Wednesday, December 16, 2009

PEMIMPIN MESTI MEMANDANG JAUH KE HADAPAN

Ada orang berkata seorang pemimpin tidak mempunyai wawasan yang hebat jika apa yang beliau mahu laksanakan difahami dengan mudah oleh mereka yang dipimpin,

Tetapi seorang pemimpin mempunyai wawasan yang hebat jika apa yang beliau mahu laksanakan pada mulanya tidak difahami oleh mereka yang dipimpin. Mereka hanya akan memahaminya setelah perlaksanaan atau setelah beliau telah tiada.

Seorang pemimpin yang hebat mestilah berupaya memandang jauh ke hadapan. Melihat apa yang orang lain tidak dapat melihat. Menjangka apa yang orang lain tidak dapat menjangka. Setelah arahan atau idea beliau dilaksanakan barulah orang berkata, ”Betul jugak ye!”.

Mungkin perkara ini benar dan mungkin juga tidak. Tetapi seorang pemimpin mestilah mempunyai idea-idea yang luarbiasa atau idea-idea yang menakjubkan untuk mengangkat martabat mereka yang dipimpin sehingga kadang kala ianya tidak masuk akal. Atau untuk membawa organisasi yang dipimpin ke satu tahap yang lebih tinggi atau mencapai sasaran-sasaran yang nampak mustahil.

MEMIMPIN MASYARAKAT

Perkara ini penting di dalam suasana sekarang di mana PAS adalah sebahagian dari kerajaan di Negeri Selangor. Pemimpin PAS walaupun di peringkat Cawangan bukan lagi memimpin ahli-ahli PAS sahaja tetapi memimpin masyarakat. Tanggung jawab ini besar dan saya memahami ada di antara kita yang tidak mampu melakukannya.

Sekarang masyarakat datang bukan hanya kepada AJK Cawangan tetapi kepada ahli-ahli biasa untuk urusan-urusan kerajaan negeri atau majlis perbandaran. Sama ada untuk borang Mesra Usia Emas atau tentang lesen menjaja dan banyak lagi. Mereka datang kepada kita.

Kalau kita berjiwa kerdil kita melihatnya sebagai satu masalah kepada diri dan keluarga kita. Tetapi jika kita berjiwa besar kita akan melihatnya sebagai satu cabaran dan peluang untuk mengukuh serta mengembangkan Parti.

Ada Ketua Cawangan yang meletakkan bendera PAS di hadapan rumah mereka agar masyarakat senang mencari mereka, supaya mereka dapat membantu rakyat.

Mereka menjadi wakil kepada ADUN dan ahli Majlis. Menjadi penghubung di antara rakyat dan kerajaan negeri atau Majlis.

Ada AJK Cawangan yang sentiasa datang ke Pejabat DUN berbincang dengan saya masalah di tempat mereka dan cara-cara membantu penduduk di sana. Tidak kira dari Chempaka atau Teratai.

Malah pimpinan PAS dari Taman Templer, Dusun Tua malah Batang Kali juga ada yang bersusah payah datang ke Pandan untuk berbincang masalah di DUN mereka.

PIMPINAN YANG LUAR BIASA

Kita perlu memimpin masyarakat dan kita tidak akan dapat diterima sebagai pemimpin masyarakat sekiranya kita tidak berjiwa besar.

Lebih-lebih lagi kita berada di Pandan. Satu kawasan berbilang kaum. Kita memimpin bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang Cina, India, Sikh, Portugis malah orang Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Korea yang ramai di kawasan kita.

Sudah tentu ianya memerlukan kualiti dan pendekatan yang berlainan dari ketika memimpin hanya orang-orang PAS.

Ini selari dengan semangat Pakatan Rakyat, parti-parti Pakatan tidak hanya memimpin kelompok mereka. PAS tidak hanya memimpin orang Melayu atau orang Islam. DAP juga tidak hanya memimpin orang Cina. Tetapi kita memimpin seluruh rakyat.

ORANG PAS JAGA SURAU AJE!

Walau bagaimanapun tugas ini bukan mudah. Seorang professor ketika membentangkan satu kertas kerja di Konvensyen PAS Selangor pada 6 Disember lepas mendedahkan satu peristiwa yang mengejutkan.

Di dalam menjalankan kajian untuk satu NGO, beliau dan pasukan beliau telah turun ke taman-taman dan kampung-kampung.

Dalam satu kampung, beliau telah bertanya sekumpulan belia sama ada mengenali orang-orang PAS di situ. Jawapan yang diterima adalah, ”Tak, orang-orang PAS jaga surau aje”.

Kajian yang dibentangkan di konvensyen tersebut juga mendedahkan terdapat kawasan-kawasan di Selangor yang masyarakat di dalam kelompok 21 hingga 30 tahun langsung tidak mengenali PAS.

Ini patut membimbangkan kita kerana kita sekarang adalah kerajaan. Apa yang telah kita lakukan?

BERANI MEMBUAT KEPUTUSAN

Apabila Anwar Ibrahim dipecat dalam tahun 1998, Presiden PAS ketika itu, Ustaz Fadhil Noor, telah mengilhamkan penubuhan GERAK. Ketika itu keadaan kucar-kacir. Cadangan Ustaz Fadhil itu akhirnya berjaya menyatukan tenaga-tenaga yang menentang kepimpinan Tun Mahathir.

Satu himpunan raksaka telah dianjurkan di Taman Melewar. Ada yang kata 100,000 yang hadir, ada yang kata 50,000 yang hadir pada malam keramat itu. Walau berapa ramai yang hadir, ianya menjadi permulaan kepada penyatuan suara pembangkang yang akhirnya menjadi Pakatan Rakyat hari ini.

Tetapi ketika itu ada yang mempertikaikan tindakan Ustaz Fadhil. Ada yang berkata, ”Buat apa nak tolong Anwar, dia kan UMNO”.

Atau mereka yang berkata GERAK tidak berdaftar, perhimpunan raksasa itu akan memberi kesan yang buruk kepada PAS.

Tetapi akhirnya kita semua memahami pandangan jauh Ustaz Fadhil.

TUN MAHATHIR

Tun Mahathir melaksanakan banyak perkara ketika pemerintahan beliau. Mungkin kerana tempoh pemerintahan beliau lebih panjang dari mana-mana Perdana Menteri maka banyak perkara yang telah dilaksanakan lebih menyerlah.

Sama ada ianya menguntungkan negara atau merugikan negara, pemerintahan beliau banyak mencatatkan perkara-perkara baru di dalam sejarah negara kita.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin Islam. Atau sebagai seorang pemimpin yang menjaga kepentingan para Marhaen tetapi terdapat perkara-perkara yang dilaksanakan oleh beliau yang akhirnya diakui membawa manfaat kepada rakyat. Yang meletakkan Malaysia di peta dunia.

Walaupun terdapat perkara-perkara yang dilakukan oleh beliau yang merugikan rakyat sehingga hari ini tetapi keberanian beliau membuat sesuatu keputusan adalah sesuatu yang dikagumi ramai

Seorang pemimpin mesti berani dan tegas, tidak kelihatan lemah ketika membuat keputusan. Tidak teragak-agak.

Ibnu Khaldun seorang ilmuwan Islam yang meninggal dunia lebih kurang 4 tahun selepas Parameswara membuka Melaka pernah membincangkan tentang ciri-ciri kempimpinan. Menurut beliau yang terkenal dengan kitab-kitab Muqaddimah dan Al-’Ibar, seorang pemimpin perlu disayangi dan juga digeruni.

Sama ada di peringkat Cawangan, Dewan atau Kawasan, pimpinan adalah pimpinan. Memikul tanggung jawab masing-masing. Pimpinan yang lemah tidak akan membawa organisasi beliau ke mana-mana. Pemimpin mesti menghasil idea–idea yang luar biasa dan berani menghadapi risiko. Bak kata orang putih, ”No pain, no gain”.

13 Disember 2009

DUIT OH DUIT!

Bagi mereka yang gemar membaca komik Gila-Gila dalam tahun 80’an sudah tentu pernah berjumpa dengan kartun Perwira Mat Gila. Kata Perwira Mat Gila, ”Ada duit semua boleh jadi”.

Memang benar hampir semua benda memerlukan duit untuk mendapatkannya tetapi bukan semua benda boleh dibeli dengan duit.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Baginda lebih bimbang umat ummat Baginda menjadi kaya dari menjadi miskin.

Ada satu cerita dari Negeri Cina tentang seorang petani yang menjumpai satu peti wang emas tetapi ia tidak membawa kebahagian malah kecelakaan kepada keluarga beliau.

Wang emas yang dijumpai oleh beliau itu membuat keluarga beliau bergaduh sesama sendiri. Ada yang hendak membeli itu dan ada yang hendak membeli ini. Beliau menjadi lebih sengsara dari ketika masih miskin. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk membuang peti wang emas itu ke dalam sungai.

Duit oh duit! Engkau menjadi rebutan. Orang sanggup mati untuk mendapatkannya. Keluarga berpecah belah akibat duit dan hartabenda.

S. Amin Shahab menulis ”Ada yang jadi hamba duit” untuk sebuah lagu M. Nasir.

CABARAN DI DALAM KERAJAAN

Pada saya cabaran paling besar di dalam kerajaan adalah apabila kita lupa akan tanggung jawab kita di dalam perjuangan tetapi mula mabuk mengejar hartabenda dan kemewahan.

Bagi negeri kaya seperti Selangor memang peluang terbentang luas. Jika terdapat pimpinan kerajaan yang benar-benar mahu menjadi kaya maka terdapat jalan-jalannya. Sama ada jalan kecil atau jalan besar. Peluang kecil atau peluang besar. Ia bergantung kepada iman.
Pernah seorang membisikkan kepada saya bahawa ada yang hendak memberikan saya RM1 juta jika saya menyokong permohonannya untuk mendapatkan pengecualian rumah kos rendah.

Ada pula yang berjanji hendak memberikan saya satu unit pangsapuri jika saya menyokong kelulusan projek beliau yang kontroversial.

BELUM KECUNDANG

Saya mungkin belum lagi kecundang. Tetapi Selangor adalah begitu luas. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terjadi di setiap pelusuknya.

Kalau ada di antara kita yang ingat kepada ceramah Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakob, bekas ahli Parlimen Bachok, mungkin pernah mendengar beliau menyamakan orang-orang UMNO dengan itik-itik. Katanya itik-itik itu apabila ke hulu ke hilir seolah-olah menyebut, ”Projek, projek, projek, projek, projek”.

Tetapi kita perlu mengakui realiti bahawa penyakit ini semakin berjangkit kepada kita

KEMUDAHAN DI DALAM KERAJAAN

Tetapi tidak dapat dinafikan lebih mudah bergerak ketika kita menjadi kerajaan. Malangnya ada yang mahu segala-galanya percuma. Tidak mahu mengeluarkan walaupun satu sen. Seolah-olah syurga itu harganya lima sen.

Oleh itu mungkin wajar ahli-ahli diberitahu akan tanggungan ADUN dan Pejabat ADUN.

Sebagai Exco dan ADUN saya wajib menyumbang kepada PAS Negeri dan Kawasan.

Kepada PAS Negeri saya menyumbangkan RM2,045 sebulan.

Kepada PAS Kawasan saya menyumbang RM1,000 sebulan.

Selain dari itu saya membayar dari elaun saya RM1,300 sebulan untuk sewa Pusat Khidmat ADUN di Pandan Indah.

Pusat ini juga digunakan untuk program-program PAS Kawasan, Muslimat dan Nisa’.

KAKITANGAN TAMBAHAN

Di pejabat SUK, saya melantik dua orang kakitangan tambahan kerana kakitangan yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri tidak mencukupi. Exco-Exco PKR dan DAP juga mengambil kakitangan tambahan. Kami ada ”dateline” dan KPI.

Saya terpaksa membayar dari elaun saya RM2,700 sebulan untuk gaji-gaji kakitangan tambahan itu.

Maka jumlah sumbangan tetap saya adalah RM7,045 sebulan.

PUSAT KHIDMAT ANGSANA HILIR

Memang benar Pusat Khidmat ADUN di Angsana Hilir menggunakan premis yang dibeli oleh PAS Kawasan tetapi saya berharap ia tidak akan dijadikan isu. PAS Kawasan dan Pejabat ADUN bukan berada di atas planet yang berlainan. Ia lengkap melengkapi satu sama lain.

Contohnya dulu PAS Kawasan terpaksa menganjurkan pelbagai program untuk mengembang dan mengukuhkan pengaruh PAS tetapi jumlah program kita telah turun hampir 50 peratus. Program-program ADUN juga secara tidak langsung mengembang dan mengukuhkan pengaruh Parti.

Dulu bila kita menganjurkan majlis hari raya, PAS Kawasan akan berbelanja RM2,000 hingga RM3,000 dan sekitar 1,000 orang yang hadir.

Sekarang ADUN akan menganjurkan majlis hari raya. Perbelanjaannya mungkin RM20,000 dan kehadiran hampir 10,000 orang.

Program-program ADUN ditanggung oleh peruntukan ADUN bukan oleh PAS Kawasan. Oleh itu, tanggungan Parti telah berkurangan.

Jumlah kain rentang kita juga telah turun hampir 80 peratus. Kain-kain rentang ADUN juga secara tidak langsung memberi promosi kepada Parti. Oleh itu, Parti tidak perlu berbelanja banyak.

Sewa yang patut dibayar oleh Pejabat ADUN kepada PAS Kawasan untuk Pusat Khidmat Angsana Hilir mungkin RM500 tetapi jumlah yang dapat dijimatkan oleh PAS Kawasan kerana kita ada seorang ADUN adalah berkali-kali ganda.

Saya anggarkan penjimatan ini RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Kita hanya akan merasainya apabila kita kalah pilihanraya kerana ramai sekarang yang telah lupa keadaannya semasa kita menjadi pembangkang.
Jangan lupa juga, Pejabat ADUN menyumbang kepada gaji Setiausaha Kerja PAS Kawasan sebanyak RM400 sebulan.

Kakitangan Pejabat ADUN, ada 2 orang, turut membantu tugas-tugas PAS Kawasan.

TIDAK LAGI RAHSIA

Kenapa saya memberitahu semua ini? Bukankah lebih baik merahsiakan segala infaq?

Saya perlu mendedahkannya kerana bimbang akan ada yang bertanya apa kita dapat dengan adanya seorang Exco, ADUN atau Pejabat ADUN. Atau apa yang ADUN buat dengan elaunnya.

Bila disuruh menginfaq untuk Parti mungkin ada yang berkata apa guna ada ADUN. Seolah-olah mereka telah terlebih pahala, boleh terus masuk ke syurga tanpa hisab.

CABARAN DI SELANGOR

Cabaran kita di Selangor begitu getir. Perdana Menteri sendiri mengetuai UMNO di Selangor. UMNO begitu serius.

Kalau kita berpecah kita akan dihukum oleh Allah SWT. Saya tahu sebelum PRU12 ada kawasan yang begitu kuat. Kuliah petang Sabtu Muslimat sahaja boleh mengumpul 200 orang.

Tetapi mereka bercakaran dan berpuak-puak. Akhirnya kawasan yang dijangka kita menang, kita tersungkur. Inilah balasan dari Allah SWT.

Bila ada duit, lebih mudah perbalahan berlaku. Bukankah di Uhud ummat Islam hampir tewas apabila pemanah-pemanah di atas bukit lari ke bawah untuk mendapatkan harta rampasan?

5 Disember 2009

BANGUNAN BARU UNTUK PANDAN

Bangunan yang berdiri tegak di No. 20, Jalan H, Kg. Pandan Dalam tidaklah semegah lebih dua puluh tahun yang lalu ketika ia mula dibina sebagai rumah RIDA.

Rumah kediaman tersebut mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia telah menjadi nadi kepada tiga parti politik.

Bermula dengan UMNO apabila pemiliknya merupakan Ketua UMNO Cawangan di situ. Selepas itu Semangat 46, apabila beliau memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh Hamzah selepas UMNO diharamkan. Akhir sekali kepada PAS apabila pada mulanya Setiausaha PAS Cawangan Kg. Pandan Dalam menyewa di situ dan apabila berlaku persempadanan semula rumah tersebut menjadi Markas PAS Kawasan Pandan.

Pemimpin dari ketiga-tiga parti tersebut pernah berucap atau sekurang-kurangnya menjejakkan kaki di rumah yang penuh bersejarah itu. Bekas Menteri Selangor Dato’ Ahmad Razali, Tengku Razaleigh Hamzah dan begitu ramai pemimpin PAS seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Haji Mohammad Sabu, Dato’ Dr. Hasan Ali, Dato’ Mahfuz Omar, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Dato’ Husam Musa. Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim juga pernah bermesyuarat di situ. Malah Astora Jabat pernah sampai di situ apabila kami mencabar dia berdebat dengan pimpinan PAS.

MENGIMBAS KEMBALI 2003

Walau bagaimanapun, rumah tersebut hampir tidak menjadi markas PAS bagi kawasan Parlimen Pandan.

Sebelum persempadan semula 2003, AJK Kerja PAS Kawasan Ampang Jaya yang berada di Pandan telah memulakan usaha untuk mencari sebuah tempat beroperasi yang baru.

Pada mulanya kami telah mengenalpasti sebuah ruang pejabat di tingkat 3 di Taman Mawar. Ianya satu blok dengan pejabat parti Gerakan dan tingkat dua digunakan untuk membuat kasut. Persetujuan telah dicapai dengan pemiliknya dan kami akan membuat pembayaran dalam masa yang terdekat. Walau bagaimanapun, saya merasa kurang selesa dengan keputusan tersebut.

Ketika itu saya selalu ke Kg. Pandan Dalam dan kadang kala berjumpa dengan Setiausaha PAS Cawangan di situ, Saudara Nizar. Melihat akan rumah yang beliau sewa, saya berpandangan rumah tersebut merupakan pilihan yang paling tepat untuk dijadikan markas. Ia di hadapan padang, berdekatan dengan masjid dan Jalan H begitu luas, sesuai untuk meletakkan kereta jika kami mengadakan program.

Sebenarnya sebelum itu, saya pernah merasmikan mesyuarat agung Cawangan tersebut di rumah itu dan pernah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil setinggan di rumah itu. Ketika itu saya adalah Pengerusi Lajnah Setinggan Dan Pekerja PAS Negeri Selangor dalam tahun 90’an. Saudara Khairuddin yang sekarang ini merupakan penasihat undang-undang saya di SUK adalah Setiausaha Lajnah.

Walau bagaimanapun, saya tidak mencadangkan kepada Saudara Nizar bahawa rumah yang beliau sewa lebih sesuai menjadi markas. Beliau masih tinggal bersama isteri dan anak-anak di situ.

Apa yang saya buat hanyalah melakukan solat hajat. Berdoa agar rumah tersebut dapat menjadi markas kami. Juga setiap kali saya ke Kg. Pandan saya akan lalu di hadapan rumah tersebut. Ini memeningkan kepala isteri saya yang selalu menemani saya ketika mengadakan lawatan ke Cawangan-Cawangan

Akhirnya tidak sampai seminggu selepas itu, Saudara Nizar menelefon saya dan menawarkan rumah tersebut kepada PAS. Bak kata orang putih, ”The rest is history”.

Sejak 2003, PAS Kawasan telah membelanjakan hampir RM20,000 untuk menjadikan rumah tersebut sebuah markas yang sempurna. Ia juga telah menjadi sebuah pusat khidmat masyarakat sebelum PAS menang di Chempaka. Tetapi apabila bumbungnya mula bocor akibat kayu-kayu yang telah reput, ianya tidak dapat diselamatkan lagi. Tidak balik modal untuk membaik pulih sahaja. Dengan masalah anai-anai, adalah lebih menguntungkan jika ia dirobohkan dan dibina semula.

Kita telah cuba memujuk pemiliknya untuk menjual kepada kita tetapi gagal. Akhirnya kita terpaksa berhadapan dengan realiti bahawa kita terpaksa meninggalkan rumah yang penuh sejarah itu.

MARKAS SEMENTARA DI PANDAN INDAH

Buat masa ini sehingga markas baru dikenalpasti, PAS Kawasan akan beroperasi dari Pusat Khidmat ADUN Pandan Indah.

Walau bagaimanapun, satu markas yang lebih kekal perlu dikenalpasti. Tidak memadai bagi kita untuk menyewa lagi. Memang benar hari ini sebagai kerajaan kita bebas menyewa dewan-dewan tetapi apa akan jadi sekiranya kita kehilangan kuasa? Mungkin ketika itu bukan sahaja dewan tidak dapat kita gunakan tetapi mungkin juga tidak ada siapa yang akan menyewakan kepada kita.

IKTIBAR

Ambillah iktibar dari apa yang berlaku di hadapan mata kita sekarang.

Ahli Parlimen Pandan yang juga seorang Menteri selama ini menggunakan dewan orang ramai di atas tanah kerajaan sebagai pusat khidmat beliau. Akhir apabila BN kalah di Selangor, beliau dihalau keluar.

Begitu juga dengan UMNO Bahagian Pandan yang juga menggunakan dewan orang ramai sebagai pejabat mereka. Akhirnya mereka terpaksa meninggalkan bangunan kemegahan mereka.

Janganlah sampai kita mengalami nasib yang sama seperti ahli Parlimen Pandan dan UMNO Bahagian Pandan.

MARKAS BARU

Buat masa ini kita telah ada pusat khidmat ADUN di Taman Angsana Hilir. Ianya milik PAS. Ianya dibeli dalam tahun 2007 hasil dari sumbangan ahli-ahli. Tetapi kita memerlukan satu bangunan untuk aktiviti harian seperti mesyuarat, kuliah atau majlis penerangan. Dewan-dewan dan MTD juga memerlukan tempat untuk beroperasi.

Tidak kiralah sama ada rumah kedai, pejabat atau rumah sekalipun, ianya perlu dikenalpasti dalam kadar yang segera.

Mungkin tugas ini nampak berat memandangkan harga hartanah di Pandan yang tinggi tetapi ianya sesuatu yang perlu dilakukan.

Untuk mencapai sesuatu sasaran kita perlu melakukan sesuatu yang luarbiasa. Jika kita meneruskan hidup seperti biasa kita tidak akan berupaya menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

Tugas pimpinan adalah untuk mendapatkan yang terbaik dari mereka yang dipimpin. Setiap individu mempunyai sesuatu yang luar biasa di dalam diri mereka. Tugas pimpinan adalah untuk mengenalpasti kualiti ini dan memastikan ianya dapat dimanfaatkan untuk organisasi.


HEBATNYA ORANG SG. BESAR

Beberapa minggu lepas saya telah ke Sungai Besar menghadiri satu program bersama-sama ahli di sana. Hebat sungguh ahli-ahli PAS di Sg. Besar yang telah membina bangunan bernilai RM700,000. Yang menakjubkan, ianya dikumpul dalam masa 12 bulan.

Orang-orang bandar seperti di Pandan apabila diberitahu PAS di kawasan-kawasan luar bandar boleh membina bangunan sendiri, mereka akan berkata, ”Mereka bolehlah, tanah murah!”.

Tetapi di Sg. Besar, mereka boleh mengumpul hampir RM1 juta dalam masa yang singkat. Apakah boleh ahli-ahli Pandan menandingi usaha rakan-rakan kita di Sg. Besar?

Seorang Ketua PAS Cawangan pernah memberitahu saya bahawa kebanyakan penduduk di taman beliau sekurang-kurangnya memiliki RM1 juta di dalam akaun KWSP bila pencen kelak. Kalau begitu, sepatutnya tidak ada masalah bagi kita untuk membeli bangunan.

INFAQ

Ada orang kagum melihat orang yang boleh mendermakan beratus-ratus malah beribu-ribu RM. Walau bagaimanapun, seorang yang mendermakan beberapa RM juga kadang-kala lebih hebat dari mereka mendermakan wang yang banyak itu.

Contohnya kalau seorang profesional dengan gaji RM25,000 sebulan mendermakan RM1000 maka ianya adalah 4 peratus dari gaji bulanan beliau. Tetapi jika seorang pengawal keselamatan yang bergaji RM700 sebulan menderma RM50 maka ianya adalah 7.1 peratus dari gaji bulanan beliau.

Mungkin kita akan melihat sumbangan RM50 terlalu kecil berbanding dengan RM500 tetapi pada hakikatnya di atas kertas kesungguhan pengawal keselamatan itu hampir 2 kali ganda dari profesional tersebut.

Walaupun berapa yang disumbangkan, yang penting adalah keikhlasan dan sumbernya halal. Tetapi buat masa ini bantuan semua ahli untuk mengenalpasti bangunan yang sesuai adalah diperlukan. Hentikanlah segala ”politicking". Jatuh menjatuhkan satu sama lain. Ianya bukan budaya kita di Pandan. Berikanlah tumpuan kepada usaha-usaha yang boleh menghasilkan sesuatu yang ”tangible”.

29 November 2009

Sunday, November 29, 2009

DEDAHKAN LAPORAN BUKIT ANTARABANGSA DEMI KEPENTINGAN RAKYAT

Kementerian Kerja Raya perlu dengan segera memberi kebenaran agar laporan tanah runtuh Bukit Antarabangsa didedahkan kepada umum jika tidak mereka akan dituduh sebagai melindungi pihak tertentu.

Tragedi Bukit Antarabangsa telah mengorbankan nyawa. Rakyat perlu tahu kerana mereka yang bertanggung jawab menyebabkan kejadian itu perlu dihukum dengan sewajarnya.

Kedua laporan ini perlu didedahkan agar kesilapan yang sama tidak akan diulangi.

Saya yakin para profesional seperti arkitek dan jurutera serta pemaju sedang menunggu laporan itu supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang sama.

Kerajaan Persekutuan janganlah menganggap laporan itu akan digunakan untuk memburukkan mereka tetapi ianya akan digunakan untuk memperbaiki cara kita melakukan pembangunan.

Laporan ini tidak sepatutnya dilihat dari perspektif politik tetapi ianya satu laporan teknikal yang boleh mengelakkan sebarang musibah di masa akan datang.

Laporan ini perlu didedahkan demi kepentingan rakyat.

Iskandar A. Samad
Exco Kerajaan Negeri Selangor

Wednesday, November 25, 2009

RM50,000 UNTUK KAJIAN "COUNCIL HOME"

Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM50,000 untuk menjalankan satu kajian tentang pembinaan "council home" bagi memenuhi permintaan perumahan di Selangor.

"Council home" adalah rumah yang disewakan kepada rakyat seperti golongan yang tidak mahu membeli rumah atau tidak mampu membeli rumah.

Di antaranya adalah warga tua atau golongan berpendapatan rendah yang tidak boleh mendapat pinjaman bank dan mereka yang baru mendirikan rumah tangga yang masih mengumpul wang untuk membeli rumah.

Di bawah kerajaan Barisan Nasional Negeri Selangor yang lepas, terdapat skim membeli rumah dengan hanya membayar RM1 tetapi ramai yang menyertai skim ini telah gagal membayar balik pinjaman mereka dan rumah-rumah mereka telah dilelong.

Buat masa ini, bilangan "council home" yang ada adalah terlampau terhad dan dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan. Ianya digunakan sebagai penempatan sementara di dalam pemindahan setinggan atau ketika berlaku bencana seperti kebakaran.

Selain dari itu terdapat rumah Projek Perumahan Rakyat atau PPR yang ditawarkan kepada rakyat untuk disewa dengan kadar di bawah kadar pasaran. Ianya disewakan dengan sewa bulanan dari RM124 hingga RM250 walhal kadar pasaran adalah RM400 hingga RM600. Walau bagaimanapun, permintaan untuk rumah-rumah tersebut adalah masih rendah memandangkan lokasinya yang jauh dari pengangkutan awam.

Di negara seperti Britain, pihak-pihak berkuasa tempatan mempunyai "council home" yang disewakan kepada rakyat. Rakyat negara tersebut berhak untuk mendapatkan kediaman yang sempurna dan ada yang menyewa sepanjang hayat tanpa perlu membeli rumah.

26 November 2009

Sunday, November 22, 2009

POLITIK ITU ADALAH PERSEPSI - Coretan YDP Edisi 37

Orang kata, ”Politics is all about perception” atau politik adalah persepsi.

Memang betul di dalam politik, persepsi rakyat itu teramat penting. Kadang-kala nasib pemimpin politik, sebuah gerakan politik atau malah sebuah kerajaan itu bergantung semata-mata kepada persepsi rakyat.

Kadang-kala tidak penting sama ada seorang pemimpin itu telah melaksanakan tanggung jawab beliau atau tidak. Yang menentukan masa depan beliau adalah persepsi rakyat.

Tidak penting sama ada sebuah parti politik betul atau salah. Yang menentukan sokongan adalah persepsi rakyat.

Tidak penting sama ada sebuah kerajaan bertanggung jawab atau tidak. Yang menentukan kemenangan pada pilihanraya adalah persepsi rakyat.

Kita mungkin tidak setuju dengan perkara ini tetapi ia adalah hakikat hidup. Itulah sebabnya parti-parti politik dunia menghabiskan wang yang banyak untuk membentuk persepsi. Ada yang menggunakan khidmat syarikat pengiklanan. Memasarkan imej parti dan pemimpin parti telah disamakan dengan memasarkan sekeping cokelat atau sebotol syampu.

Kalau kita mengimbas kembali kepada Seerah, Rasulullah SAW tidak bertindak untuk membunuh ketua kumpulan Munafik kerana bimbang masyarakat akan berkata Baginda telah membunuh seorang sahabat. Di kaca mata masyarakat, ketua Munafik itu adalah seorang sahabat. Bukankah persepsi masyarakat juga diambil kira sejak di zaman Rasulullah SAW?

PERSEPSI RAKYAT TERHADAP PAS

Pada saya, perkara yang melanda PAS sekarang adalah berpunca dari persepsi. Kenapa dengan tiba-tiba PAS dituduh sebagai berpecah-belah dan tidak stabil?

Bagi kita yang selalu turun ke Kawasan-Kawasan, sudah tentu mendapati tuduhan-tuduhan ini tidak benar.

Struktur organisasi di akar umbi masih kuat, perpaduan di kalangan ahli-ahli masih padu dan masih terdapat kumpulan-kumpulan teras ahli-ahli yang bekerja tanpa mengenal penat atau lelah.

Puncanya apabila dua orang pimpinan tertinggi berbeza pendapat. Sama ada secara sedar atau tidak sedar, ini disambut oleh pemimpin-pemimpin lain. Ada yang menyokong yang ini dan ada yang menyokong yang itu. Kemudian terjunlah orang luar ke dalam gelanggang. Kita pun terikut-ikut. Kucar-kacir. Haru-biru. Media pun memainkan peranan. Dari parti yang paling kuat dan paling stabil kepada parti paling bermasalah dalam Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan PAS di Selangor. Akibat dari beberapa pandangan yang berbeza yang disiarkan oleh akhbar-akhbar, seluruh organisasi PAS di Selangor dikatakan bermasalah.

Tetapi tidak mungkin dalam sekelip mata PAS Selangor atau seluruh organisasi PAS, dari Pusat, Dewan, Negeri, Kawasan hingga ke Cawangan menjadi bermasalah. Di mana-mana program masih berjalan, mesyuarat masih diadakan, ceramah masih dianjurkan dan kuliah-kuliah masih tidak terabai.

Walau bagaimanapun, kesemuanya tidak diambil kira. Masyarakat mempunyai persepsi yang berlainan. Media membentuk persepsi ini. Yang paling menyedihkan ada di antara kita yang mengiyakan propaganda-propaganda media itu. Sama ada di kedai-kedai kopi atau di serambi-serambi surau. Kita pula menjadi agen-agen yang memanjang propaganda-propaganda untuk menghancurkan PAS itu.

BEGITU RAPUH

Tetapi adakah kita begitu rapuh sehingga terlalu mudah untuk diperkotak-katikkan?

Sebenarnya bukan sahaja parti politik boleh menjadi mangsa tetapi sebuah kerajaan pun boleh tumbang akibat dari permainan media dan perancangan rapi untuk menghancurkannya.

Tidak susah untuk mengkucar-kacir sebuah organisasi. Kadang-kala tidak memerlukan teknologi yang canggih. Tidak perlu mencetak beribu-ribu helai risalah. Tidak perlu menggantung berpuluh-puluh kain rentang.

Contohnya sebuah Kawasan dan Cawangan boleh dilumpuhkan dengan hanya beberapa orang. Ini yang dinamakan perang saraf. In yang dinamakan ”psy-war”.

Jika ada seorang dua yang menjaja cerita di kedai-kedai kopi, masjid-masjid dan surau-surau, ia sudah dapat membentuk persepsi ahli-ahli dan masyarakat terhadap Kawasan atau Cawangan. Sama ada baik atau buruk.

Walaupun Kawasan tersebut mempunyai ribuan ahli atau Cawangan yang mempunyai ratusan ahli namun dengan hanya beberapa orang yang bekerja keras ”mencucuk” mampu menggagalkan perancangan atau memburukkan pimpinan.

Persepsi rakyat ini penting sehingga sebuah Badan Perhubungan PAS Negeri telah menggaji beberapa orang untuk pergi dari kedai kopi ke kedai kopi untuk menjelaskan isu-isu.

Di kedai-kedai kopi, kita dapat berjumpa dengan semua jenis manusia. Ianya lebih efektif dari ceramah yang kebanyakannya penyokong dan aktivis atau kuliah dan usrah yang kebanyakannya orang-orang PAS. Mungkin juga pimpinan perlu turun ke kedai-kedai kopi?

Bercakap tentang ”psy-war”, teringat saya tentang usaha pentadbiran Sukarno untuk mengganggu gugat kestabilan masyarakat di Malaysia ketika Konfrontasi dulu. Agen dihantar ke kawasan di mana orang Melayu sedang berkumpul seperti perhentian bas dan berkata, ”Tengok tu rumah besar, Cina yang punya”.

Kata-kata mudah seperti itu berupaya mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu supaya tidak memberi sokongan kepada usaha-usaha mempertahankan negara dari serangan Indonesia.

BODOHLAH UMNO JIKA ......

Di dalam satu kursus gerak saraf, kami diberitahu, ”Bodohlah UMNO jika tidak menghantar orang ke dalam PAS”.

Kenyataan itu benar ketika kita pembangkang dan sudah tentu benar ketika kita kerajaan. UMNO, SB atau risik tentera sudah tentu dihantar ke dalam PAS.

Pernah beberapa tahun yang lepas, saya dan beberapa orang AJK Kawasan telah pergi ke Balai Polis untuk membuat laporan Polis.

Seorang dari AJK itu terkejut apabila ternampak seorang hamba Allah yang masuk ke balai. Hamba Allah itu telah mula berjinak-jinak dengan ahli kariah masjid sahabat itu. Bertadarus bersama. Banyak bertanya soalan. Tetapi tidak ada yang tahu di mana beliau tinggal dan beliau muncul dengan tiba-tiba.

Salah seorang kami berkata, ”Mungkin dia pun hendak membuat laporan Polis”.

Tetapi kami tergamam apabila dia tidak pergi ke kaunter tetapi terus ke akuarium yang ada di ruang menunggu dan memberi makan ikan-ikan di situ. Kemudian dia terus masuk ke pejabat. Bukan sahaja anggota Polis mengenali beliau, ikan-ikan Polis pun mengenali beliau!

DIALOG PESURUHJAYA DI PANDAN

Beberapa minggu lepas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Hasan Mohd. Ali telah membuat lawatan ke Kawasan-Kawasan. Bagi Zon Tenggara, Pandan telah menjadi tuan rumah.

Suasana ketika itu masih panas maka seperti lawatan ke zon-zon yang lain hanya ahli-ahli dibenarkan masuk dan mereka dilarang membuat sebarang rakaman. Ianya perjumpaan ”anak-beranak” dan segala perbincangan sepatutnya habis di situ sahaja.

Tetapi pada keesokan hari saya telah mendapat panggilan dari seorang AJK PAS Pusat. Beliau memberitahu bahawa beliau ditelefon oleh seorang yang mengaku sebagai ”risik tentera” melapurkan dengan terperinci dialog malam itu.

Kenapa beliau melakukannya? Saya tidak tahu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Mungkin beliau mahu melaga-lagakan Dato’ Hasan dan pemimpin itu.

MESYUARAT PERHUBUNGAN

Pada hari Khamis lepas, Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah mengadakan mesyuarat bulanan.

Ianya di antara mesyuarat yang paling produktif. Kami bersetuju untuk membeli bangunan, menganjurkan konvensyen dan membincangkan program-program tarbiyyah. Ianya tidak panas walaupun persepsi rakyat PAS Selangor sedang bergolak. Di dalam ucapan pembukaan, Dato’ Hasan mahu kita memandang ke hadapan dan jangan menoleh ke belakang.

HIDUP MACAM MAIN GOLF

Seorang pensyarah saya ketika di UK pernah memberitahu bahawa hidup ini seperti permainan golf. Di satu lubang kita mungkin melebihi ”par” tetapi di lubang yang seterusnya kita mesti melupakan lubang yang sebelumnya dan berusaha mendapat ”hole in one”. Beliau berkata sedemikian selepas saya mendapat satu keputusan peperiksaan yang kurang baik.

Tetapi di dalam politik, kita harus berwaspada. Musuh-musuh tidak mahu melihat kita hidup aman damai dan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja yang sebenar. Mereka mahu kita bergaduh dan bercakaran. Mereka mesti diperangi habis-habisan.

22 November 2009

Wednesday, November 18, 2009

Coretan YDP Edisi 36 - ISLAM YANG TIDAK MENGENAL SEMPADAN

Tanah perkuburan Islam Mahmudiah merupakan satu tanah perkuburan yang lama di Johor Baharu.

Ibu saya memberitahu nenek saya dan jiran-jirannya apabila hendak ke Masjid Sultan Abu Bakar akan berjalan kaki dari rumah mereka di Kg. Tarom dan merentasi tanah perkuburan itu. Walaupun di waktu malam.

Beliau yang telah lama meninggal dunia telah disemadikan di tanah perkuburan itu bersama beberapa keluarga kami, datuk-datuk, pakcik-pakcik dan sepupu-pupu.

Walaupun saya telah menetap di Lembah Kelang sejak berumur satu tahun dan jarang-jarang ke Johor Baharu namun tanah perkuburan itu masih jelas dalam ingatan. Saya telah beberapa kali menziarahi pusara-pusara keluarga kami di sana. Ibu saya juga pernah memberitahu terdapat satu kawasan di dalam tanah perkuburan itu yang selalu dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan berwarna merah. Di kawasan itu telah semadikan mereka yang dinamakan tentera-tentera Kabul. Siapakah mereka tentera-tentera Kabul itu?

Tentera-tentera Kabul adalah mereka yang telah berkhidmat di dalam Tentera British. Mungkin mereka dari Kabul atau dari India. Di dalam mata pelajaran sejarah di sekolah, kita kerap membaca tentang tentera-tentera Sepoy yang berkhidmat dengan British. Mungkin juga tentera-tentera Kabul ini tentera-tentera Sepoy.

Menurut sejarah, tentera-tentera Kabul ini berpengkalan di Johor Baharu. Ketika Perang Dunia Pertama, British telah berperang dengan Daulah Uthmaniyyah. Negara-negara Barat mengenalinya sebagai Turki. Ini amat mengelirukan kerana Turki hanyalah satu wilayah di Anatolia dan Khalifah di Istanbul pernah memerintah wilayah-wilayah dari Maghribi hingga ke sempadan Iran. Dari Yaman hingga ke sempadan Austria. Dalam satu peristiwa, wakil-wakil kerajaan Uthmaniyyah yang diraikan di Eropah terpingga-pinga apabila diperkenalkan sebagai wakil-wakil dari kerajaan Turki. Konsep negara bangsa belum wujud lagi ketika itu. Ummah adalah satu.

Berbalik kepada tentera Kabul, British telah mengerahkan mereka untuk berperang dengan Daulah Uthmaniyyah. Mereka enggan dan dilaporkan telah memberontak. Pada mereka, memerangi Daulah Uthmaniyyah bermakna memerangi Khalifah. Sebagai umat Islam mereka merasakan mereka mesti taat kepada Khalifah. Satu bentuk kepimpinan yang berterusan dari Khulafa Ar-Rasyidin.

Tetapi akhirnya mereka telah dapat ditangkap dan dihukum bunuh. Jenazah-jenazah mereka telah disemadikan di tanah perkuburan Mahmudiah.

Ada banyak pengajaran yang dapat dipelajari tentang nasib tentera Kabul. Mereka berada di dalam zaman ketika umat Islam masih ada seorang Khalifah. Ketika itu Sultan Abdul Hamid. Mereka memberi wala’ sehingga sanggup memberikan nyawa walaupun ketika itu Khalifah Islam berada di dalam keadaan yang lemah. Mereka memberi wala’ walaupun mereka tidak pernah mengenali Khalifah dari dekat, mungkin juga tidak pernah melihat wajah Khalifah. Tidak ada televisyen di zaman tersebut.

Tetapi mereka memberi wala’ walaupun mereka tidak menetap di dalam lingkungan kekuasaan Daulah Uthmaniyyah. Mereka digaji oleh British tetapi taat setia mereka tetap kepada pemerintahan Islam. Walaupun ianya terletak beribu batu jauhnya.
Di antara yang dapat dipelajari dari peristiwa itu adalah Islam tidak mengenal sempadan. Islam tidak mengenal sempadan negara atau negeri apatah lagi sempadan daerah, DUN atau kampung.

Penjajah mengajar kita sejarah bagaimana Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511. Bagaimana orang-orang Melayu cuba merampas balik kota itu. Tetapi kita tidak diajar bahawa turut bersama pahlawan-pahlawan Melayu adalah tentera dari Timur Tengah. Tentera Arab yang datang beribu-ribu batu demi agama Allah. Kita juga jarang mendengar bagaimana ketika Aceh diserang Belanda, Khalifah Islam di Istanbul telah menghantar meriam-meriam untuk membantu. Kita adalah satu sehingga dipecah perintah oleh penjajah dan ditanam semangat kebangsaan, kenegerian dan kedaerahan.

Tentera Kabul itu juga mengajar kita erti wala’. Saidina Ali R.A. pernah berkata, tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, tiada kepimpinan tanpa wala’. Tetapi kadang kala bukan sahaja wala’ tidak ada tetapi akhlak terhadap kepimpinan juga tidak seperti seorang Muslim. Ada yang menggunakan peristiwa Saidina Umar R.A. diingatkan akan diajar dengan pedang jika menyeleweng sebagai alasan. Kadang kala semata-mata tidak menurut cita rasa kita, kita seolah-olah mahu ”mengajar pimpinan dengan pedang”. Akhirnya ramai yang lain menjadi bosan. Bosan apabila mesyuarat tidak ada keputusan. Perkara yang kecil dibesar-besarkan.

Walau bagaimanapun Islam tidak memberi ”cek kosong” kepada pemimpin untuk melakukan sesuka hati. Di dalam Islam ada ”accountablity”. Pimpinan seharusnya bijak membaca keadaan. Tidak mewujudkan kucar-kacir atau kemudharatan kepada mereka yang dipimpin.

Di dalam solat, bagi beberapa kesalahan yang dilakukan oleh imam, makmum boleh ”mufaraqah” atau keluar dari jemaah. Tetapi jangan pula meninggalkan solat jemaah untuk memasuki ke kuil!

PERUNTUKAN ADUN

Ramai yang bertanya tentang peruntukan ADUN. Peruntukan ADUN diberikan kepada ADUN untuk kawasan mereka. Ianya duit kerajaan, duit rakyat bukan duit parti. Ini bermakna jika ADUN kawasan adalah dari DAP, ianya bukan hanya untuk ahli-ahli DAP atau orang bukan Islam sahaja. Peruntukan ini untuk seluruh rakyat di dalam kawasan DUN tersebut. Begitu juga peruntukan bagi ADUN PAS, bukan untuk orang-orang PAS atau orang Islam sahaja tetapi untuk semua rakyat di dalam DUN tersebut tanpa mengira bangsa dan agama.

Minggu lepas beberapa orang telah didakwa di mahkamah kerana menyalah guna peruntukan DUN. Saya tidak tahu kesalahan itu disengajakan atau satu kesilapan. Seperti biasa untuk mengeluarkan duit kerajaan terpaksa melalui banyak prosedur. Mungkin ada di antara orang baru yang melakukan kesilapan. Tetapi bagi orang lama tidak ada alasan. Ada juga yang bertanya kepada saya bolehkah ADUN menyumbang di luar kawasan mereka? Contohnya ADUN Chempaka menyumbang ke kawasan Teratai.

Menurut peraturan, boleh jika sumbangan itu boleh memberi manfaat kepada kawasan ADUN tersebut. Mungkin jika sumbangan untuk program di luar kawasan DUN tetapi ianya dihadiri oleh penduduk dari kawasan ADUN itu. Atau sumbangan diberi kepada penduduk di luar kawasan DUN tetapi mereka ada sumbangan kepada kawasan ADUN itu.

15 November 2009

Saturday, November 14, 2009

Bancian Setinggan Siap Januari Depan

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa bancian bagi setinggan-setinggan di atas tanah kerajaan dan tanah rizab-rizab kerajaan akan disiapkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bulan Januari depan.

Nama-nama mereka yang layak menerima rumah kos rendah akan dipamerkan kepada umum pada bulan Mac untuk pengesahan dan sebarang bantahan.

Tawaran untuk membeli rumah kos rendah akan dibuat kepada mereka yang layak pada akhir bulan Jun.

15 November 2009

Exco Tetap Mahu Bertemu Menteri Walaupun Akan Dituduh Cenderung Kepada Unity Government

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri walaupun kemungkinan dituduh cenderung kepada "unity government" atau kerajaan perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Hannah Yeoh (DAP - Subang Jaya) agar beliau mengadakan pertemuan dengan menteri tersebut untuk membincangkan tahap keselamatan yang membimbangkan sehingga ramai penduduk yang telah menubuhkan komuniti berpagar (guarded and gated community) tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Katanya lagi, satu garispanduan baru untuk komuniti berpagar akan digunapakai tahun hadapan untuk menggantikan garispanduan lama yang dikeluarkan dalam tahun 2007.

Dewan turut diberitahu bahawa beliau juga berhasrat bertemu Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan untuk membincangkan penyelesaian kepada projek-projek terbengkalai.

Ketika mengulas di luar dewan, Exco itu memberitahu beliau tidak akan melayani kerenah mereka yang cenderung menabur fitnah dan lebih suka bermain politik tetapi akan mengutamakan kepetingan rakyat.

14 November 2009

Syabas Longgarkan Syarat-Syarat Migrasi Kepada Meter Individu

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa setelah rundingan dengan Syabas penduduk pangsapuri tidak perlu membayar sepenuhnya hutang pada meter pukal jika mahu mendapatkan meter individu.

Bil yang tertunggak itu boleh dipindahkan kepada akaun meter-meter individu yang boleh dibayar secara ansuran.

Selain itu, sekira persetujuan untuk migrasi dari kesemua penduduk tidak dapat diperolehi maka Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) boleh membuka akaun meter individu untuk unit-unit yang kosong atau yang enggan melakukan migrasi. Sekiranya mereka masih enggan membayar bil-bil meter individu mereka maka Syabas akan memotong bekalan air tanpa menjejaskan penduduk lain.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah mewajibkan migrasi dilakukan.

Dengan meter individu, penduduk layak mendapat 20 meter padu air percuma yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.

14 November 2009

Selangor Mengambil Balik Tanah Pemaju Projek Lambat

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa tanah-tanah sebuah pemaju yang lambat menyiapkan projek rumah kos rendah mereka di Hulu Kelang telah diambil balik.

Pemaju yang telah diberi milik tanah semasa pentadbiran Barisan Nasional bukan sahaja gagal menyiapkan projek mereka menurut jadual tetapi telah juga gagal membayar premium tambahan untuk tanah-tanah mereka yang belum dimajukan. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor akan memajukan tanah-tanah itu.

Kelewatan projek tersebut telah mengakibatkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menanggung berjuta-juta ringgit kerana terpaksa membayar sewa bekas penduduk setinggan yang menunggu untuk berpindah ke projek itu.

14 November 2009.

Selangor Tubuhkan Syarikat Memasarkan Kuota Perumahan Bumiputera

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar A. Samad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa satu syarikat untuk memasarkan kuota-kuota perumahan Bumiputera telah ditubuhkan.

Syarikat itu, Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. bertanggung jawab menjual kuota-kuota perumahan Bumiputera yang diwajibkan ke atas pemaju.

Di antara tujuan penubuhan syarikat itu adalah untuk membantu para pemaju menjual rumah-rumah yang dikhaskan untuk Bumiputera serta memastikan para pemaju tidak "menyembunyikan" rumah-rumah tersebut dari orang ramai. Telah ada aduan di mana para pemaju telah memberitahu rumah-rumah itu telah habis dijual walhal masih ada.

14 November 2009

Selangor Turunkan Sewa Rumah PPR

Info Selangor : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Iskandar Samad sidang Dewan Undangan Negeri bahawa 974 penyewa rumah PPR telah mendapat pengurangan sewa. Nilai pengurangan adalah RM1.47 juta setahun.

Lebih ramai lagi akan mendapat pengurangan sewa dan jumlah pengurangan dianggarkan hampir RM3 juta setahun.

Selain itu, penyewa-penyewa berpendapatan rendah berpeluang membayar sewa tertunggak mereka dengan mekakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.

14 November 2009

Thursday, November 12, 2009

Soalan Dewan Negeri Selangor No. 39 – Isu Peneroka Bandar Kg. Bukit Botak

Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2003 dan 2005 telah meluluskan 1367 lot-lot tanah kepada individu-individu di tapak yang sebelum ini merupakan Kg. Bukit Botak.

 

Asalnya tanah tersebut adalah tanah kerajaan.

 

Sehingga hari ini, sebanyak 1002 individu telah menerima surat hakmilik atau geran mereka.

 

Walau bagaimanapun dari 1367 lot, 237 lot telah diklasifikasikan sebagai lot-lot hilang.

 

Di antara sebab-sebabnya adalah kerana lot-lot tersebut terletak di dalam rizab TNB, terletak di dalam tapak sekolah, bersempadanan dengan tanah kelas 3 atau terlibat dengan cadangan parit.

 

Selain dari itu, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak di dalam siasatan mereka telah mengesahkan terdapat 117 bekas penduduk Bukit Botak telah tercicir di dalam penyelesaian yang diusahakan oleh kerajaan negeri yang lepas.

 

Jawatankuasa ini telah menyemak senarai bekas penduduk Kg. Bukit Botak, memanggil bekas-bekas penduduk, menerima aduan, mengadakan siasatan dan mengadakan temuduga

 

Oleh itu, keluasan tanah yang ada di tapak bekas Kg. Bukit Botak tidak dapat menampung kesemua penduduk yang layak jika ia dibangunkan dengan pembangunan yang "landed" seperti rumah teres, rumah berkembar atau rumah banglo.

 

Menurut  kajian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), untuk menyiapkan projek ini berdasarkan perancangan asal iaitu rumah berkembar dengan harga RM42,000 hingga RM79,000, PKNS terpaksa membelanjakan sehingga RM136.4 juta.

 

Sebelum ini, PKNS telah membelanjakan RM48 juta apabila mereka mengambil alih projek ini dari pemaju asal, Delpuri Corporation Sdn. Bhd.

 

Oleh itu, Kerajaan Negeri berpendirian projek Bukit Botak ini tidak praktikal diteruskan menurut perancangan yang asal.

 

Maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk mengambil alih tanah-tanah tersebut.

 

Di bawah Kanun Tanah Negara, penduduk berhak mendapat pampasan yang sewajarnya.

 

Notis siasatan telah dikeluarkan minggu ini.

 

Proses siasatan akan diadakan mulai Disember ini.

 

Kerajaan Negeri sedang mengadakan perbincangan dengan PKNS tentang pembangunan yang paling sesuai untuk menyediakan kediaman untuk semua bekas penduduk Kg. Bukit Botak yang layak tanpa menambah kerugian yang ditanggung oleh PKNS.

 

Kerajaan Negeri mahu penduduk bukan sahaja mendapat kediaman yang sempurna tetapi pulangan dari hasil usaha mereka meneroka tanah mereka sebelum ini.

 

Sehingga itu, Kerajaan Negeri berharap agar mereka yang terlibat sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak meduduki rumah-rumah yang tidak memiliki sijil-sijil menduduki bangunan.

 

Oleh :

Iskandar Abdul Samad

Pengerusi Jawatankuasa Tetap

Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan

12 November 2009


Saturday, November 7, 2009

PROSES MIGRASI DIMUDAHKAN

Satu persetujuan telah dicapai bersama Syabas berkenaan hutang-hutang penduduk rumah bertingkat seperti pangsapuri dan kondominium.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor telah mewajibkan migrasi dari meter pukal kepada meter individu. Tetapi hutang yang tertunggak pada akaun meter pukal merumitkan proses migrasi.

Walau bagaimanapun setelah perbincangan diadakan bersama Syabas, hutang tertunggak pada akaun meter pukal ini akan dipindahkan kepada akaun individu penduduk.

Contohnya jika sebuah blok pangsapuri berhutang RM50,000 pada akaun meter pukal maka migrasi tidak dapat dilakukan sehingga hutang ini dibayar. Tetapi dengan polisi baru ini, migrasi masih boleh dilakukan dengan memindahkan hutang ini kepada setiap unit di dalam blok tersebut. Walau bagaimanapun, pemaju, JMB atau MC mesti mempunyai rekod hutang-hutang bagi setiap unit. Mungkin ada unit yang berhutang RM100, mungkin ada yang RM1,000 dan mungkin ada yang tidak berhutang langsung.

Setelah hutang-hutang itu dipindahkan kepada penduduk maka proses migrasi boleh dilakukan. Dengan meter individu, penduduk boleh menikmati air percuma untuk 20 meter padu pertama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimana pula dengan penduduk yang enggan membuka akaun individu dengan Syabas?

Perkara ini selalunya menimbulkan masalah kerana Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus (consent) sebelum migrasi dapat dilakukan. Ini selalu berlaku bagi unit yang disewakan atau mereka yang enggan membayar hutang kepada Syabas.

Penyelesaiannya adalah dengan membenarkan JMB atau MC membuka akaun bagi pihak unit-unit yang enggan itu. Dengan itu, setiap unit mempunyai akaun meter individu sama ada di atas nama pemilik atau JMB atau MC.

Apa akan jadi jika penghuni unit-unit di bawah JMB atau MC enggan membayar bil air mereka kepada JMB atau MC?

Adakah JMB atau MC akan membayar kepada Syabas untuk mereka?

Mungkin tidak. Maka ini bermakna bekalan air ke unit mereka akan dipotong oleh Syabas.

Kalau sebelum migrasi jika ada penduduk yang tidak membayar bil mereka, bekalan air kepada seluruh blok akan dipotong. Tetapi dengan migrasi, hanya mereka yang enggan membayar akan dipotong bekalan air.

Penyelesaian yang diusahakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ini lebih adil dan berupaya menyelsaikan masalah yang telah membelengu penduduk sejak bertahun-tahun.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
8 November 2009

SUAMI ISTERI BERLAGA KEPALA, ORANG LUAR BERSORAK SURUH BERCERAI

Pada hari Rabu lepas, Pengarah JAIS telah dijemput untuk memberi penerangan kepada Exco tentang penangkapan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis.

Exco perlu mendengar penjelasan dari JAIS kerana isu tersebut telah menjadi panas apabila menjadi bahan perbincangan dan perbahasan masyarakat. Sama ada di kaki lima atau di dalam internet. Tetapi Exco mahu mendengar terus dari JAIS bukan dari pihak kedua, ketiga atau keempat seperti melalui akhbar dan blog.

Tetapi taklimat tidak panas seperti di luar. Perbincangan diadakan. Keputusan diambil dan tindakan-tindakan susulan dipersetujui. Itu sahaja. Mungkin akan mengecewakan penulis-penulis blog yang terpaksa menggunakan imaginasi dan kepakaran mereka mencipta mitos untuk menarik pelayar-pelayar maya.

Exco hari itu bermula jam 2.00 petang kerana YAB Dato’ Menteri Besar perlu menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja di sebelah pagi. Ianya telah berakhir pada jam 6.15 petang. Ramai Exco Islam telah terus ke pejabat mereka untuk solat. Walau bagaimanapun saya telah keluar solat sebentar ketika mesyuarat dan terus ke bilik makan Exco. Saya perlu ke Sg. Besar malam itu dan bercadang untuk solat Maghrib di Bangunan SUK.

Menu petang itu adalah rojak. Bersama-sama saya adalah YB Ean, YB Eli, YB Xavier dan YB Rodziah. Selalunya kami menghabiskan masa selepas Exco untuk terus berbincang atau bertukar-tukar fikiran. Di situ lebih ”relax” dan tidak ”formal”.

Sambil makan rojak, saya bertanya kepada YB Ean tentang cadangan saya untuk memasang pili-pili bomba di Kg. Baru Ampang yang baru-baru ini berlaku kebakaran. Saya bertanya YB Ean kerana ia melibatkan kilang-kilang haram. YB Ean bertanggung jawab di dalam memutihkan kilang-kilang haram. Penduduk memohon agar saya mendapatkan mereka pili-pili bomba.

YB Eli pula bertanya saya tentang projek ”Eco Tourism” yang dicadangkan oleh FRIM. Saya memberitahu kita masih mengkaji cadangan mereka.

Petang itu beliau tidak berleter seperti biasa. Selalunya YB Eli akan berkata, "Don't eat that, its bad for you" atau "Jangan makan itu, ia tidak baik untuk kamu" apabila melihat Exco-Exco makan makanan yang berlemak atau bergula.

YB Xavier pula memberitahu bahawa beliau telah menghadiri majlis penerangan Bajet di MBPJ malam tadi. Yang menarik katanya adalah reaksi Anwar Ibrahim terhadap Selangor. Kata YB Xavier, buat pertama kali Anwar memuji Selangor. Beliau memberitahu, ”Usually he whacks us” atau ”Selalu dia bantai kita”.

Walau bagaimanapun, YB Eli membangkitkan kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) di dalam blognya bahawa Selangor akan jatuh pada bulan Januari 2010.

YB Xavier pula menyanggah, ”We are still here, Ean is still here, nobody is going anywhere” atau ”Kita masih di sini, Ean masih di sini, tidak ada sesiapa yang hendak ke mana-mana”.

Saya pula menambah bahawa BN telah berjanji bahawa Selangor akan jatuh pada bulan September lagi.

Begitulah suasana di kalangan anggota kerajaan. Walaupun kami telah melalui isu-isu mencabar seperti rampasan arak di Shah Alam dan Selcat namun ianya tidak mengganggu perjalananan dan pentadbiran kerajaan. Perancangan terus berjalan. Hubungan di kalangan Exco tidak terjejas. Tidak ada bermasam muka.

Tetapi nampaknya suasana sedemikian amat dicemburui oleh lawan. Mereka cuba memecah belahkan kami. Bagaikan suami isteri yang berlaga kepala, orang luar yang lebih-lebih bersorak menyuruh bercerai. Tetapi kehidupan bagi kami diteruskan seperti biasa. Pemergian YB Badrul ke pangkuan BN juga tidak melemahkan semangat kami. Business as usual.

Oleh itu, kami amat terkejut apabila timbul semula berita tentang Unity Govenment dan salah seorang anggota Exco sedang cuba membawa orang kepada UMNO.

Kenapa perlu masuk UMNO? Kenapa perlu anggota kerajaan memasuki UMNO dan menjadi pembangkang? Kenapa seorang Exco yang mengawal dana lebih separuh peruntukan bajet tahunan kerajaan negeri Kelantan mahu melompat ke UMNO? Satu perkara kepada saya dan kepada ahli-ahli Exco lain yang tidak masuk akal sepertimana yang digambarkan oleh YB Xavier.

Lebih-lebih lagi kajian Merdeka Centre yang dibuat khusus untuk kerajaan negeri menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah meningkat. Bukan sahaja di kalangan orang bukan Melayu tetapi di kalangan orang Melayu. Sebelum ini sokongan orang Melayu dilihat statik.

BN MENGINTAI PELUANG

Walau bagaimanapun cakap-cakap bahawa Selangor akan jatuh pada bulan Januari hadapan tidak boleh dianggap remeh. BN akan mencuba sedaya upaya. Tetapi bagaimana kerajaan boleh tumbang? Ada dua cara.

Pertama jika ADUN-ADUN kerajaan dapat dibeli dan melompat. Ini telah dilakukan di Perak dan BN telah akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan.

Di Kelantan dalam tahun-tahun enam puluhan, modus operandinya berbeza. ADUN-ADUN PAS telah diculik dan dikurung di Kuala Lumpur. Akhirnya mereka telah dipaksa membuat pengakuan di televisyen. Walau bagaimanapun di Kelantan, usaha ini telah gagal apabila terdapat ADUN-ADUN PAS yang pada mulanya berjanji untuk menyokong Perikatan, belum ada BN ketika itu, telah menukar fikiran ketika usul undi tidak percaya terhadap kerajaan.

Cara kedua adalah mengumumkan dharurat. Insiden demonstrasi kepala lembu pada bulan Ogos lepas sebenarnya memberi peluang kepada BN untuk mengambil alih pentadbiran negeri Selangor.

Demonstrasi itu berlaku pada hari Jumaat. Rakyat Selangor masih waras. Sekiranya mereka tidak atau provokasi menjadi, pergaduhan antara kaum boleh dicetuskan di seluruh negeri Selangor. Dengan sekelip mata dharurat akan diisytiharkan dan Selangor akan ditadbirkan terus dari Kuala Lumpur untuk satu tempoh yang hanya BN boleh menentukan.

Secara kebetulan, hari Ahad merupakan hari ulangtahun kemerdekaan negara. Mungkin sesuatu telah dirancang untuk hari tersebut. Mungkin satu pengumuman khas.

Secara kebetulan pula pada hari Selasa, Perdana Menteri telah dijadualkan melawat sebuah masjid di Gombak. Mungkin ada hubungan di antara lawatan dan demonstrasi kepala lembu.

Rakyat perlu bijak. BN sentiasa mengintai peluang. Mereka akan cuba dan terus mencuba.

TIDAK ADA MASA

Tetapi saya yakin ramai di antara aktivis PAS yang tidak ada masa untuk memikirkan siapa yang akan masuk UMNO atau adakah BN boleh mengambil alih Selangor pada bulan Januari kelak.

Terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kita memikirkan perkara-perkara seperti itu terutamanya siapa yang akan melompat ke dalam UMNO. Sama ada aktivis PAS Kawasan, Dewan atau Cawangan, mereka dibebani dengan pelbagai tanggung jawab. Hanyalah apabila ada di antara kita yang mengabaikan tanggung jawab, mempunyai begitu banyak masa terluang maka timbul pelbagai andaian. Mungkin hanyalah mereka yang tidak terlibat dengan program-program Parti akan melayani andaian-andaian tersebut.

Di Pandan kita, menganjurkan usrah gabungan mingguan di pusat khidmat kita di Pandan Indah setiap hari Khamis. Minggu pertama bersama Ketua Pemuda PAS Kawasan, minggu kedua bersama Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan, minggu ketiga bersama Ustaz Idris Ahmad, minggu keempat bersama Ustaz Redhuan Mohd. Noor dan jika terdapat minggu kelima bersama ustaz jemputan.

Tidak memadai ahli-ahli mendapat maklumat atau tarbiyyah hanya dari Harakah atau internet. Kuliah-kuliah di surau dan masjid pula adalah terlalu umum. Banyak perkara yang disampaikan di dalam program khusus untuk ahli-ahli tidak akan disampaikan kepada khalayak ramai. Kita perlu mendapatkannya ”first hand” dari pimpinan. Bukanlah kita tidak mempercayai orang luar tetapi hanya orang yang telah melalui proses pentarbiyyahan Parti akan memahami hasrat Parti.

Tetapi malangnya ada di antara kita yang lebih mempercayai orang luar dari pimpinan sendiri. Lebih mempercayai blog yang kita tidak tahu asal usulnya dari pimpinan Pusat apa lagi pimpinan Negeri dan Kawasan.

Tarbiyyah Parti memberi kekuatan kepada ahli-ahli untuk menghadapi cabaran masa kini yang semakin getir. Tidak kira yang bergaji RM300 atau RM30,000, tarbiyyah mempersiapkan aktivis Parti untuk memastikan agenda Parti menjadi kenyataan. Tanpa tarbiyyah yang melahirkan komitmen dan pendedahan kepada program-program Parti di pelbagai peringkat, aktivis yang begaji RM30,000 pun tidak akan berdaya menghadapi pimpinan UMNO Cawangan dan menguasai masyarakat.

Tarbiyyah bukan hanya bermakna menghadiri kuliah dan usrah tetapi bersusah payah menganjurkan program-program juga satu tarbiyyah. Jangan kita sempitkan tarbiyyah dengan kurikulum-kurikulum tertentu tetapi ianya perlu lebih luas lagi. Ada yang berkata, ”Kita yang tua-tua ni mana boleh, budak U bolehlah”. Memang benar maka perlu ada kepelbagaian.

Ia seharusnya memberi kekuatan dan menyatukan fikrah-fikrah. Kita hendak menyatukan fikrah ahli-ahli bukan sahaja untuk seluruh Kawasan tetapi seluruh negara. Kita selalu menyebut tentang ”Wihdatul Fikr”

UMNO yang sekular itu dapat mencapai ”Wihdatul Fikr”. Jika Najib membuat satu kenyataan, Muhyiddin akan menyokongnya malah Ketua UMNO Cawangan pun akan mempunyai pendirian yang sama. Jika PAS sebagai jemaah Islam gagal mencapai ”Wihdatul Fikr”, jika kenyataan pimpinan masih bertentangan maka malu kita kepada UMNO.

8 November 2009

Monday, November 2, 2009

INFAQ : SATU JIHAD DAN TARBIYYAH

Seperti yang telah diamalkan sejak bertahun-tahun, di antara pendapatan utama PAS Kawasan adalah infaq bulanan dari Cawangan-Cawangan. Selalunya ahli-ahli Cawangan akan membayar infaq tetap kepada Cawangan mereka. PAS Kawasan juga membayar infaq bulanan kepada PAS Negeri. Begitu juga PAS Negeri membayar infaq kepada PAS Pusat tetapi saya kurang pasti sama ada bulanan atau tahunan atau mungkin dari masa ke semasa. Setiap wakil rakyat PAS tidak kira Exco, ADUN atau ahli Parlimen membuat potongan 30 peratus dari gaji pokok mereka kepada PAS. Malah wakil-wakil rakyat yang telah pencen juga diwajibkan membuat sumbangan bulanan kepada PAS.

Selain dari itu sumbangan juga diwajibkan bagi pelbagai peringkat Parti dari masa ke semasa untuk perkara-perkara seperti pilihanraya kecil, pilihanraya umum, Muktamar, tamrin, ijtimak, majlis-majlis Hari Raya dan pelbagai program-program Parti yang lain.

Ada orang mengganggap kekerapan PAS memohon sumbangan dari ahli-ahlinya sebagai satu kelemahan, meminta sedekah, tidak kreatif, tidak ada sumber lain dan ketinggalan zaman. Ada pula yang melihat kesediaan orang-orang PAS menghulurkan sumbangan sebagai satu kekuatan. Saya pernah hadir di dalam satu ceramah di mana bukan sahaja wang ringgit dihulurkan tetapi gelang emas turut diinfaqkan. Ia menunjukkan komitmen mereka terhadap perjuangan. Akan berdiri teguh walau apapun terjadi.

Saya melihat perlu ada dua pendekatan, infaq itu perlu tetapi Parti juga mesti memikirkan cara lain untuk mencari dana.

INFAQ YANG BERKURANGAN

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri Selangor, ramai yang mengakui bahawa infaq dari ahli-ahli semakin berkurangan. Sebagai seorang anggota kerajaan, saya kurang faham kenapa ini boleh berlaku. Adakah dengan menjadi kerajaan ini bermakna kerajaan negeri akan menyalurkan dana kepada parti-parti yang berkuasa? Adakah dengan menjadi kerajaan kita boleh memaksa syarikat-syarikat yang ingin mendapat kontrak atau sesuatu kelulusan memberi "percent" kepada Parti? Kalau boleh maka semua Exco akan menjadi kaya raya.

Bukan itu sahaja ADUN, ahli Majlis malah kakitangan pejabat ADUN juga akan jadi kaya raya. Saya diberitahu semasa pentadbiran BN terlalu banyak "pengutip tol". Untuk jumpa Exco kena bayar, untuk jumpa ADUN kena bayar, untuk jumpa ahli Majlis juga mungkin begitu. Ada kes di Selangor di mana seorang hamba Allah yang memohon surat sokongan kelulusan lesen di PBT bertanya kepada kakitangan pejabat ADUN berapa perlu dibayar. Sebabnya, semasa BN mereka perlu membayar.

Kalau semua ini boleh maka sudah tentu Parti juga akan jadi kaya raya. Tidak perlu infaq. Tetapi meminta-minta dari ahli. Tetapi semua itu tidak dibolehkan. Sama ada oleh agama atau undang-undang negara. Ramai yang berkata kepada saya Exco banyak duit. Di dalam hati saya berkata, "Engkau ingat aku makan rasuah macam BN?"

INFAQ ITU PENTING

Infaq perlu diteruskan kerana pada saya ia memberi peluang kepada ahli-ahli untuk membuat pelaburan akhirat. Ianya satu jihad terutamanya bagi kita di Malaysia yang mungkin tidak akan bertemu dengan suasana seperti di Lubnan, Palestin atau Afghanistan. Adakah jihad dan infaq itu sudah mati dengan tertubuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor? Mungkin 100 peratus dari kita akan menjawab tidak tetapi adakah realitinya begitu?

Infaq juga satu tarbiyyah. Bukan usrah dan kuliyyah sahaja tarbiyyah. Melatih kita memberi komitmen kepada perjuangan. Membiasakan kita melepaskan perkara yang kita cintai demi perjuangan.

TETAPI ADA YANG MASIH LIAT

Saya ada mendapat rungutan dari Bendahari PAS sama ada sessi atau sessi lepas betapa terdapat Cawangan-Cawangan yang masih liat membayar infaq bulanan mereka. Di Pandan hanya RM50. Satu jumlah kecil jika dibandingkan dengan pendapatan per kapita orang-orang Pandan. RM50 bermakna jika ada 10 orang ahli yang menyumbang hanya RM5 seorang ahli sebulan. RM5 seorang ahli sebulan bermakna 17 sen sehari. Saya tidak fikir 17 sen sehari itu membebankan. Teh tarik pun RM1 segelas. Roti canai pun 80 sen sebiji. Karipap pula 40 sen sebiji.

Kalau ada 5 orang ahli sahaja yang menyumbang, ianya hanyalah 35 sen sehari. Bukan satu deraan mental atau fizikal untuk menyumbang 35 sen sehari!

Kadang kala Cawangan mempunyai lebih banyak "red tape" dari jabatan-jabatan kerajaan. Bermacam-macam alasan, "Cawangan kami belum mesyuarat lagi" atau "Bendahari kami outstation". Tidak masuk akal untuk mengeluarkan RM50 untuk pelaburan akhirat perlu "red tape" yang begitu panjang atau tidak ada yang sanggup mendahulukan duit mereka.

Tetapi yang paling classic apabila Bendahari kita diberitahu, Cawangan tidak ada duit walhal ahli-ahli Cawangan mempunyai urusan perniagaan yang beribu-ribu RM. Di dalam dan di luar negara.

Selalunya nasihat saya kepada Bendahari kita. Bersabar dan banyaklah berdoa.

SUMBER LAIN

Saya bersetuju kita mesti mempunyai sumber-sumber lain yang tetap. Contoh yang terbaik bagi sebuah jemaah Islam adalah Al-Arqam yang mempunyai "business arm" yang sungguh berjaya. Terdapat jemaah Islam pula yang menggalakkan dan membantu ahli-ahlinya terlibat di dalam perniagaan seperti pengurusan, perundingan atau teknologi tinggi sehingga mereka dapat menyumbang kepada jemaah. UMNO yang bukan sebuah jemaah Islam juga mempunyai "business arm" dan kita tentu masih ingat tentang UEM, Fleet dan Renong. Di Eropah seperti di UK, rakyat di sana tidak dapat menerima parti-parti politik yang mempunyai "business arm". Segala sumbangan perlu dilaporkan kepada pihak yang mengendalikan pilihanraya.

Oleh itu saya amat berharap agar orang-orang kita mempunyai kepakaran sendiri agar kita dapat membantu mereka. Manfaatkan kepakaran yang anda ada. Tidak kira sama ada membuat kuih atau membuat helikopter.

Tetapi malang sekali orang kita lebih suka menjadi "broker" atau "agent". Cina, Melayu, India, Portugis dan ramai lagi, yang dibawa kepada saya dengan pelbagai janji. Saya amat kurang selesa dengan mereka. Kalau begitu akhirnya kita tidak ada apa-apa kepakaran. Hanya air liur yang menjadi modal. Maka tidak ada bezanya dari UMNO dan BN.

3 November 2009

Sarapan Bersama ADUN Pada 8 November 2009

Dijemput ahli-ahli dan rakyat untuk bersarapan bersama ADUN, 
 
Tarikh : Ahad 8 November 2009
Masa : Mulai 8 pagi
Tempat : Rumah Sdra Iskandar, 8 Jalan Kencana 25, Taman Kencana, Pandan Indah.
 
Harap dapat panjangkan jemputan ini kepada semua ahli dan penduduk.
 

Friday, October 30, 2009

Di antara tuduhan UG dan tuduhan keganasan

Akhirnya AJK PAS Pusat telah mengadakan mesyuarat khas mereka Rabu lepas. Mesyuarat yang pada mulanya dikatakan untuk membincangkan EGM tetapi berdasarkan keputusannya telah menjadi gelanggang bagi beberapa pihak untuk menyembelih PAS Selangor terutamanya Pesuruhjayanya.

Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut perkara ini. Seperti kenyataan akhbar Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, kita seharusnya menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Disiplin yang telah diberi amanah oleh mesyuarat untuk menyiasat sebarang tuduhan. Walau bagaimanapun saya amat bimbang dengan isu Unity Government atau UG?

Presiden telah mengumumkan bahawa tidak ada kerjasama dengan UMNO tetapi isu UG ini terus dibangkitkan oleh beberapa pihak. Tuduh menuduh, yang ini pro UG dan yang itu tidak begitu berleluasa. Apakah motifnya?

Tuduhan UG ini sudah menjadi semacam tuduhan keganasan yang dilemparkan imperialis Amerika Laknatullah. Amerika selepas peristiwa 9/11 telah menjadikan tuduhan keganasan atau dengan lebih tepat lagi pengganas sebagai senjata untuk memerangi musuh-musuh mereka. Afghanistan ditakluk kerana dikatakan menyokong pengganas. Persatuan, pertubuhan dan individu juga diperangi dan ditangkap di atas alasan menyokong keganasan.

Tetapi kita tidak nampak sebarang bukti kukuh. Hanya tuduhan demi tuduhan. Seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, ramai ditangkap sebagai ancaman kepada keselamatan tetapi tidak ada perbicaraan di mahkamah terbuka.

Begitu juga UG. Tuduhan di mana-mana. Saya pun dituduh pro UG. Tetapi tuduhan tinggal tuduhan dengan alasan-alasan yang remeh temeh. Seperti alasan keganasan dan ISA, hanya untuk menyisihkan musuh-musuh politik. Saya tidak tahu mengapa.

Mungkin ada yang hendak menjadi Exco atau hendak menjadi Pesuruhjaya? Mungkin ada yang merasakan diri mereka paling layak menjadi Pesuruhjaya? Mungkin ada yang merasakan diri mereka akan menjadi Exco yang boleh diterima oleh rakan-rakan Pakatan yang lain? Mungkin ada yang kecewa sebab kalah pilihanraya? Bagaikan orang yang kelemasan di sungai, buih-buih pun cuba dicapainya untuk menyelamatkan diri. Ini mesti membimbangkan kita, sebagai sebuah jemaah Islam.

Saya telah nampak keadaan seperti ini akan berlaku ketika saya ditawarkan jawatan Exco. Saya tidak mahu kerana saya tahu ada yang teringin. Saya sengaja tidak hadir mesyuarat yang memutuskan siapa yang hendak dicadangkan untuk jawatan Exco. Saya memberitahu Setiausaha Perhubungan dan menghantar SMS kepada Pesuruhjaya menolak sebarang perlantikan. Tetapi apabila Presiden membuat keputusan, saya akur. Saya diajar untuk menghormati pemimpin, berhemah dan berbudi bahasa. Saya tidak diajar untuk biadap kepada pemimpin, menengking atau menghentak meja.

Tuduhan pro UG? Saya tidak kisah. Saya tidak kenal jemaah lain kecuali PAS. Saya tidak kenal parti politik lain kecuali PAS. Saya tidak melompat dari jemaah atau parti politik lain. Saya memasuki PAS ketika orang takut hendak mengaku PAS. Saya tidak akan bersekongkol dengan orang luar untuk menjatuhkan atau memalukan pimpinan sendiri. Saya masih ada maruah dan harga diri. InsyaAllah saya boleh menghadapinya. Doakanlah bersama.

31 Oktober 2009

Wednesday, October 28, 2009

Siasat semua sekali!

''Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor''

Begitulah laporan di dalam Harakahdaily pagi ini.

Saya mengalu-alukan sebarang siasatan agar PAS Selangor dapat membersihkan namanya.

Siasatan ini mestilah menyeluruh, bukan terhadap pimpinan tertentu seperti Pesuruhjaya sahaja.

Tindakan keras juga perlu diambil ke atas mereka yang telah membuat dakwaan-dakwaan tersebut sekiranya ianya didapati tidak benar.

29 Oktober 2009

Tuesday, October 27, 2009

SYAWAL YANG BERMAKNA

Bulan Syawal tahun ini pada saya sungguh produktif walaupun yang paling sibuk. Sejurus selepas cuti Raya selama seminggu, hidup kembali normal. Malah mesyuarat, lawatan, perbincangan, taklimat dan majlis-majlis sama ada Kerajaan atau Parti lebih banyak diadakan dari tahun lepas. AJK Kawasan di Pandan telah bermesyuarat sejurus selepas Raya, kalau dulu mungkin sebulan selepasnya. Mungkin disebabkan PRK Bagan Pinang yang menyebabkan bulan Syawal tahun ini begitu sibuk.

Bagi diri saya, banyak perkara yang dapat dibereskan dalam bulan tersebut walaupun saya kadang kala terpaksa mengadakan mesyuarat di SUK sebelah malam. Malah terlampau sibuk sehingga saya terpaksa bermesyuarat di dalam kereta.

Tetapi walaupun sibuk ianya prouduktif. Sebabnya mungkin setelah satu tahun setengah menjadi Kerajaan, saya telah dapat memanfaatkan sepenuhnya jabatan-jabatan Kerajaan yang ada. Dato’ Menteri Besar selalu memberitahu Exco-Exco tentang tugas sebenar mereka. Beliau selalu mengingatkan kami, kami bukan “estate manager” kerana kadang kala Exco melakukan satu kerja walhal ianya sepatutnya dilakukan oleh kakitangan Kerajaan. Akhirnya kerja sebenar Exco tergendala atau tertangguh.

Kalau dulu apabila ada cadangan atau kertas kerja yang hendak disiapkan, saya akan mengadap komputer berjam-jam dan kemudian menyerahkan hasilnya kepada jabatan. Tetapi sekarang saya akan memanggil mesyuarat beberapa kali dan jabatan akan membereskan kesemuanya. Walau bagaimanapun konsep dan garis panduan dari saya. "Research" tidak diabaikan. Ini selari dengan tugas Exco sebagai pembuat polisi.

Tanpa sokongan jabatan-jabatan, tidak mungkin perancangan dan program Portfolio saya di bulan Syawal yang lalu dapat dilaksanakan. Satu kempen kebersihan dan keceriaan bagi pangsapuri-pangsapuri telah dilancarkan. Lengkap dengan lagu tema. Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor telah membuka booth pada Suarasa TV9 di Shah Alam. Beberapa pemaju telah bersetuju untuk membina rumah-rumah mampu milik berkonsep baru yang dicadangkan oleh saya. Perancangan Portfolio telah dibentangkan pada Dialog Bajet minggu lepas. Di antara satu-satunya pembentangan yang bukan sekadar teori tetapi dengan perancangan terperinci untuk 2010 lengkap dengan kos sehingga sen pun dinyatakan.

PRK Bagan Pinang dan kontroversi Selcat telah diletakkan dibelakang kita. Program-program Exco berjalan dengan lancar. Exco-Exco nampaknya sungguh bertenaga untuk melaksakan tugas dan tanggung jawab mereka. Rakan-rakan Exco dari PAS, Dato’ Hasan dan Dr. Halimah juga begitu. Tidak sabar-sabar untuk meneruskan agenda membangunkan Selangor.

Lebih-lebih lagi hasil bancian yang dilakukan oleh sebuah syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri menunjukkan keyakinan rakyat di Selangor terhadap Kerajaan Negeri semakin meningkat. Walaupun di kalangan orang Melayu yang kononnya menurut UMNO masih tetap menyokong mereka. Yang paling penting pula keyakinan rakyat Selangor terhadap PM Najib telah menurun. Ianya tinggi apabila Satu Malaysia dilancarkan tetapi selepas itu menurun.

Walaupun apa yang dikatakan oleh suratkhabar, UMNO di Selangor tidaklah sekukuh mana. Orang di luar Selangor mungkin tidak Nampak. Kerajaan Pakatan Selangor kukuh. Banyak kemajuan telah dicapai sama ada dari hubungan di antara Kerajaan dan rakyat atau di antara anggota-anggota Kerajaan sendiri. Kalau ada "hiccup", itu perkara biasa. Jangan sebab pijat kelambu dibakar.

Dato’ Menteri Besar dapat menghebahkan polisi-polisi Kerajaan Negeri di dalam TV9 ketika Suarasa secara “live”. Dato’ Hasan pula dapat menjadi ahli panel di dalam rancangan Halaqah yang juga "live". Tidak ada sebab atau masa untuk memikirkan tentang masuk UMNO apatah lagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan. EGM jauh sekali. Mungkin mereka di luar Kerajaan atau yang ada banyak masa terluang atau yang mempunyai hajat tidak kesampaian tidak nampak.

Kami tidak sabar-sabar menunggu Dato’ Menteri Besar membentangkan Bajet kedua beliau pada sidang DUN bulan November ini. Ada banyak kerja di hadapan. We are on top in Selangor. Please don’t rock the boat!

28 Oktober 2009

Sunday, October 25, 2009

GANYANG DAN KENYANG

Slogan KENYANG BUKAN GANYANG telah dilaungkan oleh warga Indonesia di Malaysia yang membantah tindakan rakan senegara mereka mengutuk negara kita.

Periuk nasi mereka yang mencari rezeki di Malaysia sudah tentu akan terganggu jika hubungan Kuala Lumpur dan Jakarta terjejas. Mungkin hampir 2 juta warga Indonesia sedang berada di negara kita. Bilangan yang tepat saya tidak tahu? Mungkin juga Imigresen malah Menteri Dalam Negeri pun tidak tahu.

Memang ramai warga Indonesia di Malaysia. Sama ada secara sah atau tidak sah. Sama ada mencari rezeki secara halal atau secara haram. Ada di antara kita yang senang dengan kehadiran mereka dan ada yang kurang senang. Tetapi walau apa sekalipun, mereka memang KENYANG.

Tetapi kadang-kala orang Malaysia akan kena GANYANG agar mereka KENYANG.

Pada 19 Oktober, Pegawai Khas saya Ahmad Yazid Alias, telah dirompak RM15,000 oleh 3 orang yang dipercayai warga Indonesia di hadapan rumahnya di Taman Keramat Permai. Mereka yang bersenjatakan parang panjang dipercayai telah mengekori beliau dari bank.

Pekerja-pekeraja Malaysia pun selalu kena GANYANG. Majikan tidak mahu mengambil mereka kerana warga Indonesia boleh dibayar gaji lebih murah. Jadi warga Indonesia terus KENYANG.

Mereka GANYANG kita kemudian mereka pun KENYANG. Nampaknya slogan yang patut dilaungkan adalah GANYANG DAN KENYANG.

25 Oktober 2009

Saturday, October 24, 2009

Lawatan Kerja Ke Pulau Pinang

Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat telah mengadakan satu lawatan kerja ke Pulau Pinang hari ini.

Bertolak dari rumah jam 5.00 pagi, solat subuh di R&R Tanjung Malim dan sarapan pagi di R&R Tapah. Akhirnya tiba di Pusat Khidmat Masyarakat YB Ustaz Salleh Man di Permatang Pasir jam 8.45 pagi. Telah membawa sekali keluarga, hendak memberi peluang kepada anak-anak melihat dunia.

Lajnah telah bermesyuarat di situ dan telah mendengar taklimat tentang perkembangan di Pulau Pinang terutamanya tentang masyarakat Islam. Di antara yang hadir Sdra Mazlan Aliman selaku Pengerusi Lajnah, Sdra Zulkifli Omar Timbalan Pengerusi dan Ustaz Salleh sendiri yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang selaku tuan rumah.

Ini kali kedua saya bertemu Sdra Zulkifli setelah PRK Bagan Pinang. Kali pertama di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri PAS Pusat di Taman Melewar 18 Oktober lepas. Walaupun ada pihak yang cuba mengaitkan kekalahan PAS di Bagan Pinang dengan isu Selcat di Selangor namun hubungan saya dengan Sdra Zulkifli, bekas calon PRK Bagan Pinang, masih seperti dahulu.

Tidak logik untuk mengatakan faktor utama kekalahan PAS adalah PAS Selangor. Kawasan DUN Bagan Pinang hanya ada 2 Cawangan PAS, sama banyak dengan jumlah Cawangan di Taman Melur. Kawasan Parlimen Teluk Kemang ada 4 Cawangan, sama banyak dengan Pandan Indah.

Selepas itu kami mengadakan kunjung hormat ke atas YB Tuan Haji Abdul Malik Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang. Beliau telah memberi taklimat tentang Majlis Agama Islam Pulau Pinang atau MAIPP di sebuah bilik mesyuarat di pejabat beliau di Tingkat 53, Bangunan KOMTAR.

Terasa pelik pejabat-pejabat Kerajaan Negeri termasuk Ketua Menteri (Di tingkat 28) dan Exco-Exco berada di atas sebuah kompleks membeli belah. Di tengah-tengah bandaraya Georgetown. Ianya begitu sejak dari zaman Lim Chong Eu dan Gerakan. Dari satu aspek ianya dekat kepada rakyat tetapi dari satu aspek yang lain tidak nampak pejabat-pejabat kerajaan seperti entiti yang berlainan. Bayangkan jika Bangunan SUK kita berkongsi bangunan dengan Plaza Alam Sentral atau SACC Mall?

Sebagai Exco Perumahan, saya amat tertarik kepada tanah-tanah wakaf yang dijaga oleh MAIPP. Kebanyakannya diwakafkan oleh mereka berketurunan India Muslim. Ada yang telah wakafkan seawal 1803 di bawah peraturan East India Grant. Ketika Pulau Pinang di bawah Syarikat Hindia Timur. Ada yang telah dibangunkan dengan kediaman dan ruang-ruang perniagaan. Saya tidak sempat bertanya sama ada pembangunan itu dapat meningkatkan penampilan orang-orang Islam di Pulau Pinang atau tidak.

Pada waktu petang dijadualkan lawatan ke kampung-kampung yang dhaif dan dialog dengan penduduk Tanjung Tokong. Kawasan tersebut dikatakan akan menjadi seperti Kg Buah Pala jika tidak ditangani dengan bijak.

Malam ini pula ada ceramah umum.

24 Oktober 2009

Thursday, October 22, 2009

BERANI MENYAHUT CABARAN

Beberapa bulan lepas satu pertemuan telah diadakan di antara pekedai-pekedai di Pandan Indah dan MPAJ. Para pekedai telah memohon agar sewa bulanan petak letak kereta dikurangkan. Kebanyakan mereka pemilik bengkel atau penjual kereta yang memajak beberapa petak-petak letak kereta agar tidak menghalang laluan ke kedai mereka.

Bagi orang awam, pertemuan itu adalah satu pertemuan biasa. Di antara majlis perbandaran dan pembayar cukai yang mahu masalah mereka didengar. Tetapi kepada orang politik ianya menghantar isyarat yang berbeza.

Pandan Indah berada di dalam kawasan DUN Chempaka. Persoalannya kenapa para pekedai itu tidak memohon bantuan ADUN atau sekurang-kurangnya memohon bantuan PAS?

MASYARAKAT TIDAK DAPAT MENCARI KITA

Ia membuat saya berfikir sedalam-dalamnya. Adakah kita sudah “out of touch” dengan masyarakat? Adakah rakyat hendak berjumpa dengan kita tetapi tidak tahu di mana? Adakah kita hanya bergerak di sekitar orang-orang kita atau di kalangan orang-orang masjid dan surau sahaja?

Pusat khidmat ADUN terletak di Taman Angsana Hilir. Lokasinya di sebelah MRR2 dan beratus-ribu yang melaluinya setiap hari dapat merasai kewujudan PAS. Tetapi adakah kita telah terlepas pandang kawasan yang paling utama di DUN Chempaka dan kawasan Parlimen Pandan, pusat komersial dan pentadbiran Pandan Indah?

Setelah mengadakan perbincangan dengan beberapa orang AJK PAS Kawasan, kami membuat rumusan bahawa kita mesti meningkatkan kehadiran PAS di Pandan Indah. Ia merupakan teras bagi DUN Chempaka dan untuk mengabaikannya adalah satu kesilapan besar.

BERPINDAH KE PANDAN INDAH

Oleh itu, satu pagi selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Jalan F, Kg. Pandan saya telah meninjau-ninjau di kawasan Pandan Indah dan telah mengenalpasti satu ruang pejabat untuk disewa di hadapan stesen servis Petronas berhampiran dengan Menara MPAJ. Temu janji telah dibuat untuk petang tersebut dan saya bersama Naib Yang Dipertua dan Setiausaha PAS Kawasan telah bertemu dengan pemiliknya.

Pemiliknya telah meletakkan sewa RM1300 sebulan. Jumlah yang perlu dibayar untuk bulan pertama adalah RM5500, termasuk deposit sewa dua bulan, elektrik dan air. Saya telah membayar duit “booking” RM300 dan mendahulukan bakinya pada minggu yang berikut.

Sejak itu pelbagai program telah diadakan di pusat khidmat baru itu dan ia lebih “popular” dari markas kita di Jalan H, Kg. Pandan Dalam yang perlu dibaik pulih. Tetapi apabila saya membuat keputusan untuk menyewa di Pandan Indah, beberapa persoalan berlegar-legar di dalam kepala saya? Siapa yang akan membayar balik RM5500 itu? Siapa yang akan membayar sewa bulanan RM1300? Kita sudah membayar RM650 sebulan bagi sewa markas di Jalan H? Itu belum lagi bil air dan bil elektrik.

Sebelum saya menjawab soalan-soalan itu, saya ingin bertanya satu soalan. Apakah implikasinya jika kita kalah di Selangor? Sudah tentu masjid dan surau akan kembali ditadbir oleh UMNO. Kuliah dan tazkirah akan dikawal atau disekat. Khutbah akan kembali hambar. Masjid dan surau akan malap kembali.

Dari segi kewangan, setiap ADUN diperuntukkan RM500,000 setahun oleh Kerajaan Negeri dan ini bermakna sepanjang 5 tahun kita akan hilang kawalan ke atas dana bernilai RM2.5 juta. Dana ini digunakan untuk rakyat di dalam kawasan DUN. Di bawah BN, kita tidak tahu bagaimana dana ini dibelanjakan. ADUN-ADUN BN pernah menghabiskan hampir RM500,000 peruntukan mereka dalam tempoh kurang dari 50 hari.

Ahli Majlis pula diperuntukan RM50,000 setahun. Oleh itu untuk 5 tahun kita akan hilang kawalan ke atas dana bernilai RM250,000 jika kita kalah. Bagi PAS Kawasan Pandan yang diperuntukkan 2 ahli Majlis, ini bermakna kehilangan RM500,000.

Betul duit itu bukan duit kita tetapi ia memberi kita peluang untuk membantu rakyat. Bantuan kepada yang memerlukan, projek-projek kecil, program-program mesra rakyat dan banyak lagi agenda untuk rakyat dapat dilaksanakan.

KEHILANGAN RM3 JUTA

Maka implikasi kewangan jika kalah di Selangor bagi kita di Pandan adalah kehilangan kawalan ke atas hampir RM3 juta untuk 5 tahun.

Saya tidak mengatakan pusat khidmat kita di Pandan Indah dapat mengekalkan kemenangan kita tetapi ianya merupakan satu usaha yang perlu dilakukan. Adakah kita terlalu kedekut untuk membayar RM1300 sebulan walhal kita berhadapan dengan kehilangan RM3 juta?

Tetapi aspek kewangan perkara kedua. Ia hanya bagi mereka yang hanya sensitif kepada RM dan sen. Pejuang parti, mana-mana parti sekalipun, akan berjuang untuk prinsip dan idelogi. Orang awam akan berjuang untuk longkang yang tidak tersumbat dan sampah yang diangkat menurut jadual. Longkang dan sampah penting tetapi agenda parti itu lebih penting.

KELEBIHAN PEJUANG PARTI

Orang awam akan berpuas hati jika mendapat gaji setiap bulan, mendapat bonus setahun sekali, dapat pergi bercuti beberapa kali setahun atau anak mereka dapat memasuki Universiti. Tetapi pejuang parti tidak akan berpuas hati walaupun dengan segala kemewahan selagi matlamat perjuangan tidak tercapai.

Ketika di UK apabila kami menziarahi sahabat-sahabat dari Iran, mereka hanya akan menghidangkan buah-buahan. Perkara ini memusykilkan saya sehingga diberitahu ini mungkin kerana amat payah untuk mendapatkan buah-buahan di Iran yang ketika itu sedang berperang dengan Iraq. Tetapi mereka menerima hakikat itu sebagai satu pengorbanan untuk melihat perubahan. Perubahan memerlukan pengorbanan.

Berbalik kepada pusat khidmat ADUN yang baru, siapa yang akan membayar deposit dan sewa bulanan? Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menanggungnya buat masa ini dan tidak membebankan PAS Kawasan. Kita perlu membuat keputusan yang berani dan menanggung risiko untuk mencapai sesuatu matlamat. Kita perlu berani membuat perubahan. Bukankah kebodohan yang paling melampau adalah apabila kita melakukan sesuatu kerja dengan cara yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza?

22 Oktober 2009

Saturday, October 10, 2009

Pastikan baki pajakan rumah yang hendak dibeli.

Orang Cina dikatakan lebih berminat untuk membeli rumah yang tanahnya "freehold" dan bukan pajakan. Orang Melayu pun begitu juga tetapi mungkin orang Cina lebih teliti. Semua orang mahu tanah "selama-lamanya" bukan "leasehold" 99 tahun. Tetapi apa boleh buat, bukan senang hendak mencari tanah "freehold". Kalau ada pun lebih mahal. Semua tanah yang dikurniakan selepas 1965 atau selepas kewujudan Kanun Tanah Negara (National Land Code) adalah pajakan 99 tahun.

Kalau tidak ada pilihan, belilah tetapi pastikan baki pajakan pada rumah atau tanah yang hendak dibeli. Walaupun pajakan diandaikan 99 tahun tetapi tidak semestinya bakinya masih 99 tahun. Pemaju mungkin telah mengambil masa yang lama untuk memajukan projek mereka selepas dikurniakan tanah atau memperbaharui pajakan. 1 tahun, 5 tahun, 10 tahun atau mungkin 30 tahun?

Selalunya tarikh tamat tempoh pajakan ini ditulis dengan huruf yang paling kecil dan ditempat yang paling bawah pada iklan atau brochure. Saya pernah membuat semakan dalam tahun 2005 untuk sebuah projek perumahan dan terkejut bila mendapati tempoh pajakan tanah tersebut tamat pada 2068. Ada lagi 63 tahun sahaja. Walaupun kerajaan mungkin tidak akan mengambil tanah tersebut tetapi pembeli-pembeli terpaksa membayar premium jika mahu lanjutan pajakan. Adakah pemaju asal akan membayarnya? Pemaju mungkin sudah tidak wujud dalam tahun 2068!

Premium pula bukanlah murah. Ia dikira berdasarkan nilai rumah atau tanah ketika permohonan melanjutkan pajakan dan tempoh lanjutan yang dipohon. Ada yang tidak mampu membayar premium untuk 99 tahun akan membayar premium untuk 60 tahun atau 50 tahun.

Oleh itu jangan hanya terpengaruh dengan rekabentuk atau harga rumah, pastikan baki tempoh pajakan. Kalau murah, ada sebabnya!

11 Oktober 2009

Tidak boleh jual sebelum 5 tahun ...

Rumah kos rendah tidak boleh dijual jika kurang 5 tahun dari tarikh ia dibeli.

Saya ada menerima rayuan dari mereka yang telah menandatangani perjanjian jual beli untuk menjual rumah kos rendah mereka. Walau bagaimanapun kebenaran untuk menukar nama ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri kerana rumah itu dimiliki kurang dari 5 tahun.

Rumah kos rendah dijual dengan harga RM42,000 sebuah atau RM35,000 bagi yang terlibat dengan pemindahan setinggan.

Pemaju yang memajukan tanah lebih dari 10 ekar diwajibkan membina 20 peratus rumah kos rendah. Kos pembinaan adalah lebih dari RM42,000 sebuah. Ada yang sehingga RM60 hingga 70,000 termasuk kos tanah dan infrastruktur. Pemaju terpaksa menanggung kos tambahan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Oleh itu sebagai rumah yang disubsidi, hanya mereka yang memerlukan layak membelinya. Mereka mestilah berpendapatan kurang dari RM2,500 sebulan dan tidak memiliki rumah kos rendah yang lain.

Ianya bukan untuk mereka yang mahu mencari keuntungan. Terdapat rumah yang nilainya meningkat sehingga 2 kali ganda dalam masa beberapa tahun sahaja.

Peraturan ini juga penting kerana banyak aduan telah diterima tentang penyelewengan agihan rumah kos rendah di bawah kerajaan Barisan Nasional bagi kawasan-kawasan yang mempunyai permintaan yang tinggi. Terdapat individu yang dilapor memiliki lebih dari sebuah rumah dengan menggunakan nama saudara mara mereka. Mereka yang rapat dengan pemimpin politik dikatakan lebih mudah membeli rumah-rumah kos rendah. Di dalam pemindahan penduduk setinggan Kg. Berembang, mereka yang tidak terlibat dengan pemindahan dan bukan penduduk asal kampung dapat membeli rumah kos rendah. Oleh kerana di bawah kerajaan dulu ramai mereka yang tidak memerlukan telah dibenarkan membeli rumah kos rendah, banyak rumah-rumah tersebut akhirnya telah disewa kepada warga Indonesia.

Kerajaan negeri sekarang tidak mahu polisi rumah untuk rakyat ini disalahguna untuk mengaut keuntungan.

10 Oktober 2009

Friday, October 2, 2009

Kembali mengukuhkan jemaah

Di bulan Syawal ini pelbagai majlis-majlis hari raya dan rumah terbuka akan dianjurkan di serata pelusuk. Sama ada jabatan kerajaan, persatuan penduduk, masjid, surau, parti politik atau orang perseorangan tidak akan melepaskan peluang untuk mengadakan sambutan masing-masing.

Ada yang mengatakan majlis-majlis ini adalah satu pembaziran kerana terlalu banyak dianjurkan dan berlaku pertindihan. Walau bagaimanapun saya berpandangan majlis-majls ini mempunyai kesan-kesan yang positif. Pertama ia merapatkan tali silaturrahim di antara kita. Kedua ia juga menggerakkan organisasi yang menganjurkannya. Sama ada melatih mereka bekerja di dalam satu pasukan atau mencungkil tenaga-tenaga penggerak yang baru. Ini amat penting bagi sebuah parti politik seperti PAS.

Oleh itu saya saya selalu menekan kepada Cawangan-Cawangan saya di Pandan supaya menganjurkan majlis-majlis Hari Raya. Ianya amat penting bagi Cawangan-Cawangan terutamanya yang tidak banyak menganjurkan program. Majlis ini bukanlah sekadar majlis bersuka-ria tetapi dapat menzahirkan PAS kepada rakyat di samping merapatkan hubungan di kalangan AJK dengan bekerja bersama. Ini merupakan satu latihan yang penting bagi Cawangan tersebut sebelum berhadapan dengan tugas-tugas yang lebih berat. Walaupun mungkin hanya majlis “makan-makan” tetapi ia merupakan satu langkah yang penting ke arah mengukuhkan jemaah.

Ini amat penting di dalam keadaan sekarang di mana telah berlaku perkara-pekara yang tidak pernah berlaku kepada jemaah kita. Pimpinan PAS menggunakan akhbar untuk mencabar pimpinan PAS yang lain agar meletakkan jawatan. Pimpinan PAS bersama-sama pimpinan parti-parti lain seolah-olah bersatu hati menghentam pimpinan PAS secara terbuka. Apa sudah jadi? Adakah ini cabaran apabila kita telah mendapat sedikit kuasa?

Tetapi yang paling mengejutkan apabila pimpinan parti lain berani menuntut pimpinan PAS meletakkan jawatan. Bukan sekadar jawatan di dalam kerajaan tetapi jawatan di dalam parti. Apakah hak mereka untuk mempertikaikan hak ahli-ahli atau Presiden PAS memberi sokongan atau melantik pimpinan kita? Lebih mengejutkan kerana saya tidak nampak sebarang tindak balas dari ahli-ahli di akar umbi seperti di Cawangan-Cawangan. Kita bukan hendak mempertahankan individu tetapi jawatan yang mereka pegang. Serangan terhadap pimpinan itu saya melihat sebagai serangan terhadap jemaah. Kita mempertahankan jemaah bukan individu.

Saya berpandangan ini berlaku kerana kita tidak lagi padu seperti sepuluh atau dua puluh tahun yang lampau. Mungkinkah perkara ini berlaku dalam tahun 80’an atau 90’an? Ketika darah para syuhada masih basah di bumi Memali. Tetapi mungkin ramai di antara kita yang sudah lupa atau tidak kenal siapa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya.

Kita senang dipecah-pecahkan. Dipecah dan diperintah. Seperti Inggeris yang menjajah Tanah Melayu. Mereka melaga-melagakan kita dan memilih siapa yang patut menjadi ketua kita. Mereka melantik boneka-boneka untuk menjadi wakil mereka menindas kita. Mungkin ini akan berlaku kepada PAS. Kita dilaga-lagakan dan bukan ahli atau Presiden yang menentukan siapa pimpinan kita atau wakil kita di dalam kerajaan tetapi orang luar. Akhirnya jemaah dan ahli-ahlinya menjadi bagai anak kucing yang baru dikasi.

Manusia memerlukan kawan dan tidak boleh duduk bersendirian tetapi berkawan ada etikanya. Kawan kita tidak sepatutnya memaki hamun ibu bapa kita. Tetapi kalau kita sendiri memaki-hamun ibu bapa kita, jangan salahkan mereka. Kawan kita juga tidak boleh dibiarkan menentukan perjalanan rumah tangga kita.

PAS bukan baru melakukan “engagement”. Ianya bukan timbul selepas berlakunya ledakan Reformasi. Saya pernah bertemu dengan orang-orang PAS di Lapangan Terbang Karachi. Pakistan ketika transit hendak ke London dalam tahun 1983. Mereka juga sedang transit dan mereka memberi saya sehelai risalah PAS di dalam bahasa Inggeris. Bukan di Malaysia sahaja PAS telah melakukan “engagement” tetapi ke seluruh dunia sejak dulu lagi. Hanya sekarang istilah itu dicipta. Kerja-kerja telah dilakukan sejak sekian lama.

Dasar PAS adalah Islam. PAS bukan parti Melayu tetapi PAS adalah parti Islam yang majoritinya orang Melayu. PAS memperjuangkan Islam yang syumul. Tetapi adakah ini bermakna PAS tidak boleh membela orang Melayu? Bila ada orang Melayu yang datang meminta tolong kerana dizalimi, adakah kita akan berkata kami tidak boleh menolong kerana kami memperjuangkan Islam?

Perjalanan kita masih panjang. PAS kena kuat. Pimpinan memberitahu bahawa kita adalah jurubicara ummah. Hendak mengharapkan siapa lagi? Alkohol, seks bebas, murtad dan keruntuhan akhlak menghantui ummah. Tugasnya adalah berat sepertimana yang dipikul mereka yang memperjuangkan Islam sepanjang zaman. Pejuang Islam atau yang mereka yang dibimbangi akan memperjuangkan Islam bukan sekadar dijadikan kambing hitam tetapi akan diperangi habis-habisan. Lihatlah sahaja dunia sekarang. Bukankah Iran ditekan oleh Barat kerana cuba membangun keupayaan nuklear walhal negara-negara lain telah mempunyai senjata-senjata yang boleh memusnahkan dunia? Orang lain semua boleh tetapi orang Islam tidak boleh. Pimpinan lain pun mengkritik kerajaan sendiri tetapi bila orang PAS yang melakukan, semuanya melenting. Termasuk ahli PAS. Tak nampak lagi ke? Tak faham lagi ke?

Kuatkan Cawangan anda. Tambah ahli. Banyakkan program. Kalau tidak mampu adakan usrah secara berkala, kerapkan pertemuan ahli-ahli. Jangan hanya pandai bercakap tetapi program tak pernah hadir. Jangan pandai bercakap tetapi Cawangan mati berkubur. Prihatin kepada perkembangan politik semasa. Kita perlu bijak. Jadilah ahli yang pro aktif. Jadilah ahli yang bermaruah. Pimpinan tidak boleh melakukannya bersendirian. Wakil-wakil kita di dalam kerajaan perlukan sokongan anda. Jika tidak anda, siapa lagi?

2 Oktober 2009