Manusia sentiasa berubah. Masyarakat sentiasa berubah. Suasana politik juga berubah dari masa ke semasa. Seorang Perdana Menteri UK pernah berkata seminggu adalah terlalu lama di dalam politik. Walau bagaimanapun di dalam dunia hari ini bukan seminggu tetapi 24 jam adalah terlalu lama di dalam politik. Mereka yang tidak berubah seiring dengan perubahan yang berlaku akan ketinggalan.
Telah hampir 5 tahun sejak Perikatan Nasional ditubuhkan. Ketika ia ditubuhkan, Perikatan Nasional adalah kerajaan Persekutuan. Tan Sri Muhyidin Yassin adalah Perdana Menteri. Negara telah melalui 2 pilihan raya. Pilihan raya umum dan pilihan raya negeri. PAS hari ini memiliki 4 Menteri Besar.
Suasana politik adalah jauh berbeza. Sudah tentu rakyat juga telah jauh berubah. Harapan mereka, pandangan mereka, keperluan mereka dan persepsi mereka juga telah berubah. Tambahan pula di bawah Pakatan Harapan tumpuan diberikan untuk menekan dan mewujudkan persepsi yang buruk terhadap Perikatan Nasional. Mereka mengharapkan pembohongan yang diulang-ulang akan dilihat sebagai kebenaran. Perikatan Nasional perlu lebih bersih dari bersih.
Justeru Perikatan Nasional perlu responsif terhadap suasana politik yang baharu. Rakyat mengharapkan pembelaan tetapi rakyat hari ini lebih bijak. Mereka menilai dan menyuarakan pandangan mereka menerusi pelbagai saluran. Pemimpin politik tidak boleh memekakkan telinga atau membutakan mata. Mereka tidak memiliki lagi monopoli terhadap kebijaksanaan. Mereka akan mempertikai dan mempersoal walaupun mereka menyokong anda. Kadang-kala mereka yang berada di luar kotak mempunyai pandangan yang lebih luas dan tepat.