Seperti yang telah diamalkan sejak bertahun-tahun, di antara pendapatan utama PAS Kawasan adalah infaq bulanan dari Cawangan-Cawangan. Selalunya ahli-ahli Cawangan akan membayar infaq tetap kepada Cawangan mereka. PAS Kawasan juga membayar infaq bulanan kepada PAS Negeri. Begitu juga PAS Negeri membayar infaq kepada PAS Pusat tetapi saya kurang pasti sama ada bulanan atau tahunan atau mungkin dari masa ke semasa. Setiap wakil rakyat PAS tidak kira Exco, ADUN atau ahli Parlimen membuat potongan 30 peratus dari gaji pokok mereka kepada PAS. Malah wakil-wakil rakyat yang telah pencen juga diwajibkan membuat sumbangan bulanan kepada PAS. Selain dari itu sumbangan juga diwajibkan bagi pelbagai peringkat Parti dari masa ke semasa untuk perkara-perkara seperti pilihanraya kecil, pilihanraya umum, Muktamar, tamrin, ijtimak, majlis-majlis Hari Raya dan pelbagai program-program Parti yang lain. Ada orang mengganggap kekerapan PAS memohon sumbangan dari ahli-ahlinya sebagai satu kelemahan, meminta sedekah, tidak kreatif, tidak ada sumber lain dan ketinggalan zaman. Ada pula yang melihat kesediaan orang-orang PAS menghulurkan sumbangan sebagai satu kekuatan. Saya pernah hadir di dalam satu ceramah di mana bukan sahaja wang ringgit dihulurkan tetapi gelang emas turut diinfaqkan. Ia menunjukkan komitmen mereka terhadap perjuangan. Akan berdiri teguh walau apapun terjadi. Saya melihat perlu ada dua pendekatan, infaq itu perlu tetapi Parti juga mesti memikirkan cara lain untuk mencari dana. INFAQ YANG BERKURANGAN Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri Selangor, ramai yang mengakui bahawa infaq dari ahli-ahli semakin berkurangan. Sebagai seorang anggota kerajaan, saya kurang faham kenapa ini boleh berlaku. Adakah dengan menjadi kerajaan ini bermakna kerajaan negeri akan menyalurkan dana kepada parti-parti yang berkuasa? Adakah dengan menjadi kerajaan kita boleh memaksa syarikat-syarikat yang ingin mendapat kontrak atau sesuatu kelulusan memberi "percent" kepada Parti? Kalau boleh maka semua Exco akan menjadi kaya raya. Bukan itu sahaja ADUN, ahli Majlis malah kakitangan pejabat ADUN juga akan jadi kaya raya. Saya diberitahu semasa pentadbiran BN terlalu banyak "pengutip tol". Untuk jumpa Exco kena bayar, untuk jumpa ADUN kena bayar, untuk jumpa ahli Majlis juga mungkin begitu. Ada kes di Selangor di mana seorang hamba Allah yang memohon surat sokongan kelulusan lesen di PBT bertanya kepada kakitangan pejabat ADUN berapa perlu dibayar. Sebabnya, semasa BN mereka perlu membayar. Kalau semua ini boleh maka sudah tentu Parti juga akan jadi kaya raya. Tidak perlu infaq. Tetapi meminta-minta dari ahli. Tetapi semua itu tidak dibolehkan. Sama ada oleh agama atau undang-undang negara. Ramai yang berkata kepada saya Exco banyak duit. Di dalam hati saya berkata, "Engkau ingat aku makan rasuah macam BN?" INFAQ ITU PENTING Infaq perlu diteruskan kerana pada saya ia memberi peluang kepada ahli-ahli untuk membuat pelaburan akhirat. Ianya satu jihad terutamanya bagi kita di Malaysia yang mungkin tidak akan bertemu dengan suasana seperti di Lubnan, Palestin atau Afghanistan. Adakah jihad dan infaq itu sudah mati dengan tertubuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor? Mungkin 100 peratus dari kita akan menjawab tidak tetapi adakah realitinya begitu? Infaq juga satu tarbiyyah. Bukan usrah dan kuliyyah sahaja tarbiyyah. Melatih kita memberi komitmen kepada perjuangan. Membiasakan kita melepaskan perkara yang kita cintai demi perjuangan. TETAPI ADA YANG MASIH LIAT Saya ada mendapat rungutan dari Bendahari PAS sama ada sessi atau sessi lepas betapa terdapat Cawangan-Cawangan yang masih liat membayar infaq bulanan mereka. Di Pandan hanya RM50. Satu jumlah kecil jika dibandingkan dengan pendapatan per kapita orang-orang Pandan. RM50 bermakna jika ada 10 orang ahli yang menyumbang hanya RM5 seorang ahli sebulan. RM5 seorang ahli sebulan bermakna 17 sen sehari. Saya tidak fikir 17 sen sehari itu membebankan. Teh tarik pun RM1 segelas. Roti canai pun 80 sen sebiji. Karipap pula 40 sen sebiji. Kalau ada 5 orang ahli sahaja yang menyumbang, ianya hanyalah 35 sen sehari. Bukan satu deraan mental atau fizikal untuk menyumbang 35 sen sehari! Kadang kala Cawangan mempunyai lebih banyak "red tape" dari jabatan-jabatan kerajaan. Bermacam-macam alasan, "Cawangan kami belum mesyuarat lagi" atau "Bendahari kami outstation". Tidak masuk akal untuk mengeluarkan RM50 untuk pelaburan akhirat perlu "red tape" yang begitu panjang atau tidak ada yang sanggup mendahulukan duit mereka. Tetapi yang paling classic apabila Bendahari kita diberitahu, Cawangan tidak ada duit walhal ahli-ahli Cawangan mempunyai urusan perniagaan yang beribu-ribu RM. Di dalam dan di luar negara. Selalunya nasihat saya kepada Bendahari kita. Bersabar dan banyaklah berdoa. SUMBER LAIN Saya bersetuju kita mesti mempunyai sumber-sumber lain yang tetap. Contoh yang terbaik bagi sebuah jemaah Islam adalah Al-Arqam yang mempunyai "business arm" yang sungguh berjaya. Terdapat jemaah Islam pula yang menggalakkan dan membantu ahli-ahlinya terlibat di dalam perniagaan seperti pengurusan, perundingan atau teknologi tinggi sehingga mereka dapat menyumbang kepada jemaah. UMNO yang bukan sebuah jemaah Islam juga mempunyai "business arm" dan kita tentu masih ingat tentang UEM, Fleet dan Renong. Di Eropah seperti di UK, rakyat di sana tidak dapat menerima parti-parti politik yang mempunyai "business arm". Segala sumbangan perlu dilaporkan kepada pihak yang mengendalikan pilihanraya. Oleh itu saya amat berharap agar orang-orang kita mempunyai kepakaran sendiri agar kita dapat membantu mereka. Manfaatkan kepakaran yang anda ada. Tidak kira sama ada membuat kuih atau membuat helikopter. Tetapi malang sekali orang kita lebih suka menjadi "broker" atau "agent". Cina, Melayu, India, Portugis dan ramai lagi, yang dibawa kepada saya dengan pelbagai janji. Saya amat kurang selesa dengan mereka. Kalau begitu akhirnya kita tidak ada apa-apa kepakaran. Hanya air liur yang menjadi modal. Maka tidak ada bezanya dari UMNO dan BN. 3 November 2009 |
Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk menempatkan semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad