Skip to main content

BAB 15 - HULL, DI MANA PERANG SAUDARA BERMULA.

Hull adalah satu bandaraya di timur laut England dan lebih kurang 200 km dari London. Perjalanan ke London adalah 4 jam dengan kereta atau 3 jam dengan keretapi. Dengan penduduk lebih kurang 250,000 ia adalah bandaraya ke 10 terbesar di Britain. Hull adalah sebuah pelabuhan. Terdapat feri-feri penumpang ke Rotterdam di Belanda dan Zeebrugge di Belgium.

Bandaraya tersebut terletak terletak di dalam daerah ( county ) Yorkshire yang unik dengan budayanya yang tersendiri. Yorkshire adalah daerah terbesar di England justeru telah dibahagikan kepada beberapa kawasan pendtadbiran iaitu North Yorkshire, South Yorkshire, West Yorkshire dan East Riding of Yorkshire. Hull terletak di dalam East Riding of Yorkshire atau East Yorkshire dan nama lamanya ketika saya tinggal di sana adalah Humberside. Nama itu ditukar dalam tahun 1996.

Saya telah menyambung pengajian saya di Hull dalam bidang Senibina ( Architecture ) setelah menduduki peperiksaan A-Levels. Selepas MCE ( SPM ) saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Britain dalam bidang Kejuruteraan Elektrik ( Electrical Engineering ). Walau bagaimanapun saya tidak berminat langsung dengan kursus tersebut. 

Minat saya adalah pada Perancangan Bandar ( Town Planning ) dan Senibina. Saya ada memohon untuk mengikuti kursus Senibina di Institut Teknologi Mara tetapi tidak ditawarkan mungkin kerana nama saya telah berada dalam senarai untuk ke luar negara. 

Sebelum saya bertolak ke England saya telah memberitahu ibubapa saya akan hasrat saya untuk menukar kursus. Mereka amat bimbang dan telah menasihatkan saya agar memberi tumpuan kepada peperiksaan A-Levels terlebih dahulu.

Apabila tiba masa untuk memohon mengikuti kursus ijazah saya telah bertekad memohon kursus Perancangan Bandar atau Senibina. Ketika saya memikirkan pilihan-pilihan tersebut, seorang rakan bernama Tarmizi menempelak saya, "Town Planning mana glamour, ambillah Architecture". Saya pun memilih Senibina.

Sebenarnya terdapat 2 pilihan. Sama ada Senibina di Hull atau Perancangan Bandar di London. Tetapi saya memilih Hull kerana saya ada kawan di Hull. Selain dari itu, London pada saya adalah tempat yang menarik untuk melancong atau membeli-belah tetapi bukan untuk tinggal. Saya hanya memilih untuk tinggal di London setelah bekerja kerana gaji yang ditawarkan di London adalah lebih tinggi justeru saya dapat hidup dengan selesa di situ.

Hull bukanlah satu bandaraya yang terkenal. Tidak terdapat tarikan-tarikan pelancongan yang popular. Tidak terdapat kelab bolasepak yang ternama. Tidak terdapat tapak-tapak sejarah yang terkenal tetapi bandaraya ini adalah penuh dengan sejarah.

Ramai ahli-ahli sejarah yang menganggap Hull merupakan tempat bermulanya Perang Saudara Inggeris ( English Civil War ) dari 1642 hingga 1651. Keengganan penduduk penduduk Hull membenarkan Raja England, King Charles 1, memasuki bandaraya itu pada 23 April 1642 merupakan satu detik yang bersejarah di dalam sejarah England dan Britain. Hull ketika itu adalah satu kota penting yang mengawal jalan masuk ke 2 sungai penting, Ouse dan Trent. King Charles yang berperang dengan Parlimen pimpinan Oliver Cromwell mahu merampas senjata, peluru dan ubat bedil yang disimpan di Hull. Penduduk Hull menyebelahi Parlimen dalam peperangan tersebut.

Hull juga merupakan bandar asal bagi William Wilberforce yang merupakan tokoh penting gerakan menghapuskan hamba abdi di Britain. Beliau adalah Ahli Parlimen bandaraya tersebut dan pada 2 April 1792 telah membentangkan rang undang-undang untuk menghapuskan hamba abdi. Rang-rang undang itu telah diluluskan walaupun terdapat interpretasi yang berbeza terhadapnya. Hari ini terdapat bangunan dan jalan-jalan di Hull yang mengambil sempena nama beliau. Patung-patung beliau juga ditegakkan.

Memang tidak terdapat kelab bolasepak yang ternama di Hull tetapi Hull ketika itu mempunyai dua kelab "rugby league" yang kuat, Hull FC dan Hull Kingston Rovers ( Hull KR ). "Rugby league" adalah lebih menarik dari ragbi ( rugby union ) yang popular di Malaysia. Permainannya lebih laju dan peraturan-peraturan permainannya lebih mudah. Menurut sejarah "rugby union" popular di kalangan kelas pertengahan ( middle class ) dan "rugby league" popular di kalangan kelas pekerja ( working class ).

Ketika itu Hull FC dan Hull KR adalah seperti Manchester United dan Manchester City dalam bolasepak. Pada tahun 1980, kedua-dua Hull FC dan Hull KR telah memasuki perlawanan akhir "Challenge Cup" yang seperti Piala FA di dalam bolasepak. Perlawanan akhir tahun 1981, 1982, 1983, 1985 dan 1986 telah melihat sekurang-kurangnya satu kelab Hull itu layak ke perlawanan akhir.

Hull juga terkenal kerana Humber Bridge. Ketika saya menjejakkan kaki di sana, jambatan tersebut baru saja dibuka dan merupakan jambatan gantung ( suspension bridge ) yang terpanjang di dunia. Jambatan gantung adalah jambatan yang digantung dengan kabel-kabel. Kabel-kabel ini pula digantung dari kabel utama yang digantung di antara 2 menara. Hari ini jambatan itu adalah di antara 18 jambatan yang masih mengenakan tol di Britain.

Hari ini jambatan yang sepanjang 1.41 km itu adalah jambatan gantung ke 11 terpanjang di dunia tetapi masih mengatasi Golden Gate Bridge yang terkenal di San Francisco sepanjang 1.28 km. Pemandangan jambatan yang merentas sungai Humber ini sungguh indah. Saya pernah merancang dengan seorang kawan untuk berkhemah di kawasan berhampiran untuk merakamkan gambarnya ketika matahari terbenam.

Di Hull saya telah mengikuti kursus ijazah pertama selama 3 tahun dalam bidang Senibina yang memberi pengecualian dari peperiksaan Bahagian 1, RIBA ( Royal Institute Of British Architects ). Selepas itu saya perlu menjalani latihan amali ( practical training ) selama setahun di firma arkitek yang diiktiraf sama ada di Britain, Malaysia atau di mana-mana sahaja di dunia. Selepas itu saya perlu mengikuti kursus diploma selama 2 tahun yang memberi pengecualian dari peperiksaan Bahagian 2, RIBA. Di institut-institut pengajian yang lain, peringkat ini tidak dipanggil diploma tetapi dengan nama-nama lain seperti Masters In Architecture.

Buat pertama kali saya tiba di England, ini adalah kali pertama saya rasa seronok belajar. Saya memang meminati kursus Senibina. Jika di peringkat A-Levels saya perlu memaksa diri saya untuk pergi ke kelas, membuat kerja rumah atau mengulangkaji tetapi di Hull saya boleh duduk berjam-jam di hadapan "drawing board" tanpa merasa jemu. Saya boleh tidak makan dan tidak tidur kerana menghabiskan kerja-kerja kursus. Saya boleh duduk hingga malam di perpustakaan dan saya amat teruja dengan lawatan-lawatan tapak.

Walau bagaimanapun senibina adalah satu bidang yang subjektif. Kami perlu menyiapkan projek-projek seolah kami adalah Arkitek di dunia luar. Di Hull, jika projek seorang pelajar itu gagal maka pelajar itu akan gagal dan terpaksa mengulang atau tersingkir terus. Masalahnya lulus atau gagal bergantung kepada keputusan pensyarah-pensyarah kami. Walaupun projek yang dinilai itu lengkap dengan pelan, perpektif, model, kajian dan pengiraan namun belum tentu projek itu akan lulus. Ini kadang-kala membingungkan apabila ada yang gagal atau tidak mendapat keputusan yang cemerlang walaupun projek mereka memenuhi keperluan-keperluan yang ditetapkan dan mematuhi semua piawaian-piawaian.

Akibatnya terdapat dakwaan ada pensyarah-pensyarah yang bias. Ini berlaku ketika saya di tahun satu di Hull. Terdapat seorang pensyarah yang tidak disukai oleh pelajar-pelajar kerana didakwa bias dan selalu mengeluarkan komen-komen yang menghina. Akhirnya ada seorang pelajar yang melancarkan kempen memungut tandatangan dari pelajar-pelajar memprotes sikap pensyarah tersebut. Pelajar itu adalah pelajar tempatan.

Tetapi beliau membuat kesilapan besar, beliau hanya mengumpul tandatangan dari pelajar-pelajar tempatan. Beliau tidak meminta pelajar-pelajar luar negara dari Malaysia, Brunei, Hong Kong atau negara-negara Afrika untuk menandatangan memorandum itu. Saya masih ingat kami pelajar-pelajar tahun satu sedang menonton rakan-rakan kami bermain "pool" ketika waktu rehat dan tiba-tiba datang pelajar yang memungut tandatangan itu. Beliau tidak menghiraukan kami pelajar-pelajar luar negara tetapi hanya menghampiri pelajar-pelajar tempatan seolah-olah kami tidak wujud.

Akhirnya satu pertemuan telah diadakan di antara pensyarah tersebut dan pelajar-pelajar tahun satu. Pertemuan itu tidak seperti yang dijangkakan. Sepatut ia merupakan satu peluang bagi mereka yang tidak berpuas untuk melepaskan geram. Tetapi sebelum pertemuan itu menjadi panas saya telah bangkit berucap dan memanaskan suasana. Saya mengecam mereka yang mengusahakan memorandum itu kerana mengenepikan pelajar-pelajar luar negara. Dalam suasana tersebut sudah tentu matlamat pertemuan tersebut tidak tercapai sepenuhnya. Ia merupakan satu pengajaran kepada mereka yang mengenepikan pelajar-pelajar luar negara.

Peristiwa tersebut tidak menjejaskan hubungan kami pelajar-pelajar dari luar negara dan pelajar-pelajar tempatan. Ia tidak mencetuskan perang saudara seperti dalam tahun 1792. Tidak ada King Charles 1 atau Oliver Cromwell. Kami dapat menjalinkan kerjasama di dalam projek-projek dan kerja-kerja kursus. Kami sama-sama pergi ke lawatan tapak atau ke bandar-bandar lain.

Mungkin budaya orang di sana adalah berbeza. Mereka mereka tidak menyimpan dendam di dalam seperti orang Melayu yang bergaduh 7 keturunan. Mereka melepaskan segala-galanya dan selepas itu tidak diungkit lagi. Ini adalah pengalaman saya tetapi mungkin berbeza dari orang lain.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...