Skip to main content

Coretan YDP Edisi 41 (20 Disember 2009) - SENJATA RAHSIA BN

Pada pilihan raya umum 1999, PAS mendapat 180,000 undi di Terengganu dan merampas negeri itu. BN hanya mendapat 120,000 undi.

Tetapi pada pilihan raya umum 2004, undi PAS telah menurun kepada 170,000. Dengan penurunan hanya 10,000, PAS sepatutnya berupaya mempertahankan kerajaan Terengganu, Walau bagaimanapun, undi BN telah meningkatkan ke 220,000 dan kerajaan PAS Terengganu telah tumbang.

Dari mana datangnya begitu ramai pengundi baru itu?

Adakah mereka benar-benar pengundi baru yang didaftar?

Adakah mereka pengundi-pengundi yang diimpot dari luar seperti dari Selangor atau negeri-negeri lain di Pantai Barat?

Atau adakah seorang pengundi telah didaftarkan di beberapa tempat mengundi?

Saya tidak akan memberi jawapan kepada soalan-soalan tersebut kerana ianya telah berkali-kali diulas oleh sama ada pemimpin politik atau penganalisa politik.

Tetapi fakta dari pilihanraya ke 11 itu sepatutnya telah menyedarkan kita betapa pentingnya pendaftaran pemilih.

PENDAFTARAN PEMILIH YANG DIABAIKAN

Kita kadang kala sibuk dengan program-program khidmat masyarakat atau program-program penerangan sehingga gerak kerja pendaftaran pemilih telah dilupakan.

Kita lupa untuk mendaftarkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong kita sebagai pemilih.

Di negeri di mana PAS maju ke hadapan seperti Kelantan, gerak kerja pendaftar pemilih dan menyemak senarai pemilih baru dijalankan secara sistematik.

Ianya dilakukan di peringkat akar umbi yang begitu peka kepada keperluan mendaftarkan pengundi-pengundi baru.

Jadi apa yang anda perlu lakukan?

TUGAS ANDA

Pertama, daftarkan ahli keluarga anda, jiran dan kawan anda sebagai pemilih. Tidak guna hebat berhujjah di kedai-kedai kopi jika telah gagal mendaftar sebagai pemilih.

Kedua, lakukan kempen mendaftar pemilih di Cawangan anda. Pergi dari rumah ke rumah atau buka kaunter di tempat umum.

SPR akan mempamerkan senarai pemilih baru setiap 3 bulan. Ianya akan diumumkan oleh akhbar, radio dan televisyen. Pameran akan dilakukan di dewan-dewan orang ramai, pejabat pos, pejabat kerajaan atau tempat-tempat awam yang lain.

Akan dipamerkan nama-nama mereka yang akan keluarkan dari daerah mengundi dan nama-nama mereka yang akan dimasukkan ke dalam daerah mengundi.

PENGUNDI HANTU

Tindakan ketiga adalah memastikan mereka yang dimasukkan ke dalam daerah mengundi anda benar-benar orang tempatan atau wujud. Mungkin mereka merupakan pemilih yang telah dipindahkan oleh BN ke daerah mengundi anda. Atau pengundi hantu.

Anda boleh menziarahi alamat mereka didaftarkan untuk memastikan mereka benar-benar menetap di situ. Atau gunakan apa cara sekalipun untuk mengenalpasti kewujudan mereka.

Kalau anda mengesyaki mereka pengundi hantu maka anda boleh membuat bantahan.

Pameran daftar pemilih ini dibuat selama dua minggu dan anda boleh membantah sepanjang pameran tersebut dibuat.
Ingat, walaupun mereka itu pengundi hantu tetapi jika tidak ada yang membantah sehingga tamat tempoh bantahan dan akhirnya nama mereka disahkan sebagai pemilih, mereka layak mengundi di daerah mengundi tersebut.

Tidak ada guna kita membantah di hari mengundi walau pun mereka sah dari Sabah sekalipun. Mereka tetap boleh mengundi, Kalau hendak melakukan bantahan, bantah ketika pameran dibuat.

NAMA AHLI DITENDANG KELUAR

Tindakan keempat adalah menyemak agar nama-nama ahli dan penyokong kita tidak di dalam senarai nama yang akan dikeluarkan dari daftar pemilih.

BN memang memindahkan pemilih-pemilih kita ke kawasan yang jauh-jauh sehingga mereka tidak dapat mengundi. Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hasan Shukri pernah mendapati nama beliau didaftarkan di Pahang walhal beliau tinggal di Taman Melewar. Siapa yang melakukannya? Kita semua pun tahu.

Oleh itu, semak pengundi-pengundi kita masih berada di dalam daerah mengundi mereka. Tidak ada gunanya mereka mengamuk di pondok panas apabila mendapati nama mereka di Hulu Terengganu pada hari mengundi.

Kadang kala juga nama-nama pengundi kita hilang terus dari daftar pemilih. Oleh itu, jika anda mendapati nama-nama pemilih kita hendak dikeluarkan maka anda perlu membantah.

18 BULAN SEBELUM PILIHAN RAYA

Ada lebih kurang 18 bulan sebelum pilihan raya umum ke 13. Mungkin ada 6 kali pameran daftar pemilih. Pastikan kali ini anda menyemaknya dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Walau bagaimanapun, pendaftaran pemilih boleh dilakukan sepanjang masa. PAS Kawasan akan membayar RM5 untuk setiap pemilih yang didaftarkan di DUN Chempaka oleh Cawangan-Cawangan.

Hubungilah Sdra. Suhaimi Ghazali di 019-759 8622, Sdra. Kamarul di 013-223 0635 atau Pejabat ADUN Chempaka Angsana Hilir di 03-9283 3835 untuk sebarang bantuan atau pertanyaan.
Jika tenaga di Cawangan anda terhad, dahulukan kerja-kerja daftar pemilih. Dua atau tiga orang boleh melakukan gerak kerja ini.

Pastikan anda memiliki senarai daftar pemilih terkini bagi daerah mengundi anda. Atau sekurang-kurangnya Cawangan anda. Kenali setiap pengundi.

PENGUNDI HANTU DIPANGGIL PULANG

Ada orang berkata UMNO dan BN telah lumpuh di Selangor. Memang kita amat payah hendak melihat program UMNO anjuran Bahagian atau Cawangan sejak kekalahan mereka. Mungkin yang kelihatan adalah kain-kain rentang yang naik sekali sekala.

Ada yang berkata UMNO dan BN tidak ada isu untuk dimainkan. Dengan krisis MCA pula, BN nampak tertekan. Tetapi mereka tidak perlu menganjurkan apa-apa program atau isu untuk merampas Selangor jika kita mengimbas pengalaman kita di Terengganu.

Telah ada laporan pengundi-pengundi Selangor yang dikesport ke Kelantan akan ditarik balik untuk memenangkan BN di Selangor. Angkanya bukan seribu dua tetapi puluhan ribu.

Pengundi BN selalunya mendaftar berdasarkan unjuran atau keputusan pilihan raya. Sekiranya sesuatu kawasan piliharaya, Parlimen atau DUN, mereka telah menang besar, mereka akan mendaftar atau memindahkan pengundi mereka ke kawasan yang mereka menang tipis.

Pilihan raya adalah satu sains yang tersendiri. Ia memerlukan kajian terperinci dan perancangan yang bijak. Pengundi tidak didaftar sesuka hati tetapi ada strategi yang teratur. Yang ada Ph.D. pun belum tentu boleh memahaminya.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi