Thursday, February 4, 2021

BUKAN SEMUA WARGA EMAS CERGAS SEPERTI PAK MAON.

Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad

Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan lebih meningkat dari 3.4 juta ( 2018 ) kepada 3.5 juta ( 2020 ). Dari segi peratusan penduduk, ia adalah peningkatan dari 10.3 peratus kepada 10.7 peratus. Sementara untuk rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat dari 2.2 juta ( 2018 ) kepada 2.3 juta ( 2020 ) atau 6.7 peratus ( 2018 ) kepada 7.0 peratus ( 2020 ). 

Peningkatan kumpulan mereka berumur 60 tahun dan lebih ini atau kumpulan Warga Emas bermakna negara dan masyarakat perlu mewujudkan suasana dan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan mereka. Justeru itu dari sudut perancangan bandar dan rekabentuk bangunan pula, ia perlu responsif kepada keperluan-keperluan tersebut. Terdapat undang-undang yang khusus mengambil kira keperluan OKU walau bagaimanapun kumpulan Warga Emas ini juga memiliki keperluan-keperluan mereka yang tersendiri.

Kita tidak boleh sama sekali samakan mereka dengan anggota masyarakat yang lain. Contohnya apabila kita hendak menyediakan padang permainan atau taman rekreasi, perkara pertama yang difikirkan oleh Arkitek atau Arkitek Lanskap adalah peralatan permainan untuk kanak-kanak seperti jongkang-jongkit, gelongsor atau buaian. Kedua baru difikirkan peralatan senaman tetapi kebanyakan peralatan senaman ini adalah untuk semua peringkat umur. Kadang-kala peralatan ini hanya sesuai untuk orang muda atau mereka yang cergas sahaja. Tidak banyak disediakan peralatan-peralatan untuk Warga Emas atau untuk mereka yang pergerakannya terhad kecuali di taman-taman utama.

Ketika saya belajar Senibina di UK dulu, pelajar-pelajar telah menggunakan kerusi roda ( wheelchair ) untuk mengelilingi bandar sebagai sebahagian dari kursus mereka. Ada pula yang ditutup mata dan telah menggunakan tongkat putih orang buta untuk berjalan. Matlamat latihan ini adalah agar pelajar-pelajar yang bakal menjadi Arkitek dan Perancang Bandar itu memahami masalah yang dihadapi oleh OKU. Justeru itu apabila mereka bekerja kelak mereka akan mengambil kira keperluan-keperluan OKU. Hari ini Arkitek dan Perancang Bandar kita bukan sahaja perlu memahami keperluan OKU tetapi juga Warga Emas.

Kadang-kala perkara yang kecil seperti menyediakan tempat duduk juga gagal dilakukan. Terdapat kompleks-kompleks membeli-belah yang tidak menyediakan tempat duduk yang mencukupi. Seorang Warga Emas yang bertongkat ditambah pula dengan masalah lutut atau pinggang sudah tentu perlu duduk dan berehat kerana tidak mampu berjalan jauh. Justeru perlu ditentukan bilangan tempat duduk dan jarak maksima di antaranya bagi memenuhi keperluan Warga Emas seperti ini.

Kita ada tandas dan tempat letak kereta khas untuk OKU. Malah terdapat kompleks membeli belah yang menyediakan tempat letak kereta untuk wanita dan wanita mengandung. Tetapi jarang kita melihat tandas atau tempat letak kereta khusus untuk Warga Emas walaupun pergerakan mereka juga terhad seperti OKU dan memerlukan ruang yang luas untuk bergerak. Bukan semua Warga Emas secergas Pak Maon yang dilakonkan oleh Allahyarham Mahmud Jun dalam filem tahun 1966 arahan P. Ramlee, "Nasib Do Re Mi". Walaupun Warga Emas namun  Pak Maon berupaya menari twist dalam Pesta Malam Muda Mudi!

Kemudahan-kemudahan kemasyarakatan untuk Warga Emas juga memerlukan perhatian. Kita ada tadika dan tabika untuk kanak-kanak prasekolah. Kita ada pelbagai pusat sukan seperti padang futsal, gelanggang sepak takraw atau dewan serbaguna untuk bermain badminton tetapi tidak banyak pusat aktiviti untuk Warga Emas sepertimana "Day Care Centre" di negara-negara seperti United Kingdom. Ia perlu diwajibkan sebagai salah satu keperluan perancangan. Sebenarnya Warga Emas masih memiliki kemampuan untuk menyumbang kepada masyarakat dan pusat-pusat seperti ini membuka peluang kepada mereka.

Jika kerajaan tidak dapat menyediakannya maka tanggungjawab ini boleh diambil alih oleh institusi-institusi keagamaan seperti masjid dan surau. Perlu diwujudkan program-program khusus untuk warga emas. Contohnya program-program menjaga kesihatan seperti aktiviti senaman, perancangan pemakanan atau pengesanan awal penyakit-penyakit kritikal. Ketika menjadi ADUN saya pernah menganjurkan program yang serupa yang dinamakam Program Prihatin Warga Emas ( PPWE ) di sebuah masjid di kawasan saya.

Hari ini terdapat pihak swasta yang menubuhkan "Pondok Moden Warga Emas" di mana terdapat Warga Emas yang tinggal di situ dan ada yang berulang-alik. Di situ mereka akan mengikuti pelbagai kelas pengajian dan aktiviti keagamaan. Konsep ini adalah sama seperti "Retirement Home" di Barat tetapi pengisiannya berbeza. Ia semakin popular dan wajar mendapat lebih banyak sokongan dan bantuan dari pihak kerajaan.

Akhirnya kesemuanya bergantung kepada sikap kita terhadap Warga Emas. Adakah kita menganggap mereka sebagai orang yang telah berjasa kepada negara dan perlu dihargai serta diraikan? Atau kita menganggap masa mereka telah berlalu dan mereka perlu diketepikan serta dilupakan?

Persidangan Bandar Mesra Usia 2021 ( Age-Friendly Cities Conference ) di Kuala Lumpur baru-baru ini telah memberi harapan kepada Warga Emas. Bandar Taiping di Perak telah dipilih sebagai bandar pertama di Malaysia bagi menjayakan projek rintis Bandar Mesra Usia. Adalah diharapkan selepas ini terdapat lebih banyak bandar-bandar yang mesra usia emas di negara kita yang merangkumi semua aspek-aspek kehidupan. Ia sudah tentu memerlukan komitmen dari pihak kerajaan dan swasta.

4 Februari 2021

Monday, February 1, 2021

ISU RUMAH SEWA : APABILA CIKGU SHAARI LEBIH BERNASIB BAIK.

Oleh Dato' Iskandar A. Samad

Ramai di antara kita yang masih ingat filem P. Ramlee "Masam-Masam Manis". Filem tahun 1965 itu mengisahkan percintaan di antara Cikgu Shaari ( P. Ramlee ) dan penyanyi kelab malam, Norkiah ( Sharifah Hanim ). Mereka tidak menyedari mereka tinggal di dalam rumah yang sama walaupun sedang bercinta.

Kedua-duanya menyewa bilik di "Lodging  Mak Minah" kepunyaan Mak Minah ( Minah Hashim ). Saya menceritakan kisah Cikgu Shaari dan Norkiah ini kerana mahu menunjukkan bahawa walaupun setelah lebih 55 tahun cerita ini ditayangkan, keadaan masyarakat kita masih serupa. Ramai yang menyewa bilik di atas sebab-sebab mereka tersendiri.

Keadaan yang sama telah wujud lebih lama dari itu jika kita imbas kembali satu lagi filem P. Ramlee iaitu "Bujang Lapok" keluaran tahun 1957. Ramli ( P. Ramlee ), Aziz ( Aziz Sattar ) dan Sudin ( S. Shamsuddin ) telah menyewa salah satu bilik di rumah milik seorang janda kaya, Cik Normah ( Normadiah ). Mereka berkongsi dapur, bilik mandi dan tandas bersama penyewa-penyewa lain.

Menyewa bilik di bandar-bandar besar adalah satu perkara biasa bagi orang bujang atau pelajar-pelajar IPT. Lebih praktikal bagi mereka untuk menyewa bilik dari sebuah rumah kerana mereka hanya memerlukan ruang yang terhad untuk berehat, tidur dan aktiviti-aktiviti peribadi yang lain setelah pulang dari kerja atau kuliah. Walau bagaimanapun terdapat mereka yang terpaksa menyewa kerana masalah-masalah lain dan terutamanya masalah kewangan.

Sebuah portal berita baru-baru ini mendedahkan sepasang suami isteri terpaksa menyewa bilik di ibukota dan meninggalkan anak mereka yang masih kecil di kampung bersama ibubapa kerana tidak mampu menyewa sebuah rumah atau flat. Mereka hanya melawat anak mereka dua minggu sekali. Pada saya ini adalah satu kisah yang menyedihkan kerana seorang anak dinafikan perhatian dan kasih sayang ibubapa oleh kerana kesempitan hidup.

Sebenarnya Cikgu Shaari, Norkiah, Ramli, Aziz dan Sudin bernasib baik kerana bilik yang mereka sewa kelihatan luas dan selesa. Trio bujang lapok itu juga boleh menggunakan dapur yang kelihatan bersih untuk memasak. Hari ini terdapat banyak rungutan dari mereka yang menyewa bilik yang dikatakan terlalu kecil dan hanya layak dijadikan setor. Ini berlaku kerana terdapat rumah atau rumah kedai yang dibahagi-bahagikan untuk memastikan seramai mungkin penyewa dapat disumbat ke dalamnya. Selain dari itu ada yang terpaksa tinggal beberapa orang di dalam satu bilik. Terdapat satu laporan televisyen tahun lepas tentang satu keluarga 5 orang yang menyewa sebuah bilik.

Ada juga yang tidak dapat memasak seperti Ramli, Aziz dan Sudin kerana dapur yang disediakan adalah terlalu kotor akibat dari sikap penyewa-penyewa yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan pelbagai warganegara. Masalah keselamatan juga akan timbul jika yang menyewa itu adalah keluarga dengan isteri dan anak-anak perempuan.

Saya yakin ada yang akan berkata, "Kalau tidak suka boleh pindah". Kata-kata ini benar jika kita tidak ada kerajaan tetapi kita ada kerajaan dan kita ada undang-undang. Kerajaan perlu tegas dengan bilangan penyewa yang dibenarkan bagi sebuah rumah. Kerajaan juga perlu tegas berapa meter persegi perlu diperuntukkan bagi setiap penyewa. Begitu juga dengan kemudahan seperti dapur, tandas dan ruang rehat yang juga perlu ditetapkan.

Pada 1 September tahun lepas, Kementerian Sumber Manusia telah menguatkuasakan satu piawaian untuk majikan yang menyediakan kediaman untuk pekerja-pekerja dan pihak yang menyediakan kediaman untuk mereka. Piawaian ini meliputi ruang yang diperuntukkan untuk setiap pekerja dan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk mereka. Jika kerajaan boleh mengawal kediaman untuk pekerja-pekerja maka sudah tentu kerajaan boleh mengawal rumah-rumah sewa.

Ketika saya berada di dalam kerajaan negeri Selangor, saya pernah turut serta di dalam serbuan Pihak Berkuasa Tempatan ke atas pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang disyaki disewakan kepada pekerja-pekerja asing secara beramai-ramai. Kerajaan hari ini juga perlu melakukan lawatan ke premis-premis yang disewakan untuk memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Kerajaan perlu juga perlu mengawal kadar sewa yang dikenakan untuk premis-premis yang lazimnya disewa oleh golongan B40 dan M40. Kadar ini boleh ditetapkan menurut jenis premis, keluasan premis, lokasi premis dan kemudahan-kemudahan yang sediakan. Ini dapat membendung sebarang penindasan ke atas para penyewa oleh pemilik-pemilik premis yang mengambil kesempatan. Bukan semua pemilik seperti Cik Normah dalam filem "Bujang Lapok".

Walau bagaimanapun kerajaan boleh menyelesaikan masalah kediaman ini dengan menyediakan rumah-rumah untuk disewa kepada rakyat. Salah satu dari program Exco Perumahan ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor adalah program rumah sewa Smart Sewa. Dalam Belanjawan 2017, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM100 untuk membeli rumah mampu milik Rumah Selangorku untuk dijadikan rumah sewa. Pada bulan Januari 2017, saya selaku Exco mengumumkan 260 unit rumah telah dikenalpasti untuk dibeli dengan kos RM46.5 juta di bawah skim tersebut.

Membina kediaman untuk disewa seperti Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) akan mengambil masa. Justeru itu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu membeli rumah-rumah yang dibina oleh pemaju-pemaju swasta untuk dijadikan rumah sewa. Kerajaan boleh memastikan sewanya berpatutan dan keadaannya serta kemudahan yang disediakan sempurna. Malah mereka wajar mencontohi skim Smart Sewa di mana para penyewa dipulangkan 30 peratus dari keseluruhan sewa yang dibayar setelah tamat kontrak sewaan. Ini dapat membantu mereka membeli rumah.

Kerajaan perlu memandang isu ini dengan serius. Perumahan yang tidak sempurna akan menghasilkan masyarakat yang bermasalah. Masyarakat yang bermasalah akan memberi kesan yang negatif kepada negara. Generasi muda seperti pelajar-pelajar akan paling terkesan. Ini sudah tentu tidak baik untuk masa depan mereka dan juga negara.

1 Februari 2021

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...