Thursday, July 7, 2022

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.


Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN.


Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad


Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan.


Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan.


Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah. 


Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisir pantai juga mengakibatkan penurunan kandungan oksigen (oxygen depletion) ini.


Jika keadaan berterusan, hidupan-hidupan akan berhadapan dengan kepupusan dalam skala yang besar. Terdapat satu analisis yang berpandangan kepupusan yang berlaku ini akan menyamai kepupusan yang berlaku 252 juta tahun sebelum ini. Ketika itu dua pertiga dari hidupan laut telah menjadi pupus.


Kejadian itu dipercayai berlaku kerana kenaikan suhu sebanyak 10 darjah celsius di kawasan Khatulistiwa. Kenaikan ini mungkin akibat ledakan gunung berapi. Apabila cuaca menjadi panas, hidupan-hidupan memerlukan lebih banyak oksigen untuk memastikan badan mereka dapat berfungsi contohnya untuk bernafas. Tetapi kandungan oksigen yang larut di dalam air berkurangan ketika suhu meningkat. Akibatnya terdapat terdapat spesis-spesis yang tidak dapat bertahan.


Pencemaran juga adalah juga satu ancaman. Kilang-kilang dan loji-loji perusahaan melepaskan sisa-sisa mereka ke lautan. Tumpahan daripada kapal-kapal tangki bukanlah punca utama pencemaran minyak di lautan walaupun kejadian-kejadian tersebut kerap mendapat liputan yang meluas. Hanya 12 peratus pencemaran itu adalah tumpahan dari kapal tangki. Sebahagian besar pencemaran adalah daripada aktiviti-aktiviti di atas darat seperti industri dan loji rawatan di mana pelepasannya mengalir ke laut melalui sungai, jalan raya dan sistem perparitan.


Kita juga membuang 8 juta tan metrik plastik ke dalam lautan setiap tahun. Adalah dijangkakan dalam tahun 2050, berat plastik di dalam lautan akan melebihi berat kesemua ikan-ikan di dalam lautan. Begitu banyak plastik yang kita buang ke dalam lautan kita.


Plastik yang dibuang juga akan dipecahkan kepada plastik micro (microplastic) akibat pendedahan kepada cahaya matahari dan tindakan ombak laut dan akan dimakan oleh hidupan-hidupan di laut. Akhirnya ia akan memasuki rantai makanan (food chain) kerana hidupan-hidupan ini seperti ikan akan dimakan oleh manusia.


Plastik yang mengalami proses degradasi  (degradation) akan turut melepaskan bahan-bahan kimia yang menambah pencemaran kepada laut kita. 80 peratus dari pencemaran plastik di dunia. merupakan  angkara 20 negara termasuk Amerika Syarikat dan Negara China.


70 peratus dari sampah sarap yang terbuang ke dalam laut akan tenggelam dan duduk di dasar lautan. Ini bermakna adalah hampir mustahil untuk kita membersihkannya. Pencemaran udara bertanggungjawab ke atas satu pertiga pencemaran bahan-bahan toksik di kawasan pesisir pantai dan di lautan pesisir pantai. Terdapat spesis-spesis termasuk yang beracun baharu yang mengganggu keseimbangan ekologi di lautan pesisiran pantai.


FAO (Food Agricultural Organisation) menganggarka 31.4 peratus stok ikan telah sama ada ditangkap hingga ke kapasiti atau ditangkap secara berlebihan untuk melakukan perubahan. Perlu ada kawalan untuk memastikan stok ikan kita di masa akan datang terjamin.


Ancaman-ancaman yang dihadapi oleh lautan kita adalah kesan daripada tindakan-tindakan manusia sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Keputusan di tangan kita sama ada untuk menyelamatkan lautan kita atau tidak. Sama ada kita memiliki kesedaran dan kesungguhan. 


Di antara punca utama ancaman-ancaman ini adalah pemanasan global yang mengurangkan kandungan oksigen di dalam air laut. Suhu dunia dijangka akan meningkat sebanyak 3.2 darjah celsius pada akhir abad ini. Pada Perjanjian Paris (Paris Accord), telah dipersetujui kenaikan suhu ini akan dihadkan kepada 2 darjah celsius. Kawalan ini hanya dapat dilakukan sekiranya negara-negara dapat bersetuju untuk menghadkan pelepasan gas-gas rumah hijau (greenhouse gases).


Pencemaran perlu dipandang serius dan perlu ada tindakan pemantauan dan pengkuatkuasaan yang serius. Saranan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man agar nelayan menjadi "mata" dan "telinga" pihak berkuasa adalah langkah yang tepat. Para nelayan telah diminta untuk menjadi "mata" dan "telinga" kepada pihak berkuasa bagi mengawal aktiviti pencemaran di perairan negara. 


Kita perlu mendidik rakyat betapa pencemaran adalah satu jenayah berat dan perlu dikenakan hukuman yang setimpal. Tindakan mencemar lautan atau alam sekitar secara amnya bukan sahaja memberi kesan kepada generasi hari ini tetapi juga generasi akan datang. Kita perlu sedar bahawa kita hanya menjaga alam ini untuk diwarisi oleh generasi selepas ini. Alam ini bukan milik kita tetapi kita hanya meminjamnya buat sementara waktu.

5 Julai 2022

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 1.


BAHAGIAN 1 - KENAPA LAUTAN ITU PENTING?


Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad


Lautan meliputi lebih kurang 70 peratus dari permukaan bumi walau bagaimanapun lautan kerap dilupakan apabila kita berbicara tentang perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, pemanasan global dan ancaman-ancaman yang mendesak terhadap planet kita.


Justeru Persidangan Lautan Bangsa-Bangsa Bersatu ( UN Ocean Conference ) di Lisbon, Portugal dari 27 Jun hingga 1 ini menjadi harapan kepada para saintis dan aktivis agar satu perubahan dapat dicetuskan. Persidangan ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dari lebih 20 negara yang dijangka akan mengumumkan satu deklarasi untuk melindungi lautan kita dari eksploitasi dan untuk memulihkannya.


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menegaskan pada persidangan tersebut betapa kita telah mengambil mudah tentang lautan dan akibatnya hari ini kita berhadapan dengan situasi yang dipanggil sebagai "darurat lautan". Katanya kita mesti membuat perubahan dan lautan yang sihat dan produktif adalah penting untuk masa depan kita bersama.


Tetapi kenapakah lautan itu penting untuk kita? Berikut adalah sebab-sebabnya.


1.) LAUTAN MENGHASILKAN LEBIH BANYAK OKSIGEN DARI HUTAN HUJAN TROPIKA.


Kita sering memberi perhatian kepada hutan hujan tropika (tropical rainforest) yang menghasilkan 28 peratus dari oksigen dunia. Tetapi lautan menghasilkan 70 peratus dari oksigen dunia. Tumbuhan di lautan menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen untuk kita. 


Kita jarang bercakap tentang tumbuhan ini sebab ia adalah di antara benda bernyawa paling kecil ( microscopic ) di dunia dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar berbeza dari pokok-pokok hutan hujan tropika yang selalu diberikan tumpuan.


2.) LAUTAN MENGAWAL IKLIM DUNIA.


Lautan menyerap haba di kawasan Khatulistiwa (Equator) dan arusnya membawa air hangat (warm water) ke kawasan-kawasan kutub (North Pole dan South Pole). Arus ini juga membawa air sejuk ke kawasan-kawaaan Khatulistiwa. 


Tanpa arus-arus ini, terdapat kawasan-kawasan yang akan mengalami cuaca yang melampau dan kawasan-kawasan yang boleh didiami manusia akan berkurangan. Justeru lautan bertindak sebagai pengawal iklim dunia. Tanpa lautan, iklim kita akan menjadi tidak terkawal.


3.) LAUTAN ADALAH SUMBER MAKANAN YANG PENTING.

Apabila bercakap tentang sumber makanan dari laut maka sudah tentu kita akan terbayangkan ikan. Memang benar ikan cukup penting untuk manusia tetapi terdapat sumber-sumber lain dari laut dan secara keseluruhannya lebih 1 bilion manusia bergantung kepada sumber makanan dari laut. 


Selain dari ikan terdapat juga sumber-sumber makanan lain dari laut seperti tumbuhan laut contohnya rumpai laut (seaweed) yang semakin popular. Walau bagaimanapun ikan merupakan 15.7 peratus dari protein haiwan (animal protein) yang dimakan oleh manusia di dunia. 


Jika populasi ikan menjadi berkurangan, nasib lebih 1 bilion penduduk dunia yang bergantung kepadanya akan terancam. Tidak mudah untuk menggantikan sumber makanan itu dalam masa yang singkat. 


Kita di Malaysia sering berhadapan dengan kenaikan harga ikan apabila ikan di pasaran berkurangan akibat cuaca yang buruk. Walau bagaimanapun cuaca yang buruk akan kembali reda dan ikan-ikan kembali di pasaran. Tetapi bayangkan apa akan terjadi jika terdapat spesis-spesis ikan yang hilang terus dari lautan.


4.) BANYAK KEHIDUPAN BERGANTUNG KEPADA LAUTAN DAN TINGGAL DI DALAMNYA.


Lebih banyak hidupan yang berada di lantai lautan (ocean floor) dari di atas darat. Pakar-pakar menganggarka terdapat lebih 300,000 spesis hidupan yang berada di dalam lautan dan bukan semua telah dikenalpasti spesisnya.


Hidupan laut ini memainkan peranan yang penting di dalam ekosistem. Kehilangan hidupan ini akan mengganggu ekosistem dan akan memberi kesan kepada kita. Justeru apabila populasi sesuatu spesis itu berkurangan atau menjadi terancam, ia turut memberi kesan secara langsung kepada kehidupan manusia. 


Dengan perubahan iklim, suhu lautan telah meningkat dan lautan juga kehilangan oksigen. Nilai pH juga telah menurun. Bukan semua spesis kehidupan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini dan kematian dalam skala yang besar telah berlaku. 


Apabila kita kehilangan penyu atau ikan lumba-lumba (dolphin), kita bukan sahaja kehilangan haiwan-haiwan yang comel tetapi kehidupan manusia akan turut terancam.


5.) RAMAI YANG BERGANTUNG KEPADA LAUTAN SEBAGAI SUMBER PENDAPATAN.


Dari mereka yang menangkap ikan kepada pekerja resort di tepi laut, berjuta-juta bergantung kepada lautan sebagai punca pendapatan mereka. Menurut statistik FAO (Food And Agricultural Organisation), dalam tahun 2016 seramai 59.6 juta penduduk dunia terlibat dengan perikanan dan akuakultur. 


Tambahan pula 90 peratus dari perdagangan dunia adalah melalui jalan laut. Dengan 60 peratus penduduk dunia tinggal di pesisir pantai, begitu ramai penduduk dunia bergantung kepada lautan yang sihat.


Jika lautan "tidak sihat" maka sudah tentu akan memberi kesan kepada populasi ikan dan mereka yang bergantung kepada penangkapan ikan sebagai sumber kehidupan akan terancam.


Begitu juga dengan resort-resort dan hotel-hotel di tepi pantai akan turut terkesan jika laut menjadi "tidak sihat". Pengusaha dan pekerja sudah tentu akan berhadapan dengan masalah sekiranya bilangan pengunjung berkurangan. 


1 Julai 2022

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...