Skip to main content

Coretan YDP Edisi 42 (2 Januari 2010) - AKIBAT SKREW YANG LONGGAR

Entah kenapa beberapa hari sebelum saya bertolak ke Amerika Syarikat, program Astro yang paling banyak saya tonton adalah "Seconds From Disaster" atau dalam Bahasa Malaysia, "Beberapa Saat Sebelum Malapetaka".

Ianya merupakan satu siri rencana yang menceritakan tentang kemalangan-kemalangan yang kebanyakannya melibatkan kapalterbang. Terdapat banyak siri dan kebanyakan siri menceritakan tentang kapalterbang-kapalterbang yang telah terhempas akibat dari beberapa faktor sama ada sebab-sebab teknikal atau kesilapan manusia.

Sepatutnya bagi seseorang yang akan menaiki kapalterbang hampir 20 jam merentasi Lautan Pasifik, siri tersebut merupakan siri yang paling akhir yang hendak saya tontoni. Tetapi saya amat tertarik kepadanya dan ianya mungkin kerana rumusan-rumusan yang dibuat pada akhir setiap siri.

Dari apa yang saya fahami, selalunya faktor utama yang menyebabkan kemalangan bukan faktor-faktor besar seperti enjin kapalterbang yang meletup atau gagal berfungsi. Atau kemalangan itu disebabkan kesilapan juruterbang atau pembantunya. Selalunya kemalangan berlaku akibat dari perkara-perkara kecil yang kadang kala dianggap remeh tetapi kesannya sungguh besar.

Dalam satu kes di mana sebuah kapalterbang telah terhempas, punca utama kenapa kemalangan itu berlaku adalah 2 biji skrew. Skrew-skrew yang begitu kecil tetapi sungguh penting. Akibat dari pemasangan yang tidak menurut garispanduan yang ditetapkan, akhirnya salah satu dari enjin kapalterbang itu telah jatuh ke bumi. Dalam masa 31 saat kapalterbang yang malang itu telah terhempas dan mengorban kesemua penumpang dan anak kapalnya.

Ada banyak lagi contoh di mana kemalangan telah berlaku akibat dari perkara-perkara yang mungkin dianggap kecil. Contohnya di dalam satu kes lain, sebiji lampu di "cockpit" sebuah kapalterbang telah tidak berfungsi dan ini mengakibatkan juruterbang itu telah membuat keputusan yang salah. Akhirnya kapalterbang itu telah terhempas hanya kerana satu dari berpuluh-puluh biji lampu telah tidak berfungi.

Ini bermakna setiap bahagian atau komponen sebuah kapalterbang itu sama pentingnya. Tidak ada yang lebih, tidak ada yang kurang.

Perkara yang sama juga benar bagi sebuah organisasi atau parti politik atau gerakan Islam seperti PAS. Sama ada ahli biasa, AJK Cawangan, AJK UPU, AJK MTD, AJK Lajnah, AJK JPrK, AJK Dewan atau AJK Kawasan, mereka mempunyai tugas masing-masing. Tugas mereka sama penting. Sama ada AJK Cawangan atau Yang Dipertua PAS Kawasan, mempunyai peranan tersendiri. Tidak ada seorang pun boleh berkata, "Aku hanya seorang AJK Cawangan, aku tak penting, tak payah kerja pun tak apa".

Ingat apa yang terjadi kepada kapalterbang yang terhempas kerana kehilangan enjin. Akibat dari 2 biji skrew, beratus telah kehilangan nyawa. Kita tenggelam dan timbul bersama.

CUBAAN MELETUPKAN KAPALTERBANG

Saya telah tiba di Amerika Syarikat ketika berita seorang pemuda Somalia ditangkap kerana dituduh cuba meletupkan sebuah kapalterbang yang telah berlepas dari Amsterdam dan mendarat di Detroit menjadi berita paling hangat.

Sebagai seorang Muslim, sudah tentu ada rasa bimbang tentang reaksi masyarakat di sana terutamanya pihak berkuasa terhadap seorang Muslim.

Walau bagaimana pun saya mengambil keputusan yang saya perlu jelas tentang prinsip saya. Oleh itu, tidak ada berselindung-selindung. Pada waktu solat, saya akan solat tidak kira di mana. Walaupun di khalayak ramai, saya hanya perlukan sedikit ruang. Saya memberitahu pihak yang mengiringi saya, saya perlu solat. Walaupun orang Amerika, orang Kristian, pendirian saya dihormati. Saya tidak berkata, maafkan saya, saya hendak ke "restroom" tetapi berkata, ”I need to pray”.

Begitu juga dengan makanan. Tidak ada kompromi. Saya tidak berkata, saya hanya boleh makan "vegetarian food" tetapi saya berkata saya mahu makanan halal. Makanan halal bukan bermakna makanan Malaysia tetapi makanan yang dibenarkan oleh hukum syarak. Mungkin ada "vegetarian food" yang boleh saya makan tetapi sebagai seorang Muslim saya tidak mahu berselindung seolah-olah makanan halal itu hina.

PERLU JUGA JELAS DI DALAM POLITIK

Begitulah juga di dalam perjuangan, kita perlu jelas. Prinsip perjuangan PAS perlu jelas. Tidak perlu berselindung-selindung. Ini jalan kita.

Saya kagum dengan DAP yang sejak ia ditubuhkan jelas dengan dasar perjuangannya. Dasar "Malaysian Malaysia" yang mula dipelopori oleh PAP ketika Singapura berada di dalam Malaysia telah diteruskan oleh DAP.

DAP tidak akan melepaskan sebarang peluang untuk menjelaskan konsep "Malaysian Malaysia" kepada rakyat sama ada ketika berada di kalangan orang Melayu atau orang bukan Melayu.

Pada sidang yang lepas, ADUN Kota Alam Shah yang hadir kali pertama sejak dibebaskan dari tahanan ISA telah menggemparkan Dewan Undangan Negeri Selangor. Beliau mendakwa kerajaan negeri tidak memberikan peruntukan yang secukupnya kepada masyarakat India.

Walaupun dakwaan itu tidak benar dan cara ia disuarakan bertentangan dengan semangat Pakatan Rakyat tetapi ADUN yang juga pimpinan Hindraf itu jelas di dalam matlamat beliau.

PAS juga perlu jelas apa yang kita hasratkan. Kita tidak seharusnya menipu pengundi. Kita perlu jelas, kita perlu ikhlas. Kita tidak boleh bercakap begini pada satu ketika dan pada satu ketika yang lain bercakap yang bertentangan.

Dari segi hukum, dari segi prinsip kita tidak boleh berganjak. Janganlah disebabkan kita takut kehilangan undi, kita menggadai prinsip, kita mengorbankan aqidah, kita membisu, kita berdolak dalik, kita menyembunyikan fakta.

Jika sesuatu perkara itu tidak betul dan PAS berdiam diri maka umat Islam akan menyangka ia betul. Begitu besar peranan PAS untuk bersuara di dalam semua isu.
Walau bagaimanapun, kadang kala kita merupakan seorang jurujual atau "salesman” yang buruk. Perkara-perkara yang kita terangkan kepada masyarakat tentang Islam adalah perkara-perkara yang hanya akan menjauhkan rakyat, terutamanya yang bukan Islam, jauh dari Islam. Seorang penjual durian tidak akan menceritakan tentang duri yang tajam tetapi isinya yang sedap.

Islam itu indah. Selepas 9/11, ramai yang telah memeluk Islam setelah mengkaji tentang Islam. Kita perlu mengkaji apakah ciri-ciri yang telah menarik mereka kepada Islam.

OPERASI MENCEGAH KEMUNGKARAN

Lazimnya malam Tahun Baru atau malam ulangtahun kemerdekaan negara, akan dianjurkan operasi mencegah kemungkaran atau maksiat.

Ramai yang akan ditangkap kerana berkhalwat, berkelakuan sumbang atau meminum arak. Tetapi kemungkaran dan maksiat berlaku sepanjang masa dan bukan pada malam-malam tertentu.

Oleh itu, operasi itu perlu dijalankan sepanjang masa. Jika ia hanya diadakan pada malam-malam tertentu di mana ketika itu para pemberita dan kamera televisyen turut hadir, maka masyarakat akan menuduh kita atau NGO atau pemimpin NGO yang terlibat hanya mengejar publisiti.

Dari pusat khidmat saya, saya dapat melihat ramai orang Islam membeli "tiket ekor". Di malam hari, pondan-pondan berkeliaran di Pandan Indah. Kalau anda berjalan di padang-padang, anda akan berjumpa dengan botol-botol arak yang berselerak.

Tanggung jawab membanterasnya adalah tanggung jawab kita semua. Ia perlu dilakukan sepanjang masa.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi