Friday, September 18, 2009

Denial Syndrome : Jangan jadi macam UMNO!

Semua orang tahu selepas kalah teruk dalam PRU12, UMNO Pak Lah dilihat enggan mengakui kesilapan dan kelemahan mereka. Hidup diteruskan seolah-olah tiada apa yang telah berlaku. UMNO wujud di dalam keadaan menafikan bahawa terdapat sebarang kelemahan pada diri mereka. Hanyalah UMNO Najib membuat sedikit perubahan. Walau bagaimana pun, Samy Vellu dan MIC masih seperti dulu sehingga Tun Mahathir pun masuk campur.

"Denial syndrome" ini amat bahaya tertutamanya di dalam politik. Seseorang atau sesuatu organisasi akan sentiasa merasakan ia betul atau "perfect", tiada cacat dan cela. Akhirnya apabila tiba keputusan pilihanraya, barulah terduduk!

Itu sebabnya perlu ada "check and balance". Tidak boleh melarang perbezaan pendapat. Sama ada dibuat secara terbuka atau tertutup, itu subjektif. Bergantung kepada isu. Tetapi jika pakatan itu kuat, tidak perlu bimbang. Kita mesti bersikap terbuka. Kita mesti boleh menerima apa sahaja kritikan. Tetapi betul ke ada perbezaan pendapat? Pada saya hanya cadangan penambah baikan.

Masalahnya timbul bila ada tukang laga. Nak dilagakan PAS dengan PKR. PAS dengan DAP. PAS pun nak dipecah-pecahka. Ada PAS Selangor, ada PAS 1Malaysia, ada PAS Erdogan, ada PAS Erbakan dan macam-macam lagi. Sangat kreatif. Pecah dan perintah. Biasalah, ikut taktik penjajah British yang menjadi anak murid Yahudi.

Tapi mereka gagal, Dato' Hasan masih duduk semeja dengan Ronnie Liew. Dr. Halimah masih ke Aceh bersama Teresa Kok. Bukti kerjasama Pakatan Rakyat bukan dengan slogan tetapi dengan kerja-kerja yang telah dilakukan. Bukti siapa mendokong Pakatan Rakyat bukan dengan kata-kata tetapi dengan usaha-usaha bersama.

Selamat berbuka puasa.

Selcat : Saksi didakwa, pesalah terlepas???

Minggu terakhir Ramadhan heboh cerita tentang Selcat. Saya mendapat banyak komen dari orang ramai bahawa Selcat tu bagus tapi cara pengendaliannya dikatakan tidak berhemah. Kata mereka cara soalan-soalan diajukan agak kasar, menengking, mengherdik, memperbudak-budakkan dan tidak memberi peluang kepada mereka yang dipanggil untuk membela diri. Yelah kalau di mahkamah kurang-kurang ada peguam bela dan tertutup tetapi di Selcat tidak ada peguam bela dan "live" kepada seluruh dunia untuk melihat.

Pada saya Selcat ini perlu kerana kita hendak membongkar penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Mereka yang enggan memberi kerjasama mesti diambil tindakan ke atas mereka. Kakitangan kerajaan mesti setia kepada "the government of the day". Tetapi tidak perlu kita "menghukum" para saksi walhal pesalah-pesalah yang sebenar terlepas begitu sahaja.

Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa mendengar kepada rakyat dan dalam hal ini Dato' Menteri Besar dan Exco-Exco mendengar kepada setiap rintihan. Kami bukan BN dengan "denial syndrome" yang tidak mahu mengakui akan kesalahan dan kesilapan mereka. Kami juga bukan "syok sendiri" seperti BN yang merasakan semua yang dilakukan oleh mereka adalah benar belaka. Kalau betul ada kekurangan kami akan memperbaiki tetapi Selcat mesti diteruskan.

Mungkin cara penyiasatan lebih berhemah. Mungkin masukkan ahli-ahli jemputan seperti bekas pegawai-pegawai kerajaan yang benar-benar masak tentang perjalanan dan pentadbiran kerajaan. Intepretasi ahli-ahli politik kadangkala hanya dari perspektif poilitik. Mungkin juga dikaburi oleh prejudis jika terdapat sejarah-sejarah lampau. Rumusan juga mungkin dari sudut politik semata-mata. Oleh itu, Selcat tidak seharusnya membuat rumusan atau menjatuhkan hukum lebih-lebih lagi terhadap jentera kerajaan sehingga pertimbangan dibuat dari semua perspektif.

Selcat juga perlu dilihat bekerja untuk seluruh rakyat negeri Selangor bukan hanya Kerajaan Negeri Selangor dan tidak sekali-kali parti-parti Pakatan Rakyat atau individu-individu tertentu. Rakyat mesti difahamkan bahawa Selcat untuk menjaga kepentingan mereka juga.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

18 September 2009

Tuesday, September 8, 2009

IFTAR PERDANA PAS KAWASAN PANDAN

Tarikh - Sabtu 12 September 2009
Masa : Mulai jam 6.30 petang
Tempat : Dewan MPAJ, Jalan
Kuari, Kg. Cheras Baru.
Infaq - Hanya RM10

BERBUKA PUASA SAMBIL MENDERMA.

Wednesday, September 2, 2009

PENURUNAN SEWA RUMAH PPR UNTUK LEBIH RAMAI PENYEWA.

Kerajan Negeri Selangor telah menerima banyak rayuan dari penyewa-penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mampu membayar sewa RM250 sebulan.

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang lepas pada bulan Jun 2007 telah membuat keputusan sewa bulanan rumah ppr dinaikkan dari RM124 ke RM250 sebulan.

Memandangkan ramai penyewa telah menghadapi masalah, pada bulan November 2008 Kerajaan Negeri Selangor telah menurunkan sewa balik kepada RM124 bagi mereka yang berpendapatan kurang dari rm 1,500 yang mempunyai lima orang ahli keluarga.

Sukacita dimaklumkan mesyuarat Exco hari ini bersetuju untuk menurunkan sewa bagi lebih ramai penyewa. Semua mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan layak mendapat pengurangan sewa tanpa mengira bilangan ahli keluarga.

Penyewa yang berpendapatan melebihi RM1,500 juga layak menerima pengurangan sewa bergantung kepada bilangan ahli keluarga mereka.

Mereka yang mempunyai 4 hingga 7 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM2,100.

Mereka yang mempunyai 8 hingga 10 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM2,550.

Mereka yang mempunyai 11 hingga 15 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM3,300.

Kerajaan Negeri berharap keputusan ini akan dapat mengurangkan beban rakyat.

Selain dari itu, permohonan untuk menurunkan sewa akan diproses di peringkat pihak berkuasa tempatan dan tidak perlu menunggu dibawa ke Shah Alam.

2 September 2009

Wednesday, August 26, 2009

BAYAR TUNGGAKAN SEWA MELALUI KHIDMAT MASYARAKAT

Kerajaan Negeri Selangor akan membenarkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai tunggakan sewa membayarnya dengan melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat menurut kemampuan masing-masing.

Buat masa ini terdapat pelbagai bantuan bagi mereka yang benar-benar tidak mampu. Bantuan ini boleh diperolehi dari Lembaga Zakat Selangor atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengurangan sewa dari RM250 kepada RM124 juga diberikan kepada mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dan mempunyai anggota keluarga sekurang-kurangnya 5 orang.

Sewa bagi rumah yang sama yang bukan PPR adalah di antara RM400 hingga RM600 sebulan. Mereka yang tinggal di situ juga berpendapatan rendah tetapi tidak berpeluang mendapat rumah PPR ketika kerajaan yang lepas.

Adalah salah bagi tunggakan sewa itu dilupuskan kerana ianya merupakan duit rakyat. Para penyewa berhutang kepada pembayar cukai bukan kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri hanyalah pemegang amanah. Tetapi Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan untuk meringankan beban rakyat.

Kerja-kerja khidmat masyarakat yang dicadangkan termasuk membantu menganjurkan program-program kemasyarakatan, mengajar kemahiran-kemahiran yang mereka ada, menjadi petugas sukarela di pusat-pusat komuniti, terlibat di dalam projek-projek kebersihan atau melakukan bancian.

Mesyuarat Exco pada 19 Ogos lepas telah mengarahkan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor untuk menyiapkan garispanduan bagi perlaksanaan cadangan ini.

Mereka yang bersetuju menyertai program ini akan ditetapkan jumlah jam khidmat masyarakat berdasarkan tunggakan sewa mereka. Program ini selain dapat memberi peluang kepada penyewa melupuskan tunggakan mereka tetapi juga dapat menggalakkan mereka terlibat dengan aktif di dalam program-program kemasyarakatan. Maka ia dengan sekali gus dapat mengaktifkan komuniti sesuatu projek PPR.

Saya yakin program ini akan diterima baik oleh penyewa-penyewa terlibat kerana saya yakin mereka bertangung jawab dan tidak mahu tunggakan ini dilupuskan begitu sahaja tanpa sebarang sumbangan dari mereka.

26 Ogos 2009

Friday, August 21, 2009

PERKEMBANGAN KES KG. JLN. PAPAN DAN KG. KERAYONG

Satu mesyuarat telah diadakan di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor [LPHS] pada 12 Ogos lepas dengan saya sebagai pengerusi. Yang hadir adalah wakil2 penduduk Kg. Jln. Papan dan Kg. Kerayong, TPPT Sdn. Bhd. [tuan tanah], Melati Ehsan [pemaju], Majlis Perbandaran Klang [MPK], Pejabat Daerah Klang dan YB Charles Santiago [Ahli Parlimen Klang]. Wakil 2 NGO, Jerit dan Permas telah turut hadir.

Penduduk telah mengemukakan tuntutan mereka dan pemaju telah mengemukakan tawaran mereka.

Saya memberitahu tanah telah didaftarkan di atas nama TPPT. Mereka adalah pemilik tanah yang sah. Oleh itu, menurut Kanun Tanah Negara [National Land Code], Kerajaan Negeri perlu membayar pampasan jika mahu mengambil balik tanah itu. Pampasan ini mungkin berpuluh juta RM.

Pemaju telah menawarkan penduduk Kg. Jln. Papan untuk membeli rumah 18 kaki x 65 kaki dengan harga kurang dari RM100,000. Harga pasaran rumah tersebut sekurang-kurangnya RM150,000. Kerajaan Negeri tidak akan mengambil balik tanah itu untuk diberikan kepada penduduk dan mahu mereka dan pemaju berbincang.

Di dalam perbincangan tahun lepas, persetujuan telah capai bagi penduduk menerima tawaran rumah pemaju. Tetapi tahun ini terdapat penduduk yg mahukan tanah gantian. Pemaju dan penduduk mesti berunding sama ada pemaju boleh memberi tanah gantian atau menawarkan rumah yang lebih luas.

Bagi pemilik bengkel di Kg. Kerayong, mereka telah ditawarkan kedai utk disewa dengan kadar yang lebih murah dari kadar biasa. Saya telah mengarahkan pemaju menawarkan kepada mereka bengkel atau rumah kedai dengan harga di bawah harga pasaran. Sementara mereka yang juga tinggal di bengkel hendaklah ditawarkan juga rumah kos rendah untuk dibeli. Selain dari itu, pemaju hendaklah menangguhkan sebarang tindakan undang-undang ke atas penduduk.

MPK akan berunding dengan penduduk untuk menyiapkan senarai muktamad mereka yang layak menerima sebarang tawaran pemaju. Mereka yang mengambil tindakan mahkamah ketika kerajaan yang lepas [sebelum 8 Mac 2008] turut layak mendapat tawaran pemaju.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor
21 Ogos 2009

Thursday, August 20, 2009

KENA HACK!

Alahai kenapalah website ini selalu kena hack!

Kalau ada posting-posting tentang pelaburan atau cabutan bertuah, harap dapat abaikan.

Iskandar A. Samad
21 Ogos 2009

Friday, August 7, 2009

JOM BOIKOT!

Hari ini berakhirlah "gag order" ke atas para Exco. Arahan agar mereka tidak membuat kenyataan tentang isu arak dan MBSA.

Semalam Menteri Besar Selangor telah membuat keputusan agar tidak ada larangan menjual arak di kawasan majoriti Islam. Tetapi para penjual harus melaksanakan "self-restraint" atau kawalan sendiri. Garis panduan lengkap akan dikeluarkan dalam masa satu bulan.

Keputusan itu dibuat di dalam satu pertemuan bersama para peniaga dan pihak-pihak berkuasa tempatan pada pagi semalam. Saya tidak hadir di dalam pertemuan itu kerana tidak mendapat jemputan.

Pada saya, kawalan sendiri akan berjaya jika ada ancaman. Adakah para peniaga arak itu akan melakukan kawalan sendiri kerana takut kepada amaran Allah? Pada saya tidak ada ancaman atau tidak ada dorongan bagi para peniaga untuk melakukan kawalan sendiri kecuali kita "membantu" mereka .......

Bagaimana? Maka saya menggesa agar untuk memastikan keputusan Menteri Besar itu berjaya, umat Islam mestilah memboikot kedai-kedai serbaneka yang menjual arak di kawasan majoriti Islam. Kalau hendak memboikot semua rangkaian kedai-kedai itu juga lebih baik sehingga mereka melakukan "kawalan sendiri" tersebut.

Mungkin ada yang berkata, "Ramai yang bekerja orang Melayu juga".

Saya yakin ini satu lagi sebab kenapa kita perlu memboikot. Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk menyelamatkan mereka dari terus terbabit dengan penjualan arak. Lagipun kita bukan hendak memaksa kedai-kedai itu ditutup tetapi hanya untuk memastikan mereka tidak menjual arak di kawasan majoriti Melayu.

Saya merasakan saat yang kita lalui sekarang merupakan saat penting yang akan tercatat di dalam sejarah. Adakah umat Islam mempunyai sentiviti yang sama seperti masyarakat India apabila kuil Rimba Jaya dirobohkan? Adakah umat Islam sekarang mempunyai sensitiviti yang sama seperti ketika Natrah dibawa lari oleh penjajah Inggeris? Atau kita mengambil sikap tidak apa. Biarkan mereka menjual arak kepada belia-belia Islam. Biarkan generasi muda Islam terus dirosakkan.

Saya yakin umat Islam akan dapat memaksa kedai-kedai itu melakukan kawalan sendiri. Betapa hebatnya umat Islam keluar berpuluh-puluh ribu untuk membantah ISA. Betapa prihatinnya umat Islam turut membantah tindakan SPRM ke atas Teoh Beng Hock. Maka demi masa depan umat Islam, terutamanya masa depan generasi akan datang janganlah kita berdolak-dalih. Lakukanlah apa yang sewajarnya. Tidak payahlah hendak mempertikaikan siapa yang membuat keputusan atau telah dirujuk kepada mesyuarat ini atau mesyuarat itu. Setiap malam ramai remaja Islam yang tergolek mabuk di sini dan di sana. Mahu tunggu apa lagi?

RUJUK DATO' HASAN KEPADA JAWATANKUASA DISIPLIN?

Itulah gesaan beberapa pihak.

Saya tidak faham kenapa masyarakat bukan Islam perlu marah kerana kita hanya mahu menghalang umat mendapatkan arak dengan mudah. Kita tidak mahu mahu menghalang masyarakat bukan Islam meminum arak.

Kenyataan akhbar dibuat oleh Dato' Hasan Ali selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor tetapi ianya adalah keputusan kolektif bukan keputusan individu. Dari tinjauan dan maklumbalas, terbukti hasrat ini disokong oleh majoriti umat Islam. Dato' Hasan bukan bersendirian.

Ingin saya jelaskan di sini, PAS Selangor tidak pernah mendesak YB Ronnie Liew digugurkan dari barisan Exco tetapi hanya dikaji portfolio Kerajaan Tempatan yang dipegang. Akhbar-akhbar sengaja memutar belitkan fakta.

Ada pihak pula yang memberi "amaran keras" dan "amaran terakhir" kepada PAS Selangor. Jawapan saya, silakan. Saya cabar, buatlah apa yang kamu fikir layak. Saya sedang menunggu .........

8 Ogos 2009

Wednesday, August 5, 2009

Harakahdaily, Harakah Dilly Daly?

Pada 4 Ogos lepas, PAS Selangor telah mengadakan satu sidang akhbar yang penting.

Ia telah dilaporkan oleh hampir semua akhbar dan disiarkan di dalam Berita TV3.

Tetapi terdapat media yang memutar belit kenyataan-kenyataan yang dibuat. Ini tidak menghairankan kerana sudah tentu media-media yang tidak bersimpati dengan PAS akan menyiarkan berita dari perspektif mereka.

Kami hanya mengharapkan blog-blog atau laman-laman web sahaja. Tetapi kesemuanya mempunyai capaian yang rendah kecuali Harakahdaily.

Tetapi hairan sekali setakat jam 7.30 pagi ini, Harakahdaily tidak pula melaporkan sidang akhbar itu!

Hanya Harakahdaily yang boleh menjawabnya.

6 Ogos 2009

Monday, August 3, 2009

PENGURANGAN SEWA BULANAN RUMAH PPR

Kerajaan Barisan Nasional Negeri Selangor yang lepas pada Jun 2007 telah memutuskan untuk menaikkan sewa bagi rumah-rumah kos rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dari RM124 kepada RM250.

Kenaikkan ini telah dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Walau bagaimanapun, pada November 2008 Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah menurunkan sewa balik kepada RM124 bagi kategori-kategori tertentu.

Mereka adalah penyewa yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM1,500 yang mempunyai bilangan keluarga sekurang-kurangnya 5 orang dan OKU.

Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) telah membuka kaunter permohonan di PPR Lembah Subang, PPR Kota Damansara dan PPR Hicom pada 3 dan 5 Disember 2008 (9 pagi hingga 5 petang) dan 4 Disember 2008 (8 malam hingga 11 malam).

Sejumlah 3,954 borang permohonan penurunan sewa telah juga diedarkan ke rumah-rumah yang berpenghuni. Terdapat 1,182 rumah kosong di PPR-PPR itu

Dari 3,954 borang yang diedar :
-1,263 penyewa telah menghantar balik borang
-2,681 penyewa telah gagal menghantar balik borang

Dari 1,263 borang yang dihantar :
-954 penyewa layak mendapat pengurangan
-309 penyewa tidak layak

LPHS dan pejabat saya telah juga menerima permohonan-pemohonan untuk mengurangkan sewa selepas itu dan telah memprosesnya.

Saya juga telah turut menerima permohonan untuk menangguhkan notis pengusiran dari mereka yang mempunyai tunggakan sewa yang tinggi. Maka saya telah mengeluarkan surat memohon penangguhan dan meminta agar sewa yang tertunggak itu dibayar secara ansuran.

Selain dari itu, beberapa langkah telah diambil oleh pejabat saya untuk membantu rakyat,

1. Mengarahkan pengurangan sewa boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan tidak perlu dirujuk kepada LPHS di Shah Alam.

2. Memohon kelulusan Mesyuarat Exco bagi pengurangan sewa untuk semua yang berpendapatan kurang dari RM1,500 tanpa mengira jumlah ahli keluarga.

Di sini ingin ditegaskan bahawa pejabat saya tidak pernah mengabaikan sebarang permohonan dari penyewa untuk pengurangan sewa. Kesemuanya akan dirujuk kepada LPHS untuk diproses oleh mereka.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
4 Ogos 2009

Saturday, August 1, 2009

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Selangor, Iskandar A. Samad berhubung dengan rampasan minuman keras oleh MBSA.

Saya yakin dasar MBSA mengenai aktiviti menjual minuman keras adalah untuk menghalang umat Islam dari membeli minuman keras dengan mudah dan berdasarkan enakmen yang sedia ada. Ia bukan untuk menghalang masyarakat bukan Islam membeli dan meminum minuman keras.

Hak masyarakat bukan Islam tidak dinafikan sama sekali. Tetapi jika tidak ada peraturan untuk menghalang umat Islam membeli dan meminum minuman keras maka hak umat Islam untuk dilindungi dari bahaya minuman keras telah dinafikan.

Gejala meminum munuman keras di kalangan belia Melayu adalah amat membimbangkan. Oleh itu, saya berasa hairan kenapa ianya dijadikan isu sensitif oleh media apabila cuba dihalang penjualan minuman keras di kawasan orang-orang Islam. Jual minuman keras di kawasan orang Islam tidak sensitif tetapi apabila hendak dihalang menjadi sensitif seolah-olah orang Islam tidak ada perasaan, tidak ada hak atau tidak ada nilai. Oleh itu, keperluan dan kepentingan semua pihak perlu diberi perhatian. Bukan golongan peniaga sahaja.

Sekiranya kedai-kedai yang menjual minuman keras kepada orang Islam tidak diambil tindakan atau ditarik balik tindakan ke atasnya maka masyarakat Islam akan berkata kepentingan masyarakat mereka dipandang remeh. Selain dari itu, moral kakitangan kerajaan yang telah bertindak dengan suci hati akan terjejas. Lebih malang lagi jika rakyat mula mempercayai tuduhan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab bahawa terdapat "tangan-tangan ghaib" di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Oleh itu, setiap tindakan perlu difikirkan implikasinya secara terperinci.

Sama ada bir atau minuman keras yang lain, kesemuanya haram diminum oleh orang Islam. Tidak kira berapa kandungan alkoholnya. Perkara ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Saya menggesa agar tidak ada pihak yang membuat kenyataan tentang hukum Islam jika tidak memahaminya dengan mendalam kerana ianya akan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan usul agar diadakan semula pilihanraya kerajaan tempatan. Di antara matlamatnya adalah menjadikan ahli-ahli majlis lebih bertanggung jawab. Pilihanraya ini juga akan mengiktiraf perbezaan yang ada bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan memerlukan pendekatan yang berlainan.

Pendekatan MBSA berbeza dari pendekatan MBPJ. Pendekatan MPK berbeza dari pendekatan MPAJ. Semua pihak perlu meraikan perbezaan ini dan meyakini keputusan-keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli majlis jika mahu diadakan pilihanraya tersebut.

1 Ogos 2009

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...