Monday, June 8, 2020

KEPUTUSAN MKN BERITA BAIK BAGI SAINGAN PASUKAN KEBANGSAAN KE QATAR 2022.

Keputusan Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) untuk membenarkan pasukan negeri dan kelab Liga Malaysia ( Liga M ) memulakan latihan mulai 15 Jun ini melegakan dunia bolasepak Malaysia. Pasukan kebangsaan juga mendapat kebenaran tersebut. Kelonggaran ini adalah sebahagian dari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ( PKPP ) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 8 Jun lepas.

Walaupun latihan ini tertakluk kepada SOP namun ia adalah satu harapan agar perlawanan liga dapat dimulakan semula dan jadual liga dilengkapkan. Liga telah digantung sejak bulan Mac.

Latihan yang dibenarkan adalah tanpa sentuhan di antara pemain dan mematuhi penjarakan sosial 3 hingga 5 meter di antara mereka.

Liga Bolasepak Malaysia ( MFL ) telah mengumumkan pada 2 Mei lepas penyelesaian bagi Liga M dan Piala Malaysia. Menurut cadangan mereka, Liga Super akan bermula semula pada 1 September dan berakhir pada 27 September sementara saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober dan berakhir pada 7 November. Untuk memendekkan tempoh pertandingan, Liga Super akan berlangsung untuk 1 pusingan sahaja dan Piala Malaysia hanya akan menyaksikan perlawanan kalah mati.

PKPP akan berakhir pada 31 Ogos depan justeru itu masih ada peluang bagi perlawanan Liga M dan Piala Malaysia dilaksanakan menurut jadual tersebut.

Sebenarnya yang lebih penting adalah persiapan pasukan kebangsaan untuk menghadapi perlawanan-perlawanan kelayakan ke Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar dan Piala Asia 2023 AFC di Negeri China yang diadakan bersekali. Konfederasi Bolasepak Asia ( AFC ) telah mengumumkan 5 Jun lepas jadual perlawanan yang baru.

Pasukan kebangsaan akan bertemu UAE di tempat lawan pada 8 Oktober dan Vietnam pada 13 Oktober di tempat sendiri. Sebelum ini Malaysia telah kalah kepada UAE 1-2 di tempat sendiri dan turut kalah kepada Vietnam 0-1 di tempat lawan. Malaysia perlu menang kedua-dua perlawanan tersebut untuk layak ke pusingan selanjut.

Perlawanan terakhir pasukan negara adalah pada 17 November menentang Thailand di tempat lawan. Mereka telah kalah kepada Malaysia pada perlawanan di Kuala Lumpur 2-1 dan sudah tentu akan bermati-matian untuk menang kali ini.

Malaysia berada di dalam Kumpulan G dan selepas 5 perlawanan menduduki tempat kedua dengan 9 mata. Vietnam di tempat pertama dengan 11 mata. Di bawah Malaysia adalah Thailand ( 8 mata ) dan UAE ( 6 mata tetapi baru bermain 4 perlawanan ). Indonesia pula menduduki tempat tercorot tanpa sebarang mata dan tidak mempunyai harapan untuk layak. 2 pasukan teratas kumpulan akan layak.

Saingan kali ini merupakan peluang negara yang terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya di mana akan terdapat 2 kumpulan 6 pasukan dan 2 pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke Qatar.

Selain dari perlawanan-perlawanan kelayakan tersebut, pasukan kebangsaan juga akan terlibat dengan kejohanan Piala AFF Suzuki untuk negara-negara di Asia Tenggara akhir tahun ini. Justeru itu mereka perlu mencapai tahap prestasi dan kecergasan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lawan.

Latihan yang dibenarkan oleh MKN akan dapat membantu persiapan pasukan kebangsaan. Tetapi tertakluk kepada kesesuaian dan keselamatan di negara ini, amalan Liga Perdana Inggeris ( EPL ) di mana latihan secara berkumpulan dibenarkan sebelum liga dimulakan semula 17 Jun ini perlu dipertimbangkan oleh MKN.

Memulakan semula  perlawanan liga bulan September ini juga penting untuk membantu mengembalikan kecergasan pemain-pemain setelah direhatkan sejak bulan Mac.

Di antara saingan-saingan pasukan negara kita di dalam Kumpulan G, hanya Vietnam yang telah memulakan semula liga mereka. Perlawanan-perlawanan telah disambung 5 Jun lepas dengan baki 23 perlawanan untuk dilengkapkan. Walau bagaimanapun negara tersebut hanya merekodkan 328 kes Covid-19 dengan 307 kes yang pulih sementara tiada kes kematian.

Thailand pula seperti Malaysia akan menyambung semula liga mereka pada bulan September dengan baki 26 perlawanan. Sementara di UAE, liga utama dijangka bermula semula pada bulan Ogos dengan baki 19 perlawanan.

Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) perlu mencapai persetujuan dengan MFL untuk memastikan jadual Liga Malaysia dan Piala Malaysia dapat memberi ruang kepada pasukan kebangsaan membuat persiapan yang secukupnya untuk menghadapi saingan-saingan selepas ini. Liga M dan Piala Malaysia dianjurkan setiap tahun tetapi kelayakan Piala Dunia hanya datang 4 tahun sekali.