SAYA TIDAK PERNAH MENUDUH BARISAN NASIONAL (BN) SABOTAJ KERJA-KERJA BAIK PULIH LIF DI TAMAN PERMAI INDAH, KLANG
Saya ingin menafikan bahawa saya telah menuduh Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab di atas kecurian yang telah melambatkan kerja-kerja membaik pulih lif-lif di Taman Permai Indah, Klang.
Saya hanya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menyiasat sama ada kecurian pada 11 Mei lepas merupakan usaha untuk menggagalkan kerja-kerja membaik pulih itu.
Selain dari kecurian, sebahagian dari alat-alat ganti telah juga rosak kerana dimasuki air.
Sehubungan itu, saya akan mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) supaya mempengerusikan satu jawatankuasa penyiasat.
Oleh itu, saya tidak faham kenapa pemimpin BN perlu marah dengan kenyataan saya bahawa siasatan itu untuk menentukan sama ada kecurian dan kerosakan itu satu sabotaj.
Mungkin juga mereka bimbang rakyat akan menuding jari kepada mereka kerana mereka telah mempolitikkan kerja-kerja membaik pulih itu sejurus setelah berlakunya kecurian dan kerosakan tersebut.
Menurut perancangan baru, kesemua lif-lif itu akan siap untuk diuji pada 30 Jun 2010. Lif-lif itu pula akan mendapat sijil-sijil kebenaran untuk digunakan dari pihak berkuasa selewat-lewatnya dua minggu selepas ianya diuji.
Lif-lif tersebut sedang dibaiki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui skim bantuan Kerajaan Negeri yang melibatkan 3 kawasan rumah kos rendah dengan kos melebihi RM1.6 juta.
Ketika Selangor diperintah oleh BN, penduduk tidak pernah mendapat bantuan membaik pulih seperti ini. Hanya sekarang terdapat pemimpin BN yang berjanji hendak membantu dengan memohon campur tangan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
16 Jun 2010