KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berjaya didaftarkan ke dalam program tersebut.
Bendahari PAS Pusat, Dato' Iskandar A Samad berkata, sebagai contoh, sekiranya seorang peserta yang didaftarkan menyumbang RM20 sebulan, agen berkenaan akan menerima insentif sebanyak RM60, iaitu bersamaan nilai sumbangan selama tiga bulan.
Menurutnya, sebelum ini agen hanya menerima insentif bersamaan satu bulan sumbangan.
Bagaimanapun, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Ogos lalu telah meluluskan peningkatan insentif kepada tiga bulan sebagai usaha menggalakkan agen mendapatkan lebih ramai penyumbang baharu.
“Keputusan ini diambil supaya agen-agen berusaha dengan lebih giat untuk mencari peserta baharu bagi membantu mencapai sasaran 100,000 penyumbang Infaq Istiqamah,” katanya.
Setakat Muktamar PAS Pusat tahun ini, seramai 12,664 orang telah menyertai program tersebut, meningkat sebanyak 2,121 orang berbanding 10,543 penyumbang sebelum ini.
Namun begitu, jumlah tersebut masih jauh daripada sasaran 100,000 penyumbang yang ditetapkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar PAS Pusat di Kuala Terengganu pada November 2021.
Iskandar berkata, mana-mana ahli PAS boleh menjadi agen Infaq Istiqamah dengan syarat mereka sendiri merupakan penyumbang kepada program berkenaan.
Pembayaran insentif kepada agen akan dibuat selepas penyumbang baharu yang didaftarkan membuat sumbangan pertama.
Program Infaq Istiqamah dilancarkan semula pada tahun 2020 bagi memudahkan mereka yang mahu membuat sumbangan tetap kepada PAS melalui kaedah potongan terus daripada akaun bank atau direct debit.
Setiap sumbangan yang diterima akan diagihkan dengan kadar 50 peratus kepada PAS Kawasan, 20 peratus kepada PAS Negeri dan 30 peratus kepada PAS Pusat.
Orang ramai yang berminat untuk menjadi agen Infaq Istiqamah boleh menghubungi hotline 011-500 500 91.
