Skip to main content

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN.


Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad


Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan.


Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan.


Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah. 


Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisir pantai juga mengakibatkan penurunan kandungan oksigen (oxygen depletion) ini.


Jika keadaan berterusan, hidupan-hidupan akan berhadapan dengan kepupusan dalam skala yang besar. Terdapat satu analisis yang berpandangan kepupusan yang berlaku ini akan menyamai kepupusan yang berlaku 252 juta tahun sebelum ini. Ketika itu dua pertiga dari hidupan laut telah menjadi pupus.


Kejadian itu dipercayai berlaku kerana kenaikan suhu sebanyak 10 darjah celsius di kawasan Khatulistiwa. Kenaikan ini mungkin akibat ledakan gunung berapi. Apabila cuaca menjadi panas, hidupan-hidupan memerlukan lebih banyak oksigen untuk memastikan badan mereka dapat berfungsi contohnya untuk bernafas. Tetapi kandungan oksigen yang larut di dalam air berkurangan ketika suhu meningkat. Akibatnya terdapat terdapat spesis-spesis yang tidak dapat bertahan.


Pencemaran juga adalah juga satu ancaman. Kilang-kilang dan loji-loji perusahaan melepaskan sisa-sisa mereka ke lautan. Tumpahan daripada kapal-kapal tangki bukanlah punca utama pencemaran minyak di lautan walaupun kejadian-kejadian tersebut kerap mendapat liputan yang meluas. Hanya 12 peratus pencemaran itu adalah tumpahan dari kapal tangki. Sebahagian besar pencemaran adalah daripada aktiviti-aktiviti di atas darat seperti industri dan loji rawatan di mana pelepasannya mengalir ke laut melalui sungai, jalan raya dan sistem perparitan.


Kita juga membuang 8 juta tan metrik plastik ke dalam lautan setiap tahun. Adalah dijangkakan dalam tahun 2050, berat plastik di dalam lautan akan melebihi berat kesemua ikan-ikan di dalam lautan. Begitu banyak plastik yang kita buang ke dalam lautan kita.


Plastik yang dibuang juga akan dipecahkan kepada plastik micro (microplastic) akibat pendedahan kepada cahaya matahari dan tindakan ombak laut dan akan dimakan oleh hidupan-hidupan di laut. Akhirnya ia akan memasuki rantai makanan (food chain) kerana hidupan-hidupan ini seperti ikan akan dimakan oleh manusia.


Plastik yang mengalami proses degradasi  (degradation) akan turut melepaskan bahan-bahan kimia yang menambah pencemaran kepada laut kita. 80 peratus dari pencemaran plastik di dunia. merupakan  angkara 20 negara termasuk Amerika Syarikat dan Negara China.


70 peratus dari sampah sarap yang terbuang ke dalam laut akan tenggelam dan duduk di dasar lautan. Ini bermakna adalah hampir mustahil untuk kita membersihkannya. Pencemaran udara bertanggungjawab ke atas satu pertiga pencemaran bahan-bahan toksik di kawasan pesisir pantai dan di lautan pesisir pantai. Terdapat spesis-spesis termasuk yang beracun baharu yang mengganggu keseimbangan ekologi di lautan pesisiran pantai.


FAO (Food Agricultural Organisation) menganggarka 31.4 peratus stok ikan telah sama ada ditangkap hingga ke kapasiti atau ditangkap secara berlebihan untuk melakukan perubahan. Perlu ada kawalan untuk memastikan stok ikan kita di masa akan datang terjamin.


Ancaman-ancaman yang dihadapi oleh lautan kita adalah kesan daripada tindakan-tindakan manusia sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Keputusan di tangan kita sama ada untuk menyelamatkan lautan kita atau tidak. Sama ada kita memiliki kesedaran dan kesungguhan. 


Di antara punca utama ancaman-ancaman ini adalah pemanasan global yang mengurangkan kandungan oksigen di dalam air laut. Suhu dunia dijangka akan meningkat sebanyak 3.2 darjah celsius pada akhir abad ini. Pada Perjanjian Paris (Paris Accord), telah dipersetujui kenaikan suhu ini akan dihadkan kepada 2 darjah celsius. Kawalan ini hanya dapat dilakukan sekiranya negara-negara dapat bersetuju untuk menghadkan pelepasan gas-gas rumah hijau (greenhouse gases).


Pencemaran perlu dipandang serius dan perlu ada tindakan pemantauan dan pengkuatkuasaan yang serius. Saranan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar nelayan menjadi "mata" dan "telinga" pihak berkuasa adalah langkah yang tepat. Para nelayan telah diminta untuk menjadi "mata" dan "telinga" kepada pihak berkuasa bagi mengawal aktiviti pencemaran di perairan negara. 


Kita perlu mendidik rakyat betapa pencemaran adalah satu jenayah berat dan perlu dikenakan hukuman yang setimpal. Tindakan mencemar lautan atau alam sekitar secara amnya bukan sahaja memberi kesan kepada generasi hari ini tetapi juga generasi akan datang. Kita perlu sedar bahawa kita hanya menjaga alam ini untuk diwarisi oleh generasi selepas ini. Alam ini bukan milik kita tetapi kita hanya meminjamnya buat sementara waktu.

5 Julai 2022

Popular posts from this blog

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan. Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai. Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita. Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yan...