Bagi saya, persoalan siapa yang mengetuai kerjasama antara PAS dan UMNO atau antara PN dan BN bukanlah perkara yang paling penting.
Apa yang jauh lebih penting ialah kedua-dua pihak dapat mencapai persefahaman politik yang kukuh, sebagaimana yang telah dapat dibentuk di Negeri Sembilan.
Kita perlu berhati-hati dengan kemungkinan wujudnya pihak-pihak tertentu yang datang kepada PAS dan menggesa supaya PAS mesti memimpin kerjasama ini. Pada masa yang sama, mungkin juga ada pihak yang pergi kepada UMNO dan mendesak supaya UMNO pula mesti menjadi peneraju.
Jika perkara seperti ini dilayan, akhirnya PAS dan UMNO akan bertelagah mengenai siapa yang patut memimpin. Kerjasama boleh gagal dan pihak yang paling mendapat keuntungan tentunya Pakatan Harapan (PH).
Hakikatnya, ada negeri di mana PAS lebih kuat dan ada negeri di mana UMNO mempunyai kekuatan yang lebih besar. Setiap parti mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing.
Oleh itu, tidak semestinya satu formula yang sama digunakan di semua negeri. PAS boleh memainkan peranan utama di negeri-negeri di mana PAS lebih kuat, manakala UMNO boleh memainkan peranan utama di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kekuatan yang lebih besar.
Yang penting ialah persefahaman untuk mengelakkan pertembungan yang hanya akan menguntungkan PH.
MASA UNTUK BERSATU TELAH BERLALU.
Dalam perkembangan politik semasa, pada pandangan saya, PAS telah bergerak ke hadapan dan tidak lagi boleh bergantung kepada Bersatu seperti sebelum ini.
Perkembangan terkini juga menunjukkan bahawa Bersatu akhirnya mungkin tidak mempunyai banyak pilihan selain kembali bekerjasama dengan PH.
Sukar untuk membayangkan Bersatu terus bersama PN setelah mengambil pendirian menentang PN dalam PRN Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, keputusan pilihan raya tersebut juga menunjukkan betapa sukarnya untuk Bersatu bergerak bersendirian tanpa sokongan sebuah parti teras yang mempunyai akar umbi yang kuat.
Sebab itu, pada pandangan saya, pilihan yang paling praktikal bagi Bersatu ialah mencari jalan untuk bersama PH.
Begitu juga dengan cadangan gabungan baharu yang dikaitkan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk IPR. Saya tidak melihat gabungan seperti itu mudah mendapat sokongan rakyat jika ia hanya menghimpunkan beberapa parti kecil tanpa sebuah parti teras yang benar-benar mempunyai kekuatan akar umbi.
Setiap gabungan politik memerlukan sebuah parti teras.
PN mempunyai PAS yang mempunyai kekuatan, jentera dan sokongan tersendiri. Mana-mana gabungan baharu yang tidak mempunyai parti teras seperti ini akan berdepan cabaran besar untuk meyakinkan rakyat.
UMNO RAKAN STRATEGIK YANG PENTING
Buat masa ini, hubungan PAS dan UMNO lebih tepat dilihat sebagai satu bentuk kerjasama dan persefahaman politik, bukannya sebuah gabungan rasmi seperti PN.
Dalam konteks politik semasa, UMNO merupakan rakan strategik yang penting.
PAS dan UMNO tidak perlu terperangkap dalam perdebatan mengenai siapa yang lebih dominan atau siapa yang mesti memimpin. Apa yang perlu diberi keutamaan ialah mencari titik persamaan, menghormati kekuatan masing-masing dan memastikan tidak berlaku pertembungan yang akhirnya hanya menguntungkan PH.
Bagi Bersatu pula, saya berpandangan masanya untuk memainkan peranan seperti dahulu telah lama berlalu.
Realiti politik telah berubah.
Sekarang adalah masa untuk PAS dan UMNO membina persefahaman berdasarkan kekuatan masing-masing demi mewujudkan satu kerjasama politik yang lebih stabil dan berkesan.
Dato' Iskandar A Samad - Pandan Indah - 29 Ogos 2026
