Persidangan meja bulat tersebut telah dianjurkan oleh Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH ), satu badan penyelidikan bebas.
Ia telah berlangsung sepertimana berikut,
Tarikh : 29 Jun 2024 ( Sabtu )
Masa : 9.30 pagi hingga 1.00 tengah-hari
Tempat : Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor Darul Ehsan.
Memandangkan satu akta baharu, Akta Pembangunan Semula Bandar, akan dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini maka persidangan ini telah dianjurkan untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan pembangunan semula bandar.
Berikut adalah resolusi-resolusi persidangan tersebut.
1. Akta Pembangunan Semula Bandar yang akan diwujudkan perlu di harmonikan dengan akta-akta lain seperti Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah dan akta-akta lain agar tidak berlaku percanggahan. Pentadbiran tanah perlu lebih profesional dengan melantik para profesional yang terlatih dalam bidang yang berkaitan.
2. Kita perlu mengkaji penyelesaian Islam dalam isu pemilikan, pengurusan dan pembangunan tanah sebagai satu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi hari ini. Satu kajian perlu dijalankan untuk mengharmonikan Kanun Tanah dengan prinsip-prinsip Islam agar tidak berlaku sebarang percanggahan.
3. Kita perlu berhati-hati agar sebarang Akta Pembangunan Semula Bandar tidak akhirnya digunakan untuk mengubah komposisi kaum di bandar dengan memaksa orang Melayu keluar dari bandar. Keharmonian masyarakat akan tergugat apabila timbul rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.
4. Pembangunan Semula Bandar wajar diterajui oleh kerajaan seperti agensi kerajaan atau GLC. Di dalam sebarang usaha sama, kerajaan mesti memiliki pegangan majoriti dan melarang sama sekali pegangan asing.
5. Penduduk sedia ada tidak akan diketepikan atau dipindahkan ke tempat lain tetapi akan digantikan dengan hartanah di tapak yang dibangunkan. Hartanah yang digantikan hendaklah sepadan dengan hartanah yang dipasarkan di pembangunan baharu.
6. Penduduk sedia ada perlu dilayan sebagai rakan kongsi di dalam sebarang pembangunan semula. Mereka tidak sepatutnya dilayan seperti peminta sedekah yang terpaksa merayu untuk mendapatkan hak mereka.
7. Penduduk sedia ada hanya boleh dipindahkan keluar untuk sementara waktu iaitu ketika pembinaan pembangunan baharu dan dipindahkan semula ke tapak apabila siap dibina. Kos perumahan dan kos sampingan penduduk tersebut hendaklah ditanggung sepenuhnya.
8. Pembangunan baharu mesti berimej Malaysia dan bukan mengutamakan pembeli atau pelabur asing. Tujuan pembangunan baharu adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia bukan rakyat asing.
9. Pembangunan baharu mesti berdasarkan peratus komposisi kaum kebangsaan. Untuk mewujudkan keharmonian kaum yang wujud di negara kita, kuota-kuota pemilikan wajar dilaksanakan menurut peratusan ini atau kuota-kuota Bumiputera sedia ada atau yang mana satu lebih tinggi.
10. Pembangunan baharu perlu mampu dimiliki oleh semua rakyat dengan setiap segmen masyarakat ( B40, M40 dan T20 ) mempunyai peluang yang sama untuk memilikinya. Kerajaan perlu memastikan terdapat satu skim pembiayaan untuk membantu rakyat memiliki hartanah di pembangunan yang baharu.
11. Pembangunan baharu perlu mematuhi peraturan dan piawaian perancangan yang sedia ada. Tidak ada kompromi dari segi penyediaan kemudahan dan infrastruktur.
12. Pembangunan baharu perlu mengambil kira pembangunan di sekitarnya. Impak kepada pembangunan-pembangunan tersebut seperti sosial, trafik, alam sekitar dan sebagainya perlu dimitigasi.
13. Pembangunan semula Tanah Rizab Melayu perlu mengekalkan status tanah itu. Sebarang penjualan atau pemilikan perlu selaras dengan status tersebut.
14. Pembangunan baharu perlu realistik dengan kemampuan membeli rakyat agar tidak berlaku hartanah yang tidak terjual. Ini untuk mengelakkan pemaju menanggung kerugian atau rakyat asing mengambil kesempatan dengan membelinya.
15. Komponen pembangunan di Tanah Rizab Melayu mesti bersesuaian dengan kemampuan pemilikan orang Melayu. Ini untuk mengelakkan kegagalan untuk menjual sehingga kelonggaran pemilikan terpaksa diberikan.
16. Kuota-kuota Bumiputera yang tidak terjual hendaklah diserahkan kepada entiti kerajaan yang sedia ada atau entiti baharu diwujudkan untuk dipegang sehingga dapat dijual. Sehingga dijual ia akan disewakan kepada Bumiputera.
17. Masa depan tanah-tanah wakaf perlu diberi perhatian khusus apabila terlibat dengan pembangunan khusus agar tidak tersasar dari matlamat asal.
18. Perlu diwujudkan Sekretariat Tanah Rizab Melayu untuk menyelesaikan sebarang masalah yang melibatkan tanah-tanah tersebut.
Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
REACH
YB Datuk Ahmad Amzad Haji Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Perasmi Persidangan Meja Bulat
23 Zulhijjah 1445 / 29 Jun 2024