Thursday, January 14, 2010
Coretan YDP 43 - APAKAH NILAI 0.1 SAAT?
Apakah nilai 1 saat?
Apakah nilai 1 minit?
Mungkin di dalam keadaan biasa, 0.1 saat atau 1 saat atau 1 minit tidak mempunyai sebarang nilai kepada kita. Mungkin bagi kita yang selalu duduk di kedai-kedai kopi berjam-jam lamanya, 1 jam sekalipun tidak ada nilai. Atau bagi di antara kita yang mengambil masa berbulan-bulan untuk menyempurnakan sesuatu kerja, 1 hari pun tidak ada nilai.
Tetapi di dalam keadaan-keadaan yang tertentu atau kepada mereka yang tertentu, ia amat berharga dan bernilai.
Bagi seseorang yang tertinggal keretapi atau bas, 1 minit amat berharga. Apa tidaknya jika keretapi atau bas bertolak jam 8.30 pagi tetapi beliau tiba di platform jam 8.31 pagi.
Atau seorang pelari pencut yang baru menamatkan larian 100 meter dalam masa 9.5 saat tetapi rekod dunia adalah 9.4 saat. 0.1 saat itu telah menghalang beliau dari mencapai kemasyhuran.
BERNILAI JIKA TEPAT PADA SASARAN
Masa atau apa sahaja yang mungkin dianggap remeh oleh seseorang mungkin amat bernilai kepada seseorang yang lain.
Contohnya, sebutir nasi jika jatuh ke lantai mungkin akan kita pungut dan buang ke dalam sinki. Tetapi jika di kawasan yang dilanda kebuluran di Afrika, mereka akan berebut untuk sebutir nasi. Tepung gandum yang jatuh ke tanah juga akan dikaut bersama-sama pasir untuk di masak.
Sebagai sebuah kerajaan apabila kita hendak mengedarkan bantuan, perkara-perkara ini perlu difikirkan dengan teliti.
Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN-ADUN banyak mengedarkan bantuan kepada rakyat. Dari beras dan gula kepada beg sekolah dan pakaian sekolah. Tetapi bantuan-bantuan ini hanya akan berkesan jika ianya tepat pada sasarannya.
Jika ianya diberikan kepada mereka yang tidak memerlukan, kemungkinan besar ia tidak akan dihargai oleh penerimanya.
Dari segi politik ianya satu tindakan yang tidak menguntungkan kerana ia tidak dapat memberi kesan politik yang dihasratkan.
Dari segi menjaga amanah, kita telah mengkhianati tanggung jawab kita kerana kita telah memberi bantuan kepada mereka yang tidak layak.
PAS SAMA MACAM UMNO?
Pakatan Rakyat mesti berbeza dari Barisan Nasional. Apatah lagi kita sebagai sebuah jemaah Islam. Amalan kronisme yang dipraktikkan oleh UMNO dan Barisan Nasional perlu dinyahkan sama sekali.
Suami kakak isteri saya yang tinggal di bawah pentadbiran DUN Hulu Kelang pernah memberitahu bahawa orang-orang kampungnya hanyalah ketika pentadbiran Pakatan Rakyat mendapat daging korban. Menurutnya ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional, mereka disisihkan dan hanya kroni-kroni yang dapat daging korban.
Sama ada daging korban, zakat, beras, gula, tepung, beg sekolah dan apa sahaja bantuan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
Tugas kita untuk mencari mereka yang layak. Tidak memadai berkata tidak jumpa. Lebih parah lagi jika ahli-ahli Parti mendapat bantuan tetapi mereka yang layak bukan ahli Parti tidak dapat.
Mungkin ahli-ahli Parti itu layak tetapi dari segi implikasi politik apabila bukan ahli Parti tidak dapat dan ahli Parti dapat, bersedialah untuk melepaskan Negeri Selangor pada pilihanraya umum XIII.
Janganlah dianggap bantuan-bantuan ini sebagai "rampasan perang" untuk diagih-agihkan di kalangan kita.
Ingat, Salahuddin Al-Ayubi yang kain kafannya terpaksa didermakan oleh orang kerana tidak meninggalkan wang yang cukup.
PILIHANRAYA UMUM SEPTEMBER 2011
Pilihanraya umum ke XII adalah pada bulan Mac 2008. Menurut Perlembagaan, pilihanraya umum ke XIII mesti diadakan selewatnya bulan Mei 2013. Jarak di antara pilihanraya umum ke XI dan ke XII adalah lebih lebih kurang 48 bulan.
Walau bagaimanapun jarak di antara dua pilihanraya umum pernah kurang dari 4 tahun, iaitu 3 ½ tahun, di antara 1978 dan 1982, pilihanraya umum pertama Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Pilihanraya umum akan datang mungkin diadakan 3 ½ tahun selepas 8 Mac 2008. Ini juga merupakan pilihanraya umum pertama Najib maka tidak mustahil dia akan mengikut jejak Mahathir mengadakannya lebih awal.
Jika ini berlaku maka pilihanraya umum ke XIII adalah pada September 2011. Ini bermakna kita hanya ada 1 tahun 8 bulan atau 20 bulan sebelum pilihanraya umum yang akan datang.
Bila bercakap tentang pilihanraya, ramai yang berjanji kepada saya akan menyumbang bila tiba pilihanraya umum. Saya tidak pasti menyumbang apa. Mungkin tenaga atau mungkin wang.
Tetapi bagi mereka yang biasa merancang untuk pilihanraya sudah tentu memahami bahawa tenaga dan wang yang paling diperlukan adalah bukan ketika pilihanraya.
Persiapan dan gerakerja pilihanraya yang paling utama adalah pada tahun-tahun sebelum pilihanraya atau sebelum Parlimen dibubarkan.
CERITA BUAH CERI
Contohnya dari segi kewangan, wang yang dibelanjakan ketika kempen pilihanraya hanya mungkin 10 atau sekecil 5 peratus yang dibelanjakan sepanjang tempoh 3 atau 4 tahun sebelum penamaan calon.
Mungkin ada Cawangan-Cawangan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong yang mulai aktif hanya selepas Parlimen dibubarkan tetapi 90 peratus dari kerja-kerja pilihanraya telah dilaksanakan sebelum itu.
Mereka yang datang menderu dan bekerja di saat-saat akhir hanyalah sebagai penyeri. Contohnya sebiji kek, kerja-kerja selepas Parlimen dibubarkan adalah umpama meletakkan buah ceri terakhir.
Ia penting tetapi kerja-kerja memecah telur, mengadun tepung, memasak dan meletakkan aising telah dilakukan sebelum itu. Kadang kala kita nampak buah ceri tetapi mereka yang bersusah paya sebelum itu kita tidak nampak.
Oleh itu, bekerjalah dari sekarang. Kalau hendak menyumbang. Sumbanglah sekarang. Setiap RM1 yang diperlukan selepas Parlimen dibubarkan, RM10 diperlukan sebelum Parlimen dibubarkan. Setiap seorang petugas diperlukan selepas Parlimen dibubarkan, 10 orang petugas diperlukan sebelum pilihanraya dibubarkan.
30 Muharram 1431 / 16 Januari 2010
Monday, January 11, 2010
UMNO SAHUT CABARAN UNTUK TEBUS DOSA
PM hari ini menjanjikan RM15.6 juta utk membaiki bumbung pangsapuri-pangsapuri di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
Semalam Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar A. Samad mencabar BN menunaikan janji mereka untuk membaiki bumbung-bumbung yang rosak sejak 8 tahun lepas.
Janji dibuat dalam tahun 2007 tetapi hanya 3 blok dibaiki. Walhal kerajaan Pakatan Rakyat telah membaiki 2 blok dengan kos RM400,000 dalam masa 18 bulan selepas memenangi pilihanraya.
Sabtu 9 Januari 2010
Friday, January 8, 2010
ISU-ISU PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR) DAN PERUMAHAN BERSTRATA NEGERI SELANGOR.
Kerajaan Negeri Selangor telah menyiapkan garispanduan bagi skim ini yang diumumkan tahun lepas.
Skim ini hanya terbuka kepada mereka yang mempunyai tunggakan sewa lebih dari RM3,500 sebulan.
Golongan-golongan yang layak menyertainya adalah,
a. Ibu tunggal
b. OKU
c. Berpendapatan isi rumah kurang dari RM750 sebulan
Kerja-kerja khidmat masyarakat yang telah dikenalpasti adalah,
a. Mengendali dan menguruskan pusat aduan dan penerangan yang akan dibuka.
b. Menyertai “Neighbourhood Watch” atau “Pemantauan Kejiranan”.
c. Mengendalikan kelas-kelas kemahiran atau pendidikan untuk penduduk.
Di dalam skim ini, peserta skim ini perlu melakukan khidmat-khidmat tersebut untuk masa yang ditetapkan sebelum sewa mereka akan dilupuskan.
Mereka boleh memilih hari dan waktu mereka berhasrat untuk melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat ini.
Walau bagaimanapun, skim adalah hanya untuk sewa-sewa yang tertunggak sebelum 1 Januari 2010. Tunggakan sewa selepas tarikh itu tidak boleh dibayar melalui kerja-kerja khidmat masyarakat.
Skim ini akan bermula pada 1 Mac akan datang dan ianya juga berupaya meningkat aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di PPR-PPR terlibat.
Buat masa ini tunggakan sewa di tiga PPR iaitu Taman Putra Damai (Lembah Subang), Kota Damansara dan Kg. Baru Hicom melebiihi RM5 juta. Tidak adil bagi mereka yang mampu untuk tidak membayar sewa. Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor perlu mendahulukan pembayaran penyelenggaraan bagi PPR-PPR tersebut sekiranya penyewa-penyewa tidak membayar. Pembayaran ini dibuat dengan menggunakan peruntukan-peruntukan lain.
Oleh itu, jika penyewa tidak membayar sewa maka rakyat akan dinafikan dana yang boleh dimanfaatkan untuk mereka. Sekarang RM5 juta yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat tidak dapat digunakan kerana masih ramai yang tidak membayar sewa.
Mereka yang mampu tidak boleh lari dari tanggung jawab mereka. Mereka boleh memohon untuk membayar secara ansuran.
KELONGGARAN SYARAT-SYARAT UNTUK MIGRASI DARI METER PUKAL KEPADA METER INDIVIDU BAGI PERUMAHAN BERSTRATA SEPERTI PANGSAPURI DAN KONDOMINIUM.
Kerajaan Negeri Selangor telah mencapai persetujuan dengan Syabas agar syarat-syarat untuk migrasi dari meter pukal ke meter individu dilonggarkan.
Syarat-syarat yang telah dilonggarkan adalah,
a. Hutang di meter pukal tidak perlu dilangsaikan untuk melakukan migrasi tetapi ianya boleh dipindahkan kepada akaun-akaun meter individu. Walau bagaimanapun perlu ada rekod hutang bagi setiap unit.
b. Tidak perlu lagi persetujuan 100 peratus (consent) dari setiap pemilik tetapi JMB atau MC boleh membuka akaun untuk unit-unit yang akaunnya tidak dapat dibuka. Sekiranya bil bagi unit-unit ini tidak dibayar maka hanya bekalan air ke unit-unit tersebut akan dipotong.
Syabas mempunyai program migrasi bagi perumahan berstrata di Selangor dan mana-mana pemajuan yang bersedia untuk menjalankan proses migrasi boleh menghubungi Syabas atau Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor.
MENYELENGGARA DAN MEMBAIKPULIH LIF-LIF DI PERUMAHAN BERSTRATA.
Kerajaan Negeri Selangor sedar akan masalah kerosakan lif di perumahan berstrata terutamanya rumah-rumah kos rendah.
Dengan itu, kerajaan telah mengarahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menjalankan kajian agar ia boleh mengambil alih kerja-kerja menyelenggara dan membaikpulih lif-lif di perumahan berstrata kos rendah.
Jika kerja-kerja tersebut dilakukan oleh satu syarikat maka ianya akan mengurangkan kos dan meringankan beban penduduk.
Untuk peringkat awal, kerja menyelenggara dan membaikpulih lif-lif bagi beberapa pemajuan berstrata akan diletakkan di bawah PKNS.
PENAMBAHAN PENGANGKUTAN AWAM KE PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR) TAMAN PUTRA DAMAI, LEMBAH SUBANG.
Kerajaan Negeri Selangor bersetuju bahawa pengangkutan awam ke PPR Taman Putra Damai perlu ditambah.
Oleh itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah diarah untuk mengkaji dan memastikan penambahan “feeder bus” atau bas pengantara di antara PPR itu dan stesyen LRT terdekat.
Bas pengantara ini adalah sebagai tambahan kepada bas pengantara yang sedia ada.
Adalah diharapkan penambahan pengangkutan awam ini akan dapat memudahkan penduduk PPR itu menjalankan urusan harian mereka.
Ianya diharapkan dapat menjadikan PPR tersebut sebagai di antara kawasan pilihan untuk didiami.
Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
8 Januari 2010
Wednesday, January 6, 2010
MASALAH BUMBUNG DI BUKIT SENTOSA DAN BUKIT BERUNTUNG : KERAJAAN PAKATAN RAKYAT LEBIH CEPAT BERTINDAK DARI KERAJAAN BARISAN NASIONAL
Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor lebih pantas bertindak menyelesaikan masalah bumbung penduduk Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung dari kerajaan negeri Barisan Nasional yang lepas. Masalah bumbung tersebut bermula sejak tahun 2004. Tetapi hanyalah tiga tahun selepas itu Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo pada 12 Ogos 2007 selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Selangor berjanji akan membaikpulih bumbung-bumbung yang rosak itu. 3 blok rumah pangsa telah dibaikpulih sebelum pilihanraya umum 2008. Tetapi kerajaan Pakatan Rakyat telah memulakan kerja-kerja membaikpulih satu setengah tahun setelah mengambil alih negeri Selangor Hari ini 2 blok yang 80 peratus diduduki hampir siap dibaikpulih dengan kos lebih kurang RM400,000. Blok-blok lain yang mempunyai penduduk kurang dari 50 peratus akan dibaiki secara berperingkat. Saya berharap penduduk akan bersabar kerana untuk membaik pulih kesemua bumbung-bumbung itu akan melibatkan kos yang tinggi. Dianggarkan hampir RM10 juta diperlukan untuk membaiki kesemua blok-blok itu dan terdapat blok-blok yang mempunyai beberapa orang penghuni sahaja. Saya juga menyeru kepada pemimpin Barisan Nasional agar tidak lagi mempolitikkan isu ini kerana mereka telah gagal menyelesaikan masalah penduduk semasa mereka masih berkuasa. Jika Barisan Nasional mahu membantu rakyat, Kerajaan Persekutuan juga perlu membantu. Dengan ini, saya mencabar Kerajaan Persekutuan untuk menyumbang kepada kos membaik pulih bumbung-bumbung itu jika Barisan Nasional benar-benar ikhlas. Lebih-lebih lagi masalah yang dihadapi oleh penduduk Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa adalah akibat perancangan yang tidak tepat oleh kerajaan Barisan Nasional. Kawasan tersebut telah dimajukan dengan pembangunan-pembangunan yang begitu pesat apabila diberitakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA akan dibina di Hulu Selangor. Pembangunan yang ada di situ hari ini adalah untuk menampung sebuah lapangan terbang antarabangsa. Walau bagaimanapun apabila KLIA dibina di Sepang, aktiviti ekonomi di kawasan itu tidak mencukupi untuk memenuhi pembangunan yang telah dimajukan. Akibatnya terdapat banyak rumah-rumah dan kedai-kedai yang masih kosong hingga ke hari ini. Tiga Menteri Besar Barisan Nasional telah gagal menyelesaikan masalah-masalah di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa. Walau bagaimanapun kerajaan negeri sekarang akan terus berusaha untuk menghidupkan kawasan tersebut. Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor 7 Januari 2010 |
Selangor Sambung Khidmat Petugas Khas Bantu Selesai Masalah Rumah Pangsa
Kontrak ini adalah untuk 6 bulan iaitu sehingga pentadbiran pemajuan berstrata atau Pesuruhjaya Bangunan dirombak semula.
Sejumlah 12 petugas khas akan disambung perkhidmatan atau dilantik baru untuk memastikan masalah-masalah berkaitan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin demi kepentingan penghuni pemajuan tersebut, demikian kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor Iskandar Abdul Samad dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco petang tadi.
Menurut Iskandar, antara isu-isu yang dikenalpasti masih belum diselesaikan ialah pembeli dan pemaju masih gagal menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB), pertikaian yang wujud ketika penyerahan kuasa dari pemaju kepada JMB, migrasi dari meter air pukal kepada meter individu dan sebagainya.
"Maka tugas dan tanggungjawab utama petugas khas adalah untuk menyediakan inventori bangunan strata mengikut PBT, membantu pelaksanaan penubuhan JMB dan membantu memantau permohonan pecah bahagi bangunan," jelas Iskandar.
6 Januari 2010
Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Monday, January 4, 2010
BUKIT BOTAK : 363 AKAN HILANG HAK JIKA TANAH TIDAK DIAMBIL ALIH
Kerajaan Barisan Nasional yang lepas telah memberi tanah kepada 1,367 peneroka bandar Bukit Botak sebagai sebahagian dari program menyelesaikan masalah setinggan di kawasan tersebut.
“257 PENEROKA DIBERIKAN TANAH YANG TIDAK DAPAT DIBANGUNKAN”
Walau bagaimanapun, 257 peneroka telah mendapati tanah mereka tidak dapat dibangunkan kerana terletak di kawasan cerun, di bawah talian TNB, di dalam rizab sekolah atau rizab-rizab yang lain.
“106 PENEROKA TERSINGKIR”
Selain dari itu, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sekarang telah mendapati seramai 106 peneroka yang sepatutnya layak mendapat hak tetapi telah tersingkir. Jawatankuasa tersebut telah mendapati ada di antara mereka yang berada di dalam senarai bancian asal tetapi mereka telah tidak mendapat sebarang tawaran dari kerajaan negeri ketika itu.
“AKAN DIBANGUNKAN DENGAN PEMBANGUNAN YANG AKAN DAPAT MENEMPATKAN SEMUA YANG LAYAK”
Kerajaan bukan hendak mengambil tanah rakyat sesuka hati tetapi ianya perlu dilakukan untuk memastikan tidak ada peneroka yang dizalimi. Kawasan Bukit Botak akan dibangunkan dengan pembangunan yang akan dapat menempatkan kesemua yang layak. Bekas peneroka yang tanah mereka diambil alih tidak perlu bimbang.
“BERPELUANG MEMBELI HARTANAH DENGAN NILAI YANG LEBIH TINGGI DI BAWAH HARGA PASARAN”
Menurut perjanjian dengan pemaju swasta sebelum ini, peneroka akan berpeluang membeli rumah berkembar tetapi kerajaan negeri sekarang akan memastikan mereka berpeluang membeli hartanah yang mempunyai nilai yang lebih tinggi tetapi di bawah harga pasaran.
“PAMPASAN AKAN DIBAYAR DAN BERPELUANG MEMILIKI KEDIAMAN YANG LEBIH LUAS”
Kerajaan akan membayar pampasan untuk tanah yang diambil alih dan pemilik tanah juga akan berpeluang memiliki kediaman yang lebih luas dari yang dijanjikan sebelum ini dengan harga potongan.
“SELAMA 20 TAHUN BARISAN NASIONAL GAGAL SELESAIKAN MASALAH”
Saya hairan kenapa pemimpin Barisan Nasional dengan tiba-tiba mengambil berat akan kebajikan bekas peneroka bandar Bukit Botak kerana selama 20 tahun mereka telah gagal menyelesaikan masalah tersebut.
Kerajaan Barisan Nasional yang lepas juga bertanggung jawab di atas kesulitan penduduk kerana mereka yang membuat kesilapan memberi tanah yang tidak boleh dibangunkan kepada 257 peneroka.
Mereka juga telah gagal memberikan hak kepada semua bekas peneroka kerana terdapat ramai yang tercicir dan tidak mendapat apa-apa tawaran.
Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
Negeri Selangor
5 Januari 2010
Sunday, January 3, 2010
Coretan YDP Edisi 42 (2 Januari 2010) - AKIBAT SKREW YANG LONGGAR
Ianya merupakan satu siri rencana yang menceritakan tentang kemalangan-kemalangan yang kebanyakannya melibatkan kapalterbang. Terdapat banyak siri dan kebanyakan siri menceritakan tentang kapalterbang-kapalterbang yang telah terhempas akibat dari beberapa faktor sama ada sebab-sebab teknikal atau kesilapan manusia.
Sepatutnya bagi seseorang yang akan menaiki kapalterbang hampir 20 jam merentasi Lautan Pasifik, siri tersebut merupakan siri yang paling akhir yang hendak saya tontoni. Tetapi saya amat tertarik kepadanya dan ianya mungkin kerana rumusan-rumusan yang dibuat pada akhir setiap siri.
Dari apa yang saya fahami, selalunya faktor utama yang menyebabkan kemalangan bukan faktor-faktor besar seperti enjin kapalterbang yang meletup atau gagal berfungsi. Atau kemalangan itu disebabkan kesilapan juruterbang atau pembantunya. Selalunya kemalangan berlaku akibat dari perkara-perkara kecil yang kadang kala dianggap remeh tetapi kesannya sungguh besar.
Dalam satu kes di mana sebuah kapalterbang telah terhempas, punca utama kenapa kemalangan itu berlaku adalah 2 biji skrew. Skrew-skrew yang begitu kecil tetapi sungguh penting. Akibat dari pemasangan yang tidak menurut garispanduan yang ditetapkan, akhirnya salah satu dari enjin kapalterbang itu telah jatuh ke bumi. Dalam masa 31 saat kapalterbang yang malang itu telah terhempas dan mengorban kesemua penumpang dan anak kapalnya.
Ada banyak lagi contoh di mana kemalangan telah berlaku akibat dari perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil. Contohnya di dalam satu kes lain, sebiji lampu di "cockpit" sebuah kapalterbang telah tidak berfungsi dan ini mengakibatkan juruterbang itu telah membuat keputusan yang salah. Akhirnya kapalterbang itu telah terhempas hanya kerana satu dari berpuluh-puluh biji lampu telah tidak berfungi.
Ini bermakna setiap bahagian atau komponen sebuah kapalterbang itu sama pentingnya. Tidak ada yang lebih, tidak ada yang kurang.
Perkara yang sama juga benar bagi sebuah organisasi atau parti politik atau gerakan Islam seperti PAS. Sama ada ahli biasa, AJK Cawangan, AJK UPU, AJK MTD, AJK Lajnah, AJK JPrK, AJK Dewan atau AJK Kawasan, mereka mempunyai tugas masing-masing. Tugas mereka sama penting. Sama ada AJK Cawangan atau Yang Dipertua PAS Kawasan, mempunyai peranan tersendiri. Tidak ada seorang pun boleh berkata, "Aku hanya seorang AJK Cawangan, aku tak penting, tak payah kerja pun tak apa".
Ingat apa yang terjadi kepada kapalterbang yang terhempas kerana kehilangan enjin. Akibat dari 2 biji skrew, beratus telah kehilangan nyawa. Kita tenggelam dan timbul bersama.
CUBAAN MELETUPKAN KAPALTERBANG
Saya telah tiba di Amerika Syarikat ketika berita seorang pemuda Somalia ditangkap kerana dituduh cuba meletupkan sebuah kapalterbang yang telah berlepas dari Amsterdam dan mendarat di Detroit menjadi berita paling hangat.
Sebagai seorang Muslim, sudah tentu ada rasa bimbang tentang reaksi masyarakat di sana terutamanya pihak berkuasa terhadap seorang Muslim.
Walau bagaimana pun saya mengambil keputusan yang saya perlu jelas tentang prinsip saya. Oleh itu, tidak ada berselindung-selindung. Pada waktu solat, saya akan solat tidak kira di mana. Walaupun di khalayak ramai, saya hanya perlukan sedikit ruang. Saya memberitahu pihak yang mengiringi saya, saya perlu solat. Walaupun orang Amerika, orang Kristian, pendirian saya dihormati. Saya tidak berkata, maafkan saya, saya hendak ke "restroom" tetapi berkata, ”I need to pray”.
Begitu juga dengan makanan. Tidak ada kompromi. Saya tidak berkata, saya hanya boleh makan "vegetarian food" tetapi saya berkata saya mahu makanan halal. Makanan halal bukan bermakna makanan Malaysia tetapi makanan yang dibenarkan oleh hukum syarak. Mungkin ada "vegetarian food" yang boleh saya makan tetapi sebagai seorang Muslim saya tidak mahu berselindung seolah-olah makanan halal itu hina.
PERLU JUGA JELAS DI DALAM POLITIK
Begitulah juga di dalam perjuangan, kita perlu jelas. Prinsip perjuangan PAS perlu jelas. Tidak perlu berselindung-selindung. Ini jalan kita.
Saya kagum dengan DAP yang sejak ia ditubuhkan jelas dengan dasar perjuangannya. Dasar "Malaysian Malaysia" yang mula dipelopori oleh PAP ketika Singapura berada di dalam Malaysia telah diteruskan oleh DAP.
DAP tidak akan melepaskan sebarang peluang untuk menjelaskan konsep "Malaysian Malaysia" kepada rakyat sama ada ketika berada di kalangan orang Melayu atau orang bukan Melayu.
Pada sidang yang lepas, ADUN Kota Alam Shah yang hadir kali pertama sejak dibebaskan dari tahanan ISA telah menggemparkan Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau mendakwa kerajaan negeri tidak memberikan peruntukan yang secukupnya kepada masyarakat India.
Walaupun dakwaan itu tidak benar dan cara ia disuarakan bertentangan dengan semangat Pakatan Rakyat tetapi ADUN yang juga pimpinan Hindraf itu jelas di dalam matlamat beliau.
PAS juga perlu jelas apa yang kita hasratkan. Kita tidak seharusnya menipu pengundi. Kita perlu jelas, kita perlu ikhlas. Kita tidak boleh bercakap begini pada satu ketika dan pada satu ketika yang lain bercakap yang bertentangan.
Dari segi hukum, dari segi prinsip kita tidak boleh berganjak. Janganlah disebabkan kita takut kehilangan undi, kita menggadai prinsip, kita mengorbankan aqidah, kita membisu, kita berdolak dalik, kita menyembunyikan fakta.
Jika sesuatu perkara itu tidak betul dan PAS berdiam diri maka umat Islam akan menyangka ia betul. Begitu besar peranan PAS untuk bersuara di dalam semua isu.
Walau bagaimanapun, kadang kala kita merupakan seorang jurujual atau "salesman” yang buruk. Perkara-perkara yang kita terangkan kepada masyarakat tentang Islam adalah perkara-perkara yang hanya akan menjauhkan rakyat, terutamanya yang bukan Islam, jauh dari Islam. Seorang penjual durian tidak akan menceritakan tentang duri yang tajam tetapi isinya yang sedap.
Islam itu indah. Selepas 9/11, ramai yang telah memeluk Islam setelah mengkaji tentang Islam. Kita perlu mengkaji apakah ciri-ciri yang telah menarik mereka kepada Islam.
OPERASI MENCEGAH KEMUNGKARAN
Lazimnya malam Tahun Baru atau malam ulangtahun kemerdekaan negara, akan dianjurkan operasi mencegah kemungkaran atau maksiat.
Ramai yang akan ditangkap kerana berkhalwat, berkelakuan sumbang atau meminum arak. Tetapi kemungkaran dan maksiat berlaku sepanjang masa dan bukan pada malam-malam tertentu.
Oleh itu, operasi itu perlu dijalankan sepanjang masa. Jika ia hanya diadakan pada malam-malam tertentu di mana ketika itu para pemberita dan kamera televisyen turut hadir, maka masyarakat akan menuduh kita atau NGO atau pemimpin NGO yang terlibat hanya mengejar publisiti.
Dari pusat khidmat saya, saya dapat melihat ramai orang Islam membeli "tiket ekor". Di malam hari, pondan-pondan berkeliaran di Pandan Indah. Kalau anda berjalan di padang-padang, anda akan berjumpa dengan botol-botol arak yang berselerak.
Tanggung jawab membanterasnya adalah tanggung jawab kita semua. Ia perlu dilakukan sepanjang masa.
Coretan YDP Edisi 41 (20 Disember 2009) - SENJATA RAHSIA BN
Tetapi pada pilihan raya umum 2004, undi PAS telah menurun kepada 170,000. Dengan penurunan hanya 10,000, PAS sepatutnya berupaya mempertahankan kerajaan Terengganu, Walau bagaimanapun, undi BN telah meningkatkan ke 220,000 dan kerajaan PAS Terengganu telah tumbang.
Dari mana datangnya begitu ramai pengundi baru itu?
Adakah mereka benar-benar pengundi baru yang didaftar?
Adakah mereka pengundi-pengundi yang diimpot dari luar seperti dari Selangor atau negeri-negeri lain di Pantai Barat?
Atau adakah seorang pengundi telah didaftarkan di beberapa tempat mengundi?
Saya tidak akan memberi jawapan kepada soalan-soalan tersebut kerana ianya telah berkali-kali diulas oleh sama ada pemimpin politik atau penganalisa politik.
Tetapi fakta dari pilihanraya ke 11 itu sepatutnya telah menyedarkan kita betapa pentingnya pendaftaran pemilih.
PENDAFTARAN PEMILIH YANG DIABAIKAN
Kita kadang kala sibuk dengan program-program khidmat masyarakat atau program-program penerangan sehingga gerak kerja pendaftaran pemilih telah dilupakan.
Kita lupa untuk mendaftarkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong kita sebagai pemilih.
Di negeri di mana PAS maju ke hadapan seperti Kelantan, gerak kerja pendaftar pemilih dan menyemak senarai pemilih baru dijalankan secara sistematik.
Ianya dilakukan di peringkat akar umbi yang begitu peka kepada keperluan mendaftarkan pengundi-pengundi baru.
Jadi apa yang anda perlu lakukan?
TUGAS ANDA
Pertama, daftarkan ahli keluarga anda, jiran dan kawan anda sebagai pemilih. Tidak guna hebat berhujjah di kedai-kedai kopi jika telah gagal mendaftar sebagai pemilih.
Kedua, lakukan kempen mendaftar pemilih di Cawangan anda. Pergi dari rumah ke rumah atau buka kaunter di tempat umum.
SPR akan mempamerkan senarai pemilih baru setiap 3 bulan. Ianya akan diumumkan oleh akhbar, radio dan televisyen. Pameran akan dilakukan di dewan-dewan orang ramai, pejabat pos, pejabat kerajaan atau tempat-tempat awam yang lain.
Akan dipamerkan nama-nama mereka yang akan keluarkan dari daerah mengundi dan nama-nama mereka yang akan dimasukkan ke dalam daerah mengundi.
PENGUNDI HANTU
Tindakan ketiga adalah memastikan mereka yang dimasukkan ke dalam daerah mengundi anda benar-benar orang tempatan atau wujud. Mungkin mereka merupakan pemilih yang telah dipindahkan oleh BN ke daerah mengundi anda. Atau pengundi hantu.
Anda boleh menziarahi alamat mereka didaftarkan untuk memastikan mereka benar-benar menetap di situ. Atau gunakan apa cara sekalipun untuk mengenalpasti kewujudan mereka.
Kalau anda mengesyaki mereka pengundi hantu maka anda boleh membuat bantahan.
Pameran daftar pemilih ini dibuat selama dua minggu dan anda boleh membantah sepanjang pameran tersebut dibuat.
Ingat, walaupun mereka itu pengundi hantu tetapi jika tidak ada yang membantah sehingga tamat tempoh bantahan dan akhirnya nama mereka disahkan sebagai pemilih, mereka layak mengundi di daerah mengundi tersebut.
Tidak ada guna kita membantah di hari mengundi walau pun mereka sah dari Sabah sekalipun. Mereka tetap boleh mengundi, Kalau hendak melakukan bantahan, bantah ketika pameran dibuat.
NAMA AHLI DITENDANG KELUAR
Tindakan keempat adalah menyemak agar nama-nama ahli dan penyokong kita tidak di dalam senarai nama yang akan dikeluarkan dari daftar pemilih.
BN memang memindahkan pemilih-pemilih kita ke kawasan yang jauh-jauh sehingga mereka tidak dapat mengundi. Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hasan Shukri pernah mendapati nama beliau didaftarkan di Pahang walhal beliau tinggal di Taman Melewar. Siapa yang melakukannya? Kita semua pun tahu.
Oleh itu, semak pengundi-pengundi kita masih berada di dalam daerah mengundi mereka. Tidak ada gunanya mereka mengamuk di pondok panas apabila mendapati nama mereka di Hulu Terengganu pada hari mengundi.
Kadang kala juga nama-nama pengundi kita hilang terus dari daftar pemilih. Oleh itu, jika anda mendapati nama-nama pemilih kita hendak dikeluarkan maka anda perlu membantah.
18 BULAN SEBELUM PILIHAN RAYA
Ada lebih kurang 18 bulan sebelum pilihan raya umum ke 13. Mungkin ada 6 kali pameran daftar pemilih. Pastikan kali ini anda menyemaknya dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Walau bagaimanapun, pendaftaran pemilih boleh dilakukan sepanjang masa. PAS Kawasan akan membayar RM5 untuk setiap pemilih yang didaftarkan di DUN Chempaka oleh Cawangan-Cawangan.
Hubungilah Sdra. Suhaimi Ghazali di 019-759 8622, Sdra. Kamarul di 013-223 0635 atau Pejabat ADUN Chempaka Angsana Hilir di 03-9283 3835 untuk sebarang bantuan atau pertanyaan.
Jika tenaga di Cawangan anda terhad, dahulukan kerja-kerja daftar pemilih. Dua atau tiga orang boleh melakukan gerak kerja ini.
Pastikan anda memiliki senarai daftar pemilih terkini bagi daerah mengundi anda. Atau sekurang-kurangnya Cawangan anda. Kenali setiap pengundi.
PENGUNDI HANTU DIPANGGIL PULANG
Ada orang berkata UMNO dan BN telah lumpuh di Selangor. Memang kita amat payah hendak melihat program UMNO anjuran Bahagian atau Cawangan sejak kekalahan mereka. Mungkin yang kelihatan adalah kain-kain rentang yang naik sekali sekala.
Ada yang berkata UMNO dan BN tidak ada isu untuk dimainkan. Dengan krisis MCA pula, BN nampak tertekan. Tetapi mereka tidak perlu menganjurkan apa-apa program atau isu untuk merampas Selangor jika kita mengimbas pengalaman kita di Terengganu.
Telah ada laporan pengundi-pengundi Selangor yang dikesport ke Kelantan akan ditarik balik untuk memenangkan BN di Selangor. Angkanya bukan seribu dua tetapi puluhan ribu.
Pengundi BN selalunya mendaftar berdasarkan unjuran atau keputusan pilihan raya. Sekiranya sesuatu kawasan piliharaya, Parlimen atau DUN, mereka telah menang besar, mereka akan mendaftar atau memindahkan pengundi mereka ke kawasan yang mereka menang tipis.
Pilihan raya adalah satu sains yang tersendiri. Ia memerlukan kajian terperinci dan perancangan yang bijak. Pengundi tidak didaftar sesuka hati tetapi ada strategi yang teratur. Yang ada Ph.D. pun belum tentu boleh memahaminya.
Wednesday, December 16, 2009
PEMIMPIN MESTI MEMANDANG JAUH KE HADAPAN
Tetapi seorang pemimpin mempunyai wawasan yang hebat jika apa yang beliau mahu laksanakan pada mulanya tidak difahami oleh mereka yang dipimpin. Mereka hanya akan memahaminya setelah perlaksanaan atau setelah beliau telah tiada.
Seorang pemimpin yang hebat mestilah berupaya memandang jauh ke hadapan. Melihat apa yang orang lain tidak dapat melihat. Menjangka apa yang orang lain tidak dapat menjangka. Setelah arahan atau idea beliau dilaksanakan barulah orang berkata, ”Betul jugak ye!”.
Mungkin perkara ini benar dan mungkin juga tidak. Tetapi seorang pemimpin mestilah mempunyai idea-idea yang luarbiasa atau idea-idea yang menakjubkan untuk mengangkat martabat mereka yang dipimpin sehingga kadang kala ianya tidak masuk akal. Atau untuk membawa organisasi yang dipimpin ke satu tahap yang lebih tinggi atau mencapai sasaran-sasaran yang nampak mustahil.
MEMIMPIN MASYARAKAT
Perkara ini penting di dalam suasana sekarang di mana PAS adalah sebahagian dari kerajaan di Negeri Selangor. Pemimpin PAS walaupun di peringkat Cawangan bukan lagi memimpin ahli-ahli PAS sahaja tetapi memimpin masyarakat. Tanggung jawab ini besar dan saya memahami ada di antara kita yang tidak mampu melakukannya.
Sekarang masyarakat datang bukan hanya kepada AJK Cawangan tetapi kepada ahli-ahli biasa untuk urusan-urusan kerajaan negeri atau majlis perbandaran. Sama ada untuk borang Mesra Usia Emas atau tentang lesen menjaja dan banyak lagi. Mereka datang kepada kita.
Kalau kita berjiwa kerdil kita melihatnya sebagai satu masalah kepada diri dan keluarga kita. Tetapi jika kita berjiwa besar kita akan melihatnya sebagai satu cabaran dan peluang untuk mengukuh serta mengembangkan Parti.
Ada Ketua Cawangan yang meletakkan bendera PAS di hadapan rumah mereka agar masyarakat senang mencari mereka, supaya mereka dapat membantu rakyat.
Mereka menjadi wakil kepada ADUN dan ahli Majlis. Menjadi penghubung di antara rakyat dan kerajaan negeri atau Majlis.
Ada AJK Cawangan yang sentiasa datang ke Pejabat DUN berbincang dengan saya masalah di tempat mereka dan cara-cara membantu penduduk di sana. Tidak kira dari Chempaka atau Teratai.
Malah pimpinan PAS dari Taman Templer, Dusun Tua malah Batang Kali juga ada yang bersusah payah datang ke Pandan untuk berbincang masalah di DUN mereka.
PIMPINAN YANG LUAR BIASA
Kita perlu memimpin masyarakat dan kita tidak akan dapat diterima sebagai pemimpin masyarakat sekiranya kita tidak berjiwa besar.
Lebih-lebih lagi kita berada di Pandan. Satu kawasan berbilang kaum. Kita memimpin bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang Cina, India, Sikh, Portugis malah orang Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Korea yang ramai di kawasan kita.
Sudah tentu ianya memerlukan kualiti dan pendekatan yang berlainan dari ketika memimpin hanya orang-orang PAS.
Ini selari dengan semangat Pakatan Rakyat, parti-parti Pakatan tidak hanya memimpin kelompok mereka. PAS tidak hanya memimpin orang Melayu atau orang Islam. DAP juga tidak hanya memimpin orang Cina. Tetapi kita memimpin seluruh rakyat.
ORANG PAS JAGA SURAU AJE!
Walau bagaimanapun tugas ini bukan mudah. Seorang professor ketika membentangkan satu kertas kerja di Konvensyen PAS Selangor pada 6 Disember lepas mendedahkan satu peristiwa yang mengejutkan.
Di dalam menjalankan kajian untuk satu NGO, beliau dan pasukan beliau telah turun ke taman-taman dan kampung-kampung.
Dalam satu kampung, beliau telah bertanya sekumpulan belia sama ada mengenali orang-orang PAS di situ. Jawapan yang diterima adalah, ”Tak, orang-orang PAS jaga surau aje”.
Kajian yang dibentangkan di konvensyen tersebut juga mendedahkan terdapat kawasan-kawasan di Selangor yang masyarakat di dalam kelompok 21 hingga 30 tahun langsung tidak mengenali PAS.
Ini patut membimbangkan kita kerana kita sekarang adalah kerajaan. Apa yang telah kita lakukan?
BERANI MEMBUAT KEPUTUSAN
Apabila Anwar Ibrahim dipecat dalam tahun 1998, Presiden PAS ketika itu, Ustaz Fadhil Noor, telah mengilhamkan penubuhan GERAK. Ketika itu keadaan kucar-kacir. Cadangan Ustaz Fadhil itu akhirnya berjaya menyatukan tenaga-tenaga yang menentang kepimpinan Tun Mahathir.
Satu himpunan raksaka telah dianjurkan di Taman Melewar. Ada yang kata 100,000 yang hadir, ada yang kata 50,000 yang hadir pada malam keramat itu. Walau berapa ramai yang hadir, ianya menjadi permulaan kepada penyatuan suara pembangkang yang akhirnya menjadi Pakatan Rakyat hari ini.
Tetapi ketika itu ada yang mempertikaikan tindakan Ustaz Fadhil. Ada yang berkata, ”Buat apa nak tolong Anwar, dia kan UMNO”.
Atau mereka yang berkata GERAK tidak berdaftar, perhimpunan raksasa itu akan memberi kesan yang buruk kepada PAS.
Tetapi akhirnya kita semua memahami pandangan jauh Ustaz Fadhil.
TUN MAHATHIR
Tun Mahathir melaksanakan banyak perkara ketika pemerintahan beliau. Mungkin kerana tempoh pemerintahan beliau lebih panjang dari mana-mana Perdana Menteri maka banyak perkara yang telah dilaksanakan lebih menyerlah.
Sama ada ianya menguntungkan negara atau merugikan negara, pemerintahan beliau banyak mencatatkan perkara-perkara baru di dalam sejarah negara kita.
Kita mungkin tidak bersetuju dengan Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin Islam. Atau sebagai seorang pemimpin yang menjaga kepentingan para Marhaen tetapi terdapat perkara-perkara yang dilaksanakan oleh beliau yang akhirnya diakui membawa manfaat kepada rakyat. Yang meletakkan Malaysia di peta dunia.
Walaupun terdapat perkara-perkara yang dilakukan oleh beliau yang merugikan rakyat sehingga hari ini tetapi keberanian beliau membuat sesuatu keputusan adalah sesuatu yang dikagumi ramai
Seorang pemimpin mesti berani dan tegas, tidak kelihatan lemah ketika membuat keputusan. Tidak teragak-agak.
Ibnu Khaldun seorang ilmuwan Islam yang meninggal dunia lebih kurang 4 tahun selepas Parameswara membuka Melaka pernah membincangkan tentang ciri-ciri kempimpinan. Menurut beliau yang terkenal dengan kitab-kitab Muqaddimah dan Al-’Ibar, seorang pemimpin perlu disayangi dan juga digeruni.
Sama ada di peringkat Cawangan, Dewan atau Kawasan, pimpinan adalah pimpinan. Memikul tanggung jawab masing-masing. Pimpinan yang lemah tidak akan membawa organisasi beliau ke mana-mana. Pemimpin mesti menghasil idea–idea yang luar biasa dan berani menghadapi risiko. Bak kata orang putih, ”No pain, no gain”.
13 Disember 2009
DUIT OH DUIT!
Memang benar hampir semua benda memerlukan duit untuk mendapatkannya tetapi bukan semua benda boleh dibeli dengan duit.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Baginda lebih bimbang umat ummat Baginda menjadi kaya dari menjadi miskin.
Ada satu cerita dari Negeri Cina tentang seorang petani yang menjumpai satu peti wang emas tetapi ia tidak membawa kebahagian malah kecelakaan kepada keluarga beliau.
Wang emas yang dijumpai oleh beliau itu membuat keluarga beliau bergaduh sesama sendiri. Ada yang hendak membeli itu dan ada yang hendak membeli ini. Beliau menjadi lebih sengsara dari ketika masih miskin. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk membuang peti wang emas itu ke dalam sungai.
Duit oh duit! Engkau menjadi rebutan. Orang sanggup mati untuk mendapatkannya. Keluarga berpecah belah akibat duit dan hartabenda.
S. Amin Shahab menulis ”Ada yang jadi hamba duit” untuk sebuah lagu M. Nasir.
CABARAN DI DALAM KERAJAAN
Pada saya cabaran paling besar di dalam kerajaan adalah apabila kita lupa akan tanggung jawab kita di dalam perjuangan tetapi mula mabuk mengejar hartabenda dan kemewahan.
Bagi negeri kaya seperti Selangor memang peluang terbentang luas. Jika terdapat pimpinan kerajaan yang benar-benar mahu menjadi kaya maka terdapat jalan-jalannya. Sama ada jalan kecil atau jalan besar. Peluang kecil atau peluang besar. Ia bergantung kepada iman.
Pernah seorang membisikkan kepada saya bahawa ada yang hendak memberikan saya RM1 juta jika saya menyokong permohonannya untuk mendapatkan pengecualian rumah kos rendah.
Ada pula yang berjanji hendak memberikan saya satu unit pangsapuri jika saya menyokong kelulusan projek beliau yang kontroversial.
BELUM KECUNDANG
Saya mungkin belum lagi kecundang. Tetapi Selangor adalah begitu luas. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terjadi di setiap pelusuknya.
Kalau ada di antara kita yang ingat kepada ceramah Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakob, bekas ahli Parlimen Bachok, mungkin pernah mendengar beliau menyamakan orang-orang UMNO dengan itik-itik. Katanya itik-itik itu apabila ke hulu ke hilir seolah-olah menyebut, ”Projek, projek, projek, projek, projek”.
Tetapi kita perlu mengakui realiti bahawa penyakit ini semakin berjangkit kepada kita
KEMUDAHAN DI DALAM KERAJAAN
Tetapi tidak dapat dinafikan lebih mudah bergerak ketika kita menjadi kerajaan. Malangnya ada yang mahu segala-galanya percuma. Tidak mahu mengeluarkan walaupun satu sen. Seolah-olah syurga itu harganya lima sen.
Oleh itu mungkin wajar ahli-ahli diberitahu akan tanggungan ADUN dan Pejabat ADUN.
Sebagai Exco dan ADUN saya wajib menyumbang kepada PAS Negeri dan Kawasan.
Kepada PAS Negeri saya menyumbangkan RM2,045 sebulan.
Kepada PAS Kawasan saya menyumbang RM1,000 sebulan.
Selain dari itu saya membayar dari elaun saya RM1,300 sebulan untuk sewa Pusat Khidmat ADUN di Pandan Indah.
Pusat ini juga digunakan untuk program-program PAS Kawasan, Muslimat dan Nisa’.
KAKITANGAN TAMBAHAN
Di pejabat SUK, saya melantik dua orang kakitangan tambahan kerana kakitangan yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri tidak mencukupi. Exco-Exco PKR dan DAP juga mengambil kakitangan tambahan. Kami ada ”dateline” dan KPI.
Saya terpaksa membayar dari elaun saya RM2,700 sebulan untuk gaji-gaji kakitangan tambahan itu.
Maka jumlah sumbangan tetap saya adalah RM7,045 sebulan.
PUSAT KHIDMAT ANGSANA HILIR
Memang benar Pusat Khidmat ADUN di Angsana Hilir menggunakan premis yang dibeli oleh PAS Kawasan tetapi saya berharap ia tidak akan dijadikan isu. PAS Kawasan dan Pejabat ADUN bukan berada di atas planet yang berlainan. Ia lengkap melengkapi satu sama lain.
Contohnya dulu PAS Kawasan terpaksa menganjurkan pelbagai program untuk mengembang dan mengukuhkan pengaruh PAS tetapi jumlah program kita telah turun hampir 50 peratus. Program-program ADUN juga secara tidak langsung mengembang dan mengukuhkan pengaruh Parti.
Dulu bila kita menganjurkan majlis hari raya, PAS Kawasan akan berbelanja RM2,000 hingga RM3,000 dan sekitar 1,000 orang yang hadir.
Sekarang ADUN akan menganjurkan majlis hari raya. Perbelanjaannya mungkin RM20,000 dan kehadiran hampir 10,000 orang.
Program-program ADUN ditanggung oleh peruntukan ADUN bukan oleh PAS Kawasan. Oleh itu, tanggungan Parti telah berkurangan.
Jumlah kain rentang kita juga telah turun hampir 80 peratus. Kain-kain rentang ADUN juga secara tidak langsung memberi promosi kepada Parti. Oleh itu, Parti tidak perlu berbelanja banyak.
Sewa yang patut dibayar oleh Pejabat ADUN kepada PAS Kawasan untuk Pusat Khidmat Angsana Hilir mungkin RM500 tetapi jumlah yang dapat dijimatkan oleh PAS Kawasan kerana kita ada seorang ADUN adalah berkali-kali ganda.
Saya anggarkan penjimatan ini RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Kita hanya akan merasainya apabila kita kalah pilihanraya kerana ramai sekarang yang telah lupa keadaannya semasa kita menjadi pembangkang.
Jangan lupa juga, Pejabat ADUN menyumbang kepada gaji Setiausaha Kerja PAS Kawasan sebanyak RM400 sebulan.
Kakitangan Pejabat ADUN, ada 2 orang, turut membantu tugas-tugas PAS Kawasan.
TIDAK LAGI RAHSIA
Kenapa saya memberitahu semua ini? Bukankah lebih baik merahsiakan segala infaq?
Saya perlu mendedahkannya kerana bimbang akan ada yang bertanya apa kita dapat dengan adanya seorang Exco, ADUN atau Pejabat ADUN. Atau apa yang ADUN buat dengan elaunnya.
Bila disuruh menginfaq untuk Parti mungkin ada yang berkata apa guna ada ADUN. Seolah-olah mereka telah terlebih pahala, boleh terus masuk ke syurga tanpa hisab.
CABARAN DI SELANGOR
Cabaran kita di Selangor begitu getir. Perdana Menteri sendiri mengetuai UMNO di Selangor. UMNO begitu serius.
Kalau kita berpecah kita akan dihukum oleh Allah SWT. Saya tahu sebelum PRU12 ada kawasan yang begitu kuat. Kuliah petang Sabtu Muslimat sahaja boleh mengumpul 200 orang.
Tetapi mereka bercakaran dan berpuak-puak. Akhirnya kawasan yang dijangka kita menang, kita tersungkur. Inilah balasan dari Allah SWT.
Bila ada duit, lebih mudah perbalahan berlaku. Bukankah di Uhud ummat Islam hampir tewas apabila pemanah-pemanah di atas bukit lari ke bawah untuk mendapatkan harta rampasan?
5 Disember 2009
BANGUNAN BARU UNTUK PANDAN
Rumah kediaman tersebut mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia telah menjadi nadi kepada tiga parti politik.
Bermula dengan UMNO apabila pemiliknya merupakan Ketua UMNO Cawangan di situ. Selepas itu Semangat 46, apabila beliau memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah selepas UMNO diharamkan. Akhir sekali kepada PAS apabila pada mulanya Setiausaha PAS Cawangan Kg. Pandan Dalam menyewa di situ dan apabila berlaku persempadanan semula rumah tersebut menjadi Markas PAS Kawasan Pandan.
Pemimpin dari ketiga-tiga parti tersebut pernah berucap atau sekurang-kurangnya menjejakkan kaki di rumah yang penuh bersejarah itu. Bekas Menteri Selangor Dato’ Ahmad Razali, Tengku Razaleigh Hamzah dan begitu ramai pemimpin PAS seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Haji Mohammad Sabu, Dato’ Dr. Hasan Ali, Dato’ Mahfuz Omar, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Dato’ Husam Musa. Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim juga pernah bermesyuarat di situ. Malah Astora Jabat pernah sampai di situ apabila kami mencabar dia berdebat dengan pimpinan PAS.
MENGIMBAS KEMBALI 2003
Walau bagaimanapun, rumah tersebut hampir tidak menjadi markas PAS bagi kawasan Parlimen Pandan.
Sebelum persempadan semula 2003, AJK Kerja PAS Kawasan Ampang Jaya yang berada di Pandan telah memulakan usaha untuk mencari sebuah tempat beroperasi yang baru.
Pada mulanya kami telah mengenalpasti sebuah ruang pejabat di tingkat 3 di Taman Mawar. Ianya satu blok dengan pejabat parti Gerakan dan tingkat dua digunakan untuk membuat kasut. Persetujuan telah dicapai dengan pemiliknya dan kami akan membuat pembayaran dalam masa yang terdekat. Walau bagaimanapun, saya merasa kurang selesa dengan keputusan tersebut.
Ketika itu saya selalu ke Kg. Pandan Dalam dan kadang kala berjumpa dengan Setiausaha PAS Cawangan di situ, Saudara Nizar. Melihat akan rumah yang beliau sewa, saya berpandangan rumah tersebut merupakan pilihan yang paling tepat untuk dijadikan markas. Ia di hadapan padang, berdekatan dengan masjid dan Jalan H begitu luas, sesuai untuk meletakkan kereta jika kami mengadakan program.
Sebenarnya sebelum itu, saya pernah merasmikan mesyuarat agung Cawangan tersebut di rumah itu dan pernah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil setinggan di rumah itu. Ketika itu saya adalah Pengerusi Lajnah Setinggan Dan Pekerja PAS Negeri Selangor dalam tahun 90’an. Saudara Khairuddin yang sekarang ini merupakan penasihat undang-undang saya di SUK adalah Setiausaha Lajnah.
Walau bagaimanapun, saya tidak mencadangkan kepada Saudara Nizar bahawa rumah yang beliau sewa lebih sesuai menjadi markas. Beliau masih tinggal bersama isteri dan anak-anak di situ.
Apa yang saya buat hanyalah melakukan solat hajat. Berdoa agar rumah tersebut dapat menjadi markas kami. Juga setiap kali saya ke Kg. Pandan saya akan lalu di hadapan rumah tersebut. Ini memeningkan kepala isteri saya yang selalu menemani saya ketika mengadakan lawatan ke Cawangan-Cawangan
Akhirnya tidak sampai seminggu selepas itu, Saudara Nizar menelefon saya dan menawarkan rumah tersebut kepada PAS. Bak kata orang putih, ”The rest is history”.
Sejak 2003, PAS Kawasan telah membelanjakan hampir RM20,000 untuk menjadikan rumah tersebut sebuah markas yang sempurna. Ia juga telah menjadi sebuah pusat khidmat masyarakat sebelum PAS menang di Chempaka. Tetapi apabila bumbungnya mula bocor akibat kayu-kayu yang telah reput, ianya tidak dapat diselamatkan lagi. Tidak balik modal untuk membaik pulih sahaja. Dengan masalah anai-anai, adalah lebih menguntungkan jika ia dirobohkan dan dibina semula.
Kita telah cuba memujuk pemiliknya untuk menjual kepada kita tetapi gagal. Akhirnya kita terpaksa berhadapan dengan realiti bahawa kita terpaksa meninggalkan rumah yang penuh sejarah itu.
MARKAS SEMENTARA DI PANDAN INDAH
Buat masa ini sehingga markas baru dikenalpasti, PAS Kawasan akan beroperasi dari Pusat Khidmat ADUN Pandan Indah.
Walau bagaimanapun, satu markas yang lebih kekal perlu dikenalpasti. Tidak memadai bagi kita untuk menyewa lagi. Memang benar hari ini sebagai kerajaan kita bebas menyewa dewan-dewan tetapi apa akan jadi sekiranya kita kehilangan kuasa? Mungkin ketika itu bukan sahaja dewan tidak dapat kita gunakan tetapi mungkin juga tidak ada siapa yang akan menyewakan kepada kita.
IKTIBAR
Ambillah iktibar dari apa yang berlaku di hadapan mata kita sekarang.
Ahli Parlimen Pandan yang juga seorang Menteri selama ini menggunakan dewan orang ramai di atas tanah kerajaan sebagai pusat khidmat beliau. Akhir apabila BN kalah di Selangor, beliau dihalau keluar.
Begitu juga dengan UMNO Bahagian Pandan yang juga menggunakan dewan orang ramai sebagai pejabat mereka. Akhirnya mereka terpaksa meninggalkan bangunan kemegahan mereka.
Janganlah sampai kita mengalami nasib yang sama seperti ahli Parlimen Pandan dan UMNO Bahagian Pandan.
MARKAS BARU
Buat masa ini kita telah ada pusat khidmat ADUN di Taman Angsana Hilir. Ianya milik PAS. Ianya dibeli dalam tahun 2007 hasil dari sumbangan ahli-ahli. Tetapi kita memerlukan satu bangunan untuk aktiviti harian seperti mesyuarat, kuliah atau majlis penerangan. Dewan-dewan dan MTD juga memerlukan tempat untuk beroperasi.
Tidak kiralah sama ada rumah kedai, pejabat atau rumah sekalipun, ianya perlu dikenalpasti dalam kadar yang segera.
Mungkin tugas ini nampak berat memandangkan harga hartanah di Pandan yang tinggi tetapi ianya sesuatu yang perlu dilakukan.
Untuk mencapai sesuatu sasaran kita perlu melakukan sesuatu yang luarbiasa. Jika kita meneruskan hidup seperti biasa kita tidak akan berupaya menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.
Tugas pimpinan adalah untuk mendapatkan yang terbaik dari mereka yang dipimpin. Setiap individu mempunyai sesuatu yang luar biasa di dalam diri mereka. Tugas pimpinan adalah untuk mengenalpasti kualiti ini dan memastikan ianya dapat dimanfaatkan untuk organisasi.
HEBATNYA ORANG SG. BESAR
Beberapa minggu lepas saya telah ke Sungai Besar menghadiri satu program bersama-sama ahli di sana. Hebat sungguh ahli-ahli PAS di Sg. Besar yang telah membina bangunan bernilai RM700,000. Yang menakjubkan, ianya dikumpul dalam masa 12 bulan.
Orang-orang bandar seperti di Pandan apabila diberitahu PAS di kawasan-kawasan luar bandar boleh membina bangunan sendiri, mereka akan berkata, ”Mereka bolehlah, tanah murah!”.
Tetapi di Sg. Besar, mereka boleh mengumpul hampir RM1 juta dalam masa yang singkat. Apakah boleh ahli-ahli Pandan menandingi usaha rakan-rakan kita di Sg. Besar?
Seorang Ketua PAS Cawangan pernah memberitahu saya bahawa kebanyakan penduduk di taman beliau sekurang-kurangnya memiliki RM1 juta di dalam akaun KWSP bila pencen kelak. Kalau begitu, sepatutnya tidak ada masalah bagi kita untuk membeli bangunan.
INFAQ
Ada orang kagum melihat orang yang boleh mendermakan beratus-ratus malah beribu-ribu RM. Walau bagaimanapun, seorang yang mendermakan beberapa RM juga kadang-kala lebih hebat dari mereka mendermakan wang yang banyak itu.
Contohnya kalau seorang profesional dengan gaji RM25,000 sebulan mendermakan RM1000 maka ianya adalah 4 peratus dari gaji bulanan beliau. Tetapi jika seorang pengawal keselamatan yang bergaji RM700 sebulan menderma RM50 maka ianya adalah 7.1 peratus dari gaji bulanan beliau.
Mungkin kita akan melihat sumbangan RM50 terlalu kecil berbanding dengan RM500 tetapi pada hakikatnya di atas kertas kesungguhan pengawal keselamatan itu hampir 2 kali ganda dari profesional tersebut.
Walaupun berapa yang disumbangkan, yang penting adalah keikhlasan dan sumbernya halal. Tetapi buat masa ini bantuan semua ahli untuk mengenalpasti bangunan yang sesuai adalah diperlukan. Hentikanlah segala ”politicking". Jatuh menjatuhkan satu sama lain. Ianya bukan budaya kita di Pandan. Berikanlah tumpuan kepada usaha-usaha yang boleh menghasilkan sesuatu yang ”tangible”.
29 November 2009
AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.
KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...
-
Pagi 9 April 2025, bagi pihak NGO Pertubuhan Forum Kesedaran Rakyat Negeri (Fikir Selangor), saya telah menyampaikan sumbangan-sumbangan unt...
-
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan...