Skip to main content

UCAPAN WAKIL PAS SELANGOR DI MUKTAMAR PAS KE 57

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

PAS Selangor mengucapkan tahniah kepada YB Dato' Seri Presiden di atas satu ucapan dasar yang tepat pada masanya.

Tema ucapan dasar 'Membangunkan Negara Berkebajikan' telah memberi harapan baru kepada jutaan rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan satu kerajaan yang hampir tidak peduli kepada kebajikan rakyat.

Rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan menunggu untuk diselamatkan dari mimpi ngeri yang sedang membelenggu mereka.

PAS Selangor juga mengucapkan tahniah kerana YB Dato' Seri Presiden yang telah mendedahkan dunia kepada konsep negara berkebajikan dari perspektif Islam.

Selama ini jika kita berbicara tentang negara berkebajikan, ramai yang akan memberi tekanan kepada aspek-aspek material semata-mata.

Sama ada berkaitan pengagihan kekayaan secara sama rata atau bantuan-bantuan yang disalurkan kepada rakyat.

Tetapi semalam, kita telah didedahkan kepada objektif negara berkebajikan yang bertumpu kepada kesejathteraan spiritual.

Ia tidak berlegar-legar semata-mata di sekeliling keperluan materialistik.

Tetapi ia turut merangkumi pembangunan rohani yang dihubungkait dengan pegangan agama.

PAS Selangor yakin negara berkebajikan seperti ini akan dapat menghasilkan satu negara yang benar-benar menepati ciri-ciri Baldatun Toyyibatun Warabbul Ghafur.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

PAS Selangor mempunyai pengalaman selama lebih 3 tahun menjadi sebahagian dari kerajaan yang merupakan sebuah negeri berkebajikan.

PAS Selangor telah sentiasa berusaha untuk memastikan Islam mendapat tempat di dalam kerajaan tersebut.

PAS Selangor juga sentiasa berusaha untuk memastikan kerajaan yang dibentuk dapat memberi keuntungan kepada Islam.

Contohnya kami telah berjaya membebaskan masjid dan surau dengan menyerahkannya kembali kepada rakyat.

Ia telah menjadi pusat-pusat ilmu yang telah membuka pintunya kepada para penceramah bukan sahaja dari Pantai Barat tetapi dari Pantai Timur.

Walau bagaimanapun laluan bagi PAS Selangor adalah tidak mudah.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Ada kalanya kami dikatakan sebagai terlalu perlahan dan terlampau berhati-hati.

Tetapi ada kalanya pula kami dikatakan sebagai keras kepala dan tidak pandai berkawan.

Selangor adalah berbeza dari Kelantan atau Kedah.

PAS tidak menguasai kerusi yang banyak seperti di Kelantan atau di Kedah.

Kami hanya ada 8 kerusi sahaja.

Peratus orang Melayu Islam juga tidaklah setinggi di Kelantan atau di Kedah.

Di banyak kawasan, orang Melayu Islam adalah minoriti.

Maka sudah tentu ini memerlukan pendekatan yang berbeza.

Mungkin ada ketikanya akan berlaku perbezaan pendapat di dalam pakatan kami di Selangor.

Kami tegas di dalam usaha untuk tidak berganjak dari prinsip-prinsip asas perjuangan.

Kalau hendak berkawan dengan PAS, kenalah menghormati prinsip-prinsip perjuangan PAS sepertimana kami menghormati prinsip-prinsip perjuangan rakan-rakan yang lain.

Tetapi janganlah mempunyai tanggapan yang salah terhadap kami.

Pakatan Rakyat teguh di Selangor.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Kami yakin walaupun PAS Selangor tidak dapat mendesak kerajaan negeri meluluskan apa-apa enakmen jenayah syariah seperti di Kelantan, namun nilai-nilai Islam yang universal seperti adil, amanah, jujur dan 'good governance' yang dipromosikan oleh PAS Selangor berupaya menarik masyarakat bukan Islam untuk menerima Islam yang syumul itu.

Nilai-nilai universal di dalam Islam ini telah diserlahkan melalui program-program pimpinan PAS Selangor di dalam kerajaan pada pelbagai peringkat, di samping akhlak dan keterampilan pimpinan PAS Selangor di dalam atau di luar kerajaan.

Kami bukan sekadar retorika-retorika kosong sahaja.

Tetapi apa yang diperlukan adalah kefahaman dan sokongan dari semua pihak terutamanya dari pimpinan Pusat.

Berbaik sangkalah dengan PAS Selangor.

Kadang kala kami amat cemburu dengan pimpinan DAP Selangor yang sentiasa mendapat sokongan dan perhatian dari pimpinan DAP Pusat.

Malah isu sekecil isu pasar pagi sekalipun, pimpinan DAP Pusat telah menunjukkan keprihatinan mereka.

Janganlah menganggap kami sebagai 'budak nakal'.

Mungkin inilah akibatnya apabila PAS Selangor tidak mendapat liputan media yang luas oleh media kita sendiri berbanding dengan negeri-negeri lain.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Pengalaman yang dilalui oleh PAS Selangor saya yakin tidak dilalui oleh kebanyakan negeri-negeri lain.

Lebih-lebih lagi sebagai kerajaan, kami berhadapan dengan pelbagai dilema.

Permasalahan kawalan arak, larangan judi, industri hiburan dan penganjuran konsert tidaklah semudah di negeri-negeri yang lain.

Di dalam aspek ini PAS Selangor memerlukan bantuan dan bimbingan.

Perlu ada satu garispanduan yang jelas.

Tanpa garispanduan ini, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham bukan sahaja di kalangan rakan-rakan kita tetapi di kalangan umat lslam itu sendiri.

Malah kekeliruan ini telah berlaku dan telah dieksploit oleh musuh-musuh kita.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Inilah cabaran sebagai kerajaan di dalam negeri yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan berbilang agama.

Inilah cabaran apabila berkongsi kuasa.

Ianya bukan seperti mentadbir negeri yang hampir 100 peratus orang Melayu Islam.

Ia bukan seperti mentadbir negeri di mana PAS itu parti yang dominan.

Tetapi kita semua akan menghadapinya juga jika kita berjaya menawan Putrajaya.

Inilah realitinya jika kita berjaya menjadi kerajaan Persekutuan.

Dan pimpinan PAS Selangor terpaksa melaluinya setiap hari.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Oleh itu, bukan untuk PAS Selangor sahaja tetapi untuk PAS keseluruhannya, para Ulamak perlulah sentiasa mengikuti akan perkembangan-perkembangan terkini agar dapat mengeluarkan ulasan dan garispanduan kepada sebarang isu yang timbul.

PAS Selangor bukan mendesak agar dikeluarkan fatwa-fatwa baru tetapi perlu ada garispanduan yang terang dan jelas bagi apa saja isu.

Kita tidak mahu ada di antara kita yang bertindak semata-mata kerana kepentingan politik dan membelakang hukum syarak.

Tetapi kita tidak mahu juga gagal meraih keuntungan politik semata-mata kerana kecetekan ilmu kita.

Benar sekali kata YB Dato' Seri Presiden di dalam ucapan dasar bahawa amatlah diperlukan ulasan-ulasan dari kalangan Ulamak terutamanya yang menyentuh suasana yang semakin hari semakin kompleks.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Seperti yang saya ucapkan tadi, Pakatan Rakyat teguh di Selangor.

Terdapat kerjasama yang akrab di dalam dan di luar kerajaan.

Terdapat persefahaman yang mantap di semua peringkat.

Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor bertemu setiap 2 minggu.

Satu kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre pada bulan Mei lepas telah menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kepada sokongan rakyat Selangor terhadap Pakatan Rakyat.

Sekiranya kerjasama dan persefahaman sedemikian diteruskan maka Selangor akan kekal berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum yang akan datang.

Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah,

Walau bagaimanapun untuk menawan Putrajaya memerlukan gerakerja dan usaha yang lebih menyeluruh.

Untuk mendapatkan keyakinan rakyat kita mestilah menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat lebih berupaya dari Barisan Nasional.

PAS dan Pakatan Rakyat mestilah menunjukkan bahawa ia mempunyai pimpinan dan tenaga kerja yang menguasai kepakaran-kepakaran yang relevan untuk menguruskan sebuah negara.

Tidak memadai memainkan retorika-retorika kosong.

Tidak memadai hanya dengan mendedahkan kesilapan dan kesalahan UMNO dan Barisan Nasional sahaja.

Tetapi perlu ada penyelesaian-penyelesaian yang tangible.

Bukan sekadar gula-gula, pemancing undi atau penyelesaian jangka pendek.

Alhamdulillah kita telah ada buku jingga yang merupakan tawaran komprehensif kita.

Tetapi ianya perlulah disusuli dengan menonjolkan pimpinan yang akan memikul tanggung jawab ini.

Kita perlu ada kumpulan pakar yang membayangi setiap kementerian dan bukan beberapa pimpinan sahaja.

Kumpulan pakar yang diketuai oleh pimpinan Parti.

Kumpulan ini akan membayangi sepanjang masa setiap kementerian dan bukan untuk isu-isu tertentu sahaja.

Kumpulan ini juga akan mempersembahkan alternatif-alernatif kita kepada rakyat.

Kumpulan pakar ini perlulah high profile dan berada di hadapan.

Sau cara adalah dengan meluaskan skop kerja Lajnah-Lajnah yang sedia ada.

PAS Selangor yakin jika rakyat jelas dengan perancangan alternatif kita, mereka akan memberi sokongan kepada kita dan menawan Putrajaya bukanlah hanya satu impian.

YB ISKANDAR A. SAMAD
PERWAKILAN PAS KAWASAN PANDAN
MEWAKILI PERWAKILAN-PERWAKILAN PAS NEGERI SELANGOR
4 JUN 2011

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi