Skip to main content

Kerajaan campuran di Britain : Kerjasama cara baru

Akhirnya kerajaan campuran (coalition government) Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat terbentuk di Britain. Maka tamatlah pemerintahan 13 tahun Parti Buruh apabila Perdana Menteri Gordon Brown meletakkan jawatan dan ketua Konservatif David Cameron mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Inilah uniknya para pengundi di Britain dan sistem Parlimen British.

Pada pilihanraya umum Mei 6 yang lepas, tidak ada satu parti mendapat majoriti untuk memerintah bersendirian. Konservatif mendapat kerusi terbanyak dengan 306 kerusi tetapi perlu 326 untuk memerintah. Buruh yang kehilangan 90 kerusi mendapat 258. Liberal Demokrat atau Lib Dem mendapat 56. Kerusi-kerusi yang selebihnya dimenangi oleh parti-parti Ireland Utara, parti-parti yang memperjuangkan hak-hak rakyat Scotland dan Wales serta parti alam sekitar, Green Party.

Ini bermakna perlu ada kerjasama di antara parti-parti. Sama ada Konservatif dan Lib Dem. Atau Buruh dan Lib Dem serta parti-parti kecil yang lain.

Pengundi Britain tidak memberi mandat yang jelas kepada mana-mana parti. Benar Buruh kalah tetapi Konservatif tidak juga menang. Di Malaysia kita baru bercakap tentang sistem dua parti tetapi di Britain telah wujud sistem 3 parti. Tidak ada parti yang boleh memerintah sesuka hati. Inilah uniknya pengundi Britain.

Saya juga pernah menjadi pengundi di sana. Rakyat negara Komanwel seperti Malaysia yang menetap di Britain walaupun sebagai seorang pelajar boleh mengundi. Saya telah lupa apa yang mendorong saya untuk mendaftar sebagai pengundi ketika menuntut di Britain. Mengundi untuk pilihanraya umum atau pilihanraya kerajaan tempatan. Mungkin kerana saya sedar walaupun seorang penuntut, polisi parti yang menguasai kerajaan pusat atau majlis bandaraya akan memberi kesan yang besar kepada saya. Contohnya, kebimbangan saya ketika itu jika Konservatif dapat menguasai majlis bandaraya maka tambang bas akan menjadi mahal. Perkara-perkara seperti sikap parti-parti bertanding terhadap pelajar-pelajar asing seperti saya atau kaum pendatang seperti umat Islam juga menjadi pertimbangan.

Sistem Parlimen Britain juga unik. Walaupun kerusi Konservatif lebih dari Buruh tetapi selagi mereka tidak dapat membentuk kerajaan maka Perdana Menteri semasa Parlimen dibubarkan, Gordon Brown, masih kekal. Konservatif juga tidak berlari ke Istana Buckingham untuk mendapatkan campurtangan Ratu Elizabeth.

Pengundian tamat pada hari Khamis malam tetapi kerajaan baru hanya dapat dibentuk pada hari Selasa malam. Lima hari selepas keputusan pilihanraya.

Ini berbeza kali terakhir berlaku perubahan kerajaan iaitu dari Konservatif kepada Buruh dalam tahun 1997 di mana kerajaan baru dapat dibentuk 5 jam 15 minit selepas pengundian tamat.

Kali ini ia lebih rumit. Rundingan berjalan di antara parti-parti berjalan hampir seminggu. Konversatif berunding secara terbuka dengan Lib Dem tetapi Lib Dem juga berunding secara sulit dengan Buruh. Ini menimbulkan kemarahan Konservatif tetapi ia tidak menghairankan kerana Lib Dem mempunyai banyak persamaan dengan Buruh.

Dalam tahun 1974, Konservatif ketika dipimpin oleh Edward Heath pernah mengajak Parti Liberal, parti asal Lib Dem sebelum bergabung dengan Social Democratic Party, untuk menubuhkan kerajaan campuran. Tawaran Konservatif yang berada dalam keadaan yang sama seperti 2010 telah ditolak oleh Liberal walaupun dijanjikan 2 jawatan Menteri Kabinet. Tetapi Liberal pernah mengadakan pakatan dengan Buruh tahun 1978 apabila kerajaan Perdana Menteri James Callaghan kehilangan majoriti di Parlimen.

Kenapa rundingan mengambil masa yang begitu lama? Sebab utama kerana terdapat perbezaan di antara polisi kedua-dua parti. Berbeza dari Malaysia, parti-parti yang bertanding telah menyatakan dengan terperinci apa yang mereka akan lakukan jika mereka menang. Bukan secara konsep tetapi secara terperinci. Ia pula merangkumi segala aspek pentadbiran. Manifesto mereka lebih komprehensif.

Contohnya jika hendak dijimatkan perbelanjaan negara maka dinyatakan berapa billion pound. Jika hendak dikurangkan cukai pula maka dinyatakan cukai apa dan berapa peratus.

Oleh itu, terdapat tawar menawar dan untuk mencapai kompromi sudah tentu memakan masa. Tetapi lebih baik dibincangkan satu persatu sebelum membentuk kerajaan agar tidak akan berlaku perbalahan ketika memerintah kelak.

Saya berpendapat banyak yang kita di Malaysia boleh pelajari dari pembentukan kerajaan campuran di Britain.

Malah setelah David Cameron menjadi Perdana Menteri, banyak lagi syarat-syarat kerajaan campuran yang akan membuka mata kita telah didedahkan kepada umum.

Paling menarik cara bagaimana Lib Dem telah dibenarkan mempertahankan prinsip-prinsip mereka walaupun berkongsi kuasa dengan Konservatif. Contohnya dalam isu-isu yang bertentangan dengan manifesto Lib Dem, ahli-ahli Parlimen mereka dibenarkan untuk tidak mengundi menyokong kerajaan di dalam sidang Parlimen.

Sungguh aneh kerana di dalam keadaan ketua Lib Dem, Nick Clegg, adalah Timbalan Perdana Menteri tetapi ahli-ahli Parlimen beliau boleh memilih untuk tidak mengundi menyokong kerajaan.

Yang jelas di dalam dua perkara. Pertama tentang tenaga nuklear. Lib Dem menentang tetapi Konservatif menyokong. Kedua pula tentang yuran pembelajaran di institut pengajian tinggi, Lib Dem mahu menghapuskannya dan Konservatif ada perancangan lain.

Lib Dem pula tidak tergila-gila mahu menyertai kerajaan tetapi mahu memastikan dahulu apa yang mereka perjuangkan tidak tergadai. Itu sebabnya secara sulit mereka juga berunding dengan Buruh.

Kerajaan campuran di Britain telah mewujudkan kerjasama tanpa menggadaikan prinsip rakan kongsi yang lebih kecil dan memberi lebih banyak kebebasan kepada rakan tersebut. Selain dari itu lebih separuh dari 56 ahli Parlimen Lib Dem telah mendapat jawatan di dalam kerajaan termasuk di dalam Kabinet.

Sungguh unik. Bolehkah tolak ansur sedemikian berlaku di Malaysia? Berlaku tanpa terdapat tuduhan atau cemuhan tidak pandai bekerjasama atau tidak pandai bersahabat.

Adakah ia lebih diperlukan di Malaysia kerana perbezaan di antara parti-parti adalah lebih ketara dari perbezaan di antara Konservatif dan Lib Dem atau di antara Konservatif dan Buruh? Terpulang kepada kita untuk menjawabnya.

Iskandar A. Samad
17 Mei 2010

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...