Sejak bulan September lepas, Cawangan-Cawangan PAS telah mula mengadakan mesyuarat agung mereka yang berakhir pada bulan Oktober. Sementara pada pertengahan bulan November ini kesemua Kawasan-Kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Tahun ini merupakan tahun pemilihan di mana para perwakilan akan memilih pimpinan mereka untuk sesi yang baharu.
Di antara agenda utama di dalam mesyuarat-mesyuarat agung tersebut adalah membentang, membahas dan meluluskan laporan tahunan. Sama ada Kawasan atau Cawangan, tanggungjawab untuk menyediakan dan membentangkan laporan tersebut adalah pada Setiausaha masing-masing. Lazimnya penilaian sama ada pimpinan sesi tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggumgjawab mereka adalah berdasarkan laporan tahunan yang dibentangkan walaupun terdapat faktor-faktor lain.
Laporan tahunan yang baik adalah yang memberi tumpuan kepada pencapaian-pencapaian pada sesi tersebut. Ia tidak sepatutnya berjela-jela dan akan mengelirukan mereka yang membacanya kecuali memang tujuan laporan tersebut untuk mengelirukan. Bagi mereka yang mempunyai latar belakang teknikal, sudah tentu akan membentangkan statistik-statistik dan bukan sesuatu yang subjektif. Kejayaan atau kegagalan boleh diukur berdasarkan parameter-parameter yang jelas dan nyata.
Bukan sekadar program-program yang dianjurkan perlu dibentangkan tetapi perlu juga dibentangkan statistik yang dapat menentukan sama ada program-program itu berjaya atau tidak. Contohnya untuk program-program kemasyarakatan, statistik seperti penglibatan masyarakat tempatan atau sumbangan yang disampaikan juga perlu dibentangkan untuk menentukan kejayaan dan keberkesanan program-program tersebut.
Kita mungkin boleh menyenaraikan berpuluh-puluh program dan para perwakilan pada mesyuarat agung akan terpesona tetapi pada hakikatnya program-program tersebut tidak dapat menarik masyarakat atau kesannya adalah terhad. Tidak dapat dinafikan kita akan mendapat markah penuh untuk usaha dan komitmen tetapi sebagai parti politik perlu kita perlu berusaha untuk meluaskan pengaruh kita.
Sementara untuk program-program dalaman pula, perlu juga statistik bukan sahaja untuk kehadiran tetapi juga peningkatan bilangan ahli-ahli teras yang konsisten menghadiri program-program tersebut atau program-program yang dapat dicetuskan dari program tersebut. Ini adalah 2 contoh, terdapat banyak lagi perkara yang boleh dibentangkan. Statistik-statistik ini penting kerana ia dapat memberi gambaran yang sebenar pencapaian sesuatu program. Ia tidak akan menipu.
Kita berada pada era di mana masyarakat termasuk ahli-ahli PAS menuntut pemimpin-pemimpin mereka melakukan yang terbaik. Kita bukan berada pada era di mana mereka boleh berpuas hati dengan retorika-retorika atau akan terpesona dengan ucapan-ucapan yang bersemangat. Mereka mahukan sesuatu yang tangible. Mereka mahu melihat hasiknya. Staitistik-statistik dapat menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan. Tidak perlu penjelasan yang panjang lebar.
Walau bagaimanapun kesemua itu perlu bermula dengan perancangan. Perancangan yang menetapkan sasaran-sasaran dan tempoh masa untuk mencapainya. Setiap pemimpin perlu memiliki matlamat dan sasaran bagi organisasi yang mereka pimpin. Tidak kira sama ada anda di peringkat paling rendah atau paling tinggi, matlamat ini adalah satu keperluan. Sama ada jangkapendek atau jangkapanjang, perlu ada tempoh masa. Setelah dilantik pada mesyuarat agung, seorang pemimpin perlu memiliki visi yang jelas dan perlu bekerja dengan serta merta.
Pada kebiasaannya, pada sesi yang baharu sesuatu organisasi akan menganjurkan permukiman atau "retreat" untuk menyediakan perancangan bagi sesi yang baharu. Bukan sahaja di peringkat tertinggi atau pertengahan tetapi program ini turut dianjurkan di peringkat akar umbi seperti di peringkat Cawangan. Usul-usul atau sasaran-sasaran kerja tahunan akan diputuskan tetapi kesemuanya itu tidak bermakna jika tidak terdapat sebarang kesungguhan untuk memastikan ia dilaksanakan.
Pengagihan tugas itu penting tetapi masalah di dalam organisasi sukarela adalah untuk memastikan mereka yang diberikan tanggungjawab melaksanakannya. Mereka tidak dibayar gaji atau diberi elaun seperti di syarikat swasta atau di pejabat kerajaan. Memberi motivasi kepada mereka yang tidak dibayar gaji untuk bekerja adalah satu seni tersendiri dan payah hendak difahami oleh mereka yang tidak pernah terlibat. Dilema yang dihadapi oleh mana-mana pimpinan dan di mana-mana peringkat sekalipun adalah untuk memujuk atau memaksa. Sama ada untuk bersikap tegas atau berlembut. Kadang-kala akibat hendak menjaga hati, sasaran-sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai kerana tidak ada yang menegur mereka yang diberi tanggungjawab. Terdapat juga keadaan di mana teguran dibuat tetapi sasaran masih tidak dapat dicapai kerana mereka yang diberi tanggungjawab merajuk atau memprotes.
Secara kesimpulan di mana peringkat sekalipun perlu ada perancangan sama ada jangkapendek atau jangkapanjang. Walaupun di peringkat Cawangan, perlu ditetapkan sasaran-sasaran yang perlu dicapai. Sasaran-sasaran ini perlu tangible dan realistik. Ia boleh dinilai dengan jelas melalui parameter-paramenter tertentu. Ia bukan sesuatu yang subjektif supaya kejayaan atau kegagalan, keberkesanan atau ketidaksampaian dapat dilihat dengan jelas.
Dato' Iskandar Abdul Samad
Bendahari PAS Pusat
21 Oktober 2021