Thursday, December 25, 2008

HARAPAN TINGGI TERHADAP PENGURUS BESAR PKNS YANG BARU

Saya dilahirkan dalam tahun 1961 di Johor Baharu. Ayah saya bekerja sebagai seorang wartawan untuk akhbar Utusan Melayu yang ketika itu beribu pejabat di Cecil Street, Singapura. Ibu saya adalah seorang guru di Johor Baharu.

Dalam tahun 1962 kami sekeluarga telah berpindah ke Kuala Lumpur apabila Utusan Melayu memindahkan operasinya ke Jalan Chan Sow Lin, Sg. Besi. Kami sekeluarga menyewa rumah di Kg. Baru dan ibu saya mengajar di sebuah sekolah di Jalan Bangsar.

Rumah yang kami sewa itu terletak berhampiran dengan padang bolasepak Kg. Pindah dan restoran Juara Tomyam sekarang.

Sekitar tahun 1965, keluarga kami telah membeli sebuah rumah PKNS di Petaling Jaya. Ketika itu Petaling Jaya dilihat sebagai begitu jauh dari Kuala Lumpur. Tempat “jin bertendang”. Walaupun begitu heboh ketika itu tentang satu skandal di mana orang-orang Melayu telah dihalang membeli rumah-rumah PKNS kerana borang-borang permohonan mereka telah sengaja dihilangkan. Saya kurang pasti sama ada cerita ini benar atau sebaliknya.

Rumah kami telah dibeli dengan harga RM6,000 tetapi nilainya sekarang adalah melebihi RM200,000. Kawasan-kawasan yang lebih jauh dari Petaling Jaya telah dibangunkan sejak pembukaan Petaling Jaya pada tahun-tahun 50’an.

Apabila keluarga kami bertambah besar, kami telah sekali lagi membeli rumah PKNS dan kali ini di kawasan baru yang bernama Ampang/Ulu Kelang. Sekarang ianya dikenali sebagai Taman Seri Keramat. Ketika mula berpindah ke situ dalam tahun 1977, ianya juga adalah tempat “jin bertendang”. Tetapi keadaan telah berubah sejak itu. Rumah yang dibeli dengan harga lebih kurang RM50,000 sekarang boleh dijual dengan harga hampir RM300,000.

Begitulah sumbangan PKNS kepada orang-orang Melayu yang berpendapatan sederhana seperti keluarga kami. Ia memberi peluang kepada mereka untuk memiliki rumah di kawasan-kawasan yang akhirnya menjadi di antara yang paling strategik di Lembah Kelang.

Dengan perlantikan Pengurus Besar yang baru PKNS, Othman Omar, saya amat berharap agar peranan ini dapat diteruskan malah dapat dikembangkan agar rakyat Selangor tanpa mengira kaum dapat memilik rumah yang sempurna.

Sebelum ini perlantikan Low Siew Moi (sekarang Datin Paduka) sebagai Pemangku Pengurus Besar telah menimbulkan pelbagai kontroversi. Tetapi amat dikesali ianya telah dilihat dari sudut perkauman. Kononnya dia ditolak kerana dia bukan orang Melayu. Sebenarnya bantahan terhadap perlantikan beliau semata-mata kerana beliau dikenali sebagai “orang Khir Toyo”. Bukan sahaja beliau tetapi jika ada orang Melayu yang juga dikenali sebagai “orang Khir Toyo” dilantik ke jawatan itu, perlantikannya akan turut dibantah keras. Tetapi malang sekali, semangat perkauman di kalangan kita masih menebal maka ramai juga yang mempertahankan Low kononnya beliau menjadi mangsa sebab beliau bukan orang Melayu. Mereka membabi buta menyokong perlantikan Low malah memberi pujian sehingga menggunung tanpa memeriksa apakah asas bantahan tersebut.

Sekarang keadaan menjadi tenang semula dengan perlantikan Othman yang mempunyai pengalaman luas di dalam bidang hartanah. Harapan rakyat Selangor terhadap beliau adalah tinggi. Tetapi PKNS mempunyai visi dan misinya tersendiri. Ianya bukan semata-mata “cash cow” atau pembawa kenuntungan kepada Kerajaan Negeri semata-mata. Ia mempunyai tanggung jawabnya yang tersendiri.

Di dalam sektor swasta matlamatnya adalah untuk meraih keuntungan dan mungkin ada sedikit tanggung jawab sosial kepada masyarakat (corporate sosial responsibility atau CSR) yang perlu ditunjukkan dari masa ke masa. Tetapi di dalam kerajaan, terutamanya kerajaan yang prihatin, tidak memadai hanya CSR untuk memuaskan hati pengundi dari masa ke semasa. Perlu ada usaha dan perancangan yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. PKNS mesti “in tandem” atau bekerja seiring dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan agenda Pakatan Rakyat untuk menaikkan taraf hidup rakyat terutamanya dalam isu-isu perumahan dapat dicapai. Kalau sekadar untuk menjadi pemaju hartanah yang berjaya, kita sudah ada banyak pemaju-pemaju lain. Oleh itu, perlu ada satu kelainan, perlu ada nilai tambah.

Saya kerap mendengar orang berkata susah hendak membeli rumah. Saya berharap PKNS sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri akan dapat sedikit sebanyak menyelesaikan masalah ini. Akhirnya kejayaan bukanlah bergantung kepada berapa keuntungan yang akan diperolehi tetapi berapa ramai keluarga seperti keluarga kami di dalam tahun 60’an dan 70’an dapat dibantu membeli rumah.

Saya tidak tahu sama ada Antara Gapi akan satu hari menjadi seperti Taman Seri Keramat tetapi jika sekadar mencari keuntungan semata-mata, tidak perlu Pakatan Rakyat, tidak perlu bersusah payah menyertai pilihan raya, tidak perlu ditahan di bawah ISA, tidak perlu ditembak gas pemedih mata, tidak perlu bermandi lumpur bersama peneroka bandar, Barisan Nasional pun boleh melakukannya.

26 Disember 2008

Saturday, December 13, 2008

Sunday, December 7, 2008

RM 7 JUTA UNTUK BUKIT SENTOSA DAN BUKIT BERUNTUNG.

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk memperuntukkan RM 7 juta untuk membaiki bumbung-bumbung yang rosak pada 54 pangsapuri di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Rundingan telah diadakan bersama pihak pemaju agar lebih 1,100 pangsapuri yang tidak terjual di situ diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Menurut nilai lelongan, setiap pangsapuri itu bernilai RM 6,000 hingga RM 8,000.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL ADHA

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL ADHA. SEMOGA IBADAH QURBAN DAPAT MEMPERTINGKAT PERJUANGAN KITA!

BUKIT ANTARABANGSA : A GOVERNMENT MUST DO WHAT IS RIGHT AND NOT WHAT IS POPULAR

One of the earliest policies announced by the new Selangor State Government after the March 8 General Election was to ban any development on Class 3 and Class 4 hill slopes. This would mean that no development could be carried out on hill slopes 26 degrees and above.

This decision was heavily criticised by the developers and their association. The state government was accused to be hostile to development. Citing that land is already scarce in Selangor, the developers argued that there would be no more land to be developed in a few years time.

However, the recent tragedy in Bukit Antarabangsa had silenced these critics but with four deaths and thousands displaced, it would be insensitive for the state government to brag that they are correct to impose the ban. A government should do what is right and not what is going to be popular.

The same thing goes for the current crisis in Bukit Antarabangsa. The experts have announced that almost 2,000 people need to be evacuated as their homes are unsafe. If further reports confirmed that these homes could never be made safe then a decision on the future of Bukit Antarabangsa must be made. Even if this would mean demolishing these homes or closing down certain parts of Bukit Antarabangsa, the state government must do what is right and not what is popular with the people.

Allowing the people to move back into their homes and announcing that they are safe would be very popular but what is the point if this tragedy would repeat itself in the future?

Ministers, deputy ministers and VIP’s would visit the site, make sympathetic statements and pose for the cameras but at the end of the day, the state government, the Menteri Besar and Excos, would be burdened with the decision making. The people should brace themselves for the worst as this decision would be based on the safety of the people and not on the winning of elections.

Iskandar Abdul Samad
Selangor State Exco for Housing, Building Management & Squatters
8 December 2008
019-298 9835

Monday, November 24, 2008

ROMBAKAN PIMPINAN PAS NEGERI SELANGOR

Saya berharap rombakan pimpinan PAS Selangor yang dibuat pada Mesyuarat Perhubungan 21 November lepas dengan persetujuan ahli-ahlinya akan dapat memberi nafas baru kepada PAS di Selangor.

Saya juga berharap tenaga-tenaga baru ini akan dapat membawa ide-ide baru. Kita perlu berani membuat perubahan.

Rombakan seperti ini adalah satu perkara biasa dan tidak patut dipertikaikan. Kepimpinan adalah satu amanah dan bukan hak mana-mana individu. Setiap individu mempunyai peranan dan tugas masing-masing di dalam jemaah. Masanya adalah untuk melihat ke hadapan.

Saya menyeru ahli-ahli PAS agar memberi tumpuan kepada tugas utama untuk mengembangkan dan mengukuhkan pengaruh PAS di Selangor.

Janganlah ahli-ahli terperangkap dengan permainan politik musuh yang mahu melihat PAS berpecah dengan mengeksploitasi rombakan ini.

Masanya adalah untuk bekerja dan bukan untuk bercakap semata-mata. Tanggung jawab kita adalah besar. Kita mungkin ada hanya 3 tahun sebelum pilihanraya umum yang akan datang. Tumpukan usaha untuk membuktikan kemampuan PAS di dalam kerajaan dan menambah kerusi-kerusi PAS.

Sejak mula menjadi ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dalam tahun 1993 dan merasai pimpinan 3 Pesuruhjaya, saya telah melihat segala-galanya dan seperti biasa saya berkeyakinan ahli-ahli PAS di Selangor matang menghadapi sebarang cabaran.

24 November 2008

Thursday, November 13, 2008

ABIM pandang serius ada pihak protes fatwa

Azamin Amin Thu Nov 13, 08 1:17:39 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Hrkh) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat tindakan pihak-pihak tertentu menganjurkan protes umum atau membuat kritikan terbuka terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai pengharaman perlakuan tomboy ataupun pengkid serta fatwa mengenai Yoga yang sedang dipertimbangkan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Yusri Mohamad berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan sumber rujuk utama bagi umat Islam di negara ini untuk mencari penyelesaian tentang sebarang kemusykilan mengenai hal-hal agama.

Katanya fatwa yang dikeluarkan akan melalui proses perbincangan yang teliti dan bersandarkan kepada sumber-sumber hukum sahih serta kaedah-kaedah perundangan Islam yang muktabar.

"Oleh sebab itu, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak patut dipertikaikan dengan mudah. Jika pertikaian tetap timbul, ia hendaklah disalurkan ke proses perbincangan yang tertutup.

"Sama sekali tidak sesuai menjadi perbahasan di kalangan masyarakat awam lebih-lebih lagi jika dijadikan bahan untuk menganjurkan protes umum atau demonstrasi," katanya dalam satu kenyataan media.

ABIM katanya, khuatir tindakan pihak-pihak tertentu, terutama sekali pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam, melakukan protes terbuka terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mencetuskan suasana ketegangan dan perselisihan di kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat amnya di negara ini.

Pendekatan terbaik kata Yusri untuk menangani sebarang kemusykilan dan pertikaian mengenai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan disalurkan secara sihat melalui perbincangan-perbincangan ilmiah tertutup yang disertai oleh individu yang mempunyai kepakaran dalam isu yang dibincangkan.

"Kita cadang Majlis Fatwa Kebangsaan atau pihak berkuasa agama yang berkenaan mengambil inisiatif lebih aggresif.

"Ini untuk menjelaskan kepada masyarakat umum rasional fatwa terbaru itu demi meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama di negara ini mengenai isu tersebut," katanya. - mns

Wednesday, November 12, 2008

BANTUAN MEMBAYAR SEWA RUMAH PPR DAN COUNCIL HOME

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk membantu mereka yang tidak mampu membayar sewa rumah PPR dan Council Home mereka.

Kerajaan BN pada bulan Jun 2007 telah menaikkan sewa dari RM124 kepada RM250 oleh kerana kenaikkan kos penyenggaraan. Walau bagaimanapun, ianya telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Terdapat 14 lokasi PPR dan Council Home di Selangor dengan 8.106 unit.

Terdapat penduduk yang telah membantah kenaikan ini kerana mereka berpendapatan rendah dan menghadapi masalah untuk membayarnya.

Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan untuk membantu mereka yang berpendapatan isi rumah (suami dan isteri) RM1,500 ke bawah dan juga orang-orang kurang upaya (OKU).

Mereka yang ingin memohon bantuan ini bolehlah menghubungi Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor di nombor telefon 03-5544 7166.

Kadar sewa akan kekal pada RM250 sebulan kerana kos penyenggaraan dan baik pulih yang tinggi. Kadar sewa RM250 adalah masih di antara yang terendah di Lembah Kelang. Adalah tidak adil untuk menggunakan duit rakyat untuk memberi subsidi kepada mereka yang mampu. Dijangkakan kerajaan negeri akan membelanjakan hampir RM3 juta setahun untuk membantu mereka yang tidak mampu.

Adalah diharapkan para penyewa akan membayar sewa mereka menurut jadual bagi membantu pihak pengurusan menyenggarakan kawasan perumahan mereka dengan sempurna.

Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang gagal membayar sewa atau menyewa rumah mereka kepada pihak ketiga, seperti warga asing. Baru-baru ini Kerajaan Negeri Kedah telah membawa ke mahkamah penyewa-penyewa di negeri itu yang gagal membayar sewa bulanan mereka.

Sehubungan itu, satu perbadanan khas akan dibentuk oleh kerajaan negeri untuk menguruskan penyenggaraan kesemua PPR dan Council Home. Perbadanan ini diharap akan menjadikan kesemua perumahan-perumaahan PPR dan Council Home lebih selesa untuk didiami. Selama ini, penduduk sering mengadu tentang syarikat-syarikat penyenggaraan swasta yang gagal menjalankan tugas mereka.

Untuk jangkapanjang, perbadanan ini boleh mengambil alih penyenggaraan perumahan bertingkat di seluruh negeri Selangor demi keselesaan rakyat.

13 November 2008

Tuesday, November 11, 2008

Singapura pun ada kuota!

Kerajaan negeri Selangor kerap mendapat rungutan dari pemaju-pemaju perumahan tentang kuota kaum yang dikenakan ke atas mereka.

Baru-baru ini di Kedah, pemaju-pemaju melalui persatuan mereka telah mengugut untuk membawa ke mahkamah jika kerajaan negeri itu berkeras untuk mengenakan kuota kaum 50:50. Ini bermakna bagi setiap pembangunan perumahan, jualannya mestilah 50 peratus kepada Bumiputera dan 50 peratus kepada bukan Bumiputera.

Di Selangor, kuota ini tidak sama bagi setiap daerah, ada yang 70:30 dan ada yang 30:70.

Kuota ini adalah untuk memastikan pemilikan harta yang seimbang di kalangan kaum-kaum dan integrasi kaum.

Di sidang DUN Selangor yang lepas, terdapat ADUN Pakatan Rakyat yang membangkitkan polisi ini malah mengecamnya.

Sebenarnya bukan sahaja negeri-negeri di Malaysia yang melaksanakan kuota kaum. Negara jiran kita, Singapura, juga melaksanakan kuota kaum bagi perumahan awam.

Sebelum ini terdapat pemaju-pemaju perumahan yang berkata di Singapura tidak ada kuota, mungkin mereka tidak tahu atau tahu tetapi sengaja mahu menjadikan ia alasan!

Di Singapura, terdapat kuota kaum bagi jualan pangsapuri-pangsapuri Housing Development Board (HDB). Hampir 90 peratus rakyat Singapura tinggal di rumah-rumah sedemikian.

Terdapat satu polisi HDB yang dinamakan “Ethnic Integration Programme” (EIP) atau Program Integrasi Kaum. Menurut polisi ini terdapat kuota bagi kaum bagi setiap pembangunan HDB. Ini bermakna jika kuota bagi satu kaum itu telah cukup maka kaum tersebut tidak boleh membeli rumah situ.

Saya tidak menjumpai peratus kuota HDB ini di dalam laman webnya tetapi ianya menjadi isu hangat semasa pilihanraya umum Singapura yang lalu. Parti pembangkang, Workers Party, membantah kuota-kuota yang ditetapkan oleh pemerintahan People’s Action Party (PAP). Ianya pernah didedahkan di dalam suratkhabar, diberitakan kuota tersebut adalah 84 peratus bagi Cina dan 22 peratus bagi Melayu.

Ini bermakna di dalam satu pembangunan HDB, jumlah orang Cina tidak lebih dari 84 peratus dan orang Melayu tidak lebih dari 22 peratus.

Maka jika sudah ada 22 peratus orang Melayu di situ maka orang Melayu tidak boleh membeli rumah di situ lagi. Menurut pemerintah Singapura, polisi ini adalah untuk memastikan tidak akan wujud pembangunan yang hanya dipenuhi oleh satu kaum sahaja.

Nampaknya sistem kuota kaum bagi perumahan di Singapura yang menghadkan hanya 22 peratus orang Melayu di satu pembangunan adalah lebih berat sebelah dari kuota 50:50 atau 30:70 di Malaysia.

12 November 2008

Thursday, October 30, 2008

TIADA RAYUAN SAMAN BAGI PEKEDAI WARGA ASING DI KG. PANDAN.

Saya telah mendapat banyak aduan dari penduduk Kg Pandan tentang warga Indonesia yang menjalankan perniagaan di Jalan A dan Jalan F.

Rumah-rumah kediaman telah dijadikan kedai makan, kedai jamu, kedai runcit dan sebagainya. Sambungan haram kepada bangunan sedia ada telah dilakukan sehingga ada aktiviti perniagaan yang menghalang lalulintas.

MPAJ selalunya akan mengeluarkan saman dan ramai akan berjumpa saya memohon saya menyokong pengurangan saman itu. Selalunya tuan rumah rakyat Malaysia akan datang dan bukan penyewa Indonesia.

Tetapi oleh kerana kebimbangan penduduk, di masa akan datang, saya tidak akan menyokong sebarang pengurangan bagi saman rumah kediaman yang digunakan oleh warga asing untuk perniagaan.

Saya yakin ini perlu kerana kita tidak mahu Kg Pandan menjadi kampung Indon atau kampung Bangla.

MPAJ diharap akan menjalankan satu operasi dengan segera.

31 Oktober 2008

Tuesday, October 28, 2008

ORANG MELAYU PUN ADA PERASAAN

Strategi BN di Selangor untuk menawan balik negeri ini kelihatan terang dan jelas.

Kemenangan 8 Mac PR adalah hasil dari peningkatan undi kaum Cina dan India. Kebanyakan pengundi Melayu kekal bersama BN kecuali di bandar-bandar besar.

Keyakinan terhadap MCA, MIC dan Gerakan masih belum dipulihkan, harapan untuk memenangi kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu adalah amat tipis.

Fokus BN nampaknya lebih kepada pengundi Melayu. Jika mereka yang dulunya mengundi PAS atau PKR di kerusi-kerusi majoriti Melayu dapat ditarik, undi orang Cina dan India mungkin tidak lagi menjadi penentu.

Isu-isu yang khusus untuk pengundi-pengundi Melayu seperti ladang babi RM100 juta, kemasukan pelajar bukan Melayu ke dalam UiTM, penggantungan pegawai MPAJ, amaran untuk merobohkan surau-surau tanpa izin dan perlantikan pengurus besar Cina bagi PKNS menjadi modal-modal UMNO dan BN.

Sama ada isu-isu itu benar atau tidak, wajar atau sebaliknya, PR perlu melihat ancaman propaganda BN ini sebagai serius. Di dalam politik, setiap keberangkalian perlu dianggap serius.

Orang Melayu pun ada perasaan. Jika kita turun ke bawah bersama rakyat, kita boleh rasa ada perasaan bimbang dan gusar di kalangan mereka. Oleh yang demikian, hati mereka, sensitiviti mereka, juga mesti dijaga. Mereka bukan batang kayu yang tidak bernyawa. Mereka sedang menghitung apa yang mereka dapat dan apa yang orang lain dapat di bawah PR. Segala ucapan di dalam sidang DUN sedang mereka amati.

Jangan PR pula menjadi seperti UMNO dan BN, menganggap orang Melayu bodoh dan undi mereka senang hendak dipancing. Orang Melayu juga pandai menilai. UMNO menerima padahnya pada pilihanraya 1999, sehingga Dr. Mahathir terpaksa berundur.

Jika PR kalah di semua kerusi majoriti Melayu, keadaannya akan menjadi terbalik. BN pula akan ada 36 kerusi dan PR hanya 20. Lebih memalukan lagi jika Exco-Exco malah MB sendiri kehilangan kerusi. Fikirkanlah!

28 Oktober 2008

Sunday, October 26, 2008

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT SELANGOR WAJAR KALAH JIKA GAGAL BANTU PENDUDUK BUKIT SENTOSA DAN PENYEWA-PENYEWA "COUNCIL HOME" & PPR.

Masalah penduduk Bukit Sentosa dan penyewa-penyewa "Council Home" & Projek Perumahan Rakyat telah beberapa kali dibangkitkan pada sidang DUN Selangor kali ini.

Penduduk 54 blok pangsapuri Bukit Sentosa juga Bukit Beruntung sedang merana kerana bumbung-bumbung rumah mereka ranap akibat angin kencang. Mereka telah menanggung kesengsaraan ini sejak 2004 dan kerajaan BN pernah membaiki 3 blok tetapi diberhentikan sebelum pilihan raya 8 Mac.

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah menghantar satu kertas cadangan untuk menaiktaraf bumbung-bumbung itu yang disediakan oleh
sebuah syarikat perunding jurutera.

Tiga kontraktor telah menghantar sebutharga di antara RM10 hingga 12 juta.

Walaupun banyak blok tidak sampai separuh penuh tetapi menjadi tanggung jawab kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah penduduk yang berhadapab dengan masalah apabila hari hujan.

Kerajaan tidak seharusnya menunggu tindakan pemaju tetapi perlu bertindak segera. Jika tidak untuk semua blok serentak, blok-blok yang ramai penduduk perlu diberi perhatian. Jika tidak RM10 atau 12 juta, sejumlah wang perlu dikeluarkan.

Demi kebajikan rakyat, kerajaan tidak boleh kedekut.

Sementara bagi "Council Home" dan PPR, kadar sewanya telah naik dari RM124 kepada RM250 pada Jun 2007. Ada yang ada yang mampu ada yang tidak.

Saya telah meminta setiap PBT menyenaraikan jumlah golongan penyewa berikut untuk dibantu :-

1. Berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.
2. Mempunyai tiga orang atau lebih anak yang bersekolah atau di IPT.
3. Orang kurang upaya.
4. Warga emas 60 tahun ke atas.
5. Mereka yang tinggal bersama ibu atau bapa warga emas.

Jika 30 peratus dari penyewa-penyewa diberikan diskaun 50 peratus, saya menanggarkan kerajaan negeri perlu RM2-3 juta setahun.

Saya bimbang jika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal membantu mereka dan penduduk pangsapuri-pangsapuri Bukit Sentosa & Bukit Beruntung, doa-doa mereka mungkin akan menjadi penyebab kekalahan kerajaan Pakatan.

27 Oktober 2008.

MOHON MAAF .....

Mohon maaf tidak dapat menghadiri mana-mana program dari 25-27 Oktober kerana berada di Terengganu.

Isteri dah complaint, tak balik Raya di kampungnya walaupun Syawal sudah hampir berakhir!

26 Oktober 2008

Saturday, October 25, 2008

JANGAN SAMPAI ADA GUNTING DALAM LIPATAN

Islam mahu kita bersikap maaf-memaafkan.

Tetapi kerajaan negeri Selangor perlu bertindak bijak apabila mahu peneraju-peneraju anak-anak syarikat negeri (GLC) menebus kesilapan mereka yg lalu.

Diakui ramai yg telah bekerja dgn baik dan telah menjadi mangsa keadaan tetapi ada yg telah memainkan peranan besar di dlm penyelewengan yg telah berlaku. Saya bimbang mereka akan menjadi tangan-tangan ghaib BN yg akan menggagalkan perancangan kerajaan Pakatan Rakyat.

Sebagai Exco yg menjaga perumahan, perancangan telah dibuat utk GLC-GLC seperti PKNS membantu menyelesaikan masalah rakyat. Jika peneraju GLC masih mereka yg pernah terlibat dgn penyelewengan yg lampau, saya yakin perancangan membantu rakyat akan gagal. Dan jika ini berlaku, bukan GLC akan disalahkan tetapi EXCO dan kerajaan.

Kerajaan Pakatan Rakyat ada 3 atau 4 tahun utk membuktikan kemampuan, tidak ada masa utk sebarang kesilapan.

26 Oktober 2008

Thursday, October 23, 2008

Ucapan Penggulungan Pengerusi Jawatankuasa Tetap EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, YB Iskandar bin Abdul Samad Bagi Bajet 2009 Sidang

Pengurusan Bangunan

Bajet kali di antara lain bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Kualiti hidup perbandaran terutamanya di kediaman bertingkat turut akan diberikan perhatian.

Menurut akta yang baru, Akta 663, menetapkan kesemua kediaman bertingkat akan ditadbir atau diurus, akhirnya, oleh penduduk itu sendiri.

Joint Management Board (JMB) dan akhirnya Management Corporation (MC) yang dianggotai oleh penduduk akan menjadi badan pengurus. Tetapi akta ini masih baru, penduduk mesti dibimbing dan diberi tunjuk ajar.

Tugas ini sekarang dipikul oleh Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner of Building atau COB) yang merupakan Dato’-Dato’ Bandar atau Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Masalahnya tidak ada Jabatan/Unit Khas COB untuk menyelesaikan masalah kediaman bertingkat. Ada yang menumpang di Jabatan Penilaian dan ada yang di Jabatan Bangunan.

Oleh itu, amatlah penting Jabatan atau sekurang-kurangnya Unit COB diwujudkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Tetapi sehingga ini berlaku, Kerajaan Negeri akan melantik petugas-petugas khas di setiap PBT untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah kediaman bertingkat.

Petugas-petugas akan dipilih dari kalangan bekas-bekas kakitangan kerajaan, para profesional atau ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Adalah diharapkan dengan diwujudkan Jabatan/Unit COB ini akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk bangunan bertingkat.

Projek-Projek Terbengkalai

Beberapa strategi telah dibuat bagi menangani masalah projek-projek perumahan terbengkalai.

Di Kuala Selangor terdapat 2 buah projek terbengakalai yang telah dihantar notis untuk dirampas tanah-tanahnya. Ini adalah di atas kesalahan, tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat gunatanah.

Matlamatnya adalah sebagai isyarat atau amaran kepada pemaju-pemaju lain. Seterusnya untuk memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak lain yang berminat untuk meneruskan projek-projek itu.

Sebelum, apabila bank-bank dihubungi supaya memberi kelonggaran kepada pembeli-pembeli, maklumbalas yang diterima adalah terlalu dingin. Kerajaan berharap pendekatan ini akan membuatkan bank-bank berfikir dua kali. Dahulu ada yang begitu angkuh, namun kita harap sekarang mereka akan datang berbincang.

Tetapi ini hanya untuk tanah-tanah kerajaan yang diberi hak milik (alienated land). Manakala bagi tanah-tanah yang lain perlu ada pendekatan lain.

Seperti yang diumumkan di dewan pada sidang lepas, satu Task Force (Pasukan Khas) akan diwujudkan dan dipengerusikan oleh YB Hulu Kelang.

Banyak syarikat-syarikat swasta yang telah menunjukkan minat. Kerajaan akan membantu mereka menghubungi pemaju-pemaju yang terbabit, pihak-pihak berkuasa tempatan, pejabat-pejabat daerah atau agensi-agensi kerajaan yang lain bagi membantu mereka menjalankan semula projek-projek itu.

Syarikat-syarikat ini telah mengenalpasti 17 projek yang boleh dimulakan semula. 13 projek pula dalam proses untuk dimulakan semula dan 1 telah dimulakan semula.

Secara keseluruhan daripada 141 projek-projek yang dikenalpasti sebagai terbengkalai, dari jumlah itu sebanyak 30 projek telah berjalan dengan kemajuan yang menampakkan usaha pemaju-pemaju untuk menyiapkan projek-projek itu.

Demi untuk memberi tekanan kepada pemaju-pemaju, mesyuarat dan lawatan tapak dari masa ke semasa telah diadakan. Saya sendiri mempunyai satu rangka lawatan tapak berjadual untuk projek-projek sebuah pemaju yang paling bermasalah di Selangor. Kita harap ini dapat mempercepatkan kemajuan projek.

Peranan PKNS Di Dalam Perumahan Rakyat

Walaubagaimanapun, akhirnya kerajaan tidak boleh mengharapkan sektor swasta untuk menyelesaikan masalah ini. Pihak swasta hanya akan menunjukkan minat jika terdapat keuntungan.

Walaubagaimanapun, masalah ini berpunca dari sektor swasta tetapi kerajaan tidak boleh lepas tangan. Saya berpendapat, anak-anak syarikat kerajaan atau Government Linked Companies (GLC) seperti PKNS perlu memainkan peranan.

Saya yakin YAB Menteri Besar, selepas pemurnian PKNS, akan mengembalikan PKNS kepada matlamatnya yang sebenar ketika ditubuhkan.

Oleh yang demikian, saya menyokong penuh cadangan YB Hulu Kelang bahawa PKNS perlu kembali kepada matlamat asalnya tetapi perlu ada proses pemurnian. Ia perlu menyahkan segala amalan-amalan buruk dan disuntik dengan nafas dan tenaga baru.

Begitu juga penyediaan rumah untuk rakyat. Kita ada undang-undang yang mewajibkan pemaju membina rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kos sederhana.

Tetapi berdasarkan rungutan dari pembeli-pembeli rumah sama ada dari segi rumah yang diterima atau pengurusannya, ianya amat mengecewakan. Kita tidak boleh dan tidak akan mengecualikan pemaju-pemaju dari menjalankan tanggungjawab sosial mereka. Tetapi kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup di dalam kesengsaraan.

Sekali lagi saya bersetuju dengan YB Hulu Kelang agar kerajaan melalui PKNS menjadi peneraju utama di dalam membina rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk rakyat.

Sebagai kerajaan yang prihatin, kami mengakui bahawa rekabentuk rumah-rumah kos rendah sekarang adalah ketinggalan zaman, sama ada dari segi rekabentuk itu sendiri atau keluasannya.

Sejumlah peruntukan telah diberikan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk mengkaji semula rekabentuk yang sedia ada dan menghasilkan satu rekabentuk yang lebih relevan dan lebih selesa kepada rakyat. Kalau dulu ditawarkan hanya rumah 3 bilik dan 600 kaki persegi tetapi di masa akan datang perlu diberi pilihan yang lebih kepada rakyat.

Berbalik kepada projek terbengkalai, kita tidak mahu ia berulang kembali. Antara penyebab ia akan berulang adalah keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Oleh itu, perlulah ada kawalan bagi kelulusan projek-projek bagi mengelakkan kejadian projek-projek terbengkalai. Oleh yang demikian, satu jawatankuasa akan diwujudkan untuk mengkaji keperluan perumahan dan hartanah di Negeri Selangor. Projek-projek yang tidak berdaya saing tidak akan mendapat kelulusan. Wakil-wakil Jabatan Perancang Bandar & Desa dan Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor akan turut menjadi jawatankuasa ini..

Peneroka Bandar (Setinggan)

Dari segi menyelesaikan masalah peneroka bandar, kerajaan negeri bukannya tidak ada polisi, tetapi ianya tidaklah seperti polisi “Setinggan Sifar” yang untuk beberapa tahun menjadi bahan berita utama (tetapi “for the wrong reasons”).

Kerajaan Negeri tetap akan meningkatkan kualiti hidup mereka. Fokus adalah untuk meningkatkan kualiti hidup bukan untuk menghapuskan mereka seolah-olah para peneroka bandar adalah makhluk-makhluk perosak, penjenayah atau wabak penyakit.

Cara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat memindahkan peneroka Bandar keluar dari penempatan-penempatan mereka adalah berlainan.

Dalam usaha menyelesaikan permasalahan setinggan di negeri Selangor, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan di bawah peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan tidak lagi menggunakan peruntukan di bawah Akta Darurat 1969 bagi membolehkan tempoh notis yang dikeluarkan kepada setinggan adalah mencukupi untuk membolehkan penduduk setinggan membuat persiapan berpindah keluar.

Kaedah perpindahan juga akan dilaksanakan dengan penuh diplomasi dan secara berhemah tanpa melibatkan kekerasan bagi mengelakkan timbulnya salah faham di kalangan penduduk terlibat dan seterusnya memudahkan lagi kerja-kerja perpindahan.

Kerajaan Negeri juga akan mengadakan bancian semula ke atas penempatan setinggan sedia ada dan penempatan baru bagi memastikan tiada lagi setinggan yang tercicir bancian ataupun berlaku pertambahan nama secara tidak sah oleh pihak-pihak tertentu. Senarai nama-nama setinggan yang telah dibanci akan dipamerkan di tempat-tempat awam dalam kawasan tersebut bagi membolehkan maklum balas daripada penduduk asal diperolehi dan nama yang disenaraikan adalah menepati kedudukan mereka sebagai peneroka bandar di kawasan tersebut.

Selain itu, operasi perobohan penempatan setinggan akan hanya diteruskan selepas perbincangan bersama setinggan diadakan bagi mengelakkan berlakunya sebarang salah faham daripada pihak setinggan. Wakil rakyat juga dikehendaki mengadakan perbincangan dengan setinggan sebelum perobohan dijalankan bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar.

Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji mekanisme khusus untuk membantu mana-mana setinggan yang gagal mendapat pinjaman bank untuk membeli rumah kos rendah dan mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan memperbanyakkan bilangan unit “council home” di kawasan masing-masing untuk membantu keluarga setinggan yang tidak mampu atau layak membeli rumah kos rendah. Malah rundingan dengan bank-bank telah diadakan.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan dasar yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri yang lalu iaitu memberi tawaran rumah kos rendah kepada setinggan-setinggan yang dibanci pada harga RM35,000.00 seunit di mana subsidi RM7,000.00 akan ditanggungkan oleh tuan tanah atau pihak berkuasa tempatan berkenaan sekiranya tanah milik kerajaan. Semua pihak berkuasa tempatan juga telah diminta mengemas kini data bancian setinggan dan dikemukakan kepada Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor untuk tujuan pemantauan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga sentiasa memantau projek rumah kos rendah yang terlibat dengan program penempatan semula setingan bertujuan memastikan projek disiapkan mengikut jadual dan tidak terbengkalai bagi membolehkan setinggan berpindah ke rumah yang telah dijanjikan dengan segera dan dapat mengurangkan kos sewa yang ditanggung oleh pemaju atau Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan.

Perbincangan dengan pihak-pihak yang terbabit diadakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan bersama-sama EXCO dan ADUN-ADUN yang berkenaan untuk mencari penyelesaian bagi penduduk.

Jawatankuasa Khas Menyelesaikan Masalah Peneroka Bandar Dan Perbandaran

Selain dari itu, satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Peneroka Bandar dan Perbandaran yang di anggotai oleh ahli-ahli NGO untuk mengadakan rundingan dengan para peneroka bandar. Ini dilakukan untuk memudahkan lagi rundingan dan mempercepatkan persetujuan dicapai.

Kes peneroka Bandar Bukit Botak telah dibangkitkan 2 kali di dalam sidang dewan kali ini. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan menzalimi sesiapa. Satu penyelesaian yang terbaik akan diusahakan.

Baru-baru ini di dalam akhbar telah disiarkan satu cadangan alternatif untuk pembangunan ini. Banyak maklumbalas telah diterima dari penduduk. Kita memahami sentimen penduduk.

Jika ada penyelewengan-penyelewengan kita akan perbetulkan keadaan.

Saya akan mengatur satu pertemuan di antara YAB Tan Sri Menteri Besar dan wakil-wakil penduduk untuk mencari penyelesaian.

Council Homes Dan Sewa Beli

Menyentuh semula tentang Council Homes, ada beberapa sebab yang menyokong penambahannya antaranya adalah :

1. Kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu di mana kita menjangka ramai yang akan memilih untuk tidak membeli rumah tetapi masih memerlukan kediaman maka menyewa adalah alternatif.

2. Mengurangkan bebanan pemaju yang tidak dapat menjual rumah-rumah mereka kerana penduduk tidak mendapat pinjaman bank.

3. Sebagai kediaman pertama bagi mereka yang sedang mengumpul wang untuk membeli rumah.

Satu kertas cadangan telah juga disiapkan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri tentang “Skim Sewa Beli Bagi Golongan Kurang Mampu Memiliki Rumah Kos Rendah” oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Adalah diharapkan dengan usaha-usaha ini setiap rakyat negeri Selangor akan mendapat kediaman yang selesa dan sempurna sama ada memiliki atau menyewa.

Rumah-Rumah Exco

Rumah-rumah Exco telah banyak kali disentuh di dalam dewan ini.

Kerajaan telah melantik 4 ejen hartanah untuk mencari penyewa bagi rumah-rumah itu. Kita telah memberikan tempoh 3 hingga 6 bulan kepada mereka untuk mendapatkan penyewa-penyewa yang bersesuaian. Ianya tetap akan menjadi rumah kediaman dan bukannya hotel, pejabat atau klinik seperti yang pernah di cadangkan. Ini disebabkan syarat guna tanah yang perlu ditukar, jika ditukar kegunaan besar, kemungkinan mendapat bantahan dari penduduk tempatan. Kita hendak mengekalkan “character” kawasan tersebut.

Prestasi Exco-Exco

Di dalam perbahasan ini YB Bangi telah berkata beliau berharap portfolio-portfolio kesemua EXCO akan turut menyerlah. Menurut YB Bangi, hanya aspek-aspek kebajikan yang kelihatan di dalam 6 bulan ini.

Ini tidak menghairankan kerana negara berkebajikan kerajaan yang perihatin merupakan “tagline” semasa kempen pilihanraya. Maka wajarlah agenda-agenda kebajikan ini diserlahkan. EXCO-EXCO lain juga bertungkus-lumus tetapi ianya tidak menjadi fokus utama pihak media.

Oleh itu, saya juga mengalu-alukan cadangan Seri Serdang agar perlu ada kayu pengukur bagi prestasi EXCO-EXCO.

Saya yakin YAB Tan Sri Menteri Besar telah dan akan memberi perhatian yang adil kepada kehendak dan keperluan setiap EXCO untuk mencapai matlamat atau merealisasikan perancangan masing-masing.

Di atas dasar persefahaman dan persepakatan Pakatan Rakyat, tidak ada apa yang dipanggil sebagai EXCO PKR, EXCO DAP, dan EXCO PAS. Semuanya adalah EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Bekerjasama untuk mencapai matlamat yang satu.

23 Oktober 2008

Saturday, October 18, 2008

KONSEP PARTI MENGUASAI KERAJAAN

Apabila sebuah parti politik atau gabungan parti-parti politik memenangi pilihanraya, ia akan membentuk kerajaan. Polisi kerajaan atau perjalanan kerajaan yang dibentuk mestilah menurut polisi parti atau parti-parti itu.

Oleh yang demikian, mereka yang dilantik untuk menganggotai kerajaan seperti Menteri dan Exco malah perlantikan politik yang lain seperti ahli Majlis Perbandaran atau Ketua Kampung mestilah bertindak selari dengan polisi dan hasrat parti.

Mereka tidak boleh bertindak sesuka hati tetapi setiap tindakan dan keputusan perlulah bertepatan dengan kehendak parti. Mereka telah bertanding di dalam pilihanraya di atas platform parti atau perlantikan mereka dicadangkan oleh parti maka sudah tentu mereka perlu menurut kehendak parti. Atau sekurang-kurangnya mereka adalah “orang-orang politik” dan sudah tentunya mesti menurut kehendak atau keperluan politik.

Di negeri Selangor, kawalan ini berlaku di beberapa peringkat. Keputusan-keputusan kerajaan negeri dipastikan selari dengan hasrat parti-parti gabungan Pakatan Rakyat melalui badan yang dinamakan Majlis Pakatan Rakyat.

Majlis ini yang bermesyuarat dari masa ke semasa bertindak sebagai badan pengawal. Maka Exco-Exco malah Menteri Besar tidak bolehlah bertindak sesuka hati.

Parti-parti gabungan mempunyai badan perhubungan negeri atau jawatankuasa negeri untuk memutuskan pendirian parti masing-masing sebelum dibawa ke Majlis Pakatan Rakyat. Sepatutnya begitu juga di peringkat yang lebih bawah, parti di peringkat daerah, kawasan Parlimen atau kawasan DUN perlu menjadi badan pengawal dan pembuat keputusan bukan individu.

18 Oktober 2008

KONSEP PARTI MENGUASAI KERAJAAN

Apabila sebuah parti politik atau gabungan parti-parti politik memenangi pilihanraya, ia akan membentuk kerajaan. Polisi kerajaan atau perjalanan kerajaan yang dibentuk mestilah menurut polisi parti atau parti-parti itu.

Oleh yang demikian, mereka yang dilantik untuk menganggotai kerajaan seperti Menteri dan Exco malah perlantikan politik yang lain seperti ahli Majlis Perbandaran atau Ketua Kampung mestilah bertindak selari dengan polisi dan hasrat parti.

Mereka tidak boleh bertindak sesuka hati tetapi setiap tindakan dan keputusan perlulah bertepatan dengan kehendak parti. Mereka telah bertanding di dalam pilihanraya di atas platform parti atau perlantikan mereka dicadangkan oleh parti maka sudah tentu mereka perlu menurut kehendak parti. Atau sekurang-kurangnya mereka adalah “orang-orang politik” dan sudah tentunya mesti menurut kehendak atau keperluan politik.

Di negeri Selangor, kawalan ini berlaku di beberapa peringkat. Keputusan-keputusan kerajaan negeri dipastikan selari dengan hasrat parti-parti gabungan Pakatan Rakyat melalui badan yang dinamakan Majlis Pakatan Rakyat.

Majlis ini yang bermesyuarat dari masa ke semasa bertindak sebagai badan pengawal. Maka Exco-Exco malah Menteri Besar tidak bolehlah bertindak sesuka hati.

Parti-parti gabungan mempunyai badan perhubungan negeri atau jawatankuasa negeri untuk memutuskan pendirian parti masing-masing sebelum dibawa ke Majlis Pakatan Rakyat. Sepatutnya begitu juga di peringkat yang lebih bawah, parti di peringkat daerah, kawasan Parlimen atau kawasan DUN perlu menjadi badan pengawal dan pembuat keputusan bukan individu.
18 Oktober 2008

PELUANG PERNIAGAAN UNTUK SEMUA

Gabungan Badan Kebajikan Islam DUN Teratai mahu peluang perniagaan untuk semua bangsa di pusat-pusat komersialnya.

Mereka mahu gerai-gerai Bumiputera Taman Putra di hadapan Puteri Park Plaza dikekalkan malah dinaiktaraf oleh MPAJ.

Mereka juga mahu gerai-gerai UPEN di hadapan pasar Taman Muda dibuka dengan segera. Sebelum gerai-gerai itu dibina, terdapat peniaga-peniaga Bumiputera yang berniaga di situ. Sebuah surau juga terdapat di situ yang digunakan oleh peniaga dan pengunjung pasar Taman Muda.

Kelewatan pembukaan gerai-gerai itu mengakibatkan ramai peniaga-peniaga yang kehilangan punca pendapatan.

Terdapat mereka yang mendakwa gerai-gerai di hadapan Puteri Park Plaza dan gerai-gerai UPEN dibina di tempat letak kereta atau bahu jalan dan perlu dirobohkan. Tetapi begitu juga seluruh Pasar Taman Muda dan gerai-gerai makan di Taman Putra yang dibina dan beroperasi juga di tempat letak kereta dan bahu jalan. Oleh yang demikian, kenapa bersikap pilih-kasih?

Di satu masa dahulu, terdapat bazar-bazar MARA di kebanyakan bandar-bandar bagi memberi peluang kepada peniaga-peniaga Bumiputera yang tidak cukup modal untuk berniaga. Walau bagaimanapun, ianya hanya tinggal kenangan.

Sekiranya gerai-gerai di Taman Muda dan Taman Putra itu diroboh, maka tiada lagilah peniaga-peniaga Bumiputera di pusat komersial itu. Sudah tentu ini bertentangan dengan semangat yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang mahu melihat peluang yang sama rata bagi semua kaum.
18 Oktober 2008

PAS KAWASAN PANDAN UNTUK SELURUH PANDAN

Sejak kemenangan PAS di kawasan DUN Chempaka pada pilihanraya umum lepas, program-program yang melibatkan pimpinan PAS seolah-olah tertumpu kepada kawasan DUN itu.

Di kawasan DUN Teratai pula, DAP yang telah menang di situ kelihatan lebih menonjol dan aktif.

Suasananya berbeza sebelum pilihanraya di mana PAS bergerak dengan aktif di kedua-dua kawasan DUN malah jauh lebih menonjol dari DAP di Teratai. Oleh itu, tidak hairan terdapat dakwaan bahawa organisasi PAS telah lumpuh di Teratai.

MEMBEZAKAN DI ANTARA PROGRAM KERAJAAN DAN PROGRAM PARTI

Kekeliruan ini mungkin berlaku kerana ramai di antara kita yang gagal membezakan di antara program-program kerajaan yang melibatkan ADUN-ADUN dan program-program Parti.

Cawangan-Cawangan PAS masih aktif di Teratai. Aktiviti PAS sama ada secara langsung atau tidak langsung masih berjalan seperti biasa di Cheras Indah, Pandan Perdana, Kg. Cheras Baru, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Teratai dan Taman Kencana. Malah jentera PAS di Cheras Indah bertanggung jawab menjayakan Hari Keluarga ADUN Teratai tahun ini.

MENGAKTIFKAN SEMULA PAS DI TERATAI

Di bulan Syawal ini, Cawangan-Cawangan PAS sama ada di Chempaka atau Teratai akan menganjurkan majlis Hari Raya masing-masing. Selepas itu, mereka akan mengadakan mesyuarat agong mereka dan tahun ini terdapat pemilihan untuk ahli jawatankuasa yang baru. Maka sudah tentu di kedua-dua kawasan DUN, kehadiran Cawangan-Cawangan PAS akan dapat dirasakan.

Aset paling penting PAS adalah ahli-ahlinya. Cawangan-Cawangan yang digerakkan oleh ahli-ahli yang istiqomoh merupakan kekuatan PAS yang tidak ada pada parti-parti lain. Oleh itu, peranan ahli-ahli biasa di peringkat akar umbi adalah lebih penting dari pimpinan-pimpinan Kawasan, Negeri malah Pusat sekalipun.

GERAKAN ISLAM TIDAK MENGENAL SEMPADAN BANGSA ATAU NEGARA

PAS Kawasan Pandan akan membela nasib rakyat dan yang paling penting menjaga kepentingan Islam dan memastikan perkembangannya sama ada di Chempaka atau Teratai.

Gerakan Islam seperti PAS tidak pernah mengenal sempadan bangsa atau negara maka sudah tentu sempadan DUN tidak akan menjadi penghalang kepada PAS untuk bergerak.

Hanya dari segi peruntukan kerajaan Negeri, ia dibahagi-bahagikan menurut kawasan DUN. Setiap ADUN akan menjaga peruntukan untuk kawasannya.

Peruntukan ini adalah peruntukan dari kerajaan Negeri untuk kawasan-kawasan DUN dan bukannya peruntukan PAS, PKR atau DAP dan setiap rakyat berhak untuk mendapatkannya.

Oleh yang demikian, adalah tidak benar peruntukan ADUN DAP hanya untuk orang bukan Islam dan peruntukan ADUN PAS untuk orang Islam.

18 Oktober 2008

Tuesday, October 14, 2008

KOS MENAIKTARAF BUMBUNG-BUMBUNG YANG ROSAK AKIBAT RIBUT DI BUKIT SENTOSA, BUKIT BERUNTUNG DAN PRIMA BERUNTUNG HAMPIR RM 12 JUTA.

Kos menaiktaraf bumbung-bumbung yang rosak akibat ribut di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dan Prima Beruntung adalah dianggarkan lebih dari RM 12 juta.

54 blok-blok rumah pangsa kos rendah di kawasan-kawasan tersebut telah menanggung kerosakan teruk lebih dari 5 tahun. Kerja-kerja membaikpulih dilakukan dari masa ke semasa tetapi satu penyelesaian jangkapanjang diperlukan.

Kedudukan blok-blok itu adalah di laluan angin yang kencang. Kepingan-kepingan yang menutup bumbung telah diterbangkan oleh angin.

Menurut satu cadangan yang dimajukan oleh sebuah syarikat perunding kejuruteraan, kesemua bumbung ( pitched roof ) yang sedia ada hendaklah dibuang. Dengan itu yang tinggal adalah lantai konkrit ( concrete flat slab ) di bawahnya.

Rekabentuk pangsapuri-pangsapuri itu disediakan dengan dua lapis perlindungan. Yang pertama adalah bumbung biasa dan di bawahnya adalah lantai konkrit. Hanya di bawah lantai konkrit ini terdapat unit-unit kediaman.

Lantai konkrit ini akan dijadikan bumbung ( flat roof ). Kerja-kerja tambahan perlu dilakukan untuk menjadikan lantai ini kalis air ( waterproof ).

Walau bagaimanapun satu siasatan yang terperinci akan dilakukan untuk menentukan sama ada pangsapuri-pangsapuri itu telah dibina menurut kontrak.

Di antara perkara-perkara utama yang akan disiasat adalah :

Sama ada kayu ( roof trusses ) yang menanggung bumbung-bumbung itu adalah menurut spesifikasi yang ditetapkan oleh perunding-perunding projek itu.

Sama ada paku atau skru yang digunakan untuk kepingan-kepingan bumbung itu adalah menurut spesifikasi dan jumlahnya adalah menurut kontrak.

Saya berharap pihak perunding-perunding yang terlibat di dalam merekabentuk pangsapuri-pangsapuri itu akan memberi kerjasama penuh agar pasukan penyiasat yang akan dilantik dapat menyemak pelan-pelan dan dokumen-dokumen kontrak yang berkaitan.

Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya telah berlaku sebarang penyelewengan.

Kerajaan negeri mengakui bahawa demi keselesaan rakyat perkara ini perlu disegerakan maka oleh itu, sehingga satu keputusan dibuat, Majlis Daeah Hulu Selangor telah diarah untuk melakukan kerja-kerja membaikpulih sementara bagi blok-blok yang menghadapi kerosakan yang serius.

Berdasarkan lawatan saya ke kawasan tersebut, bukan semua unit-unit kediaman diduduki. Hanya 30 hingga 50 peratus kebanyakan blok berpenghuni.

Iskandar Abdul Samad
15 Oktober 2008

Monday, October 13, 2008

CADANGAN ALTERNATIF PROJEK BUKIT BOTAK DITERIMA

Kerajaan Negeri Selangor telah menerima satu cadangan bagi menyelamatkan projek Bukit Botak di Selayang.

Sebelum ini Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS telah membuat keputusan untuk memberhentikan projek tersebut yang mereka ambil alih dari sebuah syarikat swasta, Delpuri Sdn. Bhd.

PKNS akan kerugian RM140 juta jika meneruskan projek ini kerana mereka akan terpaksa membina dan menjual rumah kepada penduduk dengan harga di antara RM45,000 hingga RM80,000 walaupun kos pembinaannya adalah hampir RM180,000 sebuah.

Di bawah kerajaan yang terdahulu, Delpuri telah diberikan sekeping tanah seluas lebih kurang 25 ekar untuk dibangunkan bagi menampung subsidi untuk menjual rumah-rumah itu di bawah harga pasaran kepada penduduk setinggan di situ. Menurut perjanjian, penduduk akan diperuntukan sebuah rumah berkembar (semi-detached) untuk dibeli.

Walau bagaimanapun apabila PKNS mengambil alih projek tersebut kerana ianya mengalami kelewatan dan hampir terbengkalai, PKNS tidak mendapat tanah yang telah diberikan kepada Delpuri. Oleh itu PKNS akan mengalami kerugian.

Tidak ada perjanjian yang dibuat oleh kerajaan negeri yang lama bagi membolehkan tanah 25 ekar itu dirampas jika Delpuri tidak lagi terlibat membangunkan seluruh projek tersebut.

Oleh itu, setelah mengambil kira bebanan yang akan ditanggung oleh PKNS, YAB Menteri Besar Selangor telah mengambil keputusan agar PKNS tidak meneruskan projek itu.

Walau bagaimanapun, penduduk akan tetap mendapat lot-lot tanah mereka malah hampir dua pertiga lot-lot tanah yang telah dikeluarkan hakmilik.

Sehubungan itu, cadangan telah diterima di mana penduduk menyerahkan semula tanah mereka dan kawasan Bukit Botak dibangunkan dengan pembangunan perumahan bercampur-campur.

Penduduk yang menyerahkan tanah mereka akan berpeluang membeli pangsapuri kos sederhana seluas 850 hingga 1,200 kaki persegi dengan harga subsidi. Rumah kos rendah selalunya mempunyai keluasan lebih kurang 600 kaki persegi.

Subsidi ini akan diperolehi dari membangunkan seluruh kawasan Bukit Botak dengan membina rumah-rumah teres, berkembar dan pangsapuri-pangsapuri.

Menurut cadangan ini, keuntungan juga akan diperolehi oleh kerajaan negeri dari projek ini.

Cadangan ini juga dapat menyelesaikan aduan penduduk yang nama-nama mereka tercicir dari bancian setinggan yang dilakukan sebelum ini. Dengan membina pangsapuri dan bukan rumah berkembar untuk penduduk, lebih ramai penduduk setinggan yang asal akan dapat kembali menetap di Bukit Botak.

Kerajaan negeri akan membuat keputusan tentang cadangan ini setelah mengkaji semua aspek dengan teliti agar pengalaman projek terbengkalai tidak akan berulang.

Iskandar Abdul Samad
14 Oktober 2008

Sunday, October 5, 2008

Sejauh manakah perbezaan pendapat dibolehkan di dalam kerajaan?

Sejauh manakah perbezaan pendapat dibolehkan di dalam kerajaan?

Persoalan ini berlegar-legar di kepala saya sejak saya mempertikaikan secara terbuka tindakan YB Ronnie Liew, Exco Kerajaan Tempatan & Penyelidikan Negeri Selangor, menggantung TYDP MPAJ, Abdul Hamid Hussain dari tugas setelah dia dikatakan mengarahkan perobohan sebuah kuil Hindu di Ampang Tasik.

Perbezaan pasti akan berlaku walaupun kerajaan yang memerintah itu terdiri dari sebuah parti. Maka sudah tentu wajib berlaku jika ia sebuah kerajaan campuran seperti di Selangor. Setiap parti sudah tentu mempunyai prinsip, dasar, penekanan dan sejarah yang berlainan.

Selepas pilihanraya umum 8 Mac, UMNO telah dipersalahkan oleh parti-parti komponen BN yang lain kerana terlalu mendominasi pakatan itu. UMNO seolah-olah tidak memberi peluang untuk berperanan kepada parti-parti seperti MCA dan MIC yang dikatakan bagaikan “lembu dicucuk hidung”. Mereka terpaksa menjadi “yes man”.

Orang Cina menolak MCA kerana ia tidak berani untuk bercakap untuk kepentingan orang Cina di dalam kerajaan. MIC juga ditolak kerana gagal menyuarakan hak orang India.

Walaupun isu yang saya bangkitkan bukan isu yang melibatkan kaum tetapi persoalan integriti dan moral pegawai-pegawai kerajaan, perbezaan pendapat yang berlaku telah menunjukkan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor memberi seluas-luas ruang kepada parti-parti di dalamnya untuk menyatakan pendirian masing-masing. Kecualilah saya digantung atau dipecat selepas ini!

Ia menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat bukan BN yang didominasi oleh sebuah parti dan meminggirkan parti-parti yang lain.

Tetapi perlukah perbezaan ini dizahirkan atau diketahui umum? Kenapa tidak hanya dihadkan kepada bilik-bilik mesyuarat? Saya berpendapat, sekali-sekala, perbezaan ini perlu dizahirkan. Sekurang-kurangnya ia dapat menunjukkan bahawa parti-parti komponen sentiasa peka dan tidak dituduh sebagai hanya rakan kongsi yang tidak berperanan.

Ia dapat memperkuatkan parti-parti komponen dan tidak mengalami nasib yang sama seperti MCA dan MIC yang sedang berada di dalam “ICU”.

Inilah kali pertama sejak penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, berlaku perbezaan pendapat secara terbuka di kalangan Exco-Exco. Saya yakin ianya akan memperkuatkan pakatan ini kerana ianya adalah satu proses faham memahami di antara satu sama lain. Berkawan semasa memerintah berbeza dari berkawan semasa membangkang.

6 Oktober 2008

Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429 & Penggantungan TYDP MPAJ

Mohon maaf kerana lama tidak update blog ini.

Pada hari Isnin 22 Oktober, saya telah dimasukkan ke Hospital Pantai Indah, Pandan Indah kerana disyaki mengidap demam denggi. Di samping itu, saya juga telah terkena jangkitan paru-paru. Pada hari Rabu, doktor yang merawat saya memberitahu bahawa saya mengidap paru-paru berair atau "pneumonia". Hanyalah pada tengah-hari Jumaat 26 Oktober saya telah dibenarkan keluar setelah saya mendesak. Walau bagaimanapun, masih pening-pening dan tidak boleh meneruskan tugas seperti biasa.

Amat mengecewakan kerana Ramadhan pertama sebagai wakil rakyat saya tidak dapat menziarahi kesemua surau-surau di dalam kawasan DUN saya, apa nak buat kita hanya dapat merancang.

Walau bagaimanapun Selamat Hari Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada semua.

InsyaAllah rumah terbuka DUN Chempaka akan diadakan pada hari Sabtu 11 Okober 2008, 10.30 pagi hingga 1.00 petang di Padang Pebandaran Ampang Jaya. Depan Balai Bomba Pandan Indah. Seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir.

Satu berita yang ingin saya kongsi bersama adalah penggantungan kerja Setiausaha / TYDP MPAJ, Abdul Hamid Husain.

Berita tersebut telah saya baca di dalam akhbar The Star 30 Oktober dan ianya susulan perobohan sebuah kuil Hindu di Ampang. Pengumuman penggantungan itu telah dibuat oleh Exco Kerajaan Tempatan & Penyelidikan, YB Ronnie Liew dan menurutnya ianya adalah keputusan Exco Selangor.

Walau bagaimanapun, sepanjang ingatan saya tidak ada mesyuarat Exco atau perbincangan Exco yang mengambil keputusan untuk menggantung Hamid. Sepatutnya perkara sepenting ini dibuat secara kolektif oleh Exco dan bukan orang-orang perseorangan. Lebih-lebih lagi saya tidak ingat pernah ditanya tentang hal ini walaupun DUN saya adalah di bawah bidangkuasa MPAJ.


Selain dari itu, saya juga berpendapat kakitangan-kakitangan kerajaan Negeri tidak seharusnya dipersalahkan jika mereka telah menjalankan tugas tidak bertentangan dengan undang-undang tetapi tidak tepat dari segi politik. Mereka bukan orang politik!

Saya bimbang tindakan ke atas Hamid akan melemahkan semangat kakitangan kerajaan Negeri. Mereka sekarang berada di dalam kedudukan yang amat menyulitkan.

Bolehkah mereka bertindak ke atas perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang atau mereka perlu "tutup sebelah mata" kerana takut dimarahi oleh orang-orang politik?

Saya amat bimbang jika kita mula "menutup sebelah mata" maka seolah-olah tidak ada lagi undang-undang di dalam masyarakat.

30 Oktober 2008

Saturday, September 13, 2008

LEMAH DALAM KUAT?

Memang tidak dapat dinafikan program-program yang melibatkan pimpinan PAS di Selangor semakin bertambah sejak kemenangan Pakatan Rakyat pada 8 Mac yang lalu.

Kalau dulu hanya program-program Parti sahaja yang menonjolkan pemimpin-pemimpin Parti tetapi sekarang ini terdapat program-program kerajaan negeri yang memberi pendedahan kepada pimpinan Parti terutamanya yang menjadi ADUN atau Ahli Parlimen. Kalau dulu hanya di markas-markas sahaja tetapi sekarang di masjid, di surau, di dewan serbaguna, di balairaya malah di pejabat agensi-agensi kerajaan negeri, pimpinan PAS boleh berucap.

Ini adalah satu perkembangan yang baik kerana kita akan berupaya melebar luas pengaruh Parti atau sekurang-kurang meletakkan pimpinan kita di tengah-tengah masyarakat tetapi saya agak bimbang dengan perkembangan sedemikian. Kenapa tidaknya kerana ramai di antara kita yang hanya bergerak di atas platform kerajaan negeri.

Contohnya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai ADUN, ADUN-ADUN akan menganjurkan program-program Mesra Rakyat. Tidak kiralah, sama ada Hari Kesihatan, Dialog Bersama Rakyat, Makan Sate, Makan Durian, Motivasi Pelajar, Motivasi Ibu Bapa atau Sambutan Merdeka, hampir setiap minggu ada program yang dianjurkan. Kadang-kala sehingga tidak ada ruang untuk program-program Parti.

Tetapi bukankah baik ada banyak program? Memang baik bagus tetapi ada perbezaannya.

Program kerajaan negeri atau program Mesra Rakyat ADUN lebih mudah hendak dianjurkan. Peruntukan disediakan oleh ADUN. Tidak perlu satu sen pun. Tempat, pilih saja dewan yang hendak digunakan. Malah khemah dan PA system pun majlis perbandaran boleh menyediakan.

Tetapi program Parti lain. Duit kena cari sendiri. Tempat pula terpaksa kita gunakan “creativity” kita, cari rumah orang ini dan orang itu malah kita boleh menganjurkan program di kaki lima. Kalau di markas, kita akan buat gotong royong membersihkan markas terlebih dahulu. Petugas-petugas pula akan datang menderu walaupun hanya dijamu air mineral dan nasi lemak kosong. Tetapi sekarang petugas-petugas pun ada yang minta diupah!

Walaupun sekarang ini lebih banyak program tetapi saya takut kita kehilangan kekuatan yang dikagumi oleh rakan dan lawan. Ingat atau tidak dulu, apabila UMNO begitu gerun kerana kita dapat menganjurkan program yang hebat-hebat? Mereka bertanya, “Di mana dapat duit?” atau “Ramainya petugas?”.

Betul, kita perlu memberi sedikit keselesaan kepada Cawangan-Cawangan dan petugas-petugas kita tetapi janganlah sampai kita hilang “competitive edge” dan “creativity” kita. Janganlah sampai kita lupa kepada budaya infaq atau budaya sukarela yang telah menjadikan PAS disegani dan dihormati. Cubalah minta derma dari ahli-ahli malah AJK-AJK, tidak ramai yang akan menghulur malah ada yang bertanya, “Bukankah kita ada YB?”. Kita sudah menjadi terlalu manja.

Ketika hadir di dalam satu program anjuran SRI Ilmi, Ampang saya diberitahu bahawa di Terengganu apabila PAS memerintah, sekolah-sekolah agama telah mendapat bantuan dari kerajaan negeri dan ramai guru-guru yang telah dinaikkan gaji dari RM450 kepada RM1,500. Ada yang telah membeli kereta.

Tetapi apabila kerajaan PAS tumbang, tidak ada lagi bantuan dari kerajaan negeri BN. Akibatnya guru-guru malah sekolah-sekolah itu menghadapi masalah. Ada yang menjadi lebih teruk dari sebelum PAS memerintah. Itu apa yang saya diberitahu. Mereka tidak dapat pulih seperti ketika mereka menjadi pembangkang. Mungkin ini sebabnya ada orang-orang Terengganu yang bersungguh-sungguh hendak bekerjasama dengan UMNO!

Walaupun kita tidak mahu kalah di Selangor tetapi kita pastikan yang jika ……… jika ……… jika kita kalah, kita tidak akan terduduk terus. Kita boleh bangkit, melawan balik, untuk merampas semula pemerintahan kerajaan negeri.

14 Ramadhan 1429 / 14 September 2008

Wednesday, September 10, 2008

Isu Kubur Taman Bukit Permai 2 Menjadi Rumit Dengan Campurtangan Orang Luar

Penglibatan YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras di dalam dialog membincang cadangan pembinaan tanah perkuburan Islam di Ampang telah menaikkan kemarahan umat Islam.

Dialog yang diadakan pada 6 September lepas telah dianjurkan oleh ADUN Teratai, YB Jenice Lee Ying Ha, dan bertujuan untuk mendengar pandangan penduduk tentang cadangan tersebut.

YB Tan telah dijemput oleh YB Jenice untuk mempengerusikan majlis dialog dan tindakan ini telah dibantah oleh penduduk yang menyokong pembinaan kubur kerana YB Tan adalah orang luar. YB Tan pula berkata beliau hadir kerana mahu menegakkan keadilan.

Saya telah hadir pagi itu di atas arahan MB semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) dan terkejut kerana seorang ahli Parlimen dari Kuala Lumpur hadir untuk mempengerusikan dialog membincangkan isu negeri Selangor! Betul, beliau mahu menegakkan keadilan tetapi adakah negeri Selangor terlalu kekurangan orang-orang yang boleh menegakkan keadilan sehingga terpaksa memanggil orang luar?

Kehadiran YB Tan ini telah disalahtafsir oleh yang mereka menyokong pembinaan kubur dan isu ini telah bertukar menjadi isu perkauman. Melayu lawan Cina.

Keadaan pagi itu menjadi begitu tegang sehingga pihak Polis telah mengarahkan dialog itu diberhentikan pada lebih kurang jam 11.00 pagi.

Hari ini mesyuarat Exco telah memutuskan supaya projek kubur ini diteruskan dengan syarat ianya mempunyai jalan masuk yang berasingan dan terlindung dari kawasan perumahan, mempunyai “buffer zone”. Tetapi sekiranya sentimen perkauman dibiarkan membara, walau apapun disediakan untuk memastikan kepentingan penduduk tempatan terpelihara, tiada persetujuan akan dapat dicapai.

10 Ramadhan 1429 / 10 September 2008

Saturday, September 6, 2008

ORANG ISLAM PERLU JUGA PERHATIAN

DBKL mengambil tindakan pantas menukar tanda-tanda jalan dari yang mempunyai tulisan jawi kepada yang mempunyai tulisan Cina apabila dibantah oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputih.

Walaupun ianya melibatkan kawasan YB itu, kawasan majoriti Cina, tetapi jarang sekali DBKL begitu pantas memenuhi permintaan parti-parti pembankang. Menukar papan-papan tanda jalan bukan satu perkara yang kecil. Jadi adakah ianya bertujuan untuk mendapatkan undi-undi untuk BN atau terdapat agenda politik lain? Sudah tentu penukaran itu akan menjadikan YB Teresa “heroine” kepada pengundi-pengundi Seputih dan tidak akan menguntungkan BN. Jadi kenapa dilakukan?

Saya berpendapat impak yang diharapkan bukanlah di Seputih tetapi di seluruh negara. Bukan kepada orang Cina atau masyarakat bukan Islam yang lain tetapi impak yang diharapkan adalah di kalangan orang Melayu, orang Islam.

Saya yakin tindakan itu adalah untuk menimbulkan rasa “insecure” atau tidak selamat orang Melayu. Orang Melayu hendak ditakut-takutkan. Tulisan jawi boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya. Jika tulisan Melayu boleh ditukar, perkara-perkara lain pun boleh ditukar!

Tetapi adakah orang-orang Melayu boleh ditakut-takutkan? Mungkin mereka yang berkempen di Permatang Pauh tidak merasakan begitu tetapi di peringkat akar umbi lain ceritanya.

Di Permatang Pauh, undi PKR meningkat tetapi itu sememangnya kubu kuat PKR. Bagaimana pula di kawasan yang orang Melayu yang menolak PKR atau PAS pada pilihanraya umum 8 Mac? Adakah sokongan kepada Pakatan telah meningkat di Sabak, Sg. Burung, Sg. Air Tawar, Taman Templer atau Dusun Tua?

Masih banyak masjid-masjid dan surau-surau di Selangor yang di kuasai oleh UMNO dan ini menunjukkan bahawa ianya terus mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi.

Pada pendapat saya, kurang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk menarik orang Melayu dari UMNO, sama ada di Selangor, Perak ataupun Pulau Pinang. Yang ada seperti hadiah kemasukan ke IPTA/IPTS, skim takaful warga emas dan hadiah RM100 untuk setiap bayi yang lahir adalah universal untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Ramai yang berpendapat orang-orang Cina mendapat lebih banyak “habuan-habuan” dari kerajaan Pakatan. Lanjutan pajakan 99 tahun bagi kampung-kampung baru Cina, cukai pintu nominal bagi tokong-tokong, layanan khas bagi kilang-kilang haram dan yang terbaru pula, penganugerahan tanah oleh kerajaan Negeri Perak kepada sekolah-sekolah Cina boleh memastikan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan.

Masyarakat India juga mendapat perhatian khusus dari kerajaan Pakatan. Masalah kemiskinan orang India dan masalah sekolah-sekolah Tamil sedang diberi perhatian. Tidak ada lagi kuil yang akan diroboh seperti di Kg. Rimba Jaya.

Tanpa menafikan hak-hak orang Cina, orang-orang Melayu perlu juga mendapat “keistimewaan-keistimewaan” dari kerajaan Pakatan. Saya bimbang kerana ramai yang telah bertanya, “Apa yang orang Melayu dapat dari kerajaan Pakatan?”.

Sebenarnya orang-orang Melayu lebih senang merasa terancam, lebih merasa “insecure” dari orang Cina atau orang India. Mereka lebih mudah ditakut-takutkan. Mereka senang terperangkap dengan isu-isu perkauman. Kalau ada yang berkata orang Melayu sudah berubah, saya yakin ini satu dongengan sahaja. Betul mereka boleh mengundi DAP atau calon-calon bukan Melayu tetapi ini boleh bertukar dengan sekelip mata.

Ini tidak mengejutkan kerana orang Melayu adalah bangsa yang telah dijajah, telah dijadikan hamba selama lebih 500 tahun. Dari Portugis kepada Belanda, kemudian Inggeris dan Jepun, Bintang Tiga dan Inggeris kembali maka tidak hairan jika api perkauman boleh disemarakkan dengan mudah di kalangan orang Melayu. Inilah realitinya. UMNO masih dapat memenangi 18 kerusi di Selangor. UMNO mempunyai kerusi yang terbanyak di DUN Perak, lebih banyak dari DAP, PKR atau PAS bersendirian.

Saya melihat untuk mengekal kerajaan Pakatan di Selangor atau Perak, kuncinya adalah pada pengundi-pengundi Melayu yang telah menolak Pakatan pada pilihanraya umum yang lalu. Apakah agenda khusus untuk menarik mereka dari UMNO?

YB Ronnie Liew pernah berkata MCA tidak akan menang di Perak apabila Kerajaan Negeri Perak memberi tanah kepada sekolah-sekolah Cina tetapi beliau lupa tanpa undi orang Melayu, PKR dan PAS mungkin akan kalah dan kerajaan Pakatan tidak akan dapat ditubuhkan hanya dengan DAP.

Sekiranya pemberian tanah kepada sekolah-sekolah Cina tidak disusuli dengan pemberian tanah kepada sekolah-sekolah agama rakyat maka sudah tentu akan berlaku tindakbalas (backlash) dari kalangan orang-orang Melayu. UMNO begitu cekap mengeksploit isu-isu seperti ini.

Begitu juga di Selangor, walaupun bagi kebanyakan 16 kerusi wakil rakyat Melayu-Islam dimenangi dengan undi Cina tetapi jika undi-undi Melayu berubah kepada BN, 16 kerusi itu akan jatuh ke tangan BN. Ini belum dikira kerusi-kerusi PKR di mana peratusan pengundi Melayu adalah tinggi dan kemenangan PKR adalah hasil dari undi-undi Melayu.

Ada orang PAS yang berkata, kita “tarbiyyah” sahaja, melalui masjid dan surau. Tetapi “tarbiyyah” tidak dapat atau memerlukan masa untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu yang tidak mempunyai tanah walhal pemodal-pemodal Taiwan boleh mendapat tanah industri dengan mudah, yang menetap di rumah-rumah kos rendah yang sempit walhal warga Singapura dapat membeli banglo-banglo yang mewah, yang menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman dari bank tetapi akan dikatakan malas apabila perniagaannya gagal atau yang menghadapi diskriminasi ketika mencari pekerjaan tetapi setiap kali mereka bersuara mereka akan dilabel sebagai ekstrim.

Sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh kerajaan Pakatan yang ada. Bukan sahaja orang Melayu yang masih bersama BN akan kekal bersama BN malah orang-orang Melayu yang bersama Pakatan akan turut hanyut. Orang Melayu, orang Islam juga perlu diberi perhatian.

6 Ramadhan 1429 / 6 September 2008

Tuesday, September 2, 2008

KE MANA PERGINYA "ENGAGEMENT"?

Ada seorang pemerhati bukan Islam telah membuat ulasan di dalam internet bahawa Muktamar PAS di Ipoh baru-baru ini adalah lebih kurang sama dengan Perhimpunan Pemuda UMNO …… hanya keris sahaja yang tidak dicabut ( ….. everything but the keris ).

Saya tidak mahu membincangkan kewajaran ulasan tersebut tetapi perlu diselami kenapa ulasan sedemikian boleh dihasilkan. Adakah ia pendapat seorang atau ramai yang berpendapat sedemikian?

Kita boleh berhujjah bahawa ianya merupakan hak kita untuk berkata apa yang kita suka di Muktamar kita tetapi akhirnya kita perlu berdepan dengan mereka yang mula merasa curiga terhadap PAS. Mungkin bukan mereka yang berada di kawasan-kawasan “Malay heartland” seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah tetapi yang akan merasakan sebarang kesan adalah mereka di kawasan-kawasan seperti di Lembah Kelang dan di sekeliling Lembah Kinta.

Memang benar kita perlu membuat penegasan tentang dasar perjuangan kita tetapi kenapa begitu “defensive”? Seolah-olah apabila kita mencapai sedikit kejayaan pada pilihanraya umum yang lepas, kita telah mengorbankan prinsip-prinsip kita. Akibat dari “perasaan bersalah” ini, kita mula menyerang. Dari PKR dan DAP kepada pimpinan tertinggi PAS sendiri. Tetapi benarkah PAS telah mengorbankan prinsipnya?

Sekali lagi saya tidak ingin membincangkan isu ini tetapi yang nyata setahun sebelum ini, di Muktamar 2007 malah di tahun-tahun sebelum ini, kita sungguh berhati-hati. Mahu menjaga hati semua orang.

Mungkin cerita Muktamar ini telah basi tetapi ianya sengaja saya timbulkan semula apabila memerhatikan seolah-olah PAS telah mula menjadi “exclusive” semula.

Di Pandan, untuk 3 tahun berturut-turut telah dianjurkan program yang bernama Larian Merdeka yang mendapat sambutan dari masyarakat pelbagai kaum tetapi tidak tahun ini. Saya amat bimbang sekiranya kita dituduh menganjurkan program itu untuk memancing undi kaum Cina dan India maka setelah memenangi pilihanraya, kita tidak perlu lagi mendekati mereka.

Saya juga amat bimbang apabila melihat program-program “engagement” kita bersama masyarakat bukan Islam telah berkurangan.

Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana “engagement” ini bukan sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Ianya akan datang dengan semulajadi. Saya tidak mahu kita melakukan “engagement” tetapi ianya hanya di peringkat permukaan, semata-mata untuk memancing undi sahaja. Tetapi ada yang melakukannya dengan semulajadi, mungkin mereka dibesarkan di dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Kita tidak tahu siapa yang akan memegang panji-panji Islam di Malaysia pada masa akan datang. Mungkin kemenangan total Islam di Malaysia bukan dipimpin oleh orang Melayu?

Sebelum pilihanraya tahun ini, seorang petugas kecewa dengan penerimaan orang Melayu telah berkata, “Tunggu orang Cina masuk Islam baru Islam nak menang”. Akhirnya kita tidak payah menunggu orang Cina memeluk agama Islam, mereka mengundi PAS ketika masih Buddhist, Kristian, Atheist atau penganut agama-agama lain. Tetapi alangkah baik sekiranya mereka dapat menerima kesyumulan Islam dan tidak hanya mengundi PAS kerana benci kepada BN? Jadi apakah usaha-usaha kita? Sudah tentu tidak usaha-usaha “opportunist” pada tahun-tahun pilihanraya sahaja!

3 Ramadhan 1429 / 3 September 2008

Monday, August 18, 2008

MASUKLAH KE DALAM PADANG, JANGAN HANYA BERSORAK DI LUAR SAHAJA .....

Sebagai sebahagian dari pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor, saya mengalu-alukan ucapan Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salahuddin Ayub, di Muktamar di Ipoh bahawa beliau akan memantau kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat.

Sebelum ini Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Salehin Mukhyi, telah menyatakan bahawa beliau akan memantau Kerajaan Negeri Selangor. ‘Check and balance’, teguran dan nasihat adalah amat penting bagi mana-mana kerajaan.

Seorang profesor dari Universiti Islam Antarbangsa Malaysia memberitahu saya bahawa kerajaan Barisan Nasional yang tumbang di Selangor adalah terlalu angkuh. Sikap ini merupakan di antara penyebab kejatuhannya. Jika ia merupakan kenyataan seorang ahli politik mungkin kita akan mengatakan yang ianya “bias” tetapi dari seorang ahli akademik maka sudah tentu ianya adalah satu pendapat yang tidak didorong oleh sebarang sentimen politik.

Kerajaan mesti mendengar kepada rakyat. Kepada akar umbi. Saidina Umar Al-Khattab R.A. pernah diberi amaran dengan pedang akan implikasinya jika gagal melaksanakan tugas beliau. Tetapi kenapa memantau sahaja? Bukankah PAS adalah sebahagian dari Pakatan Rakyat? Kenapa tidak bersama-sama memastikan kerajaan-kerajaan tersebut berjalan di landasan yang benar? Kenapa bersuara di luar padang walhal anda boleh bersama-sama masuk ke dalam padang?

Saya yakin banyak ruang-ruang yang membolehkan mereka seperti YB Salahuddin atau Ustaz Salehin untuk berperanan. Lebih-lebih lagi Ustaz Salehin adalah seorang ahli majlis daerah. Secara teknikal sebahagian dari kerajaan. Sedikit sebanyak beliau adalah juga seorang pembuat dasar walaupun di peringkat daerah. Bukan orang luar seperti Khir Toyo atau Satim Diman.

Terdapat banyak jawatankuasa penasihat, “task force” dan jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan untuk membantu Exco-Exco. Banyak platform untuk mereka yang berminat berperanan. Malah saya telah menerima cadangan dari beberapa buah NGO untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi membantu portfolio saya menyelesaikan masalah-masalah peneroka bandar. Saya telah menerima cadangan ini dan pada satu seminar pagi tadi, jawatankuasa ini telah dilancarkan dengan memasukkan sahabat-sahabat kita seperti Tuan Mohnsinon Haji Tahir dan Haji Anuar Tahir.

Kalau dulu NGO-NGO bertindak sebagai pemantau atau "watchdog" tetapi sekarang banyak yang telah tampil ke hadapan untuk membantu. Saya juga kagum dengan pengetahuan yang mereka ada tentang portfolio saya. Mereka benar-benar fokus dan menghasilkan begitu ramai pakar-pakar.

Walau bagaimanapun saya mengalu-alukan mana-mana pihak sekalipun seperti Dewan Pemuda PAS, Pusat atau Selangor, untuk mencadangkan pembaikan kepada perjalanan portfolio saya. Bersama-sama kita menjayakan program-program kerajaan negeri. Tetapi ianya lebih mencabar dari sekadar memantau. Ianya tidaklah semudah memberi komentar dan ulasan dari masa ke semasa. Ianya juga tidaklah begitu "glamour".

Saya amat berharap PAS seperti NGO-NGO dapat menghasilkan lebih banyak pakar-pakar dalam bidang-bidang yang bukan tradisi bagi kita. Sama ada dalam bidang perumahan, peneroka bandar, hal-ehwal tanah, rumah panjang, isu-isu JMB dan MC, isu-isu COB, projek-projek terbengkalai, pembangunan semula perbandaran dan banyak lagi yang memerlukan penterjemahan kepada perspektif Islam.

18 Ogos 2008

Wednesday, August 13, 2008

ADAKAH IBRAHIM ABU SHAH BERBOHONG?

Kononnya perarakan pelajar UiTM ke Bangunan SUK Shah Alam 12 Ogos 2008 merupakan tindakan sukarela. Itu kata VC UiTM, Ibrahim Abu Shah. Tetapi laporan diterima ada pelajar mendakwa dipaksa berarak atau akan dikenakan tindakan disiplin.

Yang paling menarik adalah ulasan Prof. Dr. Khoo Kay Kim. Katanya dulu pun pernah dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera tetapi tidak ada sambutan. Anih sekali, saya tidak ingat sebarang perarakan ketika UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dulu. Tetapi sekarang ada?

Mungkin ini disebabkan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan tiba. Jadi si Ibrahim Abu Shah ini memaksa pelajar-pelajar berarak sebab nak menangkan BN di Permatang Pauh. Kejam sekali........

Monday, August 11, 2008

NEGARA KEBAJIKAN ALA SINGAPURA

Beberapa minggu lepas seorang penghuni sebuah “council home” (rumah sewa majlis perbandaran) telah datang ke pejabat saya memohon kerajaan membatalkan kenaikan sewaan bulanannya. Kenaikan itu adalah satu dari legasi dari pentadbiran BN di Selangor.

Menurutnya, beliau terpaksa membayar RM250, dinaikkan dari RM125 dan dengan gaji bulanan sebanyak RM750 ini bermakna lebih dari 1/3 dari gajinya adalah untuk sewa rumah. Dengan ansuran bulanan kereta RM360, tidak ada apa yang tinggal untuk beliau dan keluarganya.

Bandingkan dengan penduduk Singapura. Baru-baru ini saya telah ke sana untuk melihat cara-cara negara tersebut menyelesaikan masalah perumahan dan pengurusan kawasan perumahan awam.

Saya telah diberitahu bagi rakyat berpendapatan rendah atau tidak mempunyai anak atau pasangan tua yang duduk bersendirian, mereka boleh menyewa pangsapuri 1 bilik atau “studio flat” dengan kadar 25 dollar sebulan. Walau bagaimanapun pendapatan bulanan mereka mestilah kurang dari 800 dollar sebulan. Ini bermakna mereka hanya membelanjakan kurang dari 5% dari gaji mereka untuk perumahan.

Pemandu pelancong yang bersama kami sepanjang lawatan ke Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB), Penguasa Pembagunan Semula Perbandaran (URA) dan Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah membeli rumah ketika berumur 26 tahun. Pangsapuri 3 bilik yang dibeli dengan pinjaman dari kerajaan memerlukan beliau membayar RM250 ansuran sebulan. Dengan itu, dengan gaji 1800 dollar sebulan ketika itu (15 tahun yang lalu), beliau hanya membelanjakan kurang dari 20% dari gajinya untuk perumahan.

Di Malaysia, kadang kala hampir separuh gaji kita adalah untuk membayar ansuran perumahan bagi yang membeli atau untuk sewa bulanan bagi yang menyewa.

Ketika di Singapura, jelas sekali strategi pemerintah di sana. Jika kos perumahan dapat dikurangkan maka ini bermakna rakyat dapat membelanjakan selebih gaji mereka untuk perkara-perkara lain

Di republik itu, 20 peratus dari gaji bulanan dipotong untuk CPF, sama seperti KWSP di Malaysia. Majikan pula mencarumkan 15 peratus kepada akaun CPF pekerja mereka. Ini bermakna jumlah simpanan setiap pekerja melalui CPF adalah 35 peratus (lebih kurang 20 peratus di Malaysia). Dana ini akan digunakan oleh pemerintah untuk melabur merata dunia melalui syarikat kerajaan seperti Temasik Holding yang turut mempunyai kepentingan di dalam banyak syarikat penting di Malaysia. Keuntungannya pula akan dipulangkan balik kepada rakyat negara itu atau menyediakan prasarana di pulau tersebut. Berniaga di Malaysia, keuntungan pula untuk rakyat mereka! Bagaimana pula peranan syarikat pelaburan negara kita, Khazanah?

Kita selalu melaungkan slogan “Rumahku Syurgaku” tetapi pada hakikatnya keadaan di negara kita tidak membenarkan ini berlaku bagi semua rakyat.

Pertama, perbelanjaan perumahan yang tinggi bermakna ramai yang terpaksa mempunyai pekerjaan kedua. Sama ada membawa teksi di waktu malam atau hujung minggu, berniaga pasar malam atau terlibat dengan “direct selling”, ianya boleh dikira sebagai pekerjaan kedua.

Kedua, sistem pengangkutan yang tidak efisien bermakna ramai yang terlibat dengan “traffic jam” atau terpaksa “berperang” sama ada untuk pergi atau balik dari kerja. Ramai yang perlu keluar awal pagi dan pulang melewati Maghrib. Oleh itu, “quality time” bersama keluarga adalah terlalu terbatas. Akhirnya institusi keluarga itu sendiri akan runtuh yang akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat secara keseluruhannya. Gejala sosial adalah natijah fenomena ini. Produktiviti mereka yang sentiasa tertekan juga akan menurun.

Di Singapura walaupun undang-undangnya ketat tetapi dua perkara yang diberikan fokus utama untuk memastikan rakyatnya berada ditahap yang optimum untuk digembelingkan bagi kemajuan negara.. Perumahan dan pengakutan awam. Saya tidak melihat dinding-dinding diconteng atau kemudahan awam dirosakkan

Perumahan yang sempurna bermakna anak-anak tidak akan bosan atau tertekan untuk tinggal di dalamnya. Pengangkutan awam yang sempurna bermakna rakyat tidak akan tertekan sama ada untuk pergi dan pulang dari kerja atau bagi pelajar-pelajar untuk pergi dan pulang dari sekolah.

Kedua-duanya akan bermakna lebih masa dapat diluangkan bersama keluarga maka ini akan menjadikan insitusi keluarga itu lebih teguh. Tidak ada lepak melepak. Atau dari perkspektif kita sebagai umat Islam, lebih banyak masa untuk mendegar kuliah atau beribadat di masjid dan surau. Kita perlu menghasilkan masyarakat yang “stress free”.

Malah sebelum ke Singapura, “retreat” Exco dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Negeri telah diberitahu bagaimana kos perumahan dan pengangkutan adalah sebab utama kemiskinan bandar.

Mungkin ada yang berkata, Singapura bolehlah, ia negara kaya! Saya melihat Malaysia juga boleh melakukannya kerana kita juga kaya tetapi duit kita banyak hilang dengan amalan pembaziran dan rasuah, sama ada yang terbuka atau yang tersembunyi.

Perkhidmatan atau kemudahan yang dinikmati oleh rakyat adalah yang di bawah mutu yang sepatutnya.

Pembekal atau kontraktor terpaksa memberikan khidmat atau produk yang lebih rendah mutunya kerana terpaksa membuat bayaran “sogokan” kepada pihak-pihak yang tertentu. Sama ada ahli-ahli politik atau kakitangan kerajaan bagi sesuatu projek itu untuk diluluskan atau diperolehi.

Mungkin kontrak itu bernilai RM1 juta tetapi kos terpaksa dikurangkan sehingga RM800,000 sebab perlu memberikan rasuah bernilai RM200,000. Oleh itu kemudahan atau bangunan atau produk yang diterima oleh rakyat adalah di bawah spesifikasi yang ditetapkan.

Amalan memberikan kontrak kepada mereka yang tidak mempunyai kepakaran merupakan punca mengapa rakyat kerap tertipu. Dalam banyak kes, syarikat hanya merupakan orang tengah. Mereka mendapat kontrak dan memberikannya kepada syarikat yang mempunyai kepakaran. Syarikat yang mendapat kontrak hanyalah berperanan sebagai “posmen”.

Contohnya bagi pembinaan jalanraya, kontrak itu mungkin bernilai RM10 juta. Tetapi ianya diberikan kepada syarikat yang mempunyai kepakaran dengan nilai RM8 juta. RM2 juta untuk “posmen” dan dari jumlah itu mungkin RM1 juta untuk pemimpin politik yang membantu “posmen” itu mendapatkan kontrak. Maka jalanraya yang diterima oleh rakyat adalah bernilai RM8 juta dan bukan RM10 juta.

Lebih teruk lagi sekiranya pembinaan tidak dilakukan oleh syarikat kedua tetapi syarikat ketiga malah keempat, jalanraya yang diterima oleh rakyat mungkin bernilai RM5 atau 6 juta sahaja. Oleh itu RM4 atau 5 juta tidak dapat dimanfaatkan untuk rakyat tetapi masuk ke dalam poket para kroni. Maka tidaklah hairan sekiranya jalan-jalan mula berlubang setelah hanya 1 tahun.

Amalan ketiga yang menyebabkan rakyat Malaysia sentiasa ditipu adalah amalan “marked up” yang berlebih-lebihan atau melampau-lampau.

Sebelum ini kita didedahkan bagaimana sebuah jabatan kerajaan telah dibekalkan barangan dengan harga yang tidak masuk akal. Di antaranya pemutar skrew yang berharga RM50 dibekalkan dengan harga beratus-ratus ringgit. Ini bukan kejadian yang jarang-jarang berlaku tetapi satu kelaziman.

Baru-baru ini saya diberitahu bahawa sebatang pen yang berharga 50 sen tetapi telah dibekalkan kepada sebuah syarikat kerajaan (GLC) dengan harga RM20!

Saya juga pernah menulis bagaimana sebuah kontrak bangunan di dalam lingkungan RM75 juta ditawarkan kepada syraikat kroni dengan harga RM110 juta.

Apabila Pakatan Rakyat menang di Selangor, di antara penyelewengan yang paling awal didedahkan adalah bagaimana peruntukan ADUN-ADUN telah hampir habis dibelanjakan oleh ADUN-ADUN yang lalu dalam masa yang singkat.

Contohnya di Chempaka, ADUN yang lama telah menghabiskan lebih kurang RM450,000 dalam bulan Januari dan sebahagian bulan Februari. Sepatutnya setiap ADUN diperuntukkan RM500,000 sehingga bulan Disember tetapi semuanya telah hampir hangus dalam masa lebih kurang 45 hari!

Alhamdulillah, kerajaan yang baru telah memperuntukkan semula sebahagian dari jumlah yang dihabiskan bagi ADUN-ADUN yang lama untuk baki bagi tahun 2008. Peruntukkan ini adalah untuk rakyat, sama ada untuk projek-projek mesra rakyat, projek-projek infrastruktur yang kecil, sumbangan kepada yang memerlukan atau perkara-perkara lain untuk rakyat.

Pada mulanya saya tidak faham bagaimana RM450,000 dapat dibelanjakan dalam masa 45 hari. RM10,000 sehari?

Walau bagaimanapun misteri ini terungkai apabila didedahkan seorang pembantu ADUN Teratai yang lepas telah dicekup BPR kerana membuat tuntutan untuk 17 program mesra raktyat di surau-surau tetapi pada hakikatnya program-program itu tidak pernah dianjurkan. Tidakkah ADUN itu diberitahu akan program-program yang dianjurkan menggunakan peruntukan beliau?

Seperti biasa UMNO dan BN akan mengangap harta kerajaan adalah harta parti. Harta mak bapak mereka! Tidak hairanlah sekiranya peruntukan itu difaraidkan antara mereka. Hanya saya berdoa agar kita tidak akan menjadi seperti mereka tetapi cabaran-cabaran ketika berkerajaan itu lebih hebat dari ketika menjadi pembangkang.

Saya pernah menulis bagaimana ketika mengendalikan sebuah projek perumahan, saya pernah dihulurkan RM25,000 tunai sebagai sogokan untuk memberi kelulusan. Tetapi sekarang di dalam kerajaan, cabarannya berkali-kali ganda lebih hebat.

Tidak sampai enam bulan menjadi Exco, saya pernah dibisikan bahawa seorang pemaju bersedia membayar RM1 juta sekiranya saya menyokong permohonannya untuk mendapat pengecualian kuota Bumiputera bagi projeknya.

Mungkin ada yang berkata dengan RM1 juta banyak perkara yang boleh dibeli untuk memantapkan perjuangan. Tetapi sekiranya saya boleh menerima RM1 juta itu maka sia-sialah saya berhadapan dengan FRU atau membawa isteri dan anak-anak yang masih kecil hingga hampir subuh ke seluruh negeri Selangor.

Berbalik kepada Singapura, saya yakin mereka benar-benar menjaga kebajikan rakyat mereka. Bagi negara tanpa sebarang sumber asli, rakyat adalah aset yang paling penting. Mungkin Malaysia yang kaya dengan sumber-sumber asli tidak melihat rakyatnya sebagai aset penting. Hanyalah aspek “spiritual” yang tertinggal dari perancangan pemerintah rebublik itu. Jika dapat digabungkan pengalaman Singapura dan Islam, masyarakat kita berupaya menjadi lebih baik dari hari ini.

11 Ogos 2008

Monday, August 4, 2008

PERMATANG PAUH : "REFERENDUM" ORANG MELAYU

Akhirnya segala tanda tanya terjawab. Datin Seri Wan Azizah akan berundur. Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Permatang Pauh.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pilihanraya kecil yang akan menyusul adalah lebih dari hanya satu pertandingan di Permatang Pauh tetapi keputusannya akan menjawab beberapa persoalan.

Adakah Anwar masih mempunyai tarikan? Adakah BN telah pulih dari kekalahan teruk 8 Mac yang lalu? Adakah orang Melayu yang akan kali ini bersama-sama gelombang yang mengenepikan BN di lima negeri? Pada saya soalan terakhir adalah yang paling penting.

Memang tidak dinafikan, kemenangan Pakatan di Pulau Pinang, Perak dan Selangor adalah hasil dari sokongan pengundi bukan Melayu. Kerajaan yang baru di negeri-negeri itu “dipaksa ke atas orang-orang Melayu oleh pengundi-pengundi bukan Melayu”. UMNO masih dapat mempertahankan kebanyakan kerusi-kerusi mereka. Di kawasan “Malay belt” Selangor seperti di Tg. Karang dan Sabak Bernam, undi BN dilaporkan bertambah.

Tetapi setelah hampir lima bulan selepas pilihanraya, adakah orang Melayu sudah dapat merasakan kelebihan di bawah kerajaan-kerajaan yang baru. Atau adakah orang Melayu merasakan nasib mereka lebih baik ketika di bawah BN?

Pada saya semua ini akan terjawab di Permatang Pauh yang merupakan kawasan Melayu . Anwar mungkin akan menang tetapi majoriti kemenangan akan menjadi kayu pengukur sama ada orang Melayu berpuas hati dengan pentadbiran Pakatan. Bukan sahaja Pakatan pimpinan DAP di Pulau Pinang tetapi Pakatan di Perak dan Selangor.

Jika Anwar dapat menambah atau mengekalkan majoriti atau mendapat 50% dari majoriti Wan Azizah maka orang Melayu bolehlah dikira merasa selesa di bawah Pakatan. Tetapi kekalahan Anwar atau kemenangan dengan majoriti tipis bermakna banyak yang perlu dilakukan sebelum Pakatan Rakyat mendapat sokongan yang penuh dari orang Melayu.

Isu-isu kuil Rimba Jaya, Dasar Ekonomi Baru dan keris Hishamuddin Tun Hussein merupakan di antara isu-isu utama di kalangan masyarakat bukan Melayu pada pilihanraya umum bulan Mac yang baru lalu. Rata-rata orang bukan Melayu berpuas-hati dengan pentadbiran Pakatan yang baru. Tetapi tanpa sebarang isu-isu utama masyarakat Melayu, susah hendak dibaca dengan tepat sama ada orang-orang Melayu berpuas-hati atau tidak.

Jika ditanya penyokong-penyokong Pakatan, mereka berkata ya. Tetapi jika dibaca akhbar-akhbar milik BN atau ditonton saluran-saluran TV, seoalah–olah orang Melayu merasakan diri mereka sebagai rakyat kelas kedua.

Sebagai seorang pembuat dasar dan rakan-rakan lain di dalam pentadbiran negeri Selangor, kami amat memerlukan maklumbalas yang sebenarnya dari orang-orang Melayu. Jika ada yang kurang, kami akan cuba lengkapkan. Jika ada yang singkat, kami akan cuba labuhkan.

Maka di atas dasar itu, saya berharap pengundi di Permatang Pauh akan mengundi dengan bijak. Pada saya ianya bukannya pertandingan di antara Anwar dan pencabarnya. Atau Pakatan dan BN. Tetapi ianya satu “referendum”. Mengukur tahap kepuasan-hati orang Melayu.

Kita semua mahu Anwar menang. Kita tidak mahu Anwar kalah. Tetapi kita juga tidak mahu merasa selesa walhal orang Melayu tidak bersama kita. Oleh itu, kepada orang Melayu di Permatang Pauh, jadilah pengundi yang bijak. Hantarkanlah mesej anda kepada kami!

4 Ogos 2008

Sunday, July 27, 2008

KEMPEN KESEDARAN ALAM SEKITAR

Semalam, Sabtu 26 Julai, telah diadakan program makan durian bersama ADUN Chempaka sempena kempen kesedaran alam sekitar di kawasan pangspuri Taman Dagang Fasa 3.

Dua lori durian telah disediakan untuk penduduk tempatan tetapi yang datang dari seluruh DUN Chempaka. Dari pelbagai bangsa, tidak siapa yang akan menolak durian percuma. (Foto-foto akan disiarkan di masa akan datang - kabel kamera tak jumpa lagi!)

Durian hanyalah tarikan, yang penting kempen kesedaran alam sekitar. Amat sesuai bagi kawasan yang dibelenggu dengan masalah tikus! Kita boleh adakan gotong-royong tetapi jika mentaliti dan sikap penduduk tidak berubah maka keadaan akan kembali seperti sebelumnya.

Membuang sampah di dalam longkang, sampah tidak diletakkan di dalam plastik sampah tetapi dibuang sesuka hati dan kalau dibungkus di dalam plastik tetapi tidak diletakkan di dalam tong di rumah sampah boleh menggalakkan pembiakan tikus.

Penyelesaiannya adalah di tangan penduduk bukan majlis perbandaran atau pihak-pihak lain!
Seperkara lagi yang disentuh hari itu adalah gesaan supaya mengurangkan penggunaan plastik.
Penduduk digesa supaya membawa beg sendiri apabila pergi membeli-belah, jangan mengambil beg plastik yang diberikan oleh pasaraya-pasaraya atau kedai-kedai runcit. Kalau sekadar satu atau dua barang sahaja, tidak perlulah mengambil beg plastik, pegang dengan tangan sahaja!

Di antara sebabnya adalah plastik tidak akan musnah dan akan terus wujud untuk beratus-ratus tahun. Contohnya beg plastik yang dibuang ke dalam longkang tidak akan hancur seperti kertas atau kain. Ia menyekat perjalanan longkang. Sampah-sarap akan berkumpul dan akhirnya menjadi tempat pembiakan tikus atau makhluk-makhluk perosak lain.

Plastik yang dibakar juga akan mengeluarkan gas-gas yang boleh mengancam kesihatan.

Saya tidak tahu sama ada penduduk di DUN Chempaka sudah cukup bersedia dengan kempen-kempen seperti ini. Saya melihat Chempaka sebagai kawasan di pinggir bandaraya dan penduduknya terdedah kepada perkembangan-perkembangan dunia maka mereka sepatutnya lebih bersedia menerima kempen-kempen seperti dari kebanyakan kawasan-kawasan DUN di luar bandar. Tetapi adakah kita secara fizikal sahaja berada di pinggir bandaraya, beberapa minit dari KLCC tetapi masih berfikiran seperti penduduk negara-negara di dunia ketiga.

Dulu saya pernah mencari cybercafe di Pandan Indah yang boleh mencetak, yang ada “printer”, tetapi tidak banyak yang ada. Mungkin kerana komputer-komputer di sana hanya digunakan untuk bermain "game" atau "chatting" sahaja.

Kalau kita duduk di kedai-kedai mamak atau warung-warung tomyam, siaran Astro yang selalu ditonton adalah siaran sukan, hiburan atau filem-filem yang banyak tembak-tembak atau lawan-lawan atau peluk-peluk. Jarang yang hendak menonton saluran 555 (History Channel) atau saluran-saluran seperti. Kalau tiba-tiba berita disiarkan, cepat-cepat akan ditukarkan.

Berbalik kepada kempen alam sekitar, adakah ia memberi kesan? Adakah kita akan menjadi seperti negara-negara Eropah di mana ada yang mengharamkan penggunaan beg palstik? Adakah isu ini terlalu remeh? Bila agaknya PAS hendak menghantar memorandum tentang isu-isu alam sekitar yang juga boleh mengancam masa depan ummah? Bilakah PAS akan menghasilkan pakar-pakar alam sekitar?

Adakah isu ini terlalu remeh bagi kita? Atau kita belum lagi maju dari segi sikap dan pemikiran walaupun apa yang didakwa oleh Khir Toyo.

27 Julai 2008

Wednesday, July 23, 2008

FLASHBACK 8 MAC 2008

Keputusan tidak rasmi, BA menang besar!

Harakahdaily Sat Mar 08, 08 9:31:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Keputusan tidak rasmi yang diterima oleh Harakahdaily menunjukkan peningkatan prestasi BA dalam pilihan raya kali ini. -->

KELANTAN

Di Kelantan, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa telah mengesahkan rakyat Kelantan memberi mandat apabila memenangi 30 kerusi negeri.

KEDAH

Di Kedah, sehingga berita ini ditulis (9.30pm), PAS Kedah telah memenangi 15 kerusi Dun.

PULAU PINANG

Manakala di Pulau Pinang, pembangkang secara tidak rasmi telah menang 24 kerusi dan mendapat mandat untuk menubuhkan kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR

Sementara itu, di Kuala Lumpur, untuk Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo menang dengan majoriti 2,00o undi.

Di Parlimen Lembah Pantai, menurut laporan Malaysiakini, Nurul Izzah (KeADILan) menang mengalahkan Sharizat Jalil (BN).

Menurut sumber tidak rasmi, BN hanya menang di dua kawasan parlimen dan salah satu antaranya ialah Parlimen Putrajaya.

SELANGOR

Calon DAP (Dun Teratai), Jenice Lee kalah calon BN. Di Dun Cempaka (N21) Iskandar Samad (PAS) menang kalahkan BN. Kassim Abdul Aziz (Lembah Jaya) menang kalahkan BN.

Sementara di Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid (KeADILan) menang dengan majoriti lebih 2000 undi dan begitu juga di Dun Ijok.

PERAK

Di Perak, Sungai Siput, Samy Vellu kalah kepada Dr D Jeyakumar dan calon Kayveas (BN) kalah kepada BA - mks.

Monday, July 21, 2008

PAS KETINGGALAN?

PAS ketinggaalan di dalam Pakatan Rakyat?

Puas saya memikirkan dari sudut mana.

Kalau dari segi kerusi yang dimenangi memang benar tetapi itu bukan salah Pakatan Rakyat. PAS hanya menang 8 kerusi walhal PKR mendapat 15 dan DAP 13.

PAS telah bertanding 20 kerusi, PKR 20 dan DAP 15. Adakah PAS akan memenangi lebih kerusi jika tidak berada di dalam Pakatan? Adakah salah Pakatan yang membuat PAS gagal mendapatkan sebarang kerusi di Sabak Bernam, Tg. Karang atau Sg. Besar?

Dalam kerajaan pula bagaimana? PAS dengan 8 kerusi mendapat 3 orang Exco sama dengan DAP yang ada 13 kerusi. Fikirkan!

Ahli majlis dalam PBT? Memang benar PAS ketinggalan berbanding dengan DAP dan PKR. Tetapi menurut rakan-rakan lain dalam Pakatan, ini sepadan dengan kerusi yang dimenangi. PAS sudah tentu akan berkata mereka mempunyai jentera yang lengkap, mempunyai ahli di setiap ceruk negeri Selangor oleh itu wajar diberikan jumlah ahli majlis yang lebih. Mungkin ada benarnya hujjah ini kerana jumlah ahli-ahli majlis dari NGO lebih dari PAS yang merupakan komponen Pakatan. Mungkin kalau begitu jika hendak mencari PACA, mintalah tolong dari NGO bukan dari PAS lagi.

Dari segi Exco pula bagaimana? PAS ada 3 Exco tapi jika ada ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemilihan mereka (ada yang mengatakan mereka “orang Hasan Ali”) maka mereka sudah tentu akan mengatakan PAS tidak mempunyai sebarang Exco!

Di negara-negara maju, portfolio-portfolio terpenting di dalam kerajaan selalunya adalah kesihatan, perumahan dan pendidikan (Health, Housing & Education). Di Selangor, dua dari tiga portfolio ini dipegang oleh PAS. Saya menjaga perumahan dan Dr. Halimah pula pendidikan.

Tetapi yang paling penting, hal ehwal agama di bawah PAS. Tetapi ada yang mempertikaikannya kemajuan agama Islam di bawah Pakatan, walaupun baru 4 bulan lebih di bawah Pakatan. Walaupun yang mempertikaikan itu dapat berceramah atau mungkin juga berkhutbah di masjid dan surau. Sesuatu yang mustahil sebelum 8 Mac.

Kemenangan 8 Mac telah membebaskan surau dan masjid walaupun kebanyakan DUN-DUN yang dimenangi mempunyai majoriti bukan Islam. Ada yang berkata masjid dan surau dibebaskan oleh orang-orang Cina dan India. Mungkin ada yang marah kepada mereka yang bercakap begini tetapi ini realitinya. Di DUN saya kita kalah di kampung Melayu tetapi menang besar di kampung baru Cina.

Implikasi kemenangan ini adalah :

1. Penceramah-penceramah yang sebelum ini dilarang memberi kuliah di masjid dan surau boleh berbuat demikian sekarang walaupun perlu mendapat tauliah dahulu.
2. Para jemaah tidak lagi tidur ketika khutbah Jumaat akibat dari khutbah-khutbah yang tidak bermaya dan mengampu kerajaan Barisan Nasional.
3. Peranan masjid dan surau telah diperkasakan. Tidak lagi sepi kecuali waktu-waktu solat tetapi telah diadakan pelbagai program seperti program-program kesihatan dan motivasi.
4. Banyak masjid dan surau telah memberi ruang kepada AJK-AJK baru yang cenderung kepada perjuangan Islam.
5. Zakat tidak lagi dikuasai oleh golongan-golongan tertentu tetapi benar-benar dimanfaatkan untuk rakyat. Saya terkejut begitu cepat duit zakat dapat dikeluarkan apabila telah berlaku kebakaran di Kg. Pandan, RM38,000 tunai dalam masa kurang dari 24 jam.

Ini berlaku di saat dan ketika belum ada lagi arahan untuk menukar jawatankuasa masjid dan surau. Mungkin ini berlaku di kawasan-kawasan yang mempunyai wakil rakyat tetapi dengan kerajaan negeri milik Pakatan, tidak ada sebab kenapa ahli-ahli PAS tidak bertindak dengan lebih pro-aktif bagi kawasan-kawasan yang kita kalah. Di kawasan-kawasan yang PAS kalah, kawasan-kawasan yang majoritinya pengundi Islam, usaha-usaha dakwah ini patut dilipat ganda. Tumpukan kepada peluang-peluang yang terbuka kepada kita bukan kepada perkara-perkara yang belum lagi kita perolehi.

Jadi ketinggalan macam mana? Berbalik kepada PAS tidak dapat apa-apa, apa sebenarnya yang diperolehi PKR dan DAP?

Apa yang DAP dapat lebih dari PAS? Kilang haram? Tokong yang lebih besar? Belum ada lagi keputusan.

Apa yang PKR dapat lebih dari PAS? Memang benar pengurus pasukan bolasepak Selangor diberikan kepada orang PKR tetapi adakah itu yang dikejar? Pengarah-pengarah GLC? Belum ada lagi perlantikan walaupun ianya patut disegerakan sebelum puak-puak UMNO di dalamnya melelong segala hartabenda.

Memang benar terdapat perkara-perkara yang mengguris hati ahli-ahli PAS. Tetapi adakah sebab itu kita lari kepada UMNO? Bukankah UMNO juga pernah menaja konsert lebih merosakkan dari Mas Idayu dan Ella? Bukankah UMNO yang meluluskan segala lesen-lesen arak di seluruh Negara?

Kita peringkat negeri Selangor terdapat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh 4 orang ahli dari setiap parti. Saya tidak berada di dalamnya.

Di dalam jawatankuasa ini, semuanya sama taraf. Menurut DAP, tidak ada gelaran “YB”, semuanya “Saudara”. Jawatankuasa ini yang menentukan polisi kerajaan atau menentukan agenda kerajaan.

Tetapi mentadbir negeri bukan seperti mentadbir Kawasan atau Cawangan. Ianya terlalu luas. Terdapat begitu banyak jentera kerajaan dan pegawai kerajaan yang terlibat. Kita baru empat bulan. Sepertimana Kelantan ketika baru empat bulan memerintah, banyak cabaran yang perlu dihadapi


Hanya diperlukan sedikit kesabaran. Bukan dari orang Selangor tetapi dari seluruh warga PAS dari seluruh negara. Walaupun susah sebab tahap kesabaran kita berbeza-beza, contohnya orang Kelantan memang penyabar manakala orang Terengganu, menurut isteri saya yang berasal dari Terengganu, agak gopoh.

Saya amat berharap pimpinan PAS tidak akan bertindak berdasarkan laporan-laporan yang tidak tepat dari Selangor. Saya bimbang jika laporan-laporan ini diberikan oleh mereka yang sememangnya cenderung kepada UMNO, maka yang baik juga dikatakan buruk. Saya takut sebab laporan yang tidak tepat dari Selangor, PAS di peringkat tertinggi akan membuat keputusan untuk mendekati UMNO dan BN.

Saya mohon maaf jika penilaian saya ini tidak tepat. Saya hanya mempunyai pengalaman berada di kerajaan Pakatan Rakyat. Adakah kedudukan PAS lebih baik di dalam BN? Itu saya tidak ada pengalaman. Tanyalah mereka yang pernah berada di dalam kerajaan BN seperti Dato’ Mustafa Ali yang pernah menjadi Timbalan Menteri ketika PAS berada di dalam BN.

22 Julai 2008