Skip to main content

PENYELEWENGAN TANAH BUKIT BOTAK : MEREKA YANG DISINGKIR AKAN DIBELA

SHAH ALAM - Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad memberi jaminan bahawa nasib mereka yang telah disingkirkan di dalam rancangan penyelesaian setinggan Kg. Bukit Botak, Selayang akan dibela.

Menurutnya lebih 1,400 bekas setinggan telah diberikan tanah oleh kerajaan Barisan Nasional yang lepas. Walau bagaimanapun, terlalu banyak aduan yang telah diterima tentang berlaku penyelewengan dan penipuan.

Iskandar memberitahu terdapat aduan bahawa mereka yang tidak menetap di kampung itu turut diberikan tanah sementara mereka yang tidak menyokong Barisan Nasional telah disingkirkan.

Beliau juga melaporkan bahawa di dalam satu kajian yang dibuat terdapat mereka yang mendapat tanah berumur kurang dari 18 tahun ketika bancian setinggan dilakukan pada tahun 1985 malah ada yang hanya 8 tahun.

"Kerajaan negeri telah menangguhkan pengeluaran geran bagi baki geran-geran yang masih belum dikeluarkan sehingga segala siasatan selesai dilakukan tetapi mereka yang benar-benar layak tidak perlu bimbang", tambahnya lagi.

Katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat sebarang penyelewengan dan jawatankuasa ini dan akan dianggotai oleh dirinya sendiri, ahli Parlimen Selayang - William Leong, ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) - Haji Mohammad Abdul Rahman, wakil dari MPS, Pegawai Daerah Gombak - Huzaini Samsi dan beberapa orang wakil penduduk.

Beliau juga memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan pada 15 Mei lepas dari Pejabat Tanah Gombak setelah penyelewengan ini didedahkan oleh akhbar-akhbar tempatan.

20 Mei 2009

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi