Skip to main content

SEGERAKAN MIGRASI UNTUK AIR PERCUMA

Di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor, kediaman-kediaman telah menikmati 20 meter padu air percuma.

Walau bagaimanapun ini hanya boleh dilaksanakan untuk kediaman-kediaman yang mempunyai meter individu.

Ini bermakna pangsapuri-pangsapuri yang mempunyai meter pukal tidak dapat menikmati air percuma ini oleh kerana terdapat hanya satu bil dari Syabas.

Dengan meter pukal, Syabas akan membuat bacaan di meter tersebut. Bacaan di meter-meter individu akan dilakukan oleh pihak yang menguruskan pangsapuri itu. Mereka pula akan mengeluarkan bil-bil bagi kediaman di situ. Syabas hanya mengeluarkan bil untuk meter pukal.

Hanya apabila meter pukal ditukar kepada meter-meter individu maka penghuni-penghuni pangsapuri itu akan mendapat air percuma. Proses ini dinamakan migrasi oleh Syabas.

Walau bagaimanapun proses migrasi ini tidaklah semudah itu. Ianya menjadi rumit kerana peraturan-peraturan yang dikenakan oleh Syabas atau kesilapan penghuni itu sendiri.

Syabas telah menetapkan bagi migrasi boleh dilakukan, kesemua pemilik unit kediaman di dalam pangsapuri itu perlu memberi persetujuan untuk membuka akaun dengan Syabas. Persetujuan 100 peratus ini adalah di antara perkara-perkara yang menghalang migrasi.

Sebabnya bukan semua kediaman yang mempunyai penghuni, ada yang kosong. Selain dari itu, terdapat pemilik yang menyewakan kediaman mereka yang tidak dapat dikesan atau enggan bekerjasama.

Kerajaan Negeri telah berkali-kali mencadangkan kepada Syabas agar persetujuan 100 peratus ini dilonggarkan tetapi Syabas tetap tidak mahu berganjak.

Sebagai jalan tengah, Kerajaan Negeri mencadangkan pula agar akaun boleh dibuka di atas nama pihak yang menguruskan pangsapuri. Ianya mungkin Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Saya telah mengadakan satu pertemuan dengan pengurusan tertinggi Syabas dan mereka telah secara dasarnya bersetuju dengan cadangan ini. Walau bagaimanapun Syabas akan menilai setiap kes secara terperinci sebelum memberi kelulusan.

Jika akaun dibuka di atas nama JMB atau MC maka bil Syabas akan dikeluarkan di atas nama mereka dan mereka akan memungut bayaran dari penghuni kediaman-kediaman itu. Sekiranya mereka gagal membayar bil-bil itu maka Syabas akan memotong bekalan air mereka.

Ini lebih adil dari semasa meter pukal di mana jika terdapat tunggakan dari beberapa penghuni, bekalan air di meter pukal akan dipotong. Oleh itu, akibat beberapa orang penghuni maka seluruh pangsapuri tidak akan mendapat bekalan air.

Dengan adanya meter individu, penghuni bukan sahaja mendapat air percuma tetapi bekalan air mereka tidak akan terputus angkara beberapa penghuni yang gagal membayar bil.

Perkara kedua yang selalu menghalang migrasi adalah tunggakan bil meter pukal. Sebelum ini, Syabas mahu segala tunggakan dilunaskan sebelum migrasi dilakukan. Tetapi setelah diadakan rundingan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, tunggakan ini boleh dipindahkan ke akaun-akaun meter individu dan dibenarkan dibayar secara ansuran. Walau bagaimanapun ini bergantung kepada jumlah tunggakan. Ada yang bukan setakat puluhan ribu tetapi ratusan ribu.

Tetapi pemilik-pemilik masih menghadapi masalah untuk melakukan migrasi. Pejabat Syabas di daerah-daerah masih tidak konsisten di dalam memberi kelulusan. Tafsiran terhadap peraturan-peraturan adalah berbeza-beza bagi setiap daerah. Ini kerap menimbulkan pelbagai masalah.

Jumlah pembangunan juga adalah begitu besar dan ini menyebabkan para penghuni terpaksa menunggu lama sebelum migrasi dapat lakukan. Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah juga merangka jadual migrasi menurut daerah.

Untuk memastikan rakyat mendapat air percuma sebelum migrasi dilakukan, Kerajaan Negeri telah turut memperkenalkan sistem kupon air percuma bagi pangsapuri kos rendah. Skim perintis telah dilaksanakan di Subang Jaya dan akan dikembangkan pada akhir tahun ini.

Bagi sistem kupon, pembangunan yang diutamakan adalah yang mempunyai JMB atau MC yang aktif dan sebahagian besarnya didiami oleh pemilik.

Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memudahkan migrasi dan memperkenalkan sistem kupon adalah satu lagi bukti bahawa kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah. Oleh itu, tidak benar kerajaan telah mengabaikan kebajikan penghuni-penghuni pangsapuri kos rendah apabila ramai di antara mereka yang tidak mendapat air percuma. Lagipun Kerajaan Negeri Barisan Nasional tidak pernah memberi air percuma kepada rakyat.

Nasihat saya kepada rakyat yang belum lagi melakukan migrasi, hubungan Pejabat Syabas yang terdekat atau LPHS di 012-2282076 atau 017-3481859.

Sentiasalah melunaskan bil-bil air anda kerana air yang disalurkan ke kediaman kita akan dimakan atau diminum. Juga digunakan untuk membasuh, mandi atau mengambil wudhu. Apa saja barang yang diambil tanpa dibayar atau kebenaran tuannya boleh dikira sebagai mencuri. Sanggupkah kita memberi makan atau minum kepada keluarga kita barang yang telah dicuri? Atau bagi orang Islam, sanggupkah kita berwudhu dengan air yang dicuri?

Tunggakan pula jika terlalu tinggi susah hendak dilunaskan dan akan merumitkan proses migrasi.

Iskandar A. Samad

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...