Tuesday, March 16, 2010

RM1.6 JUTA UNTUK BAIK PULIH LIF DI 3 KAWASAN RUMAH KOS RENDAH

Pada majlis kesyukuran sempena lawatan tapak ke kawasan pangsapuri kos rendah Taman Ampang Mewah 5 Mac lepas, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan membaik pulih lif di 3 kawasan rumah kos rendah.

Selain dari Taman Ampang Mewah di Ampang, dua lagi kawasan adalah Desa Mentari di Petaling Jaya dan Taman Permai Indah di Klang.

3 kawasan ini merupakan sebahagian dari 5 kawasan rumah kos rendah yang akan dibaiki bagi fasa pertama. 5 lagi kawasan akan dibaiki untuk fasa kedua.

Kerja-kerja membaik pulih untuk 3 kawasan itu akan bermula pada bila-bila masa. Kontraktor-kontraktor telah dilantik dengan kos melebihi RM1.6 juta.

Monday, March 15, 2010

ARKED MARA DI KULAI

Dulu namanya Arked Mara tapi sekarang D'Mara. Ia memberi peluang kepada orang-orang Melayu untuk berniaga di bandar-bandar besar yang sewanya mahal. Tapi di banyak pembangunan-pembangunan baru telah tidak kelihatan lagi D'Mara. Terpaksa orang-orang Melayu berniaga di tepi-tepi jalan. Dihambat dan dihalau sesuka hati. Bagaikan anjing kurap.

IDRIS DAN ISMAIL DI KULAI 6.45 PAGI

Saturday, March 13, 2010

UMNO MASUK PAS: MODAL ORANG BANKRAP POLITIK

Isu orang PAS masuk UMNO adalah isu lapuk yang hanya dibangkitkan oleh mereka yang mengamalkan politik yang bankrap demi 'political survival' mereka. Ianya hanya bagi yang telah kehabisan modal atau putus harapan.

Bagi UMNO yang telah ditolak rakyat amat penting bagi mereka jika rakyat mempercayai bahawa ada orang PAS yang hendak masuk UMNO atau sekurang-kurangnya PAS hendak bekerjasama dengan UMNO. Ianya diharapkan dapat memulihkan imej UMNO atau mengembalikan kredibiliti parti itu. Hakikatnya UMNO mahu menumpang imej PAS yang bersih untuk turut nampak bersih. Orang jahat perlu berkawan dengan orang baik untuk turut nampak baik.

Mereka yang terus membangkitkan isu orang PAS hendak masuk UMNO atau PAS hendak bekerjasama dengan UMNO sebenarnya sedikit sebanyak membantu UMNO. Tidak kiralah jika ia dilakukan secara sedar atau tidak sedar. Atau dilakukan oleh orang-orang PAS sendiri.

Mungkin membangkitkan isu PAS masuk UMNO ini adalah cara yang paling mudah untuk mendapatkan publisiti. Untuk masuk suratkhabar.

Tambahan pula jika ada berita pemimpin PAS ini dan itu akan masuk UMNO atau ada yang mencabar pemimpin PAS masuk UMNO, lagi senang nama hendak keluar suratkhabar. Mungkin ini peluang yang tidak akan dilepaskan oleh mereka yang gila glamour.

Di Selangor, isu PAS masuk UMNO sepatutnya telah lama berkubur. Walaupun sejurus selepas keputusan PRU 12, Khalid Samad dan Dato' Hasan Ali ada bertemu pimpinan UMNO tetapi dengan penubuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, tidak ada sebab bagi sesiapa untuk masuk UMNO. Hanya orang yang tidak siuman akan mendakwa Khalid atau Dato' Hasan akan memasuki UMNO. Lebih-lebih lagi Dato' Hasan, seorang Exco. Keluar kerajaan dan jadi pembangkang, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Tuduhan orang PAS akan masuk UMNO adalah satu tuduhan yang berat. Mungkin orang luar malah ada orang-orang PKR atau DAP yang tidak faham akan implikasi tuduhan seperti itu. Saya ingin mengingatkan kepada mereka bahawa kepada orang PAS tuduhan untuk keluar PAS adalah seolah-olah sama seperti tuduhan untuk keluar dari Islam. Oleh itu, saya memberi amaran berhati-hatilah di dalam membuat tuduhan.

Pembunuhan orang-orang PAS seperti di Memali dan Lubuk Merbau serta pembunuhan pemimpin PAS seperti Abdul Samad Gul dan Cikgu Tahrin telah menutup hati orang-orang PAS terhadap UMNO.

Wednesday, March 10, 2010

SYABAS : PENDUDUK DIHUKUM, PEMAJU TERLEPAS.

Saya kerap mendapat aduan dari penduduk pangsapuri yang telah dipotong bekalan air oleh Syabas kerana terdapat bil-bil yang tertunggak.

Kadang kala ianya berlaku bukan akibat dari kesalahan penduduk semata-mata kerana bil-bil tersebut adalah yang ditinggalkan oleh pemaju.

Apabila penduduk mengambil alih pentadbiran pangsapuri mereka seperti dengan penubuhan JMB, mereka kadang kala menerima bil air tertunggak yang tidak dibayar oleh pemaju.

Penduduk pula tidak dibenarkan membuka akaun baru dengan Syabas sehingga bil tertunggak itu dibayar sepenuhnya.

Terdapat penduduk yang mendapat bil berpuluh-puluh ribu ringgit dan bekalan air mereka akan dipotong jika mereka tidak membayar bil itu.

Syabas sepatutnya menuntut bil tersebut dari pemaju bukan dari penduduk. Penduduk pula mesti dibenarkan membuka akaun yang baru.

Mungkin penduduk juga bersalah kerana tidak membayar air yang diguna kepada pemaju dan pemaju seterusnya tidak membayar kepada Syabas. Tetapi pemaju juga bersalah kerana gagal memungut hutang dari penduduk.

Syabas patut membawa pemaju ke mahkamah untuk menuntut hutang dari mereka. Pemaju pula akan menuntut hutang dari penduduk.

Ini adalah lebih adil kerana mereka yang selama ini membayar bil-bil air mereka tidak akan dihukum dengan pemotongan bekalan air. Tambahan pula jika bil yang dituntut itu termasuk air yang digunakan oleh pemaju dan bukan oleh penduduk semata-mata. Rekod-rekod adalah pada pemaju maka penduduk akan terus teraniaya.

Pertukaran dari meter pukal ke meter individu atau migrasi pula akan melihat pemotongan bekalan hanya untuk mereka yang tidak membayar bil-bil mereka. Ini adalah lebih adil tetapi proses migrasi ini adalah terlalu lambat. Masih beribu-ribu penghuni perumahan berstrata masih menunggu migrasi dilakukan oleh Syabas. Migrasi ini juga membolehkan penduduk mendapat air percuma di bawah skim Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES.

Kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Syabas agar tunggakan di meter pukal tidak perlu dibayar sekali gus jika penduduk mahu membuat migrasi. Penduduk mesti dibolehkan membayar secara ansuran.

Walau bagaimanapun jika bil-bil tunggakan ini dari ketika pangsapuri itu diuruskan oleh pemaju, Syabas mesti menuntut dari pemaju bukan dari penduduk dan membenarkan penduduk membuka akaun-akaun baru untuk meter individu mereka.

Syabas sekarang dilihat takut untuk menuntut bil-bil dari pemaju dan menuntut dari penduduk kerana penduduk boleh diugut dengan pemotogan bekalan dan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membawa kes mereka ke mahkamah.

Iskandar A. Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
11 Mac 2011

Sunday, February 28, 2010

RAKYAT BOLEH BERPINDAH KE SEWA RUMAH PPR TANPA BAYAR DEPOSIT

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 24 Februari lepas telah membuat keputusan rakyat boleh berpindah ke rumah sewa Projek Perumahan Rakyat atau PPR tanpa membayar deposit terlebih dahulu.

Sebelum ini deposit sehingga RM1050 perlu dibayar bagi sesiapa yang mahu berpindah ke rumah PPR. Deposit ini sekarang akan dikurangkan dan boleh dibayar secara ansuran.

Buat permulaan, skim ini adalah terbuka kepada mereka yang hendak menyewa di PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang. Ianya berkuatkuasa serta merta.

Skim ini adalah terbuka kepada mereka yang berpendapatan rendah. Kelayakannya adalah sama seperti mereka yang ingin memohon pengurangan sewa rumah PPR dari RM250 kepada RM124.

Selain dari itu, permohonan untuk menyewa rumah PPR dan permohonan untuk membayar sewa RM124 boleh dibuat secara rentak. Sebelum ini penyewa akan memasuki rumah terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat permohonan pengurangan sewa.

Buat masa ini terdapat 5436 unit rumah PPR di 4 kawasan dan sebanyak 1717 unit masih kosong. 4 kawasan PPR itu adalah di Serendah, Kota Damansara, Lembah Subang dan Kg. Baru Hicom.

Kerajaan Negeri berharap kelonggaran ini akan dapat memudahkan mereka yang memerlukan rumah kediaman dengan segera. Ianya selari dengan hasrat “Kediaman Untuk Semua”.

Kerajaan Negeri sentiasa prihatain kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat dan akan berusaha untuk membantu dan mengurangkan beban mereka.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah menurunkan sewa PPR dari RM250 yang dinaikkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada bulan Jun 2007 kepada RM124 bagi mereka yang layak.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
Kerajaan Negeri Selangor
28 Februari 2010

Monday, February 15, 2010

KONVENSYEN TARBIYYAH PANDAN

TARIKH - 20 MAC 2010 (SABTU)

MASA - 9 PAGI-12.30 TENGAH-HARI

TEMPAT - DE PALMA, AMPANG.

ANJURAN - PEJABAT ADUN CHEMPAKA & LAJNAH TARBIYYAH PANDAN.

KERTASKERJA 1- KEWAJIPAN MENUBUHKAN SEBUAH JEMAAH ISLAM SETELAH KEJATUHAN KHILAFAH: SATU ANALISA PERJUANGAN AS-SYAHID IMAM HASAN AL BANA DAN IKHWANUL MUSLIMIN OLEH USTAZ REDUAN MD NOOR.

KERTASKERJA 2 - SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN JEMAAH ISLAM DI MALAYSIA DAN TANGGUNGJAWAB MENYERTAI SERTA MENGGERAKKAN JEMAAH ISLAM OLEH DR OSMAN SABRAN.

UNTUK MENDAFTAR SILA HUBUNGI 03-9283 3835.

Friday, February 12, 2010

SEBUAH SUMBANGAN YANG TIDAK TERNILAI KEPADA PAS PANDAN

Seorang petugas telah meninggal dunia apabila terjatuh ketika memasang tanglung sempena program Majlis Sambutan Tahun Baru Cina saya bersama JKP Zon 15, 16, 17, 18 dan 19 MPAJ.

Beliau telah terjatuh minggu lepas dan mendapat kecederaan tulang belakang.

Setelah dibedah di HKL beliau telah dihantar balik rumah tetapi keadaan beliau menjadi tenat dan akhirnya dibawa ke Hospital Ampang pada hari Selasa.

Akhirnya pada hari Rabu, doktor memberitahu beliau tidak dapat diselamatkan kerana otaknya telah mati dan keluarganya bersetuju untuk mencabut segala bantuan pernafasan dan membawa beliau pulang.

Saya telah melawat beliau kali pertama di Hospital Ampang sebelum mesyuarat Exco hari Rabu jam 2 petang. Keluarga beliau sedang menunggu ambulan sebelum membawa beliau pulang.

Saya tidak berkesempatan melawat beliau sebelum ini kerana berada di Sabah dari Jumaat minggu lepas hingga ke hari Isnin. Selepas mesyuarat Exco saya diberitahu oleh seorang Exco bahawa petugas itu telah meninggal dunia.

Walau bagaimanapun ketika di dalam perjalanan pulang saya mendapat SMS dari seorang ahli Majlis MPAJ bahawa beliau masih hidup.

Tetapi pada petang Khamis saya mendapat SMS dari ahli Majlis yang sama bahawa beliau telah meninggal dunia pada jam 3 petang.

Malam tersebut saya tidak sempat melawat kerana terpaksa menghadiri pertemuan dengan wakil-wakil pembeli sebuah projek terbengkalai dan selepas itu terpaksa berjumpa dengan seorang ADUN.

Mungkin saya sepatutnya memberi lebih perhatian kepada petugas yang kehilangan nyawa untuk membantu saya dan tidak mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pembeli itu kerana masalah yang dihadapi oleh mereka masih kusut walaupun diadakan pertemuan.

Hanyalah pada jam 7.30 pagi hari Jumaat saya dapat melawat. Saya diberitahu oleh keluarga beliau bahawa beliau akan dikebumikan pada jam 2 petang.

Tetapi siapakah petugas ini yang telah kehilangan nyawa untuk menjayakan program seorang ADUN PAS? Adakah ia seorang AJK PAS Kawasan? Adakah ia seorang Ketua PAS Cawangan? Adakah ia seorang Pemuda PAS? Adakah ia seorang Ustaz?

Sebenarnya dia bukan seorang ahli PAS. Malah dia bukan seorang Islam. Namanya Chia Fook dari Kg. Baru Ampang. Saya memenangi daerah mengundi kampung Cina itu dalam PRU12.

Kadang kala apabila kita hendak membuat program, ada Cawangan-Cawangan dan ahli-ahli malah AJK sendiri yang keberatan hendak turun membantu. Tetapi dengan pemergian Uncle Chia yang bersungguh-sungguh turun membantu menjayakan program kita, malulah kalau ada di antara ahli PAS atau orang Islam yang memberikan bermacam-macam alasan apabila dikerah untuk turun.

Saya yakin apabila beliau keluar dari rumah papan beliau untuk menggantung tanglung pada hari beliau terjatuh, beliau tidak memikirkan soal wang ringgit atau glamour. Banyak yang dapat kita pelajari dari pengorbanan yang telah diberikan oleh Uncle Chia.

Apabila ada di antara kita yang diminta menyumbang sedikit wang kepada Parti, juga banyak alasan yang diterima atau ada yang mengatakan PAS tidak kreatif mencari sumber kewangan. Tetapi Uncle Chia yang tidak melalui sebarang Usrah, kuliah atau Tarbiyah Haraki telah menyumbangkan lebih dari wang ringgit. Kita perlu mencermin diri kita.

Iskandar A. Samad
13 Februari 2010




Gambar atas : Di antara wakil-wakil PAS Kawasan Pandan di rumah Uncle Chia sebelum beliau meninggal dunia. Dari kiri Haji Hadi, Haji Meor, Rodzi dan Haji Hashim.

Gambar bawah : Isteri Uncle Chia sedang bercakap dengan saya melalui telefon ketika saya di Kota Kinabalu.

Monday, January 25, 2010

Sewa Rumah Sementara Penduduk PJS1 Ditanggung

Penduduk rumah panjang PJS1 yang masih tinggal di situ, akan dibantu oleh kerajaan negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan sebuah syarikat pemaju untuk menyewa rumah sementara sehingga rumah kos rendah mereka siap dibina.

Pemaju tersebut akan mencarikan rumah-rumah sewa supaya mereka dapat berpindah keluar sebelum 31 Januari ini, kata Exco perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad.

"Pemindahan ini akan membolehkan pembinaan sebuah sekolah di atas tapak rumah panjang itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Projek pembinaan sekolah tersebut, katanya, telah tertangguh untuk tempoh tiga tahun kerana menunggu keputusan tentang masa depan penduduk.

"Sebelum ini rumah kos rendah penduduk telah tidak dapat dibina kerana terdapat satu tindakan mahkamah tetapi setelah berbincang dengan kerajaan negeri, pemaju telah bersetuju membina rumah kos rendah itu di tapak yang baru," katanya.

Iskandar berkata, bantuan sewa untuk penduduk akan dibayar sekaligus dan dijangka dapat diserahkan sebelum perayaan Thaipusam sekiranya penduduk bersetuju berpindah.

"Saya yakin penduduk akan menerima tawaran ini kerana sewa rumah mereka akan ditanggung sepenuhnya dan mereka sudah tentu tidak mahu melihat pembinaan sekolah itu tertangguh di mana ia akan merugikan penduduk PJS1," katanya.

Malaysiakini
26 Januari 2010

Tuesday, January 19, 2010

KENYATAAN MEDIA : KERAJAAN SELANGOR BANTU BAIKI LIF

Kerajaan Negeri Selangor akan membantu 5 kawasan perumahan bertingkat kos rendah untuk membaiki lif-lif yg rosak.

Ini merupakan sebahagian dari usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk rumah kos rendah yg diumumkan di dalam Bajet utk tahun ini.

Untuk fasa kedua, 5 lagi kawasan akan dikenalpasti utk dibaiki.

Skim ini akan dilaksanakan melalui konsep perkongsian kos (cost sharing) di antara penduduk dan kerajaan negeri. Peratusan perkongsian adalah menurut kemampuan penduduk.

Pihak Berkuasa Tempatan telah diarah untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang memerlukan secepat mungkin. PKNS akan menguruskan kerja-kerja membaiki ini.

ISKANDAR A. SAMAD
EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN DAN SETINGGAN
NEGERI SELANGOR
16 JANUARI 2010

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...