Skip to main content

Sebab kerja-kerja membaik pulih lif di Taman Permai Indah, Klang tergendala.

Saya telah mendapat aduan bahawa kerja-kerja membaik pulih lif di Taman Permai Indah, Klang telah terhenti.

Kerja-kerja ini adalah sebahagian dari program membaik pulih lif di 3 kawasan rumah kos rendah yang bernilai RM1.63 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kos bagi Taman Permai Indah adalah lebih kurang RM600,000.

Walau bagaimanapun kerja-kerja membaik pulih di situ telah tergendala kerana sebahagian dari bahan-bahan ganti untuk membaik pulih lif-lif itu telah dicuri.

Selain itu, terdapat juga bahan-bahan ganti yang rosak kerana paip saluran najis yang melalui bilik stor di mana ia disimpan telah pecah.

Kontraktor yang terlibat terpaksa membuat tempahan bahan-bahan yang baru sebelum kerja-kerja membaik pulih dapat dimulakan semula.

Kerajaan negeri memandang serius di atas kecurian yang telah berlaku. Sekiranya ketika lif-lif itu dibaik pulih telah berlaku kecurian maka bayangkan apa akan terjadi setelah ia selesai dibaik pulih.

Oleh itu, satu perbincangan akan diadakan bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan tersebut dan Majlis Perbandaran Klang untuk memastikan kecurian seperti itu tidak akan berulang dan yang paling penting apabila lif-lif itu telah dibaik pulih ia akan digunakan dengan baik oleh penduduk.

Kerajaan negeri mahu penduduk merasakan lif-lif itu milik mereka dan menjaganya seperti hartabenda mereka sendiri. Penduduk mestilah bersama-sama memastikan lif-lif itu tidak dirosakkan dan digunakan dengan cara-cara yang sepatutnya.

Di samping itu, tindakan pihak MCA mempolitikkan kelewatan kerja-kerja membaik pulih adalah satu perbuatan yang keji. Jika mereka adalah parti politik yang bertanggung jawab, mereka akan turut sama membantu mendidik masyarakat agar kecurian yang berlaku dapat dielakkan. Tetapi mereka telah memilih jalan pintas untuk mendapat publisiti. Walhal mereka tahu di bawah BN tidak ada program membaik pulih lif secara menyeluruh seperti di bawah Pakatan Rakyat.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...