Skip to main content

Bagi komen sikit YB .......

Sejak isu kerajaan perpaduan menjadi hangat, tidak ada pemberita yang meminta ulasan saya tentangnya.

Amat menghairankan kerana selalunya mereka akan menelefon saya apabila ada isu-isu yang panas. Tetapi kali ini tidak ada cerita tentang kerajaan perpaduan. Yang ada bertanya hanya tentang isu-isu perumahan, perancangan atau setinggan.

Atau mungkin saya tidak menjawab telefon sejak beberapa hari yang lepas. Atau mungkin juga pada mereka tidak guna bertanya pandangan tentang kerajaan perpaduan kepada seseorang seperti saya yang sememangnya sudah berada di dalam kerajaan. Lainlah jika saya seorang ADUN di negeri yang dikuasai BN atau ahli Parlimen yang tidak terlibat dengan pentadbiran sesuatu kerajaan. Saya yakin mereka sudah menjangkakan jawapan saya dan ianya bukan sesuatu yang dapat digunakan untuk memecahbelahkan atau sekurang-kurang memburukkan PAS.

Nampaknya ada semacam tiga jenis pendirian atau ulasan yang sedang dimainkan oleh media. Pertama, menyokong. Kedua, menentang. Ketiga pula, menunggu penjelasan Presiden. Tetapi perkara pokoknya, betulkah PAS mahukan sebuah kerajaan perpaduan? Menurut penjelasan Ustaz Nasha, hanya mahu berbincang perkara-perkara tertentu. Bagaimana PAS boleh menyumbang.

Tetapi BN serta jenteranya termasuk media-media arus perdana begitu bijak. Suasana yang wujud sekarang telah diatur oleh mereka langkah demi langkah. Kenyataan oleh Presiden, lawaan oleh Najib, jawapan Ustaz Nasha, tindakbalas oleh Mursyidul Am dan 10 ahli Parlimen PAS menandatangani sokongan kepada beliau, adalah bagai filem skrip Hollywood yang terancang. Mereka mengumpan, kita memakannya.

Bagi yang pernah membaca buku C.C. Too, pakar perang saraf kerajaan Malaysia ketika menentang pengganas komunis, sudah tentu dapat memahami apa yang berlaku sekarang. Kalau belum pernah, sila baca dan anda akan memahami strategi UMNO.

SMS demi SMS telah saya terima. Mengutuk pimpinan ini dan mengutuk pimpinan itu. Bertanya apa pendirian 14 ahli Parlimen yang lain. Mungkin dari SB atau mungkin benar-benar dari ahli. Saya tidak salahkan mereka. Mereka hanya menurut apa orang atas lakukan. Malah yang lebih serius, ada yang membuat pengumuman selepas solat Jumaat supaya para jemaah menyatakan sokongan kepada Presiden atau Mursyidul Am.

Kerja siapa? SB? Biarlah SB dengan kerja-kerja mereka. Jangan kita pula menjadi “nasi tambah”. Api sedang membara. Kita pula yang hendak menyiram minyak. SB mendapat gaji. Kamu mendapat apa?

Betulkah UMNO ikhlas? Kalau kita melihat ulasan media arus perdana, yang mendapat arahan UMNO, kesemuanya menghentam PAS. Kalau UMNO betul-betul ikhlas, kenapa bersungguh-sungguh menghentam PAS? Kenapa bersungguh-sungguh memecahbelahkan PAS?

19 Jun 2009

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi