Skip to main content

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Oleh Dato Iskandar Abdul Samad

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini.

Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel.

Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan.

Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel.

Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah mereka berstatus perniagaan ( komersial ) dan mereka tidak boleh membina bangunan kediaman seperti pangsapuri biasa atau kondominium. Justeru mereka hanya boleh membina pangsapuri perkhidmatan yang tertakluk kepada peraturan dan akta yang berbeza dari bangunan kediaman.

Sudah tentu terdapat perbezaan-perbezaan di antara pangsapuri perkhidmatan dan kediaman biasa. Para pembeli perlu sedar akan perbezaan-perbezaan ini supaya tidak terkejut setelah membuat pembelian. Berikut adalah senarai perbezaan,

1.) Untuk permulaan bilangan unit yang boleh dibina adalah berbeza. Untuk tanah berstatus bangunan kediaman, bilangan yang boleh dibina adalah berdasarkan kepadatan ( density ) yang dibenarkan. Contohnya ia mungkin 70 hingga 80 unit kediaman seekar.

Tetapi bagi pangsapuri perkhidmatan di atas tanah berstatus perniagaan, bilangan unit yang boleh dibina adalah berdasarkan nisbah plot ( plot ratio ). Dengan nisbah plot, bilangan unit yang boleh dibina adalah lebih tinggi dari formula menggunakan kepadatan. Ia mungkin sehingga 100 unit untuk satu ekar atau lebih.

Oleh itu, pembangunan pangsapuri perkhidmatan adalah lebih padat dari pembangunan pangsapuri biasa. Sudah tentu ini memberi kesan kepada mereka yang tinggal di situ.

2.) Pangsapuri perkhidmatan adalah bangunan perniagaan dan kadar untuk tarif air dan tarif elektrik adalah lebih tinggi dari rumah kediaman.

Ketika saya masih menjadi Exco Perumahan Negeri Selangor, pejabat saya pernah membantu penduduk yang tinggal di bangunan perniagaan memohon untuk dikenakan tarif elektrik kadar kediaman.

Memang terdapat usaha-usaha untuk memastikan mereka yang tinggal di pangsapuri perkhidmatan menikmati kadar yang sama seperti kediaman biasa.

3.) Oleh kerana ia adalah bangunan perniagaan maka cukai taksiran ( cukai pintu ) yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan seperti majlis bandaraya, majlis perbandaran atau majlis bandaran adalah juga lebih tinggi.

4.) Yuran Penyelenggaraan ( Maintenance Fees ) yang dikenakan ke atas setiap unit adalah lebih tinggi bagi pangsapuri perkhidmatan dari pangsapuri atau kondominium. Yuran ini digunakan oleh pihak pengurusan untuk menyelenggara pembangunan tersebut.

Terdapat pembeli-pembeli rumah yang terkejut kerana mereka terpaksa membayar yuran ini atau yuran yang dikenakan adalah tinggi dan di luar kemampuan mereka untuk membayarnya setiap bulan. Setiap pembeli rumah perlu mengetahui jumlah yang perlu dibayar sebelum membeli.

Pastikan juga sama  ada perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan adalah percuma atau perlu dibayar untuk digunakan. 

Walau bagaimanapun terdapat juga kelebihan-kelebihan tinggal di pangsapuri perkhidmatan. Pembangunan ini lazimnya di kawasan yang strategik di tengah bandar dan ada yang berhampiran dengan pengangkutan awam seperti MRT, LRT atau komuter.

Bagi mereka yang membeli sebagai pelaburan jangkapanjang, lokasinya yang strategik membuatnya senang untuk disewakan.

Pembangunan ini juga sering dibina sebagai sebahagian dari pembangunan bercampur yang turut terdapat pusat komersial seperti kompleks membeli belah. Justeru ia berhampiran dengan pelbagai kemudahan. 

Lokasi mempengaruhi harga jualan. Pangsapuri perkhidmatan dengan lokasi yang baik seluas 500 kaki persegi boleh dijual sehingga RM500,000 atau RM1,000 untuk 1 kaki persegi. Walhal RM500,000 boleh membeli pangsapuri biasa dengan keluasan sehingga 1,000 kaki persegi.

Hari ini pemaju tidak hanya menjual rumah tetapi menjual satu gaya hidup. Terdapat mereka yang sesuai dengan gaya hidup ini. Terdapat juga mereka yang mahu kediaman yang tenang dan jauh dari hiruk-pikuk bandar. Ia adalah pilihan masing-masing. Tetapi sebagai pembeli rumah yang akan membelanjakan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk membayar balik pinjaman mereka perlu memikirkan dengan teliti gaya hidup yang paling sesuai untuk mereka.

28 September 2020

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi