Sunday, November 22, 2009

POLITIK ITU ADALAH PERSEPSI - Coretan YDP Edisi 37

Orang kata, ”Politics is all about perception” atau politik adalah persepsi.

Memang betul di dalam politik, persepsi rakyat itu teramat penting. Kadang-kala nasib pemimpin politik, sebuah gerakan politik atau malah sebuah kerajaan itu bergantung semata-mata kepada persepsi rakyat.

Kadang-kala tidak penting sama ada seorang pemimpin itu telah melaksanakan tanggung jawab beliau atau tidak. Yang menentukan masa depan beliau adalah persepsi rakyat.

Tidak penting sama ada sebuah parti politik betul atau salah. Yang menentukan sokongan adalah persepsi rakyat.

Tidak penting sama ada sebuah kerajaan bertanggung jawab atau tidak. Yang menentukan kemenangan pada pilihanraya adalah persepsi rakyat.

Kita mungkin tidak setuju dengan perkara ini tetapi ia adalah hakikat hidup. Itulah sebabnya parti-parti politik dunia menghabiskan wang yang banyak untuk membentuk persepsi. Ada yang menggunakan khidmat syarikat pengiklanan. Memasarkan imej parti dan pemimpin parti telah disamakan dengan memasarkan sekeping cokelat atau sebotol syampu.

Kalau kita mengimbas kembali kepada Seerah, Rasulullah SAW tidak bertindak untuk membunuh ketua kumpulan Munafik kerana bimbang masyarakat akan berkata Baginda telah membunuh seorang sahabat. Di kaca mata masyarakat, ketua Munafik itu adalah seorang sahabat. Bukankah persepsi masyarakat juga diambil kira sejak di zaman Rasulullah SAW?

PERSEPSI RAKYAT TERHADAP PAS

Pada saya, perkara yang melanda PAS sekarang adalah berpunca dari persepsi. Kenapa dengan tiba-tiba PAS dituduh sebagai berpecah-belah dan tidak stabil?

Bagi kita yang selalu turun ke Kawasan-Kawasan, sudah tentu mendapati tuduhan-tuduhan ini tidak benar.

Struktur organisasi di akar umbi masih kuat, perpaduan di kalangan ahli-ahli masih padu dan masih terdapat kumpulan-kumpulan teras ahli-ahli yang bekerja tanpa mengenal penat atau lelah.

Puncanya apabila dua orang pimpinan tertinggi berbeza pendapat. Sama ada secara sedar atau tidak sedar, ini disambut oleh pemimpin-pemimpin lain. Ada yang menyokong yang ini dan ada yang menyokong yang itu. Kemudian terjunlah orang luar ke dalam gelanggang. Kita pun terikut-ikut. Kucar-kacir. Haru-biru. Media pun memainkan peranan. Dari parti yang paling kuat dan paling stabil kepada parti paling bermasalah dalam Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan PAS di Selangor. Akibat dari beberapa pandangan yang berbeza yang disiarkan oleh akhbar-akhbar, seluruh organisasi PAS di Selangor dikatakan bermasalah.

Tetapi tidak mungkin dalam sekelip mata PAS Selangor atau seluruh organisasi PAS, dari Pusat, Dewan, Negeri, Kawasan hingga ke Cawangan menjadi bermasalah. Di mana-mana program masih berjalan, mesyuarat masih diadakan, ceramah masih dianjurkan dan kuliah-kuliah masih tidak terabai.

Walau bagaimanapun, kesemuanya tidak diambil kira. Masyarakat mempunyai persepsi yang berlainan. Media membentuk persepsi ini. Yang paling menyedihkan ada di antara kita yang mengiyakan propaganda-propaganda media itu. Sama ada di kedai-kedai kopi atau di serambi-serambi surau. Kita pula menjadi agen-agen yang memanjang propaganda-propaganda untuk menghancurkan PAS itu.

BEGITU RAPUH

Tetapi adakah kita begitu rapuh sehingga terlalu mudah untuk diperkotak-katikkan?

Sebenarnya bukan sahaja parti politik boleh menjadi mangsa tetapi sebuah kerajaan pun boleh tumbang akibat dari permainan media dan perancangan rapi untuk menghancurkannya.

Tidak susah untuk mengkucar-kacir sebuah organisasi. Kadang-kala tidak memerlukan teknologi yang canggih. Tidak perlu mencetak beribu-ribu helai risalah. Tidak perlu menggantung berpuluh-puluh kain rentang.

Contohnya sebuah Kawasan dan Cawangan boleh dilumpuhkan dengan hanya beberapa orang. Ini yang dinamakan perang saraf. In yang dinamakan ”psy-war”.

Jika ada seorang dua yang menjaja cerita di kedai-kedai kopi, masjid-masjid dan surau-surau, ia sudah dapat membentuk persepsi ahli-ahli dan masyarakat terhadap Kawasan atau Cawangan. Sama ada baik atau buruk.

Walaupun Kawasan tersebut mempunyai ribuan ahli atau Cawangan yang mempunyai ratusan ahli namun dengan hanya beberapa orang yang bekerja keras ”mencucuk” mampu menggagalkan perancangan atau memburukkan pimpinan.

Persepsi rakyat ini penting sehingga sebuah Badan Perhubungan PAS Negeri telah menggaji beberapa orang untuk pergi dari kedai kopi ke kedai kopi untuk menjelaskan isu-isu.

Di kedai-kedai kopi, kita dapat berjumpa dengan semua jenis manusia. Ianya lebih efektif dari ceramah yang kebanyakannya penyokong dan aktivis atau kuliah dan usrah yang kebanyakannya orang-orang PAS. Mungkin juga pimpinan perlu turun ke kedai-kedai kopi?

Bercakap tentang ”psy-war”, teringat saya tentang usaha pentadbiran Sukarno untuk mengganggu gugat kestabilan masyarakat di Malaysia ketika Konfrontasi dulu. Agen dihantar ke kawasan di mana orang Melayu sedang berkumpul seperti perhentian bas dan berkata, ”Tengok tu rumah besar, Cina yang punya”.

Kata-kata mudah seperti itu berupaya mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu supaya tidak memberi sokongan kepada usaha-usaha mempertahankan negara dari serangan Indonesia.

BODOHLAH UMNO JIKA ......

Di dalam satu kursus gerak saraf, kami diberitahu, ”Bodohlah UMNO jika tidak menghantar orang ke dalam PAS”.

Kenyataan itu benar ketika kita pembangkang dan sudah tentu benar ketika kita kerajaan. UMNO, SB atau risik tentera sudah tentu dihantar ke dalam PAS.

Pernah beberapa tahun yang lepas, saya dan beberapa orang AJK Kawasan telah pergi ke Balai Polis untuk membuat laporan Polis.

Seorang dari AJK itu terkejut apabila ternampak seorang hamba Allah yang masuk ke balai. Hamba Allah itu telah mula berjinak-jinak dengan ahli kariah masjid sahabat itu. Bertadarus bersama. Banyak bertanya soalan. Tetapi tidak ada yang tahu di mana beliau tinggal dan beliau muncul dengan tiba-tiba.

Salah seorang kami berkata, ”Mungkin dia pun hendak membuat laporan Polis”.

Tetapi kami tergamam apabila dia tidak pergi ke kaunter tetapi terus ke akuarium yang ada di ruang menunggu dan memberi makan ikan-ikan di situ. Kemudian dia terus masuk ke pejabat. Bukan sahaja anggota Polis mengenali beliau, ikan-ikan Polis pun mengenali beliau!

DIALOG PESURUHJAYA DI PANDAN

Beberapa minggu lepas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Hasan Mohd. Ali telah membuat lawatan ke Kawasan-Kawasan. Bagi Zon Tenggara, Pandan telah menjadi tuan rumah.

Suasana ketika itu masih panas maka seperti lawatan ke zon-zon yang lain hanya ahli-ahli dibenarkan masuk dan mereka dilarang membuat sebarang rakaman. Ianya perjumpaan ”anak-beranak” dan segala perbincangan sepatutnya habis di situ sahaja.

Tetapi pada keesokan hari saya telah mendapat panggilan dari seorang AJK PAS Pusat. Beliau memberitahu bahawa beliau ditelefon oleh seorang yang mengaku sebagai ”risik tentera” melapurkan dengan terperinci dialog malam itu.

Kenapa beliau melakukannya? Saya tidak tahu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Mungkin beliau mahu melaga-lagakan Dato’ Hasan dan pemimpin itu.

MESYUARAT PERHUBUNGAN

Pada hari Khamis lepas, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanan.

Ianya di antara mesyuarat yang paling produktif. Kami bersetuju untuk membeli bangunan, menganjurkan konvensyen dan membincangkan program-program tarbiyyah. Ianya tidak panas walaupun persepsi rakyat PAS Selangor sedang bergolak. Di dalam ucapan pembukaan, Dato’ Hasan mahu kita memandang ke hadapan dan jangan menoleh ke belakang.

HIDUP MACAM MAIN GOLF

Seorang pensyarah saya ketika di UK pernah memberitahu bahawa hidup ini seperti permainan golf. Di satu lubang kita mungkin melebihi ”par” tetapi di lubang yang seterusnya kita mesti melupakan lubang yang sebelumnya dan berusaha mendapat ”hole in one”. Beliau berkata sedemikian selepas saya mendapat satu keputusan peperiksaan yang kurang baik.

Tetapi di dalam politik, kita harus berwaspada. Musuh-musuh tidak mahu melihat kita hidup aman damai dan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja yang sebenar. Mereka mahu kita bergaduh dan bercakaran. Mereka mesti diperangi habis-habisan.

22 November 2009

Wednesday, November 18, 2009

Coretan YDP Edisi 36 - ISLAM YANG TIDAK MENGENAL SEMPADAN

Tanah perkuburan Islam Mahmudiah merupakan satu tanah perkuburan yang lama di Johor Baharu.

Ibu saya memberitahu nenek saya dan jiran-jirannya apabila hendak ke Masjid Sultan Abu Bakar akan berjalan kaki dari rumah mereka di Kg. Tarom dan merentasi tanah perkuburan itu. Walaupun di waktu malam.

Beliau yang telah lama meninggal dunia telah disemadikan di tanah perkuburan itu bersama beberapa keluarga kami, datuk-datuk, pakcik-pakcik dan sepupu-pupu.

Walaupun saya telah menetap di Lembah Kelang sejak berumur satu tahun dan jarang-jarang ke Johor Baharu namun tanah perkuburan itu masih jelas dalam ingatan. Saya telah beberapa kali menziarahi pusara-pusara keluarga kami di sana. Ibu saya juga pernah memberitahu terdapat satu kawasan di dalam tanah perkuburan itu yang selalu dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan berwarna merah. Di kawasan itu telah semadikan mereka yang dinamakan tentera-tentera Kabul. Siapakah mereka tentera-tentera Kabul itu?

Tentera-tentera Kabul adalah mereka yang telah berkhidmat di dalam Tentera British. Mungkin mereka dari Kabul atau dari India. Di dalam mata pelajaran sejarah di sekolah, kita kerap membaca tentang tentera-tentera Sepoy yang berkhidmat dengan British. Mungkin juga tentera-tentera Kabul ini tentera-tentera Sepoy.

Menurut sejarah, tentera-tentera Kabul ini berpengkalan di Johor Baharu. Ketika Perang Dunia Pertama, British telah berperang dengan Daulah Uthmaniyyah. Negara-negara Barat mengenalinya sebagai Turki. Ini amat mengelirukan kerana Turki hanyalah satu wilayah di Anatolia dan Khalifah di Istanbul pernah memerintah wilayah-wilayah dari Maghribi hingga ke sempadan Iran. Dari Yaman hingga ke sempadan Austria. Dalam satu peristiwa, wakil-wakil kerajaan Uthmaniyyah yang diraikan di Eropah terpingga-pinga apabila diperkenalkan sebagai wakil-wakil dari kerajaan Turki. Konsep negara bangsa belum wujud lagi ketika itu. Ummah adalah satu.

Berbalik kepada tentera Kabul, British telah mengerahkan mereka untuk berperang dengan Daulah Uthmaniyyah. Mereka enggan dan dilaporkan telah memberontak. Pada mereka, memerangi Daulah Uthmaniyyah bermakna memerangi Khalifah. Sebagai umat Islam mereka merasakan mereka mesti taat kepada Khalifah. Satu bentuk kepimpinan yang berterusan dari Khulafa Ar-Rasyidin.

Tetapi akhirnya mereka telah dapat ditangkap dan dihukum bunuh. Jenazah-jenazah mereka telah disemadikan di tanah perkuburan Mahmudiah.

Ada banyak pengajaran yang dapat dipelajari tentang nasib tentera Kabul. Mereka berada di dalam zaman ketika umat Islam masih ada seorang Khalifah. Ketika itu Sultan Abdul Hamid. Mereka memberi wala’ sehingga sanggup memberikan nyawa walaupun ketika itu Khalifah Islam berada di dalam keadaan yang lemah. Mereka memberi wala’ walaupun mereka tidak pernah mengenali Khalifah dari dekat, mungkin juga tidak pernah melihat wajah Khalifah. Tidak ada televisyen di zaman tersebut.

Tetapi mereka memberi wala’ walaupun mereka tidak menetap di dalam lingkungan kekuasaan Daulah Uthmaniyyah. Mereka digaji oleh British tetapi taat setia mereka tetap kepada pemerintahan Islam. Walaupun ianya terletak beribu batu jauhnya.
Di antara yang dapat dipelajari dari peristiwa itu adalah Islam tidak mengenal sempadan. Islam tidak mengenal sempadan negara atau negeri apatah lagi sempadan daerah, DUN atau kampung.

Penjajah mengajar kita sejarah bagaimana Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511. Bagaimana orang-orang Melayu cuba merampas balik kota itu. Tetapi kita tidak diajar bahawa turut bersama pahlawan-pahlawan Melayu adalah tentera dari Timur Tengah. Tentera Arab yang datang beribu-ribu batu demi agama Allah. Kita juga jarang mendengar bagaimana ketika Aceh diserang Belanda, Khalifah Islam di Istanbul telah menghantar meriam-meriam untuk membantu. Kita adalah satu sehingga dipecah perintah oleh penjajah dan ditanam semangat kebangsaan, kenegerian dan kedaerahan.

Tentera Kabul itu juga mengajar kita erti wala’. Saidina Ali R.A. pernah berkata, tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, tiada kepimpinan tanpa wala’. Tetapi kadang kala bukan sahaja wala’ tidak ada tetapi akhlak terhadap kepimpinan juga tidak seperti seorang Muslim. Ada yang menggunakan peristiwa Saidina Umar R.A. diingatkan akan diajar dengan pedang jika menyeleweng sebagai alasan. Kadang kala semata-mata tidak menurut cita rasa kita, kita seolah-olah mahu ”mengajar pimpinan dengan pedang”. Akhirnya ramai yang lain menjadi bosan. Bosan apabila mesyuarat tidak ada keputusan. Perkara yang kecil dibesar-besarkan.

Walau bagaimanapun Islam tidak memberi ”cek kosong” kepada pemimpin untuk melakukan sesuka hati. Di dalam Islam ada ”accountablity”. Pimpinan seharusnya bijak membaca keadaan. Tidak mewujudkan kucar-kacir atau kemudharatan kepada mereka yang dipimpin.

Di dalam solat, bagi beberapa kesalahan yang dilakukan oleh imam, makmum boleh ”mufaraqah” atau keluar dari jemaah. Tetapi jangan pula meninggalkan solat jemaah untuk memasuki ke kuil!

PERUNTUKAN ADUN

Ramai yang bertanya tentang peruntukan ADUN. Peruntukan ADUN diberikan kepada ADUN untuk kawasan mereka. Ianya duit kerajaan, duit rakyat bukan duit parti. Ini bermakna jika ADUN kawasan adalah dari DAP, ianya bukan hanya untuk ahli-ahli DAP atau orang bukan Islam sahaja. Peruntukan ini untuk seluruh rakyat di dalam kawasan DUN tersebut. Begitu juga peruntukan bagi ADUN PAS, bukan untuk orang-orang PAS atau orang Islam sahaja tetapi untuk semua rakyat di dalam DUN tersebut tanpa mengira bangsa dan agama.

Minggu lepas beberapa orang telah didakwa di mahkamah kerana menyalah guna peruntukan DUN. Saya tidak tahu kesalahan itu disengajakan atau satu kesilapan. Seperti biasa untuk mengeluarkan duit kerajaan terpaksa melalui banyak prosedur. Mungkin ada di antara orang baru yang melakukan kesilapan. Tetapi bagi orang lama tidak ada alasan. Ada juga yang bertanya kepada saya bolehkah ADUN menyumbang di luar kawasan mereka? Contohnya ADUN Chempaka menyumbang ke kawasan Teratai.

Menurut peraturan, boleh jika sumbangan itu boleh memberi manfaat kepada kawasan ADUN tersebut. Mungkin jika sumbangan untuk program di luar kawasan DUN tetapi ianya dihadiri oleh penduduk dari kawasan ADUN itu. Atau sumbangan diberi kepada penduduk di luar kawasan DUN tetapi mereka ada sumbangan kepada kawasan ADUN itu.

15 November 2009

Saturday, November 14, 2009

Bancian Setinggan Siap Januari Depan

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa bancian bagi setinggan-setinggan di atas tanah kerajaan dan tanah rizab-rizab kerajaan akan disiapkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bulan Januari depan.

Nama-nama mereka yang layak menerima rumah kos rendah akan dipamerkan kepada umum pada bulan Mac untuk pengesahan dan sebarang bantahan.

Tawaran untuk membeli rumah kos rendah akan dibuat kepada mereka yang layak pada akhir bulan Jun.

15 November 2009

Exco Tetap Mahu Bertemu Menteri Walaupun Akan Dituduh Cenderung Kepada Unity Government

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri walaupun kemungkinan dituduh cenderung kepada "unity government" atau kerajaan perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Hannah Yeoh (DAP - Subang Jaya) agar beliau mengadakan pertemuan dengan menteri tersebut untuk membincangkan tahap keselamatan yang membimbangkan sehingga ramai penduduk yang telah menubuhkan komuniti berpagar (guarded and gated community) tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Katanya lagi, satu garispanduan baru untuk komuniti berpagar akan digunapakai tahun hadapan untuk menggantikan garispanduan lama yang dikeluarkan dalam tahun 2007.

Dewan turut diberitahu bahawa beliau juga berhasrat bertemu Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan untuk membincangkan penyelesaian kepada projek-projek terbengkalai.

Ketika mengulas di luar dewan, Exco itu memberitahu beliau tidak akan melayani kerenah mereka yang cenderung menabur fitnah dan lebih suka bermain politik tetapi akan mengutamakan kepetingan rakyat.

14 November 2009

Syabas Longgarkan Syarat-Syarat Migrasi Kepada Meter Individu

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa setelah rundingan dengan Syabas penduduk pangsapuri tidak perlu membayar sepenuhnya hutang pada meter pukal jika mahu mendapatkan meter individu.

Bil yang tertunggak itu boleh dipindahkan kepada akaun meter-meter individu yang boleh dibayar secara ansuran.

Selain itu, sekira persetujuan untuk migrasi dari kesemua penduduk tidak dapat diperolehi maka Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) boleh membuka akaun meter individu untuk unit-unit yang kosong atau yang enggan melakukan migrasi. Sekiranya mereka masih enggan membayar bil-bil meter individu mereka maka Syabas akan memotong bekalan air tanpa menjejaskan penduduk lain.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah mewajibkan migrasi dilakukan.

Dengan meter individu, penduduk layak mendapat 20 meter padu air percuma yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.

14 November 2009

Selangor Mengambil Balik Tanah Pemaju Projek Lambat

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa tanah-tanah sebuah pemaju yang lambat menyiapkan projek rumah kos rendah mereka di Hulu Kelang telah diambil balik.

Pemaju yang telah diberi milik tanah semasa pentadbiran Barisan Nasional bukan sahaja gagal menyiapkan projek mereka menurut jadual tetapi telah juga gagal membayar premium tambahan untuk tanah-tanah mereka yang belum dimajukan. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor akan memajukan tanah-tanah itu.

Kelewatan projek tersebut telah mengakibatkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menanggung berjuta-juta ringgit kerana terpaksa membayar sewa bekas penduduk setinggan yang menunggu untuk berpindah ke projek itu.

14 November 2009.

Selangor Tubuhkan Syarikat Memasarkan Kuota Perumahan Bumiputera

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa satu syarikat untuk memasarkan kuota-kuota perumahan Bumiputera telah ditubuhkan.

Syarikat itu, Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. bertanggung jawab menjual kuota-kuota perumahan Bumiputera yang diwajibkan ke atas pemaju.

Di antara tujuan penubuhan syarikat itu adalah untuk membantu para pemaju menjual rumah-rumah yang dikhaskan untuk Bumiputera serta memastikan para pemaju tidak "menyembunyikan" rumah-rumah tersebut dari orang ramai. Telah ada aduan di mana para pemaju telah memberitahu rumah-rumah itu telah habis dijual walhal masih ada.

14 November 2009