Monday, September 7, 2026

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berjaya didaftarkan ke dalam program tersebut.

Bendahari PAS Pusat, Dato' Iskandar A Samad berkata, sebagai contoh, sekiranya seorang peserta yang didaftarkan menyumbang RM20 sebulan, agen berkenaan akan menerima insentif sebanyak RM60, iaitu bersamaan nilai sumbangan selama tiga bulan.

Menurutnya, sebelum ini agen hanya menerima insentif bersamaan satu bulan sumbangan.

Bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Ogos lalu telah meluluskan peningkatan insentif kepada tiga bulan sebagai usaha menggalakkan agen mendapatkan lebih ramai penyumbang baharu.

“Keputusan ini diambil supaya agen-agen berusaha dengan lebih giat untuk mencari peserta baharu bagi membantu mencapai sasaran 100,000 penyumbang Infaq Istiqamah,” katanya.

Setakat Muktamar PAS Pusat tahun ini, seramai 12,664 orang telah menyertai program tersebut, meningkat sebanyak 2,121 orang berbanding 10,543 penyumbang sebelum ini.

Namun begitu, jumlah tersebut masih jauh daripada sasaran 100,000 penyumbang yang ditetapkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar PAS Pusat di Kuala Terengganu pada November 2021.

Iskandar berkata, mana-mana ahli PAS boleh menjadi agen Infaq Istiqamah dengan syarat mereka sendiri merupakan penyumbang kepada program berkenaan.

Pembayaran insentif kepada agen akan dibuat selepas penyumbang baharu yang didaftarkan membuat sumbangan pertama.

Program Infaq Istiqamah dilancarkan semula pada tahun 2020 bagi memudahkan mereka yang mahu membuat sumbangan tetap kepada PAS melalui kaedah potongan terus daripada akaun bank atau direct debit setiap bulan.

Setiap sumbangan yang diterima akan diagihkan dengan kadar 50 peratus kepada PAS Kawasan, 20 peratus kepada PAS Negeri dan 30 peratus kepada PAS Pusat.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi agen Infaq Istiqamah boleh menghubungi hotline 011-500 500 91.



Saturday, August 29, 2026

PAS–UMNO : YANG PENTING PERSEFAHAMAN, BUKAN SIAPA MEMIMPIN.

Bagi saya, persoalan siapa yang mengetuai kerjasama antara PAS dan UMNO atau antara PN dan BN bukanlah perkara yang paling penting.

Apa yang jauh lebih penting ialah kedua-dua pihak dapat mencapai persefahaman politik yang kukuh, sebagaimana yang telah dapat dibentuk di Negeri Sembilan.

Kita perlu berhati-hati dengan kemungkinan wujudnya pihak-pihak tertentu yang datang kepada PAS dan menggesa supaya PAS mesti memimpin kerjasama ini. Pada masa yang sama, mungkin juga ada pihak yang pergi kepada UMNO dan mendesak supaya UMNO pula mesti menjadi peneraju.

Jika perkara seperti ini dilayan, akhirnya PAS dan UMNO akan bertelagah mengenai siapa yang patut memimpin. Kerjasama boleh gagal dan pihak yang paling mendapat keuntungan tentunya Pakatan Harapan (PH).

Hakikatnya, ada negeri di mana PAS lebih kuat dan ada negeri di mana UMNO mempunyai kekuatan yang lebih besar. Setiap parti mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing.

Oleh itu, tidak semestinya satu formula yang sama digunakan di semua negeri. PAS boleh memainkan peranan utama di negeri-negeri di mana PAS lebih kuat, manakala UMNO boleh memainkan peranan utama di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kekuatan yang lebih besar.

Yang penting ialah persefahaman untuk mengelakkan pertembungan yang hanya akan menguntungkan PH.

MASA UNTUK BERSATU TELAH BERLALU.

Dalam perkembangan politik semasa, pada pandangan saya, PAS telah bergerak ke hadapan dan tidak lagi boleh bergantung kepada Bersatu seperti sebelum ini.

Perkembangan terkini juga menunjukkan bahawa Bersatu akhirnya mungkin tidak mempunyai banyak pilihan selain kembali bekerjasama dengan PH.

Sukar untuk membayangkan Bersatu terus bersama PN setelah mengambil pendirian menentang PN dalam PRN Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, keputusan pilihan raya tersebut juga menunjukkan betapa sukarnya untuk Bersatu bergerak bersendirian tanpa sokongan sebuah parti teras yang mempunyai akar umbi yang kuat.

Sebab itu, pada pandangan saya, pilihan yang paling praktikal bagi Bersatu ialah mencari jalan untuk bersama PH.

Begitu juga dengan cadangan gabungan baharu yang dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk IPR. Saya tidak melihat gabungan seperti itu mudah mendapat sokongan rakyat jika ia hanya menghimpunkan beberapa parti kecil tanpa sebuah parti teras yang benar-benar mempunyai kekuatan akar umbi.

Setiap gabungan politik memerlukan sebuah parti teras.

PN mempunyai PAS yang mempunyai kekuatan, jentera dan sokongan tersendiri. Mana-mana gabungan baharu yang tidak mempunyai parti teras seperti ini akan berdepan cabaran besar untuk meyakinkan rakyat.

UMNO RAKAN STRATEGIK YANG PENTING

Buat masa ini, hubungan PAS dan UMNO lebih tepat dilihat sebagai satu bentuk kerjasama dan persefahaman politik, bukannya sebuah gabungan rasmi seperti PN.

Dalam konteks politik semasa, UMNO merupakan rakan strategik yang penting.

PAS dan UMNO tidak perlu terperangkap dalam perdebatan mengenai siapa yang lebih dominan atau siapa yang mesti memimpin. Apa yang perlu diberi keutamaan ialah mencari titik persamaan, menghormati kekuatan masing-masing dan memastikan tidak berlaku pertembungan yang akhirnya hanya menguntungkan PH.

Bagi Bersatu pula, saya berpandangan masanya untuk memainkan peranan seperti dahulu telah lama berlalu.

Realiti politik telah berubah.

Sekarang adalah masa untuk PAS dan UMNO membina persefahaman berdasarkan kekuatan masing-masing demi mewujudkan satu kerjasama politik yang lebih stabil dan berkesan.

Dato' Iskandar A Samad - Pandan Indah - 29 Ogos 2026



Selepas menghadiri mesyuarat AJK Harian PAS Pusat pada 3 Ogos 2026 di Rusila.


 

Hari Penamaan Calon Ampang Jaya 1995 Pada Era Angkatan Perpaduan Ummah (APU).




 

Di himpunan jentera pilihan raya PAS Selangor pada 15 Ogos 2026.












 

Bersama Chong Wooi Leong pejuang peneroka bandar Kg Seri Murni dan Allahyarham Pak Hasan pejuang peneroka Bukit Tembusu tahun 1998.


 

Di hadapan Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Kota Bharu) pada 9 Ogos 2026.








 

Bersama kawan-kawan Ampang Jaya ketika lawatan ke Kedah 1997.




 

Ketika pertama kali tiba di Heathrow, London bulan September 1979.


 

Seminar Pengurusan Aset PAS anjuran Jabatan Bendahari PAS Pusat pada 8 Ogos 2026 di Bandar Baru Bangi.








 

Kedai Mak Boyan memang popular di Pasar Dato' Keramat.


 

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...