Skip to main content

SYABAS : PENDUDUK DIHUKUM, PEMAJU TERLEPAS.

Saya kerap mendapat aduan dari penduduk pangsapuri yang telah dipotong bekalan air oleh Syabas kerana terdapat bil-bil yang tertunggak.

Kadang kala ianya berlaku bukan akibat dari kesalahan penduduk semata-mata kerana bil-bil tersebut adalah yang ditinggalkan oleh pemaju.

Apabila penduduk mengambil alih pentadbiran pangsapuri mereka seperti dengan penubuhan JMB, mereka kadang kala menerima bil air tertunggak yang tidak dibayar oleh pemaju.

Penduduk pula tidak dibenarkan membuka akaun baru dengan Syabas sehingga bil tertunggak itu dibayar sepenuhnya.

Terdapat penduduk yang mendapat bil berpuluh-puluh ribu ringgit dan bekalan air mereka akan dipotong jika mereka tidak membayar bil itu.

Syabas sepatutnya menuntut bil tersebut dari pemaju bukan dari penduduk. Penduduk pula mesti dibenarkan membuka akaun yang baru.

Mungkin penduduk juga bersalah kerana tidak membayar air yang diguna kepada pemaju dan pemaju seterusnya tidak membayar kepada Syabas. Tetapi pemaju juga bersalah kerana gagal memungut hutang dari penduduk.

Syabas patut membawa pemaju ke mahkamah untuk menuntut hutang dari mereka. Pemaju pula akan menuntut hutang dari penduduk.

Ini adalah lebih adil kerana mereka yang selama ini membayar bil-bil air mereka tidak akan dihukum dengan pemotongan bekalan air. Tambahan pula jika bil yang dituntut itu termasuk air yang digunakan oleh pemaju dan bukan oleh penduduk semata-mata. Rekod-rekod adalah pada pemaju maka penduduk akan terus teraniaya.

Pertukaran dari meter pukal ke meter individu atau migrasi pula akan melihat pemotongan bekalan hanya untuk mereka yang tidak membayar bil-bil mereka. Ini adalah lebih adil tetapi proses migrasi ini adalah terlalu lambat. Masih beribu-ribu penghuni perumahan berstrata masih menunggu migrasi dilakukan oleh Syabas. Migrasi ini juga membolehkan penduduk mendapat air percuma di bawah skim Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES.

Kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Syabas agar tunggakan di meter pukal tidak perlu dibayar sekali gus jika penduduk mahu membuat migrasi. Penduduk mesti dibolehkan membayar secara ansuran.

Walau bagaimanapun jika bil-bil tunggakan ini dari ketika pangsapuri itu diuruskan oleh pemaju, Syabas mesti menuntut dari pemaju bukan dari penduduk dan membenarkan penduduk membuka akaun-akaun baru untuk meter individu mereka.

Syabas sekarang dilihat takut untuk menuntut bil-bil dari pemaju dan menuntut dari penduduk kerana penduduk boleh diugut dengan pemotogan bekalan dan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membawa kes mereka ke mahkamah.

Iskandar A. Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
11 Mac 2011

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...