Skip to main content

SEBUAH SUMBANGAN YANG TIDAK TERNILAI KEPADA PAS PANDAN

Seorang petugas telah meninggal dunia apabila terjatuh ketika memasang tanglung sempena program Majlis Sambutan Tahun Baru Cina saya bersama JKP Zon 15, 16, 17, 18 dan 19 MPAJ.

Beliau telah terjatuh minggu lepas dan mendapat kecederaan tulang belakang.

Setelah dibedah di HKL beliau telah dihantar balik rumah tetapi keadaan beliau menjadi tenat dan akhirnya dibawa ke Hospital Ampang pada hari Selasa.

Akhirnya pada hari Rabu, doktor memberitahu beliau tidak dapat diselamatkan kerana otaknya telah mati dan keluarganya bersetuju untuk mencabut segala bantuan pernafasan dan membawa beliau pulang.

Saya telah melawat beliau kali pertama di Hospital Ampang sebelum mesyuarat Exco hari Rabu jam 2 petang. Keluarga beliau sedang menunggu ambulan sebelum membawa beliau pulang.

Saya tidak berkesempatan melawat beliau sebelum ini kerana berada di Sabah dari Jumaat minggu lepas hingga ke hari Isnin. Selepas mesyuarat Exco saya diberitahu oleh seorang Exco bahawa petugas itu telah meninggal dunia.

Walau bagaimanapun ketika di dalam perjalanan pulang saya mendapat SMS dari seorang ahli Majlis MPAJ bahawa beliau masih hidup.

Tetapi pada petang Khamis saya mendapat SMS dari ahli Majlis yang sama bahawa beliau telah meninggal dunia pada jam 3 petang.

Malam tersebut saya tidak sempat melawat kerana terpaksa menghadiri pertemuan dengan wakil-wakil pembeli sebuah projek terbengkalai dan selepas itu terpaksa berjumpa dengan seorang ADUN.

Mungkin saya sepatutnya memberi lebih perhatian kepada petugas yang kehilangan nyawa untuk membantu saya dan tidak mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil pembeli itu kerana masalah yang dihadapi oleh mereka masih kusut walaupun diadakan pertemuan.

Hanyalah pada jam 7.30 pagi hari Jumaat saya dapat melawat. Saya diberitahu oleh keluarga beliau bahawa beliau akan dikebumikan pada jam 2 petang.

Tetapi siapakah petugas ini yang telah kehilangan nyawa untuk menjayakan program seorang ADUN PAS? Adakah ia seorang AJK PAS Kawasan? Adakah ia seorang Ketua PAS Cawangan? Adakah ia seorang Pemuda PAS? Adakah ia seorang Ustaz?

Sebenarnya dia bukan seorang ahli PAS. Malah dia bukan seorang Islam. Namanya Chia Fook dari Kg. Baru Ampang. Saya memenangi daerah mengundi kampung Cina itu dalam PRU12.

Kadang kala apabila kita hendak membuat program, ada Cawangan-Cawangan dan ahli-ahli malah AJK sendiri yang keberatan hendak turun membantu. Tetapi dengan pemergian Uncle Chia yang bersungguh-sungguh turun membantu menjayakan program kita, malulah kalau ada di antara ahli PAS atau orang Islam yang memberikan bermacam-macam alasan apabila dikerah untuk turun.

Saya yakin apabila beliau keluar dari rumah papan beliau untuk menggantung tanglung pada hari beliau terjatuh, beliau tidak memikirkan soal wang ringgit atau glamour. Banyak yang dapat kita pelajari dari pengorbanan yang telah diberikan oleh Uncle Chia.

Apabila ada di antara kita yang diminta menyumbang sedikit wang kepada Parti, juga banyak alasan yang diterima atau ada yang mengatakan PAS tidak kreatif mencari sumber kewangan. Tetapi Uncle Chia yang tidak melalui sebarang Usrah, kuliah atau Tarbiyah Haraki telah menyumbangkan lebih dari wang ringgit. Kita perlu mencermin diri kita.

Iskandar A. Samad
13 Februari 2010




Gambar atas : Di antara wakil-wakil PAS Kawasan Pandan di rumah Uncle Chia sebelum beliau meninggal dunia. Dari kiri Haji Hadi, Haji Meor, Rodzi dan Haji Hashim.

Gambar bawah : Isteri Uncle Chia sedang bercakap dengan saya melalui telefon ketika saya di Kota Kinabalu.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi