acara bergu lelaki sukan badminton. Sejak di Barcelona, Malaysia telah berjaya memenangi pingat 7 pingat perak dan 5 pingat gangsa. 9 dari 12 pingat itu adalah dari badminton.

Badminton mula dipertandingkan di Olimpik sejak 1992. Cukup menghairankan sukan yang popular di Asia dan beberapa negara Eropah seperti Denmark dan England terpaksa menunggu hampir 100 tahun dari temasya yang pertama sebelum dipertandingkan. Walhal terdapat banyak pertandingan-pertandingan badminton di peringkat dunia seperti Piala Thomas sejak tahun-tahun 40an. Sementara kejohanan All England telah wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua.

Bagi mereka yang percaya kepada teori konspirasi sudah tentu akan menuduh ini adalah satu konspirasi untuk menafikan negara negara-negara Asia seperti Malaysia dan Indonesia. Piala Thomas dan kejohanan All England di kuasai oleh mereka dan jika badminton menjadi sukan Olimpik sudah tentu pungutan pingat akan dibolot oleh mereka.

Satu lagi sukan popular yang tidak dipertandingkan di sukan Olimpik adalah skuasy. Sekali lagi ini menyokong teori konspirasi. Malaysia dengan Nicol David, juara dunia 8 kali, sudah tentu berupaya memenangi banyak pingat emas jika skuasy dipertandingkan di Olimpik. Sementara juara dunia 6 kali, Jahangir Khan dan juara dunia 8 kali, Jansher Khan, sudah tentu juga akan membolot emas untuk Pakistan.

Kehadiran sukan-sukan baharu berupaya menjadikan Olimpik ini lebih inklusif. Walau bagaimanapun kecuali karate sukan-sukan tersebut adalah sukan-sukan yang berasal dari Barat. Bagaimana pula sukan dari Asia seperti sepak takraw yang popular di Asia? 31 persekutuan kebangsaan bergabung dengan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa ( ISTAF ). Mereka bukan terdiri dari negara-negara Asia sahaja tetapi dari  Eropah seperti Jerman dan Perancis, dari Amerika Utara seperti Amerika Syarikat dan Kanada, dan juga dari Amerika Selatan seperti Brazil dan Colombia. Ini membuktikan sukan ini adalah sukan global bukan sukan kampung.

Dato Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
2 Ogos 2021

BULAN OGOS YANG BERSEJARAH.

Bulan Ogos adalah bulan yang bersejarah bagi kita di rantau Asia Tenggara. Terdapat banyak peristiwa penting yang berlaku pada bulan tersebut. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah tentu akan merayakan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun. Tetapi bukan itu sahaja kerana terdapat banyak lagi detik-detik bersejarah pada bulan tersebut.

Pada 17 Ogos 1945, Sukarno telah mengisytiharkan kemerdekaan negara Indonesia di Jakarta. Pengisytiharan ( Proklamasi ) kemerdekaan itu telah dilakukan tanpa rundingan dengan penjajah Belanda iaitu ketika tentera Jepun masih berada di Indonesia walaupun Jepun telah menyerah kalah pada 15 Ogos setelah bom-bom atom dijatuhkan di bandaraya Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos. Sukarno telah dilantik Presiden dan Dr Mohammad Hatta dilantik Naib Presiden sehari selepas pengisytiharan.

Menurut perancangan asal, Indonesia sepatutnya merdeka bersama Tanah Melayu. Pada 12 Ogos 1945, pemimpin-pemimpin Tanah Melayu, Ibrahim Haji Yaacob bersama Dr Burhanuddin al-Helmy, telah mengadakan pertemuan dengan Sukarno dan Dr Hatta di Taiping untuk memastikan Tanah Melayu turut termasuk di dalam pengisytiharan tersebut. Walau bagaimanapun mungkin kerana keadaan yang tidak menentu setelah Jepun menyerah kalah maka hanya Indonesia yang diisytiharkan merdeka.

Sukarno dan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak menunggu Belanda kembali dan tercetuslah peperangan kemerdekaan Indonesia yang berakhir dengan perjanjian yang ditandatangani pada 2 November 1949. Peperangan tersebut telah mengorbankan sehingga 100,000 nyawa. Di dalam satu petempuran sahaja iaitu di Surabaya pada bulan Oktober dan November 1945 dianggarkan 20,000 nyawa terkorban. Justeru itu tidak hairan apabila rakyat Indonesia memiliki semangat patriotisme yang tinggi kerana kemerdekaan diperolehi melalui darah dan airmata. 

Pada 9 Ogos 1965 pula, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan kepada Parlimen tentang pemisahan Singapura dan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia telah diluluskan dengan undian 126-0 justeru itu Singapura menjadi sebuah negara yang merdeka. Ramai yang terkejut dengan pengumuman Tunku tetapi ketegangan di antara kerajaan pusat dan Singapura telah berlarutan untuk jangkamasa yang panjang. Di antaranya adalah akibat polisi "Malaysian Malaysia" parti pemerintah Singapura, People's Action Party ( PAP ) yang dilihat akan mengancam hak-hak keistimewaan orang Melayu. Keadaan begitu tegang sehingga tercetus rusuhan kaum pada 24 Julai 1964 ketika perarakan Maulidur Rasul di Kallang yang akhirnya mengorbankan 23 nyawa dan mencederakan 454 orang.

Isu-isu kewangan juga menjadi sebab di mana Menteri Kewangan Malaysia ketika itu mahu sumbangan Singapura kepada kerajaan pusat dari pendapatannya dinaikkan dari 40 kepada 60 peratus. Pasaran bersama yang diharapkan oleh Singapura ketika menyertai Malaysia juga tidak menjadi kenyataan.

Justeru itu perpisahan tersebut bukan sesuatu yang dilakukan secara terburu-buru. Pada 8 Januari 1965, 8 bulan sebelum pemisahan, Tunku telah menulis kepada Menteri Kewangan Singapura, Dr Goh Keng Swee, menawarkan Singapura autonomi penuh kecuali hal-ehwal luar dan pertahanan sekiranya Singapura melepaskan kerusi-kerusinya di Parlimen Malaysia. Perbincangan demi perbincangan telah berlaku walau bagaimanapun ia tidak mendatangkan hasil. Menurut buku "Leaders Of Singapore" ( 1996 ) oleh Dr Melanie Chew, pada 20 Julai 1965, Dr Goh telah bertemu dengan Tun Abdul Razak Hussein ( Timbalan Perdana Menteri ) dan Tun Ismail Abdul Rahman ( Menteri Dalam Negeri ) di Kuala Lumpur dan menyatakan hanya terdapat satu jalan keluar, Singapura keluar dari Malaysia. Justeru itu, menurut Dr Goh lagi pemisahan itu bukan dipaksa ke atas Singapura tetapi dipersetujui bersama. Tidak benar Singapura dibuli untuk tinggalkan Malaysia.

Terdapat satu lagi tarikh pada bulan Ogos yang perlu diketahui oleh kita. Tarikh itu adalah pada 15 Ogos dalam tahun 1511 yang merupakan titik hitam dalam sejarah negara. Pada tarikh tersebut Melaka telah jatuh ke tangan Portugis yang merupakan bermulanya penjajahan tanah air kita selama 446 tahun. Walaupun Johor, Pahang, Bintan dan Kampar tidak jatuh ke tangan Portugis namun kehilangan Melaka yang setanding dengan bandaraya Venice adalah tamparan kepada Kesultanan Melayu Melaka. Ia juga adalah satu tamparan kepada dunia Islam kerana kurang dari 20 tahun sebelum itu kerajaan Islam yang terakhir di Semenanjung Iberia telah tumbang di Granada dalam tahun 1492. Portugal bersama Sepanyol terletak di semenanjung tersebut.

Di satu masa dahulu kita diajar di sekolah-sekolah bagaimana kedatangan penjajah Barat ke Timur adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Jika benar mereka datang untuk berdagang maka sudah tentu mereka tidak perlu menjajah kerajaan-kerajaan di kepulauan Melayu. Cukuplah dengan mereka mendirikan gudang-gudang tetapi bukan itu sahaja tujuan mereka. Mereka datang dengan semangat Perang Salib untuk memporak-peranda kerajaan, masyarakat dan penduduk pribumi. Portugis tiba di Melaka setelah Constantinople jatuh ke tangan umat Islam dalam tahun 1453. Portugal juga pernah berada di bawah kerajaan Islam untuk lebih dari 500 tahun maka sudah tentu mereka datang dengan satu dendam.

Masyarakat pribumi telah ada sistem kerajaan, sistem ekonomi dan sistem kemasyarakatan yang tersendiri dan penjajah datang merombak segala-galanya. Maka akhirnya kesan tangan-tangan penjajah hingga hari ini terpaksa ditanggung oleh kita semua.

Kejatuhan Melaka ini tidak wajar dilupakan kerana terdapat banyak pengajaran-pengajaran yang relevan untuk kita hingga ke hari ini. Kita perlu sentiasa berwaspada agar sejarah hitam ini tidak berulang kembali. Banyak telah ditulis tentang pengkhianatan yang menyebabkan Portugis dapat menawan Melaka. Ada penulis yang berhujah pengkhianatan ini tidak dilakukan oleh orang Melayu tempatan tetapi oleh orang-orang asing seperti pedagang asing atau tentera asing. Apabila Portugis pimpinan Afonso de Albuquerque kelihatan lebih kuat mereka enggan membantu Sultan malah mengadakan hubungan dengan Portugis. Ada pula yang membocorkan maklumat tentang pertahanan Melaka kepada Portugis.

Walau bagaimanapun tidak dapat nafikan terdapat kelemahan pada pentadbiran Melaka selepas era Bendahara Tun Perak. Berlaku pilih kasih dan timbul perasaan iri hati. Pemimpin yang lalai dan tidak cekap. Telah juga berlaku amalan rasuah dan fitnah yang berleluasa. Fakta-fakta ini semua telah kita pelajari dari sekolah rendah lagi namun begitu perkara-perkara tersebut berulang lagi hari ini. Mungkin pada ulangtahun 510 kejatuhan Melaka tahun ini, pengajaran-pengajaran ini tidak akan diabaikan begitu sahaja.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
7 Ogos 2021

SUKAN YANG BOLEH MENGAJAR KITA.

Akhirnya Sukan Olimpik ke 32 yang berlangsung di Tokyo telah melabuhkan tirainya pada hari Ahad lepas. Temasya sukan yang pada mulanya penuh dengan tanda tanya akibat pandemik Covid-19 tetapi berjaya dianjurkan Walaupun tidak semeriah temasya-temasya sebelum ini kerana tanpa penonton dan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan namun kesungguhan tuan rumah berhasil apabila temasya 4 tahun sekali ini berjaya diteruskan. 12 bulan sebelum ini tidak ramai yang menyangka ia dapat dianjurkan sama sekali.

Ketika sukan ini berlangsung, Tokyo dan beberapa kawasan di sekitarnya diletakkan di bawah perintah darurat. Satu kajian menunjukkan rakyat Jepun tidak mahu sukan ini diadakan. Terdapat demonstrasi di luar stadium pada hari pembukaan. Kes Covid-19 melebihi 5,000 sehari. Jepun terpaksa menanggung bil sebanyak 12 bilion USD selepas sukan ini berakhir. Olimpik kali ini juga tidak meningkatkan industri pelancongan seperti temasya-temasya sebelum ini. Mungkin Jepun bertegas kerana tidak mahu menjadikan Tokyo temasya keempat dalam sejarah yang dibatalkan. Sukan Olimpik yang dijadualkan di Berlin, Jerman (1916) Helsinki, Finland ( 1940 ) dan London, UK ( 1944 ) terpaksa dibatalkan akibat perang dunia. Kemungkinan besar jika Olimpik kali ini dijadualkan di Rio de Janeiro, Brazil seperti tahun 2016, belum tentu ia dapat diteruskan.

Pada Olimpik kali ini Amerika Syarikat berjaya mengatasi Negara China dengan tipis setelah meraih 39 pingat emas berbanding dengan 38 pingat emas yang diraih oleh China. Walaupun dari segi jumlah pungutan pingatan Amerika ( 113 ) jauh meninggalkan China ( 88 ). Kejayaan Amerika ini adalah kemenangan moral bagi mereka kerana sedang bersaing dengan China di dalam ekonomi, politik dan ketenteraan pada pentas dunia. Di selatan Jepun, tentera laut Amerika dan sekutu-sekutunya sering mencabar kehadiran China di Laut China Selatan yang mahu meluaskan wilayah kekuasaan mereka.

Pada sukan Olimpik kali ini, renang telah menghasilkan pemenang pingat emas individu yang paling banyak. Caeleb Dressel dari Amerika Syarikat telah memenangi 5 pingat emas. Beliau mengikut jejak perenang-perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps ( 6 emas di Athens 2004 dan 8 emas di Beijing 2008 ), Mark Spitz ( 7 emas Munich 1972 ) dan Matt Biondi ( 5 emas di Seoul 1984 ) yang meraih emas tertinggi pada sukan Olimpik masing-masing.

Sukan kali ini juga melihat tiga negara meraih pingat buat kali pertama dalam sejarah. Negara-negara itu adalah Burkina Faso, San Marino dan Turkmenistan. Sementara tiga negara meraih emas pertama mereka iaitu Bermuda, Filipina dan Qatar.

Bagi negara kita Malaysia, kejayaan meraihkan 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Pencapaian negara sama seperti Nigeria yang memiliki penduduk yang jauh lebih ramai dari Malaysia. 211 juta berbanding dengan Malaysia 32 juta.

Pingat perak negara diraih oleh pelumba basikal Dato' Azizulhasni Awang dalam acara Keirin sementara pingat gangsa diraih oleh Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalan bergu lelaki badminton.  Kejayaan atlet-atlet negara memberi kegembiraan kepada rakyat setelah berminggu-minggu terseksa dengan drama politik yang bagai tiada kesudahan.

Terdapat peristiwa-peristiwa di atas gelanggang yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Tidak semuanya muram pada sukan Olimpik kali ini. Contohnya pingat emas untuk lompat tinggi telah dikongsi bersama oleh Mutaz Barshim dari Qatar dan Gianmarco Tamberi dari Itali. Mereka merupakan 2 atlet terakhir untuk saingan pingat emas dan perlu melakukan lompatan penentuan. Tetapi Mutaz mencadangkan mereka berkongsi emas dan peraturan Sukan Olimpik membenarkannya. Tindakan Mutaz ini mendapat pujian kerana beliau tidak hanya mahu membolot emas untuk dirinya tetapi sanggup berkongsi. Mungkinkah ini berlaku pada pemimpin-pemimpin politik hari ini?

Selepas Tokyo 2020, akan berlangsung satu lagi sukan Olimpik iaitu Sukan Olimpik Musim Sejuk ( Winter Olympics ) di Beijing pada tahun 2022. Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain dilaporkan mahu memboikotnya kerana rekod hak asasi China yang buruk. Mereka turut membangkitkan nasib umat Islam Uyghur di Xinjiang. Kita tidak tahu sama ada mereka itu benar-benar mengambil berat tentang nasib umat Islam tersebut atau sekadar alasan untuk menghukum China. Tetapi polisi-polisi kebanyakan dari mereka terhadap umat Islam di Palestin tidak menunjukkan mereka bersimpati dengan nasib umat Islam yang tertindas.

Jelas sekali sukan tidak bebas dari pengaruh politik. Kita telah melihat bagaimana politik menguasai sukan tetapi bagaimana jika sukan atau ahli sukan menguasai politik?  Di dalam sukan, peserta-peserta perlu memiliki semangat kesukanan ( sportmanship ). Semangat tersebut yang ditunjukkan oleh pemenang pingat emas acara lompat tinggi Mutaz Barshim dan Gianmarco Tamberi bukanlah sesuatu yang pelik. Sikap "gentlemen" seperti ini adalah perkara biasa. Jarang sekali kita melihat ahli-ahli sukan menyerang di antara satu sama lain atau memaki hamun sesama mereka. di luar gelanggang.

Di dalam sukan juga, mereka yang melanggar peraturan atau menipu akan dihukum walaupun ada juga yang terlepas. Menang atau kalah itu jelas. Gol atau tidak itu juga jelas. Tidak ada pemain yang akan ke hulu ke hilir mendakwa telah menjaringkan lebih banyak gol dari lawan mereka setelah perlawanan berakhir. Kebanyakannya akan menerima keputusan dan menunggu perlawanan atau pertandingan yang selanjutnya. Jika Olimpik akan datang adalah di Paris tahun 2024, hanya atlet yang gila akan menuntut Olimpik diawalkan kerana mereka telah cukup bersedia.

Di dunia terdapat 2 orang bekas juara sukan terkenal yang telah menjadi pemimpin negara. Pertama adalah Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, yang merupakan kapten pasukan kriket Pakistan ketika mereka memenangi Piala Dunia Kriket dalam tahun 1992. Kedua adalah Presiden Liberia, George Weah, pemenang Pemain Terbaik Dunia FIFA 1995 dan Ballon d'Or 1995 yang pernah bermain untuk AC Milan, Monaco dan Paris St Germain. Mungkin rakyat Pakistan dan Liberia mahu mencari kelainan setelah bosan dengan ahli politik mereka.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Sukan ( REACH )
9 Ogos 2021

PROGRAM MALAYSIA RUMAH KEDUAKU : ADAKAH SYARAT-SYARAT BAHARU MENCUKUPI?

Program Malaysia Rumah Kedua Ku ( MM2H ) yang dibekukan sejak bulan Ogos tahun lepas akibat pandemik Covid-19 akan diaktifkan semula pada bulan Oktober ini. Walau bagaimanapun permohonan dibuka kembali dengan syarat-syarat yang lebih ketat sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan pada 11 Ogos lepas.

Di antara syarat-syarat baharu itu adalah,

1.) Pendapatan bulanan luar negara peserta adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding dengan RM10,000 sebelum ini.

2.) Peserta mesti memiliki akaun simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta.

3.) Pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

4.) Tempoh Pas Lawatan Jangka Panjang Program adalah 5 tahun bukan 10 tahun seperti sebelum ini walau bagaimanapun boleh dilanjutkan selama 5 tahun lagi tertakluk kepada syarat-syarat.

5.) Tempoh terkumpul ( kumulatif ) peserta perlu berada di dalam negara adalah sekurang-kurangnya 90 hari setahun.

6.) Fi pas dinaikkan dari RM90 kepada RM500 sementara fi untuk memproses permohonan adalah RM5,000 untuk prinsipal dan RM2,500 untuk setiap tanggungan.

Permohonan pula akan diproses oleh Jabatan Imigresen dan bukan oleh Jabatan Pelancongan seperti sebelum ini. Pemohon dan tanggungan perlu juga melalui tapisan keselamatan.

Kerajaan juga telah menetapkan had bilangan peserta dan tanggungan MM2H ini tidak lebih dari 1 peratus dari penduduk Malaysia. Ini bermakna jika penduduk Malaysia adalah 32 juta maka had tersebut adalah 320,000.

Program MM2H telah bermula pada tahun 2002. Sejak itu terdapat 57,478 peserta dan tanggungan mereka yang tinggal di Malaysia. Permohonan yang paling ramai yang diluluskan adalah daripada Negara China seramai 11,820 permohonan setakat bulan Jun 2018. Negara-negara lain termasuk Jepun ( 4,618 ), Bangladesh ( 4,108 ), United Kingdom ( 2,608 ) dan Korea Selatan ( 2,069 ).

Menurut kerajaan, tujuan MM2H ini diaktifkan semula adalah sebagai salah satu strategi untuk membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara ( PPN ) bagi menjana semula ekonomi. Sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan.

Peraturan-peraturan baharu ini telah dibangkitkan oleh sebuah akhbar di Hong Kong ( South China Morning Post ) baru-baru ini yang melihat ia tidak akan menggalakkan penduduk wilayah tersebut berpindah ke Malaysia di bawah program MM2H. Berikutan tindakan-tindakan terkini terhadap pejuang pro-demokrasi dan undang-undang imigresen yang baharu, ramai penduduk Hong Kong yang bercadang untuk meninggalkan wilayah tesebut. Kementerian Dalam Negeri ( Home Office ) UK menjangkakan lebih 1 juta penduduk Hong Kong akan meninggalkannya dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Terdapat cadangan agar kerajaan Malaysia melonggarkan syarat-syarat tersebut. Di antaranya adalah agar syarat akaun simpanan sebanyak RM1 juta dikurangkan jika pemohon telah membeli hartanah bernilai lebih dari RM1 juta. Ada juga yang menggesa syarat pendapat RM40,000 diturunkan memandangkan keadaan ekonomi ketika pandemik.

Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional mengetatkan syarat-syarat MM2H ini adalah sesuatu yang dialu-alukan. Tetapi mungkin ada yang menganggapnya masih terlalu longgar dan mungkin ada juga yang menganggapnya terlalu ketat. Walau bagaimanapun isu warga asing di negara kita adalah satu isu yang akan membangkitkan emosi rakyat.

Sama ada ia melibatkan warga asing tanpa izin ataupun pekerja asing yang memasuki negara kita secara sah. Walaupun MM2H melibatkan mereka yang berpendapatan tinggi namun kita tidak boleh mengulangi kesilapan kita dengan warga asing tanpa izin atau pekerja asing. Akibat kesilapan ini, terdapat kawasan-kawasan di bandar kita di mana penduduk tempatan pula yang merasakan diri mereka seperti warga asing. Kita tidak mahu ada lagi kawasan-kawasan yang dikuasai oleh warga asing sama ada berpendapatan rendah atau berpendapatan tinggi.

Jika kerajaan mahu benar-benar menjana ekonomi negara selepas pandemik maka adakah dengan semata-mata menarik mereka yang memiliki simpanan lebih dari RM1 juta? Adakah dengan memiliki pendapatan luar negeri lebih dari RM40,000 sebulan akan dapat memulihkan ekonomi negara? Berapa peratus dari pendapatan tersebut akan dibelanjakan di dalam negara kita?

Kenapa tidak wujudkan syarat-syarat yang dapat menyumbang kepada penduduk tempatan? Contohnya meluluskan mereka yang menjalankan perniagaan yang menggaji tenaga kerja tempatan. Atau yang menjalankan perniagaan menggunakan khidmat syarikat-syarikat tempatan. Atau yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan.

Kita tidak tahu sama ada syarat-syarat baharu ini akan kekal atau tidak. Ia bergantung kepada siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Tetapi sudah pasti akan terdapat desakan. Sudah pasti permohonan untuk MM2H akan mencurah-curah masuk jika syarat-syarat ini dilonggarkan. Tetapi fikirkan kesannya kepada masyarakat kita dan kepada bandar-bandar kita. Justeru itu, kerajaan perlu memikirkan dari pelbagai sudut. Kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
16 Ogos 2021

PERUBAHAN IKLIM : KENAPA KITA PERLU BIMBANG?

Manusia sedang berhadapan dengan perubahan iklim yang begitu drastik yang tidak pernah dialami beribu-ribu tahun sebelum ini.

Kita akan mengalami cuaca yang melampau pada tahun-tahun mendatang dan manusia akan menanggung padah akibat peningkatan paras laut dan pencairan ais di kutub menurut satu laporan panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ).

Laporan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim ( Intergovernmental Panel on Climate Change ) atau IPCC itu yang dikeluarkan pada 9 Ogos lepas mendedahkan bahawa bumi adalah lebih panas 1.1 darjah celsius dari sejak sebelum era perindustrian. Pada 2030, bumi dijangka menjadi lebih panas sehingga 1.6 darjah celsius.

Menurut Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, laporan tersebut adalah satu amaran terakhir untuk manusia. Tetapi kenapa kita perlu bimbang dengan pemanasan ini dan seterusnya perubahan iklim? 

Pemanasan global akan mengakibatkan lapisan ais cair lalu meningkatkan paras lautan. Peningkatan ini mengancam penempatan di pesisiran pantai dan pulau-pulau. Menurut satu kajian, aras laut dijangka meningkat 1.3 meter sekiranya permukaan bumi lebih panas 3.5 darjah celsius pada tahun 2100 atau hanya kurang dari 70 tahun dari sekarang. Walau bagaimanapun kenaikan paras laut sehingga 2.0 meter boleh berlaku pada tahun 2300. Dalam masa kurang dari 300 tahun dalam tahun 2300 pula, paras laut boleh meningkat sehingga 5 meter yang akan mengubah sempadan pantai seluruh dunia. 

Akibat peningkatan ini, kawasan yang diduduki sehingga 650 juta penduduk dunia akan tenggelam pada tahun 2100. Di antara negara yang paling terkesan adalah China ( 50.5 juta ), Vietnam ( 23.4 juta ) dan Indonesia ( 10.2 juta ). Sementara menurut Bank Dunia seluruh Kepulauan Maldives akan tenggelam jika paras laut meningkat 100 centimeter sahaja.

Pemanasan global ini juga menyebabkan kekerapan berlaku bencana alam yang melampau seperti banjir, kemarau, ribut dan taufan. Baru-baru ini berlaku banjir besar di Jerman dan China. Kebakaran hutan juga sedang berlaku di Turki dan Algeria.

Siapa yang dan apa yang mengakibatkan pemanasan global? Tindakan manusia yang menyebabkan berlaku pemanasan global. Kita membakar bahan bakar fosil seperti petroleum, arang batu dan gas asli yang mengandungi peratusan karbon yang tinggi telah melepas gas-gas rumah hijau kepada atmosfera. Gas-gas itu adalah karbon dioksida ( CO2 ), karbon monoksida ( CO ), kloroflorokarbon ( CFC ), metana ( CH4 ) dan nitrogen oksida ( NO ).

Gas-gas ini terkumpul di atmosfera dan memerangkap haba dari matahari lalu meningkat suhu permukaan bumi dan udara. Tanpa gas-gas ini, haba dari matahari akan terlepas ke angkasa lepas. Haba ini perlu diperangkap kerana tanpa gas-gas suhu bumi akan menjadi terlalu sejuk namun begitu bukan kesemua haba.yang perlu diperangkap sehingga berlaku pemanasan.

Hutan memainkan peranan yang penting menyerap karbon dioksida yang terhasil dari pembakaran bahan-bahan organik dan melepaskan oksigen. Justeru itu hutan dan tumbuhan memainkan peranan di dalam mengawal pemanasan bumi pada tahap yang stabil. Pemotongan hutan boleh mengakibatkan pemanasan global yang tidak terkawal.

Apa yang kita perlu lakukan untuk menghalang berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim? Tindakan yang paling berkesan adalah pada peringkat antarabangsa dan inisiatif oleh kerajaan-kerajaan di dunia. Perjanjian Iklim Paris ( Paris Agreement atau Accord de Paris ) yang ditandatangani dalam tahun 2015 di antara lain bertujuan untuk mengawal pelepasan gas-gas rumah hijau negara-negara di dunia agar pemanasan dapat dihadkan kepada 1.5 darjah celsius. Dua-pertiga dari pelepasan gas-gas rumah hijau dunia adalah dari 7 negara iaitu China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia, India, Jepun dan Brazil. Jumlah pelepasan dari Malaysia adalah kecil berbanding dengan pelepasan dunia, kurang dari 1 peratus.

Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim, pada 13 April lepas telah menyenaraikan langkah-langkah kerajaan untuk menangani perubahan iklim iaitu,

1.) Melaksanakan perdagangan karbon secara teliti agar aktiviti perdagangan karbon tidak menjejaskan komitmen pengurangan gas rumah hijau.

2.) Pembangunan agenda pelan pemulihan hijau seperti "green new deal" agar Malaysia menjadi hab dalam bidang ekonomi, perkhidmatan dan teknologi hijau.

3.) Pemupukan gaya hidup hijau di semua lapisan masyarakat melalui konsep “planetary health” ke arah pembangunan mampan yang holistik.

4.) Pengukuhan tadbir urus perubahan iklim negara melalui penglibatan semua pihak berkepentingan.

5.) Pelaksanaan pelbagai program untuk memacu agenda perubahan iklim dengan menggerakkan sumber tenaga kerja dan peruntukan kewangan.

Walau bagaimanapun kita sebagai individu boleh melakukan perubahan dengan mengurangkan pembakaran bahan api fosil. Kurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan bahan api tersebut. Jika untuk jarak yang dekat elakkan memandu atau menaiki motorsikal tetapi cuba berjalan kaki atau menaiki basikal. Gunakan pengangkutan awam sekerap mungkin.

Membudayakan penggunaan semula ( reuse ). Cuba fikirkan cara-cara mengguna semula barang-barang atau pakaian. Guna semula perlu lebih digalakkan dari kitar semula ( recycle ) kerana proses kitar semula turut melibatkan gas-gas rumah hijau sama ada proses pembuatan atau pengangkutan.

Menanam pokok atau tumbuhan-tumbuhan kerana ia meresap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen. Tidak kira di mana anda tinggal, anda boleh melakukannya sama ada menanam pokok buah-buahan di atas tanah atau pokok bunga di dalam pasu. Anda boleh sama-sama menyumbang kepada usaha untuk mengawal pemanasan global.

Dato' Iskandar A Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
11 Ogos 2021

JUAL RUMAH KETIKA PANDEMIK.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyediakan banyak program-program untuk membantu rakyat ketika pandemik Covid-19. Terdapat program-program khusus untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan atau yang melihat pendapatan mereka berkurangan. Bagi pemilik-pemilik rumah yang masih mempunyai komitmen dengan institusi kewangan seperti bank, sudah tentu moratorium yang diumumkan oleh kerajaan amat membantu.

Moratorium ini sudah tentu dapat mengelakkan rumah mereka dilelong kerana gagal membayar ansuran bulanan. Bagi ramai dari kita, rumah merupakan aset paling bernilai yang dimiliki. Untuk memilikinya bukan sesuatu yang mudah. Ramai yang terpaksa mengumpul duit selama bertahun-tahun sebelum dapat menyediakan wang pendahuluan untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan yang lain.

Selepas membelinya ada yang telah membuat penambahan atau pengubahsuaian yang sudah tentu melibatkan kos. Malah ada yang membuat pinjaman untuk untuk penambahan dan pengubahsuaian tersebut. Selain dari itu, setelah tinggal beberapa tahun sudah tentu mereka dan keluarga merasa serasi dengan kejiranan mereka. Justeru itu adalah sesuatu yang amat malang jika mereka kehilangan aset mereka ini.

Moratorium walaupun membantu mungkin hanya dapat menyelesaikan sebahagian dari masalah. Terdapat mereka yang bukan sekadar mempunyai komitmen untuk melunaskan pinjaman perumahan tetapi juga komitmen-komitmen lain. Sebagai penyelesaiannya mungkin ada yang mengambil keputusan untuk menjual rumah yang mereka duduki sebagai jalan keluar. 

Bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan mungkin tidak perlu dibayar tetapi terdapat komitmen-komitmen lain yang perlu diuruskan. Malah terdapat juga mereka yang tidak memiliki sebarang komitmen dengan bank tetapi terkesan dengan pandemik sehingga terpaksa memikirkan untuk menjual rumah sebagai cara untuk mengurangkan beban kewangan.

Menurut Sheldon Fernandez dari Property Guru peningkatan bekalan hartanah pada suku kedua 2021 kemungkinan akibat pertambahan jumlah kediaman yang ditawarkan di pasaran sekunder ketika pandemik dan suasana ekonomi sekarang. Keseluruhan bekalan hartanah di pasaran meningkat 34.53 peratus tahun-ke-tahun dan 11.94 peratus suku-ke-suku pada suku kedua tersebut.

Terdapat penganalisis yang berpandangan lebih banyak kediaman akan dilepaskan ke dalam pasaran kerana terdapat mereka yang tidak mahu lagi menyimpan pelaburan hartanah mereka atau mahu mengurangkan beban kewangan.
Amat membimbangkan jika salah satu kesan pandemik ini adalah mengkibatkan kadar pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia mengalami penurunan. Ia memberi kesan jika kediaman yang dijual merupakan satu-satunya kediaman milik mereka. Tidak ada siapa yang tahu bila pandemik ini akan berakhir atau bila ekonomi dunia akan pulih. Kemungkinan besar ia memakan masa bertahun-tahun sebelum mereka dapat memiliki semula rumah sendiri atau tidak akan memilikinya sama-sekali.

Masalah ini perlu dipandang serius oleh kerajaan. Memang kerajaan memiliki Kempen Pemilikan Rumah atau House Ownership Campaign ( HOC ) namun begitu perlu satu kajian dan statistik berapa ramai yang terpaksa menjual kediaman mereka akibat pandemik dan apakah strategi untuk mengatasinya.

Bukan semua yang tahu apa yang perlu dilakukan ketika berhadapan dengan tekanan kewangan. Dibimbangi mereka akan bertindak secara terburu-buru dan membuat keputusan yang salah. Dibimbangi juga ada yang mengambil kesempatan di atas kesempitan mereka. Sama ada memberi tekanan agar menjual dengan harga yang lebih rendah atau menawarkan pinjaman kewangan yang mengikat dan membebankan mereka.

Rakyat perlu bimbingan. Moratorium sahaja tidak akan dapat menyelesaikan masalah semua orang. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang diwujudkan oleh Bank Negara merupakan agensi yang dapat menjalankan tugas ini. Mereka perlu memberi tumpuan untuk menasihatkan dan mencadangkan penyelesaian bagi mereka yang berhadapan dengan masalah ini.
Ketika saya bersama di dalam kerajaan negeri Selangor, terdapat kes-kes di mana kediaman rakyat dilelong oleh bank kerana gagal membayar balik pinjaman. Ketika itu terdapat cadangan agar kerajaan membeli rumah tersebut dan menjual semula kepada pemilik setelah kedudukan kewangan mereka mengizinkan. Sementara itu, rumah tersebut disewakan kepada mereka. Walau bagaimanapun ia tidak dapat dilaksanakan kerana keupayaan kewangan kerajaan negeri yang terhad. Mungkin konsep yang sama dapat dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah mereka yang terpaksa menjual rumah ketika pandemik ini. Kerajaan persekutuan dengan keupayaan kewangan mereka boleh menyediakan satu program khusus untuk kes-kes tersebut.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
19 Ogos 2021

NEGARAKU, KELUARGAKU.

Saya pernah menjadi tuan rumah bagi pihak kerajaan negeri Selangor kepada perwakilan dari wilayah Catalonia, Sepanyol semasa saya merupakan Exco Kerajaan Negeri. Mungkin kerana perkara-perkara yang dibincang adalah melibatkan perancangan dan perumahan maka saya telah diarah untuk menyambut kumpulan tersebut yang sedang mengadakan lawatan ke Malaysia.

Ketika itu sedang berlaku krisis di antara kerajaan Catalonia dan kerajaan pusat di Sepanyol apabila kerajaan Catalonia telah mengadakan referendum bagi penduduk memilih sama ada mahu merdeka dari Sepanyol. Ibu negeri Catalonia adalah Barcelona di mana terdapat kelab bolasepak yang terkenal itu.

Referendum tahun 2017 itu telah dianggap haram oleh kerajaan Sepanyol dan anggota kerajaan wilayah tersebut telah ditahan dan ada yang telah melarikan diri ke luar negara. 

Di dalam pertemuan tersebut saya telah cuba bertanya tentang gerakan kemerdekaan mereka. Saya telah juga cuba mendapat reaksi mereka tentang kerajaan Sepanyol yang telah menahan pemimpin kerajaan mereka. Tetapi dalam perbincangan kami, tidak sedikit pun mereka mengecam kerajaan Sepanyol walaupun kerajaan tersebut bertindak tegas terhadap gerakan kemerdekàan mereka. Terdapat perbezaan di antara mereka tetapi mereka seolah-olah cuba menjaga nama kerajaan pusat di mata orang luar.

Ini bukan kali pertama saya melalui pengalaman seperti itu. Saya pernah mengadakan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri di mana parti yang memerintah di peringkat negeri adalah berbeza dari di peringkat pusat. Ini bermakna kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang di peringkat pusat. Yang pertama adalah di Ontario, Kanada dan yang kedua adalah di Victoria, Australia. 

Walaupun mereka berbeza parti namun mereka tidak memburukkan kerajaan pusat. Ketika mereka bertemu dengan kami, mereka seperti mewakili negara mereka sama ada Kanada atau Australia dan bukan negeri, wilayah atau parti mereka. Mereka langsung tidak mencemarkan imej kerajaan pusat mereka.

Sikap yang ditunjukkan oleh mereka sepatutnya dimiliki oleh ahli-ahli politik kita. Mereka perlu sama-sama menonjolkan imej yang baik untuk negara dan menghadkan saingan politik di antara mereka kepada sesama mereka sahaja. Jangan melibatkan orang luar. Orang luar sudah tentu memiliki agenda mereka yang tersendiri.

Kadang-kala kita rasa cemburu dengan pencapaian negara-negara lain. Terdapat semangat patriotisme yang tinggi di kalangan mereka dan mereka sama-sama berusaha untuk kepentingan negara tanpa mengira perbezaan politik. Mungkin negara kita boleh mencapai lebih banyak kejayaan-kejayaan jika terdapat rasa percaya dan mempercayai di antara satu sama lain. Kurangkan perasaan curiga. Kurangkan permainan dan percaturan politik.

Pembangkang tidak boleh melihat semua tindakan kerajaan adalah semata-mata untuk meraih "political points" tetapi untuk kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kerajaan pula tidak boleh melihat pembangkang sebagai penghalang atau pengkhianat. Di UK, ketua pembangkang di Parlimen dikenali sebagai "Leader of Her Majesty's Most Loyal Opposition" atau "Ketua Pembangkang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Amat Setia". Gelaran rasmi ketua pembangkang di UK merupakan satu pengktirafan kepada peranan beliau. Tawaran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkasa kedudukan ketua pembangkang adalah satu langkah ke hadapan tetapi malang sekali telah ditolak oleh pembangkang.

Hanya seorang negarawan yang dapat memimpin seluruh rakyat dan mengangkat negara kita setanding dengan negara-negara lain. Terdapat perbezaan di antara negarawan dan pemimpin parti. Kalau seorang pemimpin hanya sekadar pemimpin parti maka hanya nasib parti dan ahli parti yang akan dibela. Tetapi sekiranya negara dipimpin oleh seorang negarawan maka seluruh rakyat akan dibela.

Orang politik sudah tentu ada agenda politik mereka. Mereka sudah tentu ada hasrat dan harapan untuk parti mereka. Ianya tidak salah. Walau bagaimanapun rakyat tidak berminat untuk mengetahuinya. Tinggalkannya di dalam kelambu masing-masing. Tidak penting kepada rakyat warna bas yang dinaiki selagi mana ia sampai ke destinasinya. Tidak perlu bergaduh sama ada biru atau merah kerana yang penting adalah pemandunya.

Tidak lama lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 64. Sejak bulan Mac tahun lalu kita telah melihat cubaan demi cubaan untuk menjatuhkan kerajaan. Mungkin serangan yang dihadapi oleh kerajaan Perikatah Nasional pada tempoh tersebut adalah yang paling sengit yang pernah dihadapi oleh mana-mana kerajaan sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Kepada orang luar sudah tentu ia satu kejadian yang susah untuk difahami kerana cabaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19 adalah yang paling serius untuk rakyat dan negara sejak kemerdekaan. Sepatutnya kita saling bina-membina dan bukan jatuh-menjatuh. Semoga konsep "Keluarga Malaysia" yang dibawa oleh Perdana Menteri yang baharu akan dapat mengubah kedua-dua belah pihak.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Perumahan Dan Masyarakat ( REACH )
23 Ogos 2021

KENYATAAN AKHBAR REACH, 24 OGOS 2021 - "KERAJAAN PERLU KEKALKAN SYARAT-SYARAT BAHARU SKIM MALAYSIA RUMAH KEDUAKU (MM2H)"

Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob perlu mengekalkan pindaan kepada syarat-syarat MM2H yang diumumkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Ogos lepas.

Telah terdapat desakan agar syarat-syarat asal dikekalkan namun kerajaan telah mengambil masa satu tahun untuk memutuskan syarat-syarat baharu dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat "u-turn".

Skim ini telah ditangguhkan pada bulan Ogos tahun lepas akibat pandemik Covid-19 dan akan diaktifkan semula pada bulan Oktober ini.

Syarat-syarat baharu ini adalah wajar jika kerajaan mahu menarik mereka yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

Menaikkan syarat kelayakan bagi pendapatan bulanan luar negara peserta daripada RM10,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan adalah wajar kerana pendapatan RM10,000 sebulan bukan sesuatu yang luarbiasa bagi seorang profesional yang telah bekerja lebih dari.20 tahun di Malaysia. 

Jika kerajaan mahu menarik mereka yang memiliki keupayaan kewangan yang lebih tinggi dan dapat menyumbang kepada ekonomi negara maka pendapatan mereka sepatutnya jauh lebih tinggi dari penduduk tempatan. RM40,000 sebulan sebagai. kelayakan minima adalah wajar.

Keputusan agar peserta memiliki simpanan tetap minima RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta mungkin tinggi di Malaysia. Tetapi ia mesti dinilai berdasarkan kemampuan rakyat di negara-negara asal pemohon MM2H seperti Jepun atau United Kingdom.

Walau bagaimanapun isu asas adalah apakah fokus kerajaan? Adakah penduduk tempatan atau warganegara luar? Kita mungkin dapat memudahkan warganegara luar membeli rumah kedua mereka di negara kita tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah pertama mereka.

Kerajaan telah juga menetapkan had bilangan peserta MM2H dan tanggungan adalah 1 peratus dari penduduk negara kita. Jika penduduk negara kita adalah 32 juta ini bermakna hadnya adalah 320,000. Tetapi adakah had ini terlalu tinggi memandangkan pelbagai masalah yang kita hadapi dengan warganegara asing sama ada yang sah atau yang tanpa izin?

Sebenarnya adakah pendapatan dari skim ini merupakan sumbangan yang bermakna kepada ekonomi negara dari segi nilai? Sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan. Secara purata sebanyak RM690 juta setahun. Tetapi mungkin dengan syarat-syarat baharu ini pendapatan ini akan bertambah kerana strategi baharu kerajaan adalah menyasarkan kualiti bukan kuantiti.

Jika kerajaan mahu benar-benar menjana ekonomi negara selepas pandemik maka adakah dengan semata-mata menarik mereka yang memiliki simpanan lebih dari RM1 juta? Adakah dengan memiliki pendapatan luar negara lebih dari RM40,000 sebulan akan dapat memulihkan ekonomi kita? Berapa peratus dari pendapatan tersebut akan dibelanjakan di dalam negara? 

Kenapa tidak memberi keutamaan kepada mereka yang dapat menyumbang kepada penduduk tempatan? Contohnya meluluskan mereka yang menjalankan perniagaan yang menggaji tenaga kerja tempatan. Atau yang menjalankan perniagaan menggunakan khidmat syarikat-syarikat tempatan. Atau yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan.

Desakan agar memikirkan kembali syarat-syarat baharu ini mula dibangkitkan di dalam media Hong Kong. Kemudian ia diikuti dengan portal-portal berita tempatan. Sudah tentu pemohonan akan masuk mencurah-curah jika kerajaan melonggarkan syarat-syarat MM2H kerana penduduk di bekas tanah jajahan British itu sedang mencari jalan keluar sejak undang-undang baharu dikuatkuasakan dan tindakan-tindakan ke atas aktivis prodemokrasi. Walau bagaimanapun bukan tugas kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Kita tidak mahu melihat kerajaan tunduk kepada desakan-desakan dari luar negara.

Sekiranya kerajaan mahu memberi kelonggaran sekalipun bukan untuk permohonan baharu tetapi untuk peserta yang sedia ada yang termasuk tanggungan mereka berjumlah 57,578. Walau bagaimanapun kelulusan tidak semestinya automatik tetapi tertakluk kepada syarat seperti telah memiliki kediaman dengan nilai yang tertentu.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
24 Ogos 2021

JANGAN BENCI POLITIK.

Pada tahun 1995, Perdana Menteri Malaysia adalah Tun Dr Mahathir Mohamed dan Timbalan Perdana Menteri adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di UK ketika itu, Perdana Menteri adalah John Major sementara Timbalan Perdana Menteri adalah Michael Hesseltine. Sementara di Amerika Syarikat, Bill Clinton adalah Presiden dan Al Gore adalah Naib Presiden.

Sejak John Major, rakyat UK telah mendapat 5 Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri hari ini, Boris Johnson. Major yang berumur 78 tahun dan pempimpin-pemimpin kerajaan sezaman dengan beliau tidak lagi terlibat dengan aktif di dalam politik UK.

Major yang merupakan peminat sukan kriket telah menulis buku tentang sejarah sukan tersebut dalam tahun 2007 dan pernah menjadi Presiden sebuah kelab kriket, Surrey County Cricket Club dari tahun 2000 hingga 2001 dan sejak 2002 telah menjadi Timbalan Presiden Kehormat seumur hidup kelab kriket itu. Beliau juga terlibat dengan badan-badan kebajikan dan pernah menjadi Presiden Asthma UK.

Sejak Clinton pula, rakyat Amerika telah mendapat 4 Presiden termasuk Presiden hari ini, Joe Biden. Seperti Major di UK, Clinton juga tidak  terlibat dengan aktif di dalam politik kecuali ketika berkempen untuk isteri beliau, Hillary, yang bertanding untuk jawatan Presiden dalam tahun 2016. Clinton juga terlibat dengan program-program kebajikan dan kemanusiaan seperti terlibat di dalam rayuan pungutan dana untuk mangsa-mangsa taufan Harvey dan taufan Irma dalam tahun 2017. Clinton juga pernah menjadi utusan khas ke Korea Utara untuk merundingkan pembebasan 2 orang wartawan Amerika yang ditahan di sana.

Keadaan di UK dan Amerika adalah jauh berbeza dari di Malaysia. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kita ketika Major dan Clinton berkuasa masih merupakan pemain-pemain utama politik di Malaysia walaupun 26 tahun telah berlalu. Malah bukan sahaja pemain utama tetapi penentu politik negara di mana masih ramai rakyat yang melihat mereka sebagai calon Perdana Menteri.
Mungkinkah keadaan di UK dan Amerika berlaku di Malaysia? Bekas pemimpin-pemimpin negara hanya terlibat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan sekiranya berlaku bencana alam atau menjadi penaung untuk badan-badan kebajikan.

Atau mungkin dilantik sebagai utusan ke negara-negara luar di mana telah berlaku krisis. Contohnya menghantar mereka ke Myanmar, Palestin, Xinjiang atau Afghanistan.

Mungkin itu sebabnya ramai yang tidak berminat dengan politik. Pemimpin-pemimpin kerap menjadi bahan kecaman dan lawak jenaka di media sosial. Saya tidak meletakkan kesalahan pada kedua-dua pemimpin veteran ini kerana tanpa penyokong-penyokong tegar, mereka tidak akan kekal berada di atas. Tidak kelihatan pemimpin-pemimpin baharu yang dapat menyaingi karisma dan aura mereka sehingga dapat menenggelamkan mereka sepenuhnya. 

Pertelingkahan di antara parti-parti politik dan pertelingkahan di antara pemimpin-pemimpin dari blok-blok politik yang sama membentuk persepsi buruk rakyat terhadap politik di Malaysia. Akhirnya ramai yang tidak mahu terlibat dengan politik kerana melihat ia adalah kotor. Ini adalah amat membimbangkan kerana polisi-polisi negara yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan negara diputuskan oleh orang-orang politik.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pernah berkata, "Jika orang baik tidak terjun ke dunia politik, maka para penjahatlah yang akan mengisinya." Kita patut bimbang jika ramai yang merasakan diri mereka terlalu suci untuk terlibat dengan politik dan akhirnya dunia politik dipenuhi oleh opportunis yang hanya mementingkan diri mereka sendiri.

Terdapat banyak komen-komen di dalam media sosial yang mengecam orang-orang politik sebagai "bodoh" atau "jahat". Mereka memperkecilkan kemampuan orang-orang politik. Mereka menganggap diri mereka "cerdik". Walau bagaimanapun mereka ini hanya menjadi penonton di tepi gelanggang. Tetapi siapa sebenarnya yang "bodoh"? Adakah seseorang itu "cerdik" jika dia membiarkan orang-orang yang "bodoh" dan "jahat" menentukan halatuju negara mereka? Dari harga minyak masak kepada dasar pendidikan negara diputuskan oleh orang politik. Tidak ada perkara yang terlepas.

Politik adalah  sebahagian dari Islam kerana Islam itu adalah syumul iaitu komprehensif yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Sama ada yang kecil ataupun yang paling besar.
Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mentadbir dunia menurut panduan yang telah ditetapkan agama. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 30, "Dan ( ingatlah ) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".

Menurut Syeikh Abu Hasan Al An-Nadwi, definasi khalifah yang dimaksudkan adalah, "Mendirikan atau menjaga agama dan mengurus dunia dengannya ( panduan agama )".

Oleh yang demikian, penglibatan di dalam politik adalah satu tanggungjawab yang tidak sepatutnya diabaikan. Di antara istilah politik adalah urus tadbir urusan manusia. Tanggungjawab kita untuk menguruskan dunia. Politik Islam pula bertujuan untuk memimpin urusan manusia untuk mencapai kebaikan di dunia dan membawa mereka ke jalan Allah SWT. Sama ada berlandaskan logik akal atau Al-Quran dan Hadith, politik tidak sama sekali boleh diabaikan. Kalau hendak benci sekalipun, jangan benci politik tapi bencilah orang-orang politik yang menyimpang.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
26 Ogos 2021

FAHAMI STRUKTUR DAN PERJALANAN KERAJAAN.

Sebagai salah satu parti yang membentuk kerajaan di peringkat Pusat, ahli-ahli PAS perlu faham tentang struktur dan perjalanan kerajaan. Ia bukan sahaja penting untuk mereka yang memegang jawatan di peringkat tertinggi seperti Menteri, Timbalan Menteri atau yang mengetuai agensi-agensi kerajaan atau GLC-GLC tetapi juga untuk pimpinan di semua peringkat. Malah ahli-ahli biasa agar mereka faham apa yang boleh dicapai, apa yang akan mengambil masa dan apa yang mustahil. Mereka juga mesti memahami akta-akta, peraturan-peraturan kerajaan dan belanjawan kerajaan agar mereka tidak kecewa atau marah apabila sesuatu perkara itu tidak dapat dilaksanakan.

Ada perkara-perkara yang memerlukan pindaan kepada akta-akta atau memerlukan akta-akta yang baharu. Sudah tentu ia memerlukan kelulusan di Parlimen dan sudah tentu memerlukan persefahaman semua parti-parti untuk diluluskan. Ia mungkin mudah jika terdapat hagemoni satu parti seperti ketika di zaman kerajaan Barisan Nasional di satu masa dahulu tetapi tidak mudah ketika tidak ada satu parti yang memiliki majoriti di dalam pakatan kerajaan. Ia tidak mustahil tetapi tidak mudah dan mengambil masa.

Begitu juga dengan peruntukan atau kemampuan kewangan. Perkara-perkara yang hendak dilaksanakan di dalam kerajaan perlu dibajetkan. Ia tidak boleh dilaksanakan sesuka-hati. Ianya juga terpaksa bersaing dengan projek-projek dan program-program yang lain. Bukan kita sahaja yang ada permintaan atau "wish list". Ia perlu dipertimbangkan menurut kepentingan dan keutamaan. Saya masih ingat ketika saya meminta agar dibina sebuah Maahad Integrasi Tahfiz Sains ( MITS ) di dalam kawasan saya. Ia mengambil masa untuk mendapatkan peruntukan. Pada mulanya peruntukan yang diluluskan di dalam belanjawan kerajaan negeri hanyalah RM10. Mungkin mereka yang tidak faham akan marah sebab hanya RM10. Tetapi apabila ia telah berada di dalam belanjawan maka sebarang peruntukan lebihan atau peruntukan dari projek yang lewat boleh disalurkan kepada pembinaan MITS itu. Akhirnya selepas 8 tahun perancangan ia telah mula beroperasi tahun ini.

Selain dari itu kita perlu memahami siapa yang bertanggungjawab terhadap sesuatu keputusan. Jangan pula kita mengecam atau melepaskan kemarahan terhadap sesuatu pihak walhal mereka hanya menjalankan tugas kerana pihak lain yang sebenarnya membuat keputusan dan bertanggungjawab. Setiap pihak ada had-had kuasa dan tanggungjawab mereka sendiri. Kakitangan di kaunter ada had kuasa mereka, pegawai-pegawai ada had kuasa mereka, Menteri, Timbalan Menteri dan Exco ada had kuasa mereka malah Perdana Menteri dan Menteri Besar juga ada had kuasa mereka. Kita bimbang jika "tersilap tembak" ia akan menimbulkan kebencian terhadap sama ada kita atau parti kita.

Saya yakin ramai yang telah lupa kisah seorang Menteri Besar Selangor menghadiahkan kepada Yang Dipertua sebuah Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) sebatang penyapu dalam tahun 2007. PBT tersebut telah gagal memungut cukai semasa dan cukai tunggakan sepertimana yang disasarkan. Menurut Menteri Besar tersebut beliau bukan hendak memalukan PBT itu tetapi sebagai dorogan untuk mereka berusaha dengan lebih keras lagi.
Peristiwa itu berlaku lebih kurang setahun sebelum kerajaan Barisan Nasional tumbang di Selangor. Apabila saya dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri, saya berpeluang bertanya pegawai-pegawai kerajaan tentang peristiwa tersebut dan pegawai yang menerima anugerah itu. Saya dapat mengesan rasa kurang senang mereka terhadap peristiwa tersebut. Ini membuat saya terfikir sama ada kekalahan Barisan Nasional tahun 2008 adalah akibat rasa tidak puas hati kakitangan kerajaan, saudara-mara mereka dan kawan-kawan mereka. Bilangan mereka adalah beribu-ribu dan siapa yang mereka undi akan menjadi penentu. 

Selain dari undi, doa juga penting. Sebelum pilihan raya umum 2008, saya ada mendengar rungutan dari guru-guru sekolah agama rakyat yang tidak berpuas hati dengan satu keputusan kerajaan negeri yang melibatkan mereka. Ada di antara mereka yang berkata marilah kita berdoa beramai--ramai supaya kerajaan ketika itu tumbang. Memang kerajaan benar-benar tumbang pada pilihan raya umum.

Kadang-kala apabila seorang individu dari satu kumpulan diserang contohnya seorang guru maka bukan sahaja individu yang diserang akan terkesan tetapi kemungkinan besar seluruh kumpulan tersebut akan menerima tempiasnya. Malah mungkin keluarga mereka, saudara mereka malah kawan-kawan mereka turut merasakan kepedihan sesuatu kecaman. Justeru itu akibat serangan anda yang ditujukan kepada hanya seorang individu tetapi beratus-ratus malah beribu-ribu akan menjadi musuh anda akibat solidariti di kalangan mereka.

Satu lagi bahaya tidak memahami struktur dan perjalanan kerajaan adalah kita akan termakan dengan provokasi mereka yang memusuhi kita. Kejahilan kita akan mengakibatkan kita senang dilaga-lagakan di antara kita. Mereka tidak akan berputus asa dan akan memastikan kerajaan akan terus tidak stabil. Sasaran mereka adalah akar umbi setelah gagal memecahbelahkan kerjasama politik yang dijalin di peringkat atasan. Justeru itu kita hendaklah berhati-hati dan menambah ilmu kita. 

Mereka yang memegang jawatan di atas juga perlu sentiasa terbuka dan mendengar pandangan orang di bawah. Jangan jemu atau malas untuk memberi penjelasan kepada orang di bawah. Walaupun perkara-perkara yang dibangkitkan itu telah berkali-kali dibangkitkan dan kadang-kala kelihatan tidak masuk akal. Orang di bawah yang akan mempertahankan anda jika anda diserang maka hargai mereka. Buanglah sikap, "Ikut ajelah, kami tahu apa yang kami buat".

Dato' Iskandar Abdul Samad
Bendahari PAS Pusat
29 Ogos 2021

Thursday, February 4, 2021

BUKAN SEMUA WARGA EMAS CERGAS SEPERTI PAK MAON.

Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad

Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan lebih meningkat dari 3.4 juta ( 2018 ) kepada 3.5 juta ( 2020 ). Dari segi peratusan penduduk, ia adalah peningkatan dari 10.3 peratus kepada 10.7 peratus. Sementara untuk rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat dari 2.2 juta ( 2018 ) kepada 2.3 juta ( 2020 ) atau 6.7 peratus ( 2018 ) kepada 7.0 peratus ( 2020 ). 

Peningkatan kumpulan mereka berumur 60 tahun dan lebih ini atau kumpulan Warga Emas bermakna negara dan masyarakat perlu mewujudkan suasana dan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan mereka. Justeru itu dari sudut perancangan bandar dan rekabentuk bangunan pula, ia perlu responsif kepada keperluan-keperluan tersebut. Terdapat undang-undang yang khusus mengambil kira keperluan OKU walau bagaimanapun kumpulan Warga Emas ini juga memiliki keperluan-keperluan mereka yang tersendiri.

Kita tidak boleh sama sekali samakan mereka dengan anggota masyarakat yang lain. Contohnya apabila kita hendak menyediakan padang permainan atau taman rekreasi, perkara pertama yang difikirkan oleh Arkitek atau Arkitek Lanskap adalah peralatan permainan untuk kanak-kanak seperti jongkang-jongkit, gelongsor atau buaian. Kedua baru difikirkan peralatan senaman tetapi kebanyakan peralatan senaman ini adalah untuk semua peringkat umur. Kadang-kala peralatan ini hanya sesuai untuk orang muda atau mereka yang cergas sahaja. Tidak banyak disediakan peralatan-peralatan untuk Warga Emas atau untuk mereka yang pergerakannya terhad kecuali di taman-taman utama.

Ketika saya belajar Senibina di UK dulu, pelajar-pelajar telah menggunakan kerusi roda ( wheelchair ) untuk mengelilingi bandar sebagai sebahagian dari kursus mereka. Ada pula yang ditutup mata dan telah menggunakan tongkat putih orang buta untuk berjalan. Matlamat latihan ini adalah agar pelajar-pelajar yang bakal menjadi Arkitek dan Perancang Bandar itu memahami masalah yang dihadapi oleh OKU. Justeru itu apabila mereka bekerja kelak mereka akan mengambil kira keperluan-keperluan OKU. Hari ini Arkitek dan Perancang Bandar kita bukan sahaja perlu memahami keperluan OKU tetapi juga Warga Emas.

Kadang-kala perkara yang kecil seperti menyediakan tempat duduk juga gagal dilakukan. Terdapat kompleks-kompleks membeli-belah yang tidak menyediakan tempat duduk yang mencukupi. Seorang Warga Emas yang bertongkat ditambah pula dengan masalah lutut atau pinggang sudah tentu perlu duduk dan berehat kerana tidak mampu berjalan jauh. Justeru perlu ditentukan bilangan tempat duduk dan jarak maksima di antaranya bagi memenuhi keperluan Warga Emas seperti ini.

Kita ada tandas dan tempat letak kereta khas untuk OKU. Malah terdapat kompleks membeli belah yang menyediakan tempat letak kereta untuk wanita dan wanita mengandung. Tetapi jarang kita melihat tandas atau tempat letak kereta khusus untuk Warga Emas walaupun pergerakan mereka juga terhad seperti OKU dan memerlukan ruang yang luas untuk bergerak. Bukan semua Warga Emas secergas Pak Maon yang dilakonkan oleh Allahyarham Mahmud Jun dalam filem tahun 1966 arahan P. Ramlee, "Nasib Do Re Mi". Walaupun Warga Emas namun  Pak Maon berupaya menari twist dalam Pesta Malam Muda Mudi!

Kemudahan-kemudahan kemasyarakatan untuk Warga Emas juga memerlukan perhatian. Kita ada tadika dan tabika untuk kanak-kanak prasekolah. Kita ada pelbagai pusat sukan seperti padang futsal, gelanggang sepak takraw atau dewan serbaguna untuk bermain badminton tetapi tidak banyak pusat aktiviti untuk Warga Emas sepertimana "Day Care Centre" di negara-negara seperti United Kingdom. Ia perlu diwajibkan sebagai salah satu keperluan perancangan. Sebenarnya Warga Emas masih memiliki kemampuan untuk menyumbang kepada masyarakat dan pusat-pusat seperti ini membuka peluang kepada mereka.

Jika kerajaan tidak dapat menyediakannya maka tanggungjawab ini boleh diambil alih oleh institusi-institusi keagamaan seperti masjid dan surau. Perlu diwujudkan program-program khusus untuk warga emas. Contohnya program-program menjaga kesihatan seperti aktiviti senaman, perancangan pemakanan atau pengesanan awal penyakit-penyakit kritikal. Ketika menjadi ADUN saya pernah menganjurkan program yang serupa yang dinamakam Program Prihatin Warga Emas ( PPWE ) di sebuah masjid di kawasan saya.

Hari ini terdapat pihak swasta yang menubuhkan "Pondok Moden Warga Emas" di mana terdapat Warga Emas yang tinggal di situ dan ada yang berulang-alik. Di situ mereka akan mengikuti pelbagai kelas pengajian dan aktiviti keagamaan. Konsep ini adalah sama seperti "Retirement Home" di Barat tetapi pengisiannya berbeza. Ia semakin popular dan wajar mendapat lebih banyak sokongan dan bantuan dari pihak kerajaan.

Akhirnya kesemuanya bergantung kepada sikap kita terhadap Warga Emas. Adakah kita menganggap mereka sebagai orang yang telah berjasa kepada negara dan perlu dihargai serta diraikan? Atau kita menganggap masa mereka telah berlalu dan mereka perlu diketepikan serta dilupakan?

Persidangan Bandar Mesra Usia 2021 ( Age-Friendly Cities Conference ) di Kuala Lumpur baru-baru ini telah memberi harapan kepada Warga Emas. Bandar Taiping di Perak telah dipilih sebagai bandar pertama di Malaysia bagi menjayakan projek rintis Bandar Mesra Usia. Adalah diharapkan selepas ini terdapat lebih banyak bandar-bandar yang mesra usia emas di negara kita yang merangkumi semua aspek-aspek kehidupan. Ia sudah tentu memerlukan komitmen dari pihak kerajaan dan swasta.

4 Februari 2021

Monday, February 1, 2021

ISU RUMAH SEWA : APABILA CIKGU SHAARI LEBIH BERNASIB BAIK.

Oleh Dato' Iskandar A. Samad

Ramai di antara kita yang masih ingat filem P. Ramlee "Masam-Masam Manis". Filem tahun 1965 itu mengisahkan percintaan di antara Cikgu Shaari ( P. Ramlee ) dan penyanyi kelab malam, Norkiah ( Sharifah Hanim ). Mereka tidak menyedari mereka tinggal di dalam rumah yang sama walaupun sedang bercinta.

Kedua-duanya menyewa bilik di "Lodging  Mak Minah" kepunyaan Mak Minah ( Minah Hashim ). Saya menceritakan kisah Cikgu Shaari dan Norkiah ini kerana mahu menunjukkan bahawa walaupun setelah lebih 55 tahun cerita ini ditayangkan, keadaan masyarakat kita masih serupa. Ramai yang menyewa bilik di atas sebab-sebab mereka tersendiri.

Keadaan yang sama telah wujud lebih lama dari itu jika kita imbas kembali satu lagi filem P. Ramlee iaitu "Bujang Lapok" keluaran tahun 1957. Ramli ( P. Ramlee ), Aziz ( Aziz Sattar ) dan Sudin ( S. Shamsuddin ) telah menyewa salah satu bilik di rumah milik seorang janda kaya, Cik Normah ( Normadiah ). Mereka berkongsi dapur, bilik mandi dan tandas bersama penyewa-penyewa lain.

Menyewa bilik di bandar-bandar besar adalah satu perkara biasa bagi orang bujang atau pelajar-pelajar IPT. Lebih praktikal bagi mereka untuk menyewa bilik dari sebuah rumah kerana mereka hanya memerlukan ruang yang terhad untuk berehat, tidur dan aktiviti-aktiviti peribadi yang lain setelah pulang dari kerja atau kuliah. Walau bagaimanapun terdapat mereka yang terpaksa menyewa kerana masalah-masalah lain dan terutamanya masalah kewangan.

Sebuah portal berita baru-baru ini mendedahkan sepasang suami isteri terpaksa menyewa bilik di ibukota dan meninggalkan anak mereka yang masih kecil di kampung bersama ibubapa kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah atau flat. Mereka hanya melawat anak mereka dua minggu sekali. Pada saya ini adalah satu kisah yang menyedihkan kerana seorang anak dinafikan perhatian dan kasih sayang ibubapa oleh kerana kesempitan hidup.

Sebenarnya Cikgu Shaari, Norkiah, Ramli, Aziz dan Sudin bernasib baik kerana bilik yang mereka sewa kelihatan luas dan selesa. Trio bujang lapok itu juga boleh menggunakan dapur yang kelihatan bersih untuk memasak. Hari ini terdapat banyak rungutan dari mereka yang menyewa bilik yang dikatakan terlalu kecil dan hanya layak dijadikan setor. Ini berlaku kerana terdapat rumah atau rumah kedai yang dibahagi-bahagikan untuk memastikan seramai mungkin penyewa dapat disumbat ke dalamnya. Selain dari itu ada yang terpaksa tinggal beberapa orang di dalam satu bilik. Terdapat satu laporan televisyen tahun lepas tentang satu keluarga 5 orang yang menyewa sebuah bilik.

Ada juga yang tidak dapat memasak seperti Ramli, Aziz dan Sudin kerana dapur yang disediakan adalah terlalu kotor akibat dari sikap penyewa-penyewa yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan pelbagai warganegara. Masalah keselamatan juga akan timbul jika yang menyewa itu adalah keluarga dengan isteri dan anak-anak perempuan.

Saya yakin ada yang akan berkata, "Kalau tidak suka boleh pindah". Kata-kata ini benar jika kita tidak ada kerajaan tetapi kita ada kerajaan dan kita ada undang-undang. Kerajaan perlu tegas dengan bilangan penyewa yang dibenarkan bagi sebuah rumah. Kerajaan juga perlu tegas berapa meter persegi perlu diperuntukkan bagi setiap penyewa. Begitu juga dengan kemudahan seperti dapur, tandas dan ruang rehat yang juga perlu ditetapkan.

Pada 1 September tahun lepas, Kementerian Sumber Manusia telah menguatkuasakan satu piawaian untuk majikan yang menyediakan kediaman untuk pekerja-pekerja dan pihak yang menyediakan kediaman untuk mereka. Piawaian ini meliputi ruang yang diperuntukkan untuk setiap pekerja dan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk mereka. Jika kerajaan boleh mengawal kediaman untuk pekerja-pekerja maka sudah tentu kerajaan boleh mengawal rumah-rumah sewa.

Ketika saya berada di dalam kerajaan negeri Selangor, saya pernah turut serta di dalam serbuan Pihak Berkuasa Tempatan ke atas pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang disyaki disewakan kepada pekerja-pekerja asing secara beramai-ramai. Kerajaan hari ini juga perlu melakukan lawatan ke premis-premis yang disewakan untuk memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Kerajaan perlu juga perlu mengawal kadar sewa yang dikenakan untuk premis-premis yang lazimnya disewa oleh golongan B40 dan M40. Kadar ini boleh ditetapkan menurut jenis premis, keluasan premis, lokasi premis dan kemudahan-kemudahan yang sediakan. Ini dapat membendung sebarang penindasan ke atas para penyewa oleh pemilik-pemilik premis yang mengambil kesempatan. Bukan semua pemilik seperti Cik Normah dalam filem "Bujang Lapok".

Walau bagaimanapun kerajaan boleh menyelesaikan masalah kediaman ini dengan menyediakan rumah-rumah untuk disewa kepada rakyat. Salah satu dari program Exco Perumahan ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor adalah program rumah sewa Smart Sewa. Dalam Belanjawan 2017, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM100 untuk membeli rumah mampu milik Rumah Selangorku untuk dijadikan rumah sewa. Pada bulan Januari 2017, saya selaku Exco mengumumkan 260 unit rumah telah dikenalpasti untuk dibeli dengan kos RM46.5 juta di bawah skim tersebut.

Membina kediaman untuk disewa seperti Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) akan mengambil masa. Justeru itu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu membeli rumah-rumah yang dibina oleh pemaju-pemaju swasta untuk dijadikan rumah sewa. Kerajaan boleh memastikan sewanya berpatutan dan keadaannya serta kemudahan yang disediakan sempurna. Malah mereka wajar mencontohi skim Smart Sewa di mana para penyewa dipulangkan 30 peratus dari keseluruhan sewa yang dibayar setelah tamat kontrak sewaan. Ini dapat membantu mereka membeli rumah.

Kerajaan perlu memandang isu ini dengan serius. Perumahan yang tidak sempurna akan menghasilkan masyarakat yang bermasalah. Masyarakat yang bermasalah akan memberi kesan yang negatif kepada negara. Generasi muda seperti pelajar-pelajar akan paling terkesan. Ini sudah tentu tidak baik untuk masa depan mereka dan juga negara.

1 Februari 2021

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...