Skip to main content

SEMANGAT GOTONG ROYONG DAN AKTA 663

Gotong-royong sudah menjadi sinonim dengan masyarakat Melayu. Mereka bergotong-royong untuk kenduri kahwin, membersih masjid dan surau apabila bulan Ramadhan menjelang tiba atau bila membuka kampung. Rasa tanggung jawab bahawa mereka adalah sebahagian dari masyarakat dan setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing merupakan di antara aset penting masyarakat Melayu.

Walau bagaimanapun kadang-kala di kawasan-kawasan bandar atau pinggir-pinggir bandar, amalan ini telah pupus. Bukanlah perlu sangat ahli-ahli masyarakat itu turun bersama-sama bermandi peluh, untuk bertanya khabar di antara satu sama lain pun susah.

Tetapi dengan berkuatkuasanya Akta 663 tahun lepas yang menetapkan bahawa pengurusan sebarang rumah bertingkat sama ada pangsapuri atau kondominium akan akhirnya dilakukan oleh penduduknya sendiri, semangat amalan gotong-royong ini menjadi amat penting.

Dengan akta tersebut, setiap blok atau kawasan perlu menubuhkan apa yang dipanggil sebagai Badan Pengurusan Bersama atau Joint Mananagement Board (JMB). JMB akan dianggotai oleh wakil-wakil penduduk dan seorang wakil dari pemaju. Selepas hak milik strata dikeluarkan maka JMB ini akan menjadi Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) yang dikendalikan 100% oleh penduduk.

MC ini bertanggung jawab ke atas pengurusan kawasan kediaman itu. Sama ada untuk memastikan sampah-sampah di sapu, bil-bil elektrik dilunaskan, gaji pengawal keselamatan dibayar, lif berfungsi, insuran bangunan diambil dan banyak lagi perkara kecil atau besar.

Tetapi perkara ini yang selalunya pembeli-pembeli kediaman bertingkat terlepas pandang. Pada mereka, mereka hanya membeli unit-unit kediaman sahaja. Mereka langsung tidak menyangka bahawa akhirnya bumbung yang bocor, lif yang rosak, lampu jalan yang tidak berfungsi, tangka air yang berkarat atau saluran najis yang tersumbat adalah juga tanggung jawab mereka bukan tanggung jawab majlis perbandaran atau kerajaan.

Penduduk bukan hanya bertanggung jawab ke atas unit mereka tetapi seluruh blok atau bangunan yang mereka duduki. Mungkin bukan mereka sebagai individu yang perlu menguruskannya tetapi ini adalah tugas JMB dan MC yang ditubuhkan. JMB dan MC ini pula berhak untuk memungut yuran penyenggaraan dari penduduk dan boleh meminta Pejabat Tanah Dan Galian menyita hartabenda mereka yang gagal membayar.

Mungkin jarang ada permintaan untuk menyita tetapi masalah akan timbul jika terdapat penduduk yang tidak berdisiplin dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk-penduduk lain. Lebih teruk lagi jika tidak ada penduduk yang bersedia untuk menganggotai JMB atau MC. Maka tidak ada siapa akan menguruskan kediaman itu. Menurut akta, Pesuruhjaya Bangunan atau Commissioner Of Building (COB), selalunya Dato’ Bandaraya atau Yang Dipertua Majlis akan melantik ejen untuk menguruskan bangunan itu tetapi lazimnya harganya akan menjadi lebih mahal dari jika penduduk melantik ejen mereka sendiri.

Maka itu sebabnya semangat gotong-royong ini perlu ada. Walaupun mereka tidak bergotong royong membersihkan blok-blok mereka tetapi semangat tanggung jawab di sebalik konsep gotong royong ini akan menentukan sama ada penduduk akan tinggal di dalam persekitaran yang sempurna.

Saya amat berharap sekiranya ahli-ahli PAS yang tinggal di kediaman bertingkat dapat memainkan peranan yang lebih untuk memastikan kediaman mereka diuruskan dengan baik. Mungkin bukan untuk tujuan politik semata-mata tetapi sebagai satu perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan. Memimpin JMB dan MC sebab mereka sudah biasa berpersatuan.

Pada 12 Julai lepas, saya telah menghadiri satu seminar tentang JMB dan MC berhampiran dengan The Curve di Damansara. Saya kagum dengan pengetahuan mendalam para-para NGO terhadap isu ini malah kadang-kala lebih fasih dan faqih dari pegawai-pegawai saya. Oleh itu, adalah harapan saya agar ahli-ahli PAS juga dapat menguasai bidang-bidang seperti ini. Sekali-kala, tinggallah sekejap cerita-cerita Altantuya dan Bala Subramaniam, bacalah Akta 663 dan akta-akta yang perlu dibaca bersamanya seperti Akta 318.

13 Julai 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

BUKAN SEMUA WARGA EMAS CERGAS SEPERTI PAK MAON.

Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan lebih meningkat dari 3.4 juta ( 2018 ) kepada 3.5 juta ( 2020 ). Dari segi peratusan penduduk, ia adalah peningkatan dari 10.3 peratus kepada 10.7 peratus. Sementara untuk rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat dari 2.2 juta ( 2018 ) kepada 2.3 juta ( 2020 ) atau 6.7 peratus ( 2018 ) kepada 7.0 peratus ( 2020 ).  Peningkatan kumpulan mereka berumur 60 tahun dan lebih ini atau kumpulan Warga Emas bermakna negara dan masyarakat perlu mewujudkan suasana dan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan mereka. Justeru itu dari sudut perancangan bandar dan rekabentuk bangunan pula, ia perlu responsif kepada keperluan-keperluan tersebut. Terdapat undang-undang yang khusus mengambil kira keperluan OKU walau bagaimanapun kumpulan Warga Emas ini juga memiliki keperluan-keperluan mereka yang tersendiri. Kita tidak boleh sama se

BAB 15 - HULL, DI MANA PERANG SAUDARA BERMULA.

Hull adalah satu bandaraya di timur laut England dan lebih kurang 200 km dari London. Perjalanan ke London adalah 4 jam dengan kereta atau 3 jam dengan keretapi. Dengan penduduk lebih kurang 250,000 ia adalah bandaraya ke 10 terbesar di Britain. Hull adalah sebuah pelabuhan. Terdapat feri-feri penumpang ke Rotterdam di Belanda dan Zeebrugge di Belgium. Bandaraya tersebut terletak terletak di dalam daerah ( county ) Yorkshire yang unik dengan budayanya yang tersendiri. Yorkshire adalah daerah terbesar di England justeru telah dibahagikan kepada beberapa kawasan pendtadbiran iaitu North Yorkshire, South Yorkshire, West Yorkshire dan East Riding of Yorkshire. Hull terletak di dalam East Riding of Yorkshire atau East Yorkshire dan nama lamanya ketika saya tinggal di sana adalah Humberside. Nama itu ditukar dalam tahun 1996. Saya telah menyambung pengajian saya di Hull dalam bidang Senibina ( Architecture ) setelah menduduki peperiksaan A-Levels. Selepas MCE ( SPM ) saya telah ditawarkan un