Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2003 dan 2005 telah meluluskan 1367 lot-lot tanah kepada individu-individu di tapak yang sebelum ini merupakan Kg. Bukit Botak. Asalnya tanah tersebut adalah tanah kerajaan. Sehingga hari ini, sebanyak 1002 individu telah menerima surat hakmilik atau geran mereka. Walau bagaimanapun dari 1367 lot, 237 lot telah diklasifikasikan sebagai lot-lot hilang. Di antara sebab-sebabnya adalah kerana lot-lot tersebut terletak di dalam rizab TNB, terletak di dalam tapak sekolah, bersempadanan dengan tanah kelas 3 atau terlibat dengan cadangan parit. Selain dari itu, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak di dalam siasatan mereka telah mengesahkan terdapat 117 bekas penduduk Bukit Botak telah tercicir di dalam penyelesaian yang diusahakan oleh kerajaan negeri yang lepas. Jawatankuasa ini telah menyemak senarai bekas penduduk Kg. Bukit Botak, memanggil bekas-bekas penduduk, menerima aduan, mengadakan siasatan dan mengadakan temuduga Oleh itu, keluasan tanah yang ada di tapak bekas Kg. Bukit Botak tidak dapat menampung kesemua penduduk yang layak jika ia dibangunkan dengan pembangunan yang "landed" seperti rumah teres, rumah berkembar atau rumah banglo. Menurut kajian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), untuk menyiapkan projek ini berdasarkan perancangan asal iaitu rumah berkembar dengan harga RM42,000 hingga RM79,000, PKNS terpaksa membelanjakan sehingga RM136.4 juta. Sebelum ini, PKNS telah membelanjakan RM48 juta apabila mereka mengambil alih projek ini dari pemaju asal, Delpuri Corporation Sdn. Bhd. Oleh itu, Kerajaan Negeri berpendirian projek Bukit Botak ini tidak praktikal diteruskan menurut perancangan yang asal. Maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk mengambil alih tanah-tanah tersebut. Di bawah Kanun Tanah Negara, penduduk berhak mendapat pampasan yang sewajarnya. Notis siasatan telah dikeluarkan minggu ini. Proses siasatan akan diadakan mulai Disember ini. Kerajaan Negeri sedang mengadakan perbincangan dengan PKNS tentang pembangunan yang paling sesuai untuk menyediakan kediaman untuk semua bekas penduduk Kg. Bukit Botak yang layak tanpa menambah kerugian yang ditanggung oleh PKNS. Kerajaan Negeri mahu penduduk bukan sahaja mendapat kediaman yang sempurna tetapi pulangan dari hasil usaha mereka meneroka tanah mereka sebelum ini. Sehingga itu, Kerajaan Negeri berharap agar mereka yang terlibat sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak meduduki rumah-rumah yang tidak memiliki sijil-sijil menduduki bangunan. Oleh : Iskandar Abdul Samad Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan 12 November 2009 |
Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah. Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...