Saturday, October 31, 2020

BAB 3 - BELAJAR BERENANG DI LAUT DALAM.

Dari London kami pelajar-pelajar baru telah menaiki bas ke Southampton. Di sana pelajar-pelajar senior telah menunggu kami. Tidak ada sebarang majlis sambutan yang khusus. Kami hanya dibahagi-bahagikan kepada rumah-rumah sewa yang telah disediakan untuk kami. Pelajar-pelajar senior telah mencarikan rumah-rumah dan pembahagian telah dibuat secara rambang. Selepas beberapa bulan terdapat mereka yang merasakan tidak sesuai dengan kediaman mereka dan telah berpindah.

Ada di antara pelajar-pelajar baru ditempatkan bersama pelajar-pelajar baru. Ada yang ditempatkan bersama pelajar-pelajar senior. Ada yang ditempatkan di sebuah rumah. Ada yang terpaksa berkongsi bersama tuan rumah. Ada yang ditempatkan di atas kedai. Saya dan 3 lagi rakan telah ditempatkan di atas kedai menjual daging beralamat No. 51, Derby Road.

Kebanyakan pemilik rumah-rumah yang kami sewa adalah berketurunan Pakistan. Rumah-rumah tersebut adalah berhampiran di antara satu sama lain. Kami ditempatkan di kawasan yang didiami oleh ramai masyarakat Asia dan Afrika yang dikenali sebagai Nicholstown. Senior kami telah memilih kawasan tersebut kerana ia hanya 1 km dari kolej kami di St Mary's Street. Terdapat banyak kedai-kedai orang Asia dan satu kedai Pakistan yang besar yang menjual daging halal serta makanan orang-orang Asia termasuk orang-orang Malaysia. Kedai tersebut, International Foods, menjadi tumpuan pelajar-pelajar Malaysia dari seluruh Southampton.

Di kawasan tersebut juga terdapat sebuah masjid kecil yang diuruskan oleh masyarakat Pakistan di sana. Ia terletak di sebuah rumah teres 2 tingkat di mana tingkat atas digunakan untuk ruang solat. Pada bulan Jun 2016 saya telah ke Southampton dan mendapati terdapat ramai orang-orang Somalia yang tinggal di situ. Saya telah diberitahu oleh penduduk tempatan bahawa masjid itu juga telah menjadi masjid masyarakat Somalia. Terdapat 2 masjid baru di kawasan tersebut dan saya telah bersolat di salah satu masjid itu.

Setiap pagi kami akan berjalan kaki ke kolej. Ia hanya mengambil masa 15 hingga 30 minit. Kami amat menjaga masa kerana orang Inggeris amat teliti dengan masa. Pada hari pertama kami mendaftar di kolej, ramai yang datang lewat. Kami telah dimarahi oleh tutor yang menguruskan pandaftaran tersebut. Tutor tersebut, Mrs Wright, yang akan mengajar kami Physics betul-betul marah. Selepas itu kami memahami akan budaya orang Inggeris tentang masa. Tidak ada "janji Melayu" seperti di Malaysia.

Pelajar-pelajar Malaysia di tahun 1 telah dibahagikan ke dalam 2 kelas. Selain dari pelajar-pelajar Malaysia, kelas di mana saya ditempatkan terdiri dari pelajar-pelajar tempatan, Zimbabwe-Rhodesia dan Uganda. Ketika itu Zimbabwe belum lagi diperintah oleh rakyat berkulit hitam ( blacks ) dan negara itu dikenali sebagai Zimbabwe-Rhodesia. Terdapat ramai pelajar-pelajar luar negara di kolej itu dan yang paling ramai selain dari pelajar-pelajar Malaysia adalah dari Zimbabwe-Rhodesia, Brunei dan negara-negara Arab.

Southampton adalah satu bandaraya di selatan England 110 km dari London. Ia telah mendapat status bandaraya ( city status ) pada tahun 1965. Jumlah penduduk kawasan majlis bandaraya ( city council ) menurut bancian 2017 adalah sekitar 250,000. Sementara jumlah penduduk di sekitar kawasan-kawasan di sekelilingnya ( urban area ) adalah sekitar 850,000.

Dunia di luar England mungkin mengenali Southampton kerana pasukan bolasepak mereka yang berjaya ketika itu. Pada bulan Mac 1979, mereka telah memasuki perlawanan akhir Piala Liga ( sekarang dikenali sebagai Carabao Cup ) tetapi telah kalah kepada juara Liga, Nottingham Forest 2-3. Tiga tahun sebelum itu dalam tahun 1976 ketika masih kelab divisyen 2 mereka telah mengalahkan Manchester United 1-0 untuk memenangi Piala FA. Walaupun Southampton adalah satu kelab kecil berbanding dengan Liverpool atau Arsenal namun pengurus mereka Lawrie McMenemy sejak 1973 merupakan pengurus bolasepak yang dihormati di England dan pernah dipertimbangkan untuk menjadi pengurus pasukan England.

Southampton juga terkenal kerana kapal RMS Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912 di Lautan Atlantik dan mengorbankan 2,224 nyawa. Kapal tersebut telah bertolak dari Southampton ke New York pada 10 April sebelum tenggelam. Dari 908 anak kapal, 724 adalah dari Southampton. Sementara dari 685 anak kapal yang meninggal dunia, 549 adalah dari bandaraya tersebut.

Bilangan penduduk Asia dan Afrika di Southampton adalah tidak ramai seperti di pusat-pusat perindustrian seperti di Midlands di mana mereka dari negara-negara Komanwel di bawa masuk untuk bekerja. Peratusan orang bukan kulit putih mungkin sekitar 10 peratus sahaja ketika itu. Bancian tahun 2011 menunjukkan hanya sekitar 13.6 peratus adalah orang bukan kulit putih.

Walau bagaimanapun penduduk Asia dan Afrika ini akan bertumpu di kawasan tertentu seperti di tempat kami tinggal. Ini menjadikan kawasan tersebut seolah-olah "Little Pakistan" atau "Little Jamaica". Ini mungkin kerana harga rumah di sana adalah rendah atau kadar sewa yang murah. Selain dari itu mereka akan rasa selamat di kalangan "orang-orang mereka". Ketika itu masih terdapat insiden-insiden perkauman di United Kingdom.

Senior-senior kami membuat pilihan yang tepat apabila mendapatkan kami rumah-rumah sewa di kawasan orang Asia. Bukan sahaja ia berhampiran dengan kolej kami dan terdapat kedai-kedai menjual barangan halal tetapi kami merasa selamat di kalangan orang-orang Asia. Sepanjang 2 tahun saya di Southampton, tidak ada kes pelajar Malaysia diserang oleh orang kulit putih seperti oleh kumpulan "skinhead" yang rasis.

Pengalaman di Southampton merupakan kali pertama kami tinggal bersendirian. Walaupun ramai dari kami adalah dari sekolah berasrama penuh namun keadaannya adalah berbeza. Di asrama segala-galanya diatur untuk kami. Makan diatur, waktu belajar diatur dan waktu main pun diatur. Tetapi sekarang kami perlu menguruskan diri kami sendiri. Tidak ada sesiapa yang akan membantu. Kawan-kawan dan senior sibuk dengan urusan masing-masing. Pegawai-pegawai dari Jabatan Penuntut Malaysia ( MSD ) terletak jauh di London. Sepanjang saya di Southampton hanya sekali Ustaz dari MSD yang datang untuk bertemu pelajar-pelajar A-Levels. Saya tidak menyalahkan beliau kerana terdapat berpuluh-puluh bandar di United Kingdom yang terdapat pelajar-pelajar Malaysia.

Ia juga kali pertama kami perlu menguruskan kewangan kami sendiri. Pada mulanya kami menerima 145 pound sebulan. Duit ini adalah untuk membayar sewa rumah, makan minum, mencuci pakaian, tambang bas dan segala keperluan sebagai seorang pelajar.

Untuk menjimatkan perbelanjaan, kami serumah berkongsi memasak. Kami mengambil giliran untuk menyediakan makan malam. Kalau berkongsi bersama rakan-rakan dari Utara, makan kari setiap hari! Sarapan pagi dan makan tengah hari adalah urusan masing-masing. Tetapi terdapat kawan-kawan yang rajin yang menyediakan sarapan untuk rakan-rakan serumah. 

Kami perlu membuat bajet untuk memastikan elaun kami mencukupi hingga ke akhir bulan. Ada yang menghadapi masalah kewangan dan terpaksa berjumpa dengan Pengurus Bank untuk mendapatkan "advance" atau "overdraft". Disiplin kewangan adalah amat penting.

Selain dari kewangan yang perlu kami rancang, menguruskan masa adalah juga satu cabaran. Jika di asrama, jadual kami ditentukan oleh loceng tetapi  sekarang kami menentukan sendiri jadual kami. Waktu untuk belajar, waktu untuk menonton televisyen, waktu untuk berjalan-jalan ke rumah kawan, waktu bermain bola, waktu membeli-belah adalah ditentukan oleh kami sendiri.

Jika mahu menonton televisyen sepanjang malam pun tidak ada yang akan melarang. Jika mahu berjalan ke rumah kawan hingga ke waktu Subuh juga boleh. Nasib baik kedai-kedai di pusat bandaraya Southampton ditutup pada jam 5.00 petang dan tidak ada kedai Mamak seperti di Malaysia hari ini.

Ketika itu kami baru berumur 18 tahun dan selain dari perlu menguruskan hidup kami sendiri, kami juga perlu berhadapan dengan satu budaya yang asing. Ada di antara kami yang mengalami kejutan budaya. Bagaimana untuk menyesuaikan diri dalam satu masyarakat yang berbeza dari masyarakat di Malaysia. 

Terdapat 2 pilihan sama anda mencuba atau anda "menutup pintu serapat-rapatnya" iaitu menghadkan hubungan anda dengan masyarakat. Ia mudah dilakukan, anda hanya perlu pergi ke kolej dan balik ke rumah, makan, menonton televisyen, belajar dan esok pagi pergi semula ke kolej. Sekali-sekala anda pergi ke kedai untuk membeli barangan keperluan. Walau bagaimanapun sekiranya begitu tidak banyak yang anda dapat pelajari ketika di luar negara. Ilmu itu bukan hanya dipelajari di bilik-bilik kuliah atau makmal. Terdapat nilai-nilai masyarakat di England yang boleh dicontohi. Contohnya sikap mereka terhadap masa.

Adakah menghantar pelajar-pelajar ke luar negara pada umur yang muda itu satu idea yang baik? Saya amat bersetuju dengan program ini. Sekiranya mereka dapat melalui cabaran-cabaran dalam hidup pada usia yang muda maka sudah tentu ia akan dapat menghasilkan mereka yang boleh melalui apa sahaja cabaran di dalam hidup. Mereka yang berjiwa kental dan tidak akan dengan mudah mengaku kalah. Ianya bagai belajar berenang di lautan yang dalam. Jika anda membuat kesilapan anda akan hilang ke dasar lautan dan tidak akan dijumpai tetapi jika anda berjaya anda akan menjadi seorang perenang yang hebat.

BAB 8 - DI ANTARA TOPKAPI DAN DOLMABAHCE.

Istanbul penuh dengan peninggalan-peninggalan dari zaman kegemilangan Daulah Uthmaniyah. Sebagai seorang pelajar Senibina ketika itu saya melihat apa yang pelancong-pelancong biasa tidak dapat melihat atau tidak perasan. Saya tidak hanya kagum dengan rekabentuk atau hiasan tetapi juga kagum dengan struktur dan teknologi yang digunakan oleh arkitek dan jurutera Uthmaniyah.

Contohnya Masjid Biru yang mungkin tidak sebesar Masjid Negeri Shah Alam. Masjid Biru hanya boleh memuatkan 10,000 orang walhal Masjid Negeri seramai 24,000 orang. Ketinggian kubah Masjid Biru adalah 141 kaki dan tinggi menaranya adalah 210 kaki. Sementara ketinggian kubah Masjid Negeri adalah 350 kaki dan tinggi menaranya adalah 467 kaki. Walau bagaimanapun Masjid Biru siap dibina dalam tahun 1616 dan Masjid Negeri dalam tahun 1988.

Masjid Biru siap dibina 372 tahun sebelum Masjid Negeri. Bayangkan negara kita pada tahun 1616. Adakah telah terdapat bangunan-bangunan sebesar Masjid Biru di negara kita ketika itu?

Arkitek masjid ini adalah Sedefkar Mehmed Agha yang merupakan anak didik arkitek dan jurutera Uthmaniyah yang terkenal, Mimar Sinan. Mereka yang mengkaji senibina Islam pasti akan mengenali beliau. Beliau dilahirkan dalam tahun 1488 dan meninggal dunia dalam tahun 1588. Sepanjang 50 tahun perkhidmatan beliau, beliau telah terlibat dengan sekurang-kurangnya 374 bangunan dan struktur termasuk 92 masjid, 52 masjid kecil, 55 madrasah dan 6 hospital.

Nama sebenar Masjid Biru adalah Masjid Sultan Ahmad atau Sultan Ahmet Camii kerana ia dibina ketika pemerintahan Sultan Ahmad 1. Ia mendapat gelaran Masjid Biru bukan kerana ia bewarna biru. Dari luar ia berwarna kelabu tetapi gelaran itu diberikan kerana jubin-jubin ( tiles ) di dalamnya yang berwarna biru. 

Masjid ini dihiasi dengan lebih 20,000 jubin yang dihasilkan di Iznik, sebuah bandar di Turki yang terkenal dengan pengeluaran jubin dan tembikar. Jubin-jubin di masjid itu dihasilkan dengan tangan iaitu dilukis dengan tangan. Tidak ada dua jubin di situ yang serupa. Setiap jubin adalah unik. Bayangkan berapa orang pelukis yang terlibat untuk menghasilkan jubin-jubin tersebut. Tidak ada mesin pencetak jubin automatik ketika itu.

Saya kagum dengan teknologi dan kepakaran Uthmaniyah yang dapat membina sebuah bangunan sebesar itu pada abad ke 17. Ketika itu tidak ada peralatan moden seperti hari ini. Bagaimana mereka boleh mengangkat bongkah-bongkah batu lebih dari 100 kaki tinggi? Mereka tidak memiliki kren seperti hari ini.

Selalunya saya tidak hanya akan solat di masjid itu tetapi akan duduk lama di situ untuk menikmati keindahan senibina dan kehebatan teknologi kerajaan Islam Uthmaniyah itu.

Sebelum sampai di Istanbul saya kerap membaca tentang kisah di zaman Uthmaniyah apabila mereka membina masjid ia tidak hanya masjid tetapi bersekali dengan hospital dan pusat perniagaan seperti bazaar dan pasar. Masjid mereka adalah teras kepada masyarakat. Ia bukan terletak jauh dari masyarakat dan hanya satu perhiasan. Tetapi ia menjadi tempat tumpuan masyarakat. Di antara misi saya ke Istanbul adalah untuk melihat sendiri peranan sebuah masjid ketika zaman Khilafah Islam.

Masjid Biru seperti kebanyakan masjid Uthmaniyah adalah sebuah kompleks atau "kulliye" yang bukan sahaja terdapat masjid sebagai tempat solat berjemaah tetapi kemudahan-kemudahan masyarakat yang lain. Pada asalnya terdapat madrasah ( sekolah ) dan hospital pemulihan ( hospice ) di situ. Terdapat masjid-masjid lain yang bukan sahaja terdapat madrasah dan Dar Al-Shifa ( hospital atau klinik ) tetapi juga dapur tempat memasak, tempat membakar roti, tempat mandi wap ( Turkish Bath ) dan bangunan-bangunan untuk badan-badan kebajikan memberi khidmat kepada rakyat. 

Budaya khidmat masyarakat ini bukan baru di dalam Islam tetapi sejak dari zaman Uthmaniyah dan sudah tentu sebelum itu. Selain dari itu terdapat apa yang dipanggil "Imaret" atau dalam Bahasa Inggeris "Soup Kitchen" di mana makanan diberikan secara percuma kepada golongan tertentu dan mereka yang tidak bernasib baik. "Imaret" ini dibina di wilayah-wilayah Uthmaniyah dari abad ke 14 hingga 19 iaitu sebelum kejatuhan Constantinople.

Kadang-kala ketika saya di masjid itu selepas solat Maghrib pemikiran saya akan merayau-rayau. Saya suka duduk di tingkap yang mengadap kiblat memandang ke arah selatan, ke Laut Marmara. Kadang-kala saya terfikir mungkin beginilah Khalifah-Khalifah di zaman lampau duduk mengadap Makkah yang berada lebih 3,000 km dari Istanbul tetapi di bawah penguasaan beliau. 

Tetapi sayang tidak ada lagi Khalifah Islam. Umat Islam hari ini berpecah. Di Malaysia, usaha untuk menyatukan umat Islam difitnah. Musuh-musuh Islam mahu melihat umat Islam berpecah agar mereka mudah diperhambakan. Yahudi hanya dapat menguasai Palestin setelah Daulah Uthmaniyah tumbang pada tahun 1924.

Bentuk senibina bangunan sesuatu pemerintahan boleh memberi petunjuk kepada keadaan pemerintahan tersebut, kuat atau lemah. Ia juga benar untuk kerajaan Uthmaniyah ini. Terdapat 2 istana yang saya lawati. Pertama adalah Istana Topkapi dan satu lagi adalah Istana Dolmabace.

Topkapi atau Topkapi Sarayi mula dibina dalam tahun 1459. Enam tahun selepas Constantinople jatuh ke tangan umat Islam dan ditukar namanya kepada Istanbul. Ia terletak bertentangan dengan Masjid Biru dan di antara keduanya adalah Hagia Sophia yang terkenal itu. 

Pada abad ke 15 dan 16, istana ini telah menjadi pusat pentadbiran kerajaan selain dari kediaman Khalifah. Selepas abad ke 17 istana ini menjadi kurang penting kerana telah dibina istana-istana lain mengadap Selat Bosphorus. 

Istana kedua yang saya lawati adalah Istana Dolmabahce atau Dolmabahce Sarayi yang terletak lebih kurang 7 km atau setengah jam dari Topkapi mengadap Selat Bosphorus. Dolmabahce telah dibina ketika pemerintahan Sultan Abdul Majid 1. Pembinaan telah bermula pada 1843 dan berakhir pada 1856.

Dolmabahce amat berbeza dari Topkapi kerana istana itu adalah setanding istana raja-raja Eropah seperti di Perancis yang begitu mewah. Kos pembinaan adalah 35 tan emas atau nilainya hari ini adalah 1.5 bilion Dollar US. Kos ini adalah suku dari pendapatan dari cukai kerajaan ketika itu. Di antara sumber pembiayaan adalah hutang dari luar. Pembinaan Dolmabahce ini dikatakan di antara sebab ekonomi kerajaan Uthmaniyah menjadi parah.

Enam Khalifah tinggal di situ sejak 1856 sistem sehingga sistem Khilafah dihapuskan dalam tahun 1924. Selepas itu istana ini diambilalih oleh Republik Turki yang baru dibentuk.  Ataturk telah menggunakan Dolmabahce sebagai kediaman musim panas. Beliau telah menghabiskan hari-hari akhir beliau di situ sebelum meninggal dunia dalam tahun 1938.

Ketika Dolmabahce dibina kerajaan Uthmaniyah sedang mengalami zaman kemerosotan. Saya boleh mengagak gaya hidup Khalifah ketika itu berdasarkan istana yang begitu mewah itu dan tidak hairan zaman tersebut merupakan zaman kejatuhan Daulah Uthmaniyah.

Topkapi yang tidak semewah Dolmabahce dibina pada zaman kegemilangan Uthmaniyah. Ketika itu mereka berjaya membuka wilayah-wilayah baru. Kemungkinan besar tumpuan utama di zaman itu adalah untuk mengukuhkan dan meluaskan kerajaan.

Pada abad ke 15 dan 16, selain dari mengalahkan Empayar Byzantine ( Empayar Rom Timur ) dan menawan Constantinople ( Istanbul ), kerajaan Uthmaniyah telah menawan negara-negara dan wilayah-wilayah seperti Serbia, Bosnia, Albania, Hungary, Mesir, Tunisia, Bucharest ( Romania ), Crimea, Muscat ( Ditawan dari Portugis ) dan Tripoli ( Libya ).

Pada abad ke 19 dan 20 ketika serta selepas Dolmabahce dibina mereka telah kehilangan Algeria, Romania, Bulgaria, Serbia, Cyprus, Tunisia, Mesir, Libya dan Albania.

Walaupun pada akhir abad ke 19 telah terdapat usaha-usaha untuk memulihkan kedudukan kerajaan seperti melalui program Tanzimat namun ia tidak berjaya sepenuhnya. Tidak hairan Kerajaan Uthmaniyah ini tumbang 68 tahun selepas siapnya Dolmabahce.

BAB 7 - DIHALAU DARI MASJID.

Saya telah tiba di Istanbul dalam tahun 1989 beberapa hari sebelum Hari Raya Eidul Adha. Ia merupakan peluang untuk merasai suasana Hari Raya di Turki kerana sebelum itu pernah berhari-raya di England selain dari di Malaysia.

Sehari sebelum Hari Raya saya telah bertanya kepada seorang ahli jemaah di Masjid Sultan Ahmad atau Masjid Biru jam berapa solat sunat Hari Raya keesokan hari. Saya terkejut apabila beliau berkata selepas solat Subuh. Selalunya di Malaysia malah di England ianya di antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi. Saya fikir mungkin beliau tersilap kerana ketika itu Subuh masuk di Istanbul pada lebih kurang jam 4.00 pagi. Matahari naik atau syuruk pula adalah lebih kurang jam 6.00 pagi. Adakah solat sunat Hari Raya pada jam 6.00 pagi? Mustahil fikir saya.

Tetapi betul apa yang saya diberitahu. Sejurus selepas solat Subuh mereka terus memulakan solat Hari Raya. Mungkin juga kerana mereka akan menunaikan ibadah korban selepas itu.

Satu perkara yang menarik selepas solat adalah ramai dari ahli-ahli jemaah yang berkumpul di medan di hadapan masjid itu dan membuat bulatan untuk bersalam-salaman. Jika tidak silap saya beratus-ratus ahli kariah bersalam-salaman. Saya juga turut serta. 

Beberapa hari sebelum itu saya pernah dihalau dari masjid tersebut dan hanya. Terdapat pelancong-pelancong dari Jepun yang berada di Istanbul ketika itu. Mungkin mereka fikir saya seorang dari mereka kerana ketika itu saya lebih cerah setelah hampir 10 tahun tinggal di England. Oleh yang demikian pada Hari Raya saya telah memakai kurta ala Tabligh supaya jelas saya seorang Muslim.

Satu perbezaan yang saya dapati di Masjid Biru ketika itu adalah selepas solat fardhu berjemaah mereka akan solat sunat Ba'diyyah terlebih dahulu sebelum berzikir dan berdoa. Ahli jemaah akan diberi peluang untuk solat sunat terlebih dahulu.

Ahli jemaah juga tidak meninggalkan kasut atau selipar mereka di luar masjid. Mereka tetap akan menanggalkannya tetapi akan membawanya ke dalam masjid dan akan meletakkannya di rak khas yang berada di antara saf-saf. Mungkin cuaca di sana kering oleh itu kasut dan selipar mereka tidak mengotorkan.

Selepas solat saya telah pulang ke tempat penginapan tetapi satu perkara yang luarbiasa berlaku. Luarbiasa bagi kita orang Malaysia tetapi mungkin tidak bagi orang Turki.

Dalam perjalanan balik saya terserempak dengan seorang wanita tua yang memegang seekor kambing dan memanggil-manggil orang ramai. Rupa-rupanya beliau memanggil orang untuk menyembelih kambing itu. Orang ramai pun berkerumun dan kambing itu pun disembelih. Ianya dilakukan di atas tanah lapang di hadapan sebuah kedai. Bukan di tempat yang khusus. Di tengah-tengah bandaraya Istanbul. Sungguh mudah mereka melaksanakan ibadah korban fikir saya.

Pengaruh Mustafa Kamal Ataturk, Presiden pertama Republik Turki, kelihatan sungguh kuat ketika itu. Di hampir setiap kedai, pejabat atau bank terdapat gambar Ataturk. Ada juga yang mempamirkan patung kepala Ataturk.

Saya sempat berbual-bual dengan penduduk tempatan ketika di Istanbul. Peristiwa yang tidak boleh saya lupakan adalah ketika singgah untuk solat di sebuah masjid kecil. Kecil untuk Turki tetapi besar untuk Malaysia. Jarak di antara masjid-masjid di sana adalah begitu hampir. Terdapat begitu banyak masjid. Sudah tentu kebanyakan masjid-masjid itu dibina di zaman Uthmaniyyah bukan di zaman Ataturk atau pengganti beliau.

Di masjid yang saya maksudkan saya telah sempat berbual dengan seorang penduduk tempatan dan seorang warganegara Yugoslavia yang beragama Islam. Ketika itu belum lagi Perang Balkan dan saya tidak terfikir untuk bertanya bangsa warga Yugoslavia tersebut. Saya tidak tahu kewujudan bangsa Bosnia, Croatia, Serbia dan bangsa-bangsa lain di negara Balkan itu.

Seorang kawan saya di England pernah bercerita tentang pengalaman beliau mengembara ke Yugoslavia. Beliau telah berkawan dengan seorang Muslim tempatan sehingga beliau mempercayainya. Satu hari beliau telah dibawa balik ke rumahnya dan beliau telah menunjukkan kepada kawan saya buku-buku tentang Islam oleh tokoh-tokoh Islam terkenal yang beliau sorokkan selama ini. Walaupun Yugoslavia di bawah cengkaman komunis tetapi semangat Islam tidak boleh dipadamkan.

Penduduk tempatan yang saya temui di masjid kecil itu adalah Muezzin bagi masjid tersebut. Tetapi saya terkejut apabila beliau melaungkan azan. Beliau tidak menyebut "Allahu Akbar" tetapi "Allahu Ach Bar". 

Sedih mengenangkan nasib umat Islam di Turki ketika itu. Sebelum Ataturk berkuasa Bahasa Turki telah menggunakan skrip Arab ( tulisan Jawi ) tetapi di bawah beliau ia telah ditukar kepada skrip Latin ( tulisan Rumi ). Tindakan ini dikatakan menjadi punca ramai rakyat Turki tidak boleh mengaji Al-Quran.

Kita di Malaysia mengenali Ataturk sebagai individu yang bertanggungjawab menghapuskan Khilafah Islam yang telah wujud lebih 500 tahun. Kita banyak membaca buku-buku dan artikel- artikel tentang polisi-polisi beliau yang memberi kesan buruk kepada agama Islam dan umat Islam di Turki. Selain dari menukar Bahasa Turki dari skrip Arab kepada skrip Latin, Ataturk mahu menjadikan Turki sebuah negara Eropah yang moden. Turki telah bertukar menjadi sebuah negara sekular. 

Sebenarnya beliau seperti "hidung tak mancung pipi tersorong-sorong" kerana walaupun Ataturk telah "membuang Islam" namun Eropah masih enggan menerima Turki sebagai sebahagian dari mereka. Hingga ke hari ini Turki masih tidak diterima sebagai ahli European Union ( EU ) atau Kesatuan Eropah. Mereka telah memohon berkali-kali tetapi gagal. Bekas negara-negara komunis seperti Bulgaria, Poland, Romania dan Republik Czech telah diterima tetapi Turki tidak.

Turki bukan sebuah negara yang miskin. Anggaran GDP Turki bagi 2020 ada US$2.464 trilion. Walhal GDP Bulgaria adalah US$180.170 bilion, Poland  US$1.353 trilion, Romania US$525.051 bilion dan Republik Czech US$432.346 bilion. Oleh itu, jelas Turki ditolak bukan kerana faktor ekonomi. 

Memandangkan perkara-perkara yang telah dilakukan oleh Ataturk, umat Islam dari luar Turki mungkin terkejut melihat gambar dan patung Ataturk di mana-mana ketika itu. Saya memang terkejut dan hati saya bertanya adakah rakyat Turki benar-benar sayang kepada Ataturk? Atau mereka terpaksa kerana takut kepada pihak berkuasa? 

Justeru saya telah membaca sedikit tentang Ataturk untuk menjawab persoalan adakah rakyat Turki menyanjung Ataturk? Saya dapati sejarah Turki mengangkat beliau sebagai wira. Kita mungkin nampak Ataturk sebagai pengkhianat tetapi sejarah yang ditulis mengiktiraf beliau sebagai penyelamat.

Selepas Perang Dunia Pertama ( 1914 - 1918 ) berakhir dan pakatan Jerman, Austria-Hungary dan Daulah Uthmaniyah telah kalah maka beberapa perjanjian telah ditandangani bersama pakatan negara-negara yang menang yang diketuai oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat. Di antaranya adalah Perjanjian Sevres ( 10 Ogos 1920 ) yang melihat wilayah-wilayah Uthmaniyah sama ada di Timur Tengah atau di Anatolia dan Thrace ( Republik Turki hari ini ) dibahagi-bahagikan di antara negara-negara yang menang. Tentera-tentera British, Perancis dan Itali telah menduduki Turki. Greek telah mengambil kesempatan untuk merampas wilayah-wilayah Turki yang mereka idam-idamkan selama ini. Sementara bangsa Armenia cuba mewujudkan negara mereka sendiri.

Ketika itu muncul satu gerakan untuk menghalau tentera-tentera asing dari Turki yang mencetuskan Peperangan Kemerdekan Turki. Ataturk merupakan tokoh utama gerakan ini. Akhirnya telah ditandatangani Perjanjian Lausanne pada 14 Julai 1923 yang melihat kuasa-kuasa asing meninggalkan Turki.

Sebelum itu dalam tahun 1915 ketika Perang Dunia Pertama, tentera-tentera British termasuk dari tanah-tanah jajahan mereka dan Perancis telah cuba menawan Istanbul dengan mendaratkan tentera di Semenanjung Gallipoli ( Gelibolu dalam Bahasa Turki ). Mereka telah gagal dan dianggarkan 46,000 tentera mereka terkorban. Ataturk juga terlibat di Gallipoli dan kempen ini telah mengangkat nama beliau sebagai wira.

Mungkin itu sebabnya Ataturk berjaya menghapuskan Khilafah dan menjadikan Turki sebuah negara sekular. Di mata rakyat Turki ketika itu beliau adalah penyelamat negara mereka dari penjajahan asing. Mungkin juga ini adalah satu perancangan Barat. Memusnahkan Islam dari dalam. Modus operandi yang diulang berkali-kali sepanjang sejarah dunia. 

BAB 6 - BEG DIGELEDAH DI ISTANBUL.

Saya amat tertarik dengan negara Turki kerana sejarahnya yang berkait dengan Daulah Uthmaniyah yang merupakan khilafah Islam yang terakhir. Daulah ini yang dikenali Barat sebagai "Ottoman Empire" telah tumbang selepas Perang Dunia Pertama hasil perancangan Barat dan Yahudi.

Ketika saya tinggal di UK pada tahun-tahun 80'an saya dapat melihat kesatuan negara-negara Barat yang begitu padu. Sama ada NATO (North Atlantic Treaty Organisation) atau  EC (European Community) mereka bergerak senada dan ini merupakan kekuatan sumber mereka. Walhal negara-negara Islam pula berpecah dan bercakaran. Ketika itu saya selalu terfikir alangkah indahnya jika negara-negara Islam juga dapat bergerak senada seperti itu.

Tetapi saya tidak melihat OIC (Organisation of Islamic Countries) sebagai pencetus kepada perpaduan negara- negara Islam. Saya melihat model sistem khilafah ketika zaman awal Islam sebagai inspirasi saya. Saya mengimpikan ditegakkan semula satu daulah dengan seorang khalifah. Tetapi itu adalah imaginasi saya yang mungkin terlalu liar dan tidak terkawal.

Walau bagaimanapun ketika itu berlaku kontroversi  Salman Rushdie yang meyakinkan diri saya bahawa perlu ditegakkan sebuah khilafah. Rushdie adalah seorang penulis berbangsa India warganegara British yang menulis buku "The Satanic Verses". Di antara lain buku tersebut menghina isteri-isteri Rasulullah. Kalau saya tidak silap tahunnya adalah 1989.

Dunia Islam mengecam tindakan Rushdie. Terdapat demonstrasi oleh umat Islam di masjid-masjid di UK dan di seluruh dunia. Pemimpin-pemimpin Islam seluruh dunia turut mengecam beliau.

Tetapi Rushdie tidak mempedulikan kecaman-kecaman tersebut sehinggalah pemimpin Iran Ayatollah Khomeini membuka mulut. Khomeini telah mengumumkan ganjaran untuk sesiapa yang dapat membunuh penulis itu. Seluruh dunia tersentak. Rushdie menggigil ketakutan. 

Ketokohan Khomeini begitu terserlah. Sebelum ini pemimpin Islam lain tidak dipedulikan tetapi apabila beliau bersuara dunia membuka mata. Sebelum itu dunia Barat dengan sewenang-wenangnya memperlekehkan Islam di dalam isu buku "Satanic Verses". Tetapi tidak lagi setelah Khomeini bersuara. Ketika itu saya berfikir agaknya beginilah keadaannya jika  umat Islam mempunyai seorang khalifah. Tetapi jangan tersilap, saya bukan seorang penyokong fahaman Syiah. Pandangan saya terhadap Khomeini dan fahaman Syiah berubah sama sekali apabila saya menonton video ulamak Syiah menghina Saidatina Aisyah R.A., isteri Rasulullah SAW, malah bukan sahaja menghina tetapi mendoakan beliau dilaknati Allah. Terdapat juga video pengikut-pengikut Syiah berpesta mendoakan isteri Rasulullah itu dimasukkan ke dalam neraka. Peperangan di Syria yang melihat militia Syiah membunuh pengikut Sunni turut membentuk pendirian saya.

Saya telah ke Turki pada tahun 1988. Saya mahu melihat dengan sendiri peninggalan-peninggalan khilafah terakhir umat Islam. Saya telah memilih Istanbul untuk dilawati kerana ia adalah pusat daulah tersebut. Sebagai pelajar Senibina (Architecture) saya mungkin lebih mengenali bangunan-bangunan bersejarah di Istanbul dari tokoh-tokoh Uthmaniyah yang lain. Di antaranya adalah Masjid Biru (Blue Mosque), Istana Topkapi dan gereja peninggalan Empayar Byzantine, Hagia Sophia yang telah dijadikan sebuah masjid apabila umat Islam menawan Constantinople tetapi ketika itu sebuah muzium. Saya juga mengenali arkitek paling terkenal Uthmaniyah iaitu Mimar Sinan. Beliau hidup di zaman Sultan Suleiman atau Suleiman The Magnificent.

Constantinople adalah nama lama Istanbul sebelum zaman Uthmaniyah. Walau bagaimanapun sehingga awal abad ke 20 Barat masih menggunakan nama Constantinople. Mungkin mereka masih tidak dapat menerima kenyataan bandar itu sekarang menjadi milik umat Islam. Di antaranya adalah pensyarah tahun akhir saya yang bernama Peter Burridge yang juga memanggil bandar itu Constantinople apabila saya memberitahu saya hendak ke Istanbul.

Saya telah melawat Istanbul sebelum peperiksaan tahun akhir saya. Sebenarnya peperiksaan akhir saya terdiri dari 2 bahagian. Kursus yang saya ikuti ketika itu adalah Diploma in Architecture. Ia memungkin pemegangnya mendapat pengiktirafan Bahagian 2, Royal Institute Of British Architects atau RIBA Part 2. Part 1 telah saya perolehi apabila memperolehi Sarjana Muda Senibina tiga tahun sebelum itu. Oleh itu kursus diploma saya adalah Postgraduate Diploma.

Untuk peperiksaan tahun akhir saya perlu menyiapkan satu projek bangunan yang lengkap. Saya diberi satu ruang di studio untuk mempamerkan projek saya. Di  situ saya akan menggantung pelan dan lukisan saya. Di situ saya akan meletakkan model bangunan saya dan kajian-kajian saya. Pelajar-pelajar akan ditetapkan tarikh dan waktu terakhir untuk meletakkan kerja-kerja mereka. Ketika studio tersebut begitu sibuk bukan sahaja dengan pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan tetapi juga kawan-kawan mereka yang membantu seperti menggantung lukisan atau menyusun model. Sungguh meriah ketika itu.

Selalunya selepas dua minggu selepas tarikh akhir tersebut pelajar akan dipanggil untuk ditemuduga. Panel temuduga adalah terdiri dari pensyarah-pensyarah mereka dan pensyarah atau para profesional dari luar. Mereka akan ditanya tentang projek mereka dan juga mempertahankan rekabentuk atau kajian yang mereka lakukan. Selepas temuduga seseorang pelajar boleh mengagak sama ada beliau akan lulus atau gagal. Sepanjang 2 kali saya melalui temuduga tersebut, sekali di peringkat Ijazah Sarjana muda dan sekali di peringkat Diploma, saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempertahankan projek saya. Namun masih berdebar-debar menunggu keputusan. Selalunya nama-nama mereka yang lulus akan disenaraikan pada sekeping kertas yang ditampal di papan kenyataan jadi apabila kertas ditampal pelajar-pelajar akan berebut-rebut mencari nama mereka.

Saya telah pergi ke Istanbul pada tahun 1988 selepas mengemukakan projek saya tetapi sebelum temuduga. Mungkin ada yang bertanya bagaimana saya boleh terbang ke Istanbul sebelum temuduga, satu saat yang paling penting sepanjang kursus saya. Saya pun tidak dapat menjawab soalan tersebut tetapi mungkin saya agak yakin dengan keputusan saya. Saya tidak rasa saya boleh gagal. Walau bagaimanapun tidak banyak yang kami pelajar-pelajar dapat lakukan selepas mengemukakan projek kami. Pada saya dari memikirkan sesuatu yang belum pasti, lulus atau gagal, lebih baik saya pergi melancong!

Saya telah terbang ke Istanbul dari lapangan terbang Gatwick yang terletak di pinggir kota London. Ia kali pertama saya menaiki kapalterbang dari lapangan terbang tersebut kerana selalunya untuk pulang ke Malaysia atau tiba dari Malaysia saya akan melalui lapangan terbang Heathrow. Saya telah membeli tiket yang termurah dan kalau tidak silap saya nama syarikat penerbangannya adalah Air UK. Ada satu cerita yang melucukan bagaimana saya membeli tiket tersebut.

Saya telah berbasikal ke pejabat Students Union (Kesatuan Pelajar) untuk membeli tiket pergi balik ke Istanbul. Dalam perjalanan saya bertembung dengan seorang pelajar Malaysia. Saya lupa namanya. Tetapi saya ingat nama jalan itu, Newland Avenue. Dia menegur saya dan bertanya, "Nak pergi study ke?". Ketika itu peperiksaan akhir kami hampir tiba. Tetapi saya menjawab, "Tak, nak pergi Union beli tiket pergi Istanbul". Saya dapat melihat wajah kebingungan kawan saya apabila mendengar jawapan tersebut. Saya ketawa di dalam hati. Mungkin dia berkata kepada dirinya, "Orang lain sibuk study, Iskandar sibuk nak pergi Istanbul".

Di atas kapalterbang ke Istanbul baru saya menyedari bahawa saya terlupa untuk memesan makanan halal justeru tidak banyak makanan yang dihidangkan yang dapat saya makan. Saya hanya dapat makan makanan yang pada labelnya dinyatakan kandungan yang saya yakin halal. Walau bagaimanapun penerbangan ke Istanbul dari London memakan masa kurang dari 6 jam.

Seingat saya penerbangan tersebut adalah pada sebelah malam dan saya tiba di Istanbul pada waktu Subuh. Apabila kapalterbang mendarat dan juruterbang mengumumkan ketibaan kami seluruh penumpang bertepuk dan bersorak. Fikir saya ini mungkin kali pertama mereka menaiki kapalterbang. Amat melucukan. Mungkin juga  mereka berada di dalam satu rombongan, dari kampung yang sama.

Di lapangan terbang, saya telah melalui pemeriksaan pasport dan bagasi seperti biasa. Tetapi apabila pegawai imigresen bertugas melihat paspot saya, saya telah diminta untuk membuka beg saya dan ia diperiksa dengan teliti. Saya rasa cukup terhina. Penumpang-penumpang warganegara UK tidak diperiksa sebegitu. Beg mereka tidak diperiksa tetapi beg saya diselongkar. Saya berpakaian kemas ketika itu tetapi dilayan begitu buruk. Mungkin orang Turki menyangka orang dari Timur Jauh membawa barang-barang terlarang seperti dadah dan sebagainya.

Di lapangan terbang saya berhadapan dengan kejutan pertama. Di kedai bebas cukai (duty free shop) saya ternampak seorang perempuan bertudung, tudung tiga segi bukan tudung bulat, membeli arak. Beliau bersama pasangan beliau, mungkin suami, membelek-belek botol arak. Ia merupakan " first introduction" saya kepada Turki ala Ataturk. Tetapi mungkin juga saya tersilap. Wanita dari Eropah Timur yang bukan Muslim juga ada yang memakai tudung tiga segi.

Oleh kerana ketika itu masih seorang pelajar saya telah cuba mencari penginapan yang paling murah. Selalunya apabila berjalan di Eropah saya menginap di asrama yang menjadi ahli Youth Hostel  Association (YHA). Saya menginap di asrama seperti itu di Istanbul. Saya ditempatkan di dalam satu bilik bersama beberapa orang belia dari Jepun.  Saya telah lupa berapa ramai. Mungkin 4 mungkin 5.

Pengembaraan mereka lebih menarik. Mereka memulakan pengembaraan dari Beijing melalui Jalan Sutera (Silk Route) terus ke Russia, Iran dan akhirnya di Turki. Sungguh menarik sekali. Ketika itu saya bercita-cita untuk melalui jalan yang mereka lalui.

Pada malam pertama barulah saya menyedari kenapa bilik asrama di situ begitu murah. Lebih kurang jam 1 pagi saya terdengar bunyi jentera yang begitu kuat. Terlalu kuat sehingga kami sebilik tidak dapat tidur. Hanyalah setelah beberapa jam bunyi jentera itu berhenti. Keesokan hari saya telah bertanya dengan pekerja hotel dan mereka memberitahu asrama tersebut adalah di sebelah kilang mencetak suratkhabar. Barulah saya sedar kenapa sewa di situ begitu murah.

Pada keesokan hari saya telah cuba mencari hotel yang lain. Saya telah melihat satu hotel yang kelihatan agak selesa tetapi mengambil keputusan untuk tidak berpindah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi. Terpaksalah saya pekakkan telinga setiap malam.

Sebagai seorang pelajar wang adalah terhad. Sepanjang saya di Istanbul, saya hanya mampu makan kebab dan roti. Percaya atau tidak, itu sahajalah makanan utama saya ketika di sana.

Friday, October 30, 2020

BAB 10 - MENCARI BALAI POLIS DI PARIS.

Bukan senang hendak mencari Balai Polis di negara yang kita tidak memahami bahasa penduduk tempatan. Begitulah pengalaman saya setelah kamera saya dicuri. Saya telah memohon bantuan dari mereka di asrama belia di mana saya tinggal untuk mencari Balai Polis terdekat kerana mahu membuat laporan Polis tentang kecurian tersebut.

Bahasa adalah masalah utama kerana orang Perancis bangga dengan bahasa mereka. Jika anda bercakap Inggeris dengan mereka anda dinasihatkan untuk memulakan dengan beberapa perkataan Bahasa Perancis. Contohnya "Bonjour"  atau dalam Bahasa Inggeris "Good Day" atau "Hello". Kalau mereka membalas dan anda tidak faham, jawab sahaja, "Je ne sais pas" yang disebut "Jer ner say pah" atau "Saya tidak tahu".

Kadang-kala walaupun mereka boleh berbahasa Inggeris tetapi jika anda tidak memulakan dengan Bahasa Perancis mereka tidak akan melayan anda. Lebih baik bercakap Melayu dari berbahasa Inggeris kerana dari pengalaman saya ramai orang Perancis yang tidak menyukai England atau United Kingdom. Hari ini mungkin keadaan telah berbeza.

Kedua-dua negara ini telah berperang beberapa kali. Ketika peperangan kemerdekaan Amerika Syarikat, Perancis menyokong tanah-tanah jajahan England di Amerika Utara yang menuntut kemerdekaan. Peperangan di antara mereka yang paling panjang adalah lebih dari 100 tahun dari 1337 hingga 1453. Peperangan ini menghasilkan wirawati Perancis, Joan of Arc, yang dibakar hidup-hidup oleh pihak Inggeris. England juga pernah menguasai sebahagian dari Perancis dan hanyalah dalam tahun 1558 England telah meninggalkan wilayahnya yang terakhir di Perancis iaitu Calais.

Setelah meninggalkan asrama itu saya cuba mencari Balai Polis dengan bertanya orang yang lalu-lalang dalam Bahasa Perancis. Akhirnya seorang penyapu sampah seperti orang Afrika memberitahu saya lokasinya dalam Bahasa Inggeris dengan slang orang Amerika. Saya amat terkejut kerana tidak sangka ada orang Amerika bekerja sebagai penyapu sampah jalan-jalan di Paris.

Saya menyangka saya akan menghadapi masalah di Balai Polis tetapi saya telah dilayan oleh seorang anggota Polis yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Dia telah menaipkan laporan saya tetapi saya tidak faham apa yang beliau taip kerana ia di dalam Bahasa Perancis. Saya hanya memahami beberapa perkataan seperti "Appareils Photo" iaitu kamera dalam Bahasa Perancis.

Kadang-kala melucukan bila mengenang kembali kisah itu. Kenapa saya perlu membuat laporan Polis? Harapan untuk mendapatkan kembali kamera tersebut adalah tipis. Saya cuba mencari pemuda Algeria itu di jalan-jalan di Paris tetapi gagal. Saya telah bercadang untuk mencari beliau di lapangan terbang Paris, Aéroport de Paris-Charles-de-Gaulle, kerana beliau ada berkata hendak pulang ke Algeria. Tetapi telah membatalkan cadangan saya kerana saya akan berada di Paris hanya untuk beberapa hari dan tidak mahu membazirkan masa saya mencari apa yang belum pasti.

Maka saya terlepas peluang untuk merakamkan gambar-gambar Pompidou Centre dan bangunan-bangunan di Paris. Duit di dalam poket tidak mencukupi untuk membeli kamera baru. Tidaklah dapat menunjukkan bukti-bukti kepada pensyarah-pensyarah dan kawan-kawan di Hull bahawa saya telah sampai ke Beaubourg.

Bangunan-bangunan di Paris memang lebih moden dari di England. Satu perbezaan adalah jalan-jalan di Paris begitu lebar. Tetapi ada cerita di sebalik rekabentuk tersebut.

Dalam tahun 1853 Maharaja Perancis ketika itu, Napoleon III, telah mengarahkan renovasi ke atas bandaraya tersebut agar ia benar-benar kelihatan seperti sebuah ibu negara bagi sebuah kuasa besar. Beliau yang hidup dari 1808 hingga 1873 adalah anak saudara kepada pemimpin Perancis yang terkenal, Napoleon Bonaparte. Beliau adalah Presiden Perancis yang pertama dari 1848 hingga 1852 dan Raja Perancis yang terakhir dari 1852 hingga 1870.

Tidak puas hati dengan majlis bandaraya Paris yang dianggap lembab beliau telah melantik George-Eugène Haussmann untuk memodenkan bandaraya tersebut. Di bawah beliau Paris telah dibangunkan semula dengan  pembangunan-pembangunan baru, kemudahan-kemudahan awam dan jalan-jalan yang lebar.

Ada yang mendakwa terdapat niat yang tersembunyi kenapa jalan-jalan di Paris begitu lebar. Ia memang cantik dengan pokok-pokok di tanam di kiri kanan jalan. Ketinggian bangunan juga diseragamkan. Malah "railings" di balkoni-balkoni juga diseragamkan. 

Rekabentuk jalan-jalan yang lebar ini adalah untuk menghalang perusuh-perusuh menyekatnya kerana ia adalah terlalu lebar. Hingga ke hari ini Paris adalah terkenal dengan revolusi, pemberontakan dan rusuhan. Revolusi Perancis telah berlaku dalam tahun 1789 yang akhirnya melihat Raja Perancis, Louis XVI dan permaisuri baginda Marie Antoinette mati dipancung di "guillotine". Pada tahun 1830, 1832 dan 1848 keganasan telah tercetus di bandar raya itu. Jalan raya yang lebar ini dapat mengagalkan hasrat para perusuh untuk membina kubu-kubu mereka berbanding dengan jalan raya yang sempit yang mudah disekat.

Pemodenan Paris telah melihat 350,000 orang dipindahkan dan 27,000 bangunan dimusnahkan. Ini menyebabkan ia didakwa bertujuan untuk menghalau keluar orang-orang miskin.

Walau apa sekalipun dakwaan terhadap Haussmann, Paris adalah di antara bandar raya yang terindah yang pernah saya lawati. Mungkin sebab itu orang di Paris suka minum kopi di kaki lima. Kedai-kedai meletakkan kerusi dan meja di kaki lima dan mereka menghirup kopi sambil memakan pastri.

Saya telah sempat masuk ke gedung-gendung besar untuk melihat-lihat bukan untuk membeli kerana sebagai pelajar kemampuan kewangan saya amat terhad. Walaupun terdapat gedung-gedung yang meletakkan tanda "Soldes" atau "Sale" ( Jualan Murah ) dalam Bahasa Perancis namun saya tidak berani untuk cuba membeli.

Di antara barang yang mampu dibeli adalah cenderahati-cenderahati yang dijual kepada pelancong dan kaset muzik. Ketika itu saya adalah pengumpul kaset. Generasi hari ini yang hanya mengenali CD mungkin tidak tahu apa itu kaset atau "cassette tape".

Ketika saya memilih kaset-kaset untuk dibeli saya ternampak satu bahagian khas untuk "Shake" atau yang kita kenali di Malaysia sebagai Dato' Shake. Hebat juga orang Malaysia fikir saya. Kebanyakan artis atau kumpulan lain diletakkan di bawah abjad masing-masing dan hanya mereka yang popular memiliki bahagian yang khas. Beliau memang popular di Perancis dan di Eropah pada tahun-tahun 70an. Justeru saya telah membeli kaset beliau untuk di bawa balik ke England.

Ketika belajar di England, saya telah beberapa kali pergi Paris. Dua tahun selepas pengalaman saya kehilangan kamera saya telah sekali lagi pergi ke Paris bersama ayah saya yang melawat saya di Hull pada tahun 1985. Walaupun telah melalui satu pengalaman pahit namun saya tidak serik untuk menjejakkan kaki di negara yang merupakan kuasa penjajah yang begitu kejam. Pada perang menentang Perancis di Indo China ( Vietnam, Kemboja dan Laos ) dari 1946 hingga 1954 dianggarkan sehingga 400,000 orang awam terkorban.

Terdapat hampir 6 juta atau hampir 10 peratus rakyat Perancis yang beragama Islam. Kebanyakan mereka adalah berketurunan Arab daripada Algeria, Maghribi dan Tunisia. Walaupun pemerintah Perancis dilihat sebagai "anti Islam" namun umat Islam di sana terus berpegang kepada ajaran agama mereka.

Contohnya menurut satu kajian oleh Institut francais d'opinion atau IFOP, bilangan umat Islam yang mengerjakan solat 5 waktu meningkat dari 30 peratus ( 1994 ) kepada 39 peratus ( 2008 ). Bilangan yang mengerjakan solat Jumaat pula meningkat dari 16 peratus ( 1994 ) kepada 23 peratus ( 2008 ). Sementara bilangan mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan menigkat dari 60 peratus ( 1994 ) kepada 70 peratus ( 2008 ). Saya tidak ada statistik yang terkini tetapi perlu diingat umat Islam tersebut berada di dalam sebuah negara yang paling sekular di dalam dunia.

Dengan begitu ramai penduduk beragama Islam, tidak susah untuk mencari makanan halal atau masjid untuk solat. Saya masih ingat lagi saya menghafalkan beberapa frasa Perancis untuk bertanya sama ada makanan yang dihidangkan itu adalah halal.

Di antaranya adalah, "Est ce poulet halal?" atau "Adakah ayam ini halal?". Cara menyebutnya adalah "Es say pu lay halal?". Tapi saya jarang menggunakannya kerana kedai-kedai yang menjual makanan halal adalah begitu jelas. Sama ada terdapat papan tanda yang menyatakannya atau ia dipenuhi oleh mereka yang saya yakin orang Islam. 

Saya telah berpeluang solat di Masjid Utama Paris bersama ayah saya. Begitulah Perancis yang walaupun memusuhi dan menjajah umat Islam tetapi terdapat masjid-masjid dan orang-orang Islam bebas berniaga. 

Hari ini mereka yang meminati bolasepak mengenali Perancis kerana negara itu telah menghasilkan ramai pemain-pemain bolasepak profesional beragama Islam seperti Zinedine Zidane yang membantu Perancis memenangi Piala Dunia FIFA dalam tahun 1998 dan N'Golo Kanté yang membantu memenangi kejohanan tersebut dalam tahun 2018.

Perancis berbangga apabila mereka memenangi Piala Dunia 2018 kerana pemain-pemain mereka terdiri dari mereka yang memiliki nenek moyang dari pelbagai negara di dunia. Walau bagaimanapun seorang pelawak dan pengulas isu semasa Afrika Selatan, Trevor Noah, berkata Perancis tidak sepatutnya berasa bangga kerana masyarakat berbilang kaum yang wujud di Perancis adalah hasil dari penjajahan yang dilakukan oleh negara itu. Tepat sekali ulasan beliau kerana penjajahan adalah bukan sesuatu yang patut dibanggakan. Jutaan telah terkorban akibat kerakusan negara-negara Eropah berebut tanah-tanah jajahan dan kesannya kepada anak negeri masih dirasai hingga ke hari ini walaupun telah mencapai kemerdekaan puluhan tahun.

BAB 9 - "INSIDE OUTSIDE" DI PARIS.

Selalunya ketika cuti panjang pelajar-pelajar Malaysia di UK akan pergi melawat kawan-kawan mereka di bandar-bandar lain. Maklumlah sebagai pelajar keupayaan kewangan adalah terhad oleh itu jika hendak pergi bercuti yang paling menjimatkan adalah dengan menumpang di rumah kawan-kawan. Tidak perlu menyewa hotel. Kadang-kala makan minum pun ditanggung. Tambang keretapi pun adalah murah kerana penuntut-penuntut boleh membeli tiket dengan harga diskaun jika memiliki "Students Railcard".

Selalunya kami akan melawat kawan-kawan yang pernah pergi ke sekolah yang sama ketika di Malaysia atau yang datang dari kampung yang sama. Tetapi terdapat juga mereka yang tiba di satu bandar tanpa mengenali sesiapa dan terus mencari orang Melayu untuk menumpang bermalam. 

Selalunya jarang yang keberatan kerana mereka mungkin pernah berjumpa di Malaysia Hall di London ketika berurusan dengan pegawai-pegawai Jabatan Penuntut-Penuntut Malaysia atau Malaysian Students Department ( MSD ) atau semata-mata untuk singgah sebentar jika berada di London. 

Di Malaysia Hall tedapat satu kantin ( pada saya hanya sebuah kantin kerana terlalu kecil untuk dipanggil restoran ) yang menghidangkan makanan Malaysia dengan harga yang murah. Terdapat juga sebuah surau di mana solat Jumaat didirikan. Malaysia Hall ketika itu adalah di Bryanston Square berhampiran dengan stesyen Tube Marble Arch.

Selalunya kami akan memastikan kami mengenali mereka di bandar yang akan dilawati. Walaupun kami datang berkumpulan tetapi jika ada seorang dari kami yang mengenali sekurang-kurangnya seorang di bandar tersebut maka kemungkinan untuk menumpang bermalam adalah cerah.

Saya masih ingat satu cuti musim sejuk ( winter holiday ) saya telah pergi ke London. Kalau tidak silap saya pada tahun 1984 ketika saya berada di tahun akhir peringkat ijazah. Saya bertolak ke London dari Hull tanpa sebarang perancangan dan dengan duit sama ada di dalam poket atau di dalam akaun bank yang terhad.

Di London, saya perlu mencari tempat tinggal. Sudah tentu bukan di hotel kerana bukan murah hotel di London walaupun "Bed & Breakfast". Asrama di Malaysia Hall pula selalu penuh. 

Saya bernasib baik kerana teringat seorang kawan kepada kawan saya di Hull yang tinggal di London. Dia pernah datang ke Hull untuk melawat kawan saya. Saya ada menyimpan alamat beliau dan ini adalah peluang bagi saya. Tidaklah perlu saya tidur di tepi jalan malam itu. Saya pernah tidur di dalam kereta di luar sebuah Pusat Islam ketika musim sejuk. Pengalaman menunggu sehingga Pusat Islam itu dibuka pada waktu Subuh adalah amat menyiksakan.

Kawan kepada kawan saya itu masih mengingati saya dan dapatlah saya menumpang di rumah beliau. Saya telah lupa lokasi sebenar tetapi ia terletak di utara London. Saya hanya mengenali kawan kepada kawan saya dan ketika penghuni-penghuni rumah itu sama-sama menonton televisyen saya hanya berdiam diri walaupun mereka juga adalah pelajar-pelajar Senibina seperti saya tetapi di London. Mereka melayan saya dengan baik tetapi saya merasa tidak selesa.

Justeru setelah berfikir panjang, keesokan hari saya telah membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan saya. Mungkin juga untuk tidak membebankan kawan-kawan saya yang baru itu. Cuti saya masih panjang, saya mempunyai peluang untuk melawat bandar-bandar lain. 

Sebagai seorang pelajar Senibina pengalaman dari lawatan-lawatan ini adalah penting. Kami dapat melihat bangunan-bangunan dan pembangunan-pembangunan yang dapat diterapkan ke dalam projek-projek yang perlu kami hasilkan untuk peperiksaan kami. 

Saya tidak perlu berfikir panjang untuk memilih destinasi saya yang seterusnya. Ketika itu saya melihat tidak terdapat banyak bangunan-bangunan moden yang menarik di London atau di bandar-bandar lain di UK. Orang British ketika itu adalah terlalu konservatif. Bangunan-bangunan moden di benua Eropah seperti di Perancis dan Jerman adalah lebih menarik. UK mungkin lebih terkenal dengan bangunan-bangunan bersejarah iaitu yang dibina pada abad ke 18, 19 dan awal ke 20. Ketika negara itu masih memiliki tanah-tanah jajahan yang banyak dan kekayaan darinya disedut ke pulau yang menjadi pusat kepada empayar di mana matahari tidak pernah terbenam ( where the sun never sets ).

Selepas London saya telah membuat keputusan untuk menuju ke Paris. Saya masih ingat ketika saya meninggalkan rumah kawan-kawan baru saya itu selepas waktu Maghrib. Ada yang bertanya saya hendak ke mana ketika saya meninggalkan rumah tersebut. Dengan selamba saya berkata saya hendak ke Paris. Dia tercengang kerana saya rasa dia tidak percaya saya hendak ke Paris seorang diri. Sebelum ini saya juga tidak membayangkan kepada sesiapa bahawa saya hendak ke Paris. Saya hanya membuat keputusan untuk menyeberangi Selat Inggeris beberapa jam sebelum bertolak. Maka saya pun menaiki Tube untuk ke stesyen Victoria di mana saya akan menaiki keretapi ke Dover untuk ke Perancis melalui jalan laut.

Tetapi apa yang hendak saya lihat di Paris? Ketika itu ada sebuah bangunan yang terkenal di Paris yang sering menarik perhatian pelajar-pelajar Senibina malah para arkitek. Bangunan itu adalah Pompidou Centre atau Centre Pompidou dalam Bahasa Perancis yang siap dibina dalam tahun 1977. Nama bangunan ini mengambil sempena nama Presiden Perancis dari 1969 hingga 1974, Georges Pompidou. Tetapi ia juga dikenali sebagai Beaubourg iaitu lokasi di mana ia berada.

Bangunan ini adalah sebuah pusat kebudayaan dengan perpustakaan, muzium dan pusat penyelidikan muzik dan akustik. Arkitek-arkitek bagi bangunan ini adalah arkitek British, Richard Rogers dan arkitek Itali, Renzo Piano.

Bangunan ini terkenal kerana ia merupakan bangunan utama "inside out" ( dalam keluar ) yang pertama di dunia. Sistem struktur, sistem mekanikal dan sistem sirkulasi didedahkan di luar bangunan dan tidak disembunyikan di dalam seperti bangunan-bangunan lain. Kesemua itu diwarnakan dengan warna-warna yang tertentu. Contonhya paip hijau untuk bekalan air, saluran biru ( ducts ) untuk kawalan suhu, kabel bekalan-bekalan elektrik disalut warna kuning dan elemen-elemen keselamatan seperti pencegahan kebakaran berwarna merah. Hasilnya adalah sebuah bangunan "Postmodern" dan "High-tech" yang sungguh menarik dan telah memenangi banyak anugerah. Ketika dibina, rekabentuk bangunan ini dianggap radikal. Rogers berumur 38 tahun dan Piano berumur 34 tahun ketika rekabentuk mereka terpilih dari 681 rekabentuk yang lain dalam tahun 1971.

Di Paris seperti biasa saya telah tinggal di sebuah Youth Hostel ( Asrama Belia ) kerana ia adalah yang termurah. Ianya selesa walaupun ia merupakan bilik-bilik asrama dengan katil-katil dua tingkat. Di situ saya berjumpa dengan seorang pemuda Algeria yang juga seorang pengembara seperti saya. Saya jangka umur beliau adalah seperti saya, awal dua puluhan. Kami berbual-bual walaupun Bahasa Inggeris beliau tidak berapa baik dan Bahasa Perancis saya juga hanya terhad kepada beberapa perkataan sahaja. Di asrama ini saya telah membuat satu kesilapan besar.

Pada hari kedua, selepas bersarapan saya telah kembali ke bilik asrama tetapi telah mendapati kamera saya yang disimpan di dalam beg dan ditinggalkan di dalam almari telah hilang. Hanya pemuda Algeria itu yang nampak saya menyimpan kamera saya di situ. Saya mengesyaki beliau yang mengambilnya kerana beliau telah menghilangkan diri. Seingat saya hanya kami berdua yang diberikan bilik tersebut. Walau bagaimanapun Allah sahaja yang tahu siapa sebenar pencurinya.

Mengenang kembali peristiwa tersebut, saya perlu menerima kenyataan bahawa ia adalah kesilapan saya. Almari itu tidak berkunci. Kamera yang hilang adalah kamera SLR, Nikon FG, yang dibelikan oleh ayah saya di Malaysia ketika cuti musim panas dengan harga lebih kurang RM1,000.

Saya terlampau percaya dengan pemuda itu kerana saya amat kagum dengan orang Algeria yang telah membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajahan Perancis melalui satu peperangan yang mengambil masa 7 tahun, 4 bulan, 2 minggu dan 4 hari. Lebih 150,000 anggota tentera pembebasan Front de Libération Nationale atau FLN telah terkorban menentang tentera Perancis dari 1954 hingga 1962. Lebih 25,000 tentera Perancis dan lebih 6,000 orang awam Perancis telah terkorban.

FLN menganggarkan peperangan tersebut mengakibatkan 1.5 juta orang awam Algeria terkorban sementara Perancis menganggarkan 900,000. Tidak kira statistik siapa yang anda guna, rakyat Algeria terpaksa memberikan nyawa mereka untuk menikmati kemerdekaan negara mereka. Itu sebab saya memandang tinggi orang Algeria walau bagaimanapun selepas peristiwa di Paris itu saya lebih berhati-hati dengan mereka dari Afrika Utara.

BAB 13 - RAMAINYA ORANG MACAM SEMUT.

Dari masjid saya telah kembali ke hotel juga dengan menaiki teksi. Pengalaman di masjid itu bukan satu-satunya pengalaman saya bertemu dengan masyarakat Islam Hangzhou. Saya telah juga makan di sebuah restoran makanan halal di bandaraya tersebut. Restoran itu lebih besar dari kedai makan di masjid dan memuatkan lebih ramai pelanggan. Berdasarkan pakaian mereka, mereka kelihatan lebih berada. Ramai yang datang bersama-sama keluarga seolah-olah meraikan sesuatu. Terdapat lebih banyak pilihan untuk pelanggan memilih dan kebanyakan makanan adalah bukan makanan tradisi orang Cina. Ianya adalah makanan orang Turkistan.

Sejak Expo 2010, sektor kewangan Hangzhou telah berkembang dengan pesat. Bandaraya itu adalah ibu negeri wilayah Zhenjiang. Pada 2018, bandaraya ini berada di tempat ke 89 di dalam Global Financial Centres Index. Bandaraya ini juga memiliki zon industri teknologi tinggi ( Hangzhou Hi-Tech Industrial Development Zone ) yang dibuka sejak bulan Mac 1991. Hari ini ibu pejabat Alibaba Group yang merupakan portal perniagaan atas talian terbesar di dunia adalah di zon tersebut.

Hangzhou bukan sebuah bandaraya yang bersih tetapi sebuah bandaraya yang tersangat-sangat bersih. Jika anda menganggap Singapura bandaraya yang bersih dan teratur maka Hangzhou adalah 10 kali ganda lebih bersih. Tidak ada walapun satu puntung rokok atau sampah di jalan-jalan atau di atas rumput. Rumput dipotong dengan kemas. Saya terfikir juga adakah rakyat negara komunis itu telah dididik supaya berdisiplin atau mereka terlalu takut dengan pihak berkuasa sama ada polis atau tentera?

Kita selalu memuji rakyat Singapura sebagai berdisiplin kerana tidak membuang sampah dan beratur bila hendak menaiki bas. Tetapi pada hakikatnya mereka hanya takut kepada pihak berkuasa republik itu. Apabila mereka masuk ke Malaysia ada yang menjadi "hantu". Membawa kereta laju dan tidak bersopan santun. Mungkinkah rakyat negara China hanya takut disaman atau dipenjara sekiranya melanggar undang-undang? Tetapi saya ada ternampak seorang tua memaki hamun seorang anggota keselamatan yang memakai uniform hijau tentera di tepi jalan dan beliau hanya mendiamkan diri sahaja.

Jalan raya di hadapan hotel kami adalah lebar iaitu jalan 4 lorong. Di kiri kanan terdapat ruang untuk orang berjalan kaki yang cukup luas. Di atas ruang ini juga mereka berbasikal. Walau bagaimanapun saya tidak nampak sebarang kemalangan di antara orang yang berjalan kaki dan orang yang berbasikal. Seperti di Paris di kiri kanan di tanam pokok-pokok. 

Saya juga dapat melihat beratus-ratus basikal bewarna merah di tepi jalan yang boleh disewa oleh orang ramai. Di Malaysia juga ada syarikat yang pernah menyediakan kemudahan sedemikian tetapi terdapat mereka yang menyewa basikal itu tidak memulangkannya. Mereka mencuri basikal-basikal itu dan ada yang mengecatnya semula. Saya tidak fikir perkara yang sama berlaku di Republik Rakyat China.

Mahatma Gandhi pernah berkata untuk kita menilai sesuatu masyarakat kita perlu melihat bagaimana ia melayan golongan yang paling terancam. Sepanjang di Hangzhou kami didedahkan kepada satu bandaraya yang  hebat. Yang layak untuk menerima pelawat dari pelusuk dunia. Expo yang pertama adalah di London pada tahun 1851. Sebelum Shanghai, ia telah berlangsung di Zaragoza, Sepanyol dalam tahun 2008. Sementara selepas Shanghai ia telah diadakan di Yeosu, Korea Selatan dalam tahun 2012. Sudah tentu Hangzhou sebagai sebahagian dari Expo 2010 telah membuat persiapan yang rapi.

Terdetik di hati saya mahu melihat Hangzhou yang sebenar bukan Hangzhou yang disolek untuk para pelawat. Justeru satu petang saya telah berjalan kaki menjelajah ke kawasan-kawasan yang tidak mungkin dilawati oleh para pelawat. Kawasan kedai-kedai dan rumah-rumah di lorong-lorong kecil. Bila saya memikirkannya hari ini, perkara yang saya lakukan amat merbahaya. Saya jalan berseorangan, saya tidak boleh berbahasa Cina dan tidak ada siapa yang tahu ke mana saya pergi.

Memang terdapat perbezaan. Kedai-kedai dan rumah-rumah di lorong-lorong itu kelihatan buruk. Walau bagaimanapun ia masih layak untuk didiami. Ianya lebih baik dari rumah-rumah kos rendah di Malaysia. Saya bukan sekadar meninjau tetapi turut singgah untuk melepaskan dahaga di sebuah kedai makan. Orang di situ sudah tentu terkejut melihat orang asing masuk ke kedai mereka. Saya telah membeli minuman dalam tin dan harganya 30 peratus lebih murah dari di kawasan-kawasan yang dilawati oleh orang luar.

Setelah selesai program di Hangzhou kami telah kembali ke Shanghai dengan menaiki van. Kami bersyukur kerana tidak perlu menaiki "bullet train" yang perlahan dan panas. Van kami telah berhenti di kawasan Rehat & Rawat ( R & R ) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kedai dan tandas. Sebelum ini ada seorang kawan saya yang memberitahu tidak ada R & R di lebuhraya Negara China dan anda terpaksa membuang air di tepi jalan. Walaupun van kami berhenti di R & R, perjalanan dengan van adalah lebih pantas dari menaiki "bullet train" beberapa malam lepas.

Di Shanghai kami berpeluang untuk melawat astaka ( pavilion ) negara-negara yang menyertai expo tersebut. Setiap negara akan membina astaka dengan ciri-ciri negara masing-masing. Astaka Malaysia mempunyai bumbung Minangkabau dan bercirikan corak batik.

Kami telah diberikan peluang untuk berjalan-jalan di bandaraya Shanghai sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Rombongan kami telah dibawa ke kawasan membeli-belah yang dikunjungi oleh para pelancong. Kawasan itu terdiri bazar, bangunan-bangunan kecil dan terdapat juga bangunan yang bertingkat.

Walau bagaimanapun perjalanan ke situ adalah sungguh menarik. Saya tidak pernah melihat begitu ramai orang. Mereka berdiri di kiri dan kanan jalan. Sungguh padat sekali. Seolah-olah tidak ada ruang dan bergerak perlahan-lahan. Mereka seperti semut yang mahu pulang ke sarang.

Tetapi yang lebih menarik adalah anggota tentera yang mengawal keadaan. Sebenarnya saya tidak tahu sama ada mereka adalah tentera atau polis. Mereka beruniform hijau. Di Hangzhou juga saya melihat anggota-anggota seperti itu berkawal. Selalunya di negara-negara lain anggota polis yang berkawal di bandar-bandar bukan tentera. Di Shanghai dan di Hangzhou ketika itu saya hanya dapat melihat anggota-anggota yang beruniform hijau yang saya anggap People's Liberation Army ( PLA ).

Jika orang seperti semut begitu juga anggota tentera yang berkawal. Mereka berdiri tegak di sepanjang jalan. Jarak seorang anggota dari seorang anggota yang lain adalah kurang dari 5 kaki. Ya, kurang dari 5 kaki dan ini bermakna bilangan mereka adalah terlalu ramai. Mungkin dengan rakyat yang begitu ramai, mereka memerlukan anggota tentera yang juga ramai.

Republik Rakyat China adalah di antara negara-negara komunis terakhir. Negara-negara lain adalah Cuba, Korea Utara, Vietnam dan Laos. Sebagai negara komunis dan negara satu parti sudah tentu mereka mengawal rakyat mereka dengan ketat. Maka tidak menghairankan jika tentera dikerahkan untuk mengawal keselamatan orang awam. Tambahan pula ketika sebuah acara antarabangsa.

Saya hanya pergi membeli cenderahati untuk keluarga, staf dan kawan-kawan. Tedapat pelbagai jenis barangan yang dijual dan harganya sangat murah.  Contohnya terdapat topi ( cap ) yang harganya di Malaysia sehingga RM20 tetapi dijual di tepi-tepi jalan kurang dari RM10. Itu pula bukan harga jika dibeli secara pukal yang sudah tentu lebih murah. Walau bagaimanapun saya datang bukan untuk berniaga jadi saya tidak bertanya dengan lebih lanjut atau bertanya barang-barang yang diminati di negara kita.

Di tepi-tepi jalan dijual pelbagai jenis makanan di gerai-gerai. Kebanyakan makanan adalah berbeza dari di tempat kita. Ada yang digoreng dan ada yang direbus di tepi jalan. Ada yang terdapat di negara kita seperti ubi, jagung dan buah berengan. Ada pula yang diperbuat dari tepung di dalam pelbagai bentuk dan saiz. Saya tidak berani untuk membeli kerana tidak tahu apakah kandungannya. Walaupun hanya ubi atau jagung tetapi saya tidak tahu ia digoreng dengan apa atau direbus dengan apa. Ada di antara rombongan kami yang bertanya kepada saya adakah boleh untuk membeli Fish Fillet ( burger ikan ) McDonald di lapangan terbang Shanghai. Sudah tentu ia bergantung kepada jenis minyak yang mereka gunakan untuk menggoreng dan sama ada ia digoreng bersama makanan-makanan yang tidak halal.

Mungkin ada yang berkata susahnya hendak makan. Pada saya tidak susah. Terdapat orang Islam yang menjual makanan di Shanghai dan Hangzhou. Memang tidak ada tanda Halal JAKIM oleh itu saya perlu meneliti komposisi di label makanan-makanan yang hendak saya beli. Ada orang kata untuk menjadi seorang Muslim anda perlu menjadi seorang saintis. Ini bukan bermaksud mereka perlu menghafal formula-formula atau mengenali nama bahan-bahan kimia tetapi ia bermakna mereka perlu mempunyai minda yang sentiasa ingin tahu ( inquisitive mind ). Tidak hanya menerima sesuatu secara semberono tetapi menyiasat terlebih dahulu.

Saya tidak dapat membuat kesimpulan yang tepat tentang negara China. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sebuah negara komunis. Saya hanya berada di sana kurang dari seminggu. Saya pula berada ketika mereka menjadi tuan rumah kepada seluruh dunia. Ianya bagai satu pementasan dengan pelbagai pelakon yang disolek secantik mungkin. Penonton-penonton tidak mungkin mengetahui apa yang berlaku di belakang tabir.

BAB 12 - DI MANA NEGARA ADALAH PARTI DAN PARTI ADALAH NEGARA.

Saya telah menghadiri Expo 2010 di Shanghai, China yang telah berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Oktober. Tema expo itu adalah "Better Life - Better Cities". Sebagai Exco Perumahan Negeri Selangor ketika itu, saya merasakan expo tersebut adalah penting bagi potfolio saya. Exco-Exco lain telah turut hadir tetapi kami telah pergi secara berasingan. Saya telah pergi lewat sedikit dari rakan-rakan Exco yang lain iaitu dari 5 Oktober hingga 8 Oktober.

Bersempena dengan Expo 2010 tersebut telah dianjurkan program-program lain. Saya telah menghadiri salah satu program itu iaitu Forum Harmonious Cities And Livable Life di Hangzhou, sebuah bandaraya 177 km ke tenggara Shanghai.

Walaupun ia dinamakan forum tetapi ia bukan satu sesi. Ia merupakan siri beberapa  pembentangan dari tokoh-tokoh seluruh dunia. Forum di Hangzhou itu adalah di antara 6 forum yang dianjurkan di bandaraya-bandaraya di sekitar Shanghai sempena expo tersebut.

Kami tiba di Shanghai pada sebelah malam. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong kami telah menaiki bas untuk ke stesyen keretapi bagi menaiki keretapi ke Hangzhou. Perjalanan ke stesyen itu sungguh menakjubkan. Rombongan kami dapat melihat permukaan bangunan-bangunan di tepi lebuh raya menjadi seolah-olah skrin televisyen yang besar. Seluruh permukaan bangunan beberapa puluh tingkat itu menjadi skrin yang menunjukkan pelbagai corak berwarna-warni. Sudah tentu ia adalah sebahagian dari sambutan Expo 2010. Di Malaysia memang ada tetapi hanya satu atau dua bangunan bukan begitu banyak seperti di Shanghai.

Stesyen keretapi Shanghai penuh sesak. Pada saya yang paling menarik adalah sebuah kedai di stesyen itu yang menjual produk-produk halal untuk orang Islam. Terdapat makanan di dalam bungkusan dan terdapat juga di dalam tin. Saya telah membeli beberapa paket mi segera di mana paket itu hanya bertulis tulisan Cina kecuali tanda "Halal" di dalam tulisan Arab. Fikir saya mungkin pemerintah negara itu bimbang orang Islam akan memberontak jika keperluan mereka tidak disediakan! Pada tahun 2010 terdapat 85,000 penduduk Islam di Shanghai dan terdapat 7 buah masjid. Salah satu masjid, Masjid Songjiang, telah dibina dalam tahun 1341 iaitu sebelum tertubuhnya Empayar Melaka.

Kami diberitahu keretapi yang kami naiki ke Hangzhou adalah "bullet train" atau keretapi berkelajuan tinggi tetapi malangnya ia tidak bergerak begitu laju. Saya pernah menaiki keretapi laju di beberapa negara di Eropah dan keretapi di China ini tidak selaju keretapi-keretapi tersebut. Malah mungkin kelajuannya seperti LRT di Malaysia. Tambahan pula sistem hawa dinginnya tidak berfungsi dan kami kepanasan. Kami terpaksa menanggung derita selama lebih 2 jam. Mungkin juga kami telah memilih keretapi yang sedang diuji.

Di Hangzhou kami di tempatkan di satu hotel yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rekabentuknya adalah rekabentuk lama mungkin dari tahun-tahun 60an. Oleh kerana kami tiba di waktu malam dan hotel itu tidak dipasang dengan lampu-lampu yang terang benderang maka hotel itu kelihatan lebih sesuai untuk penggambaran cerita-cerita seram. Walau bagaimanapun  kami telah penat kerana perjalanan yang jauh maka selepas menikmati makan malam yang sedap dan halal kami terus tidur.

Keesokan hari kami telah menaiki van ke hotel di mana forum itu diadakan. Hotel tersebut adalah bangunan baru yang lebih moden. Perjalanan ke hotel itu dari hotel kami memakan masa yang lama. Terdapat mereka dari rombongan kami yang mempersoalkan keputusan syarikat pelancongan kami untuk meletakkan kami di hotel "cerita seram" itu. Kami merungut bukan kerana hotel itu adalah hotel lama tetapi kerana jaraknya dari tempat forum tersebut adalah jauh iaitu di pinggir bandaraya Hangzhou. Adalah lebih senang untuk menempatkan kami di hotel yang sama. Akhirnya saya telah diberikan bilik di hotel tersebut. Saya juga telah mendapat tahu bahawa hotel asal kami adalah milik persatuan petani-petani wilayah itu.

Selalunya perasmian program-program antarabangsa seperti ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan seperti Menteri, Gabenor atau Datuk Bandar tetapi tidak di Negara China. Forum tersebut telah dirasmikan wakil Parti Komunis China bandaraya itu. Kalau tidak silap saya Pengerusi atau Setiausaha Agung. Jawatan beliau telah diumumkan dengan jelas oleh juruacara. Mereka tidak cuba menyembunyikan kenyataan bahawa negara itu adalah negara satu parti. Penguasaan Parti Komunis China adalah total. Negara adalah parti dan parti adalah negara.

Mungkin sebab itu pembangunan berjalan dengan pantas. Tidak ada siapa yang berani membangkang. Saya telah bertanya kepada seorang pegawai kerajaan di sana bagaimana mereka dapat memindahkan penduduk untuk membina bangunan-bangunan untuk expo di Shanghai itu. Sudah tentu ribuan rakyat yang terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka. Jawab pegawai itu mudah sahaja. Mereka hanya menghantar lori-lori dan rakyat akan dengan sukarela mengangkat barang-barang mereka. Bolehkah perkara yang sama berlaku di Malaysia?

Forum di Hangzhou itu telah mengumpulkan tokoh-tokoh dalam bidang perancangan, perbandaran dan senibina dari seluruh dunia. Mereka telah membuat pembentangan sepanjang dua hari dan ia merupakan pengalaman yang amat berharga kepada para peserta yang datang dari seluruh dunia. Pengalaman dan ilmu yang diperolehi bukan sahaja dari pembentangan dan dialog tetapi juga menerusi interaksi di antara  para peserta di mana mereka berpeluang untuk berbincang dan berkongsi pengalaman. Forum ini sungguh bermanfaat kepada kami sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan pegawai-pegawai kerajaan yang turut serta.

Di antara pembentang pada forum tersebut adalah Ken Livingston yang merupakan Datuk Bandar London yang pertama dari 2000 hingga 2008 dan bekas Ahli Parlimen Parti Buruh ( Labour ) dari 1987 hingga 2001. Ketika beliau merupakan Ketua Greater London Council atau GLC ( 1981 hingga 1983 ), iaitu pihak berkuasa tempatan bagi London, beliau telah mengundang kemarahan kerajaan Konservatif Margaret Thatcher kerana melaksanakan polisi-polisi berhaluan kiri seperti menurunkan tambang keretapi bawah tanah ( Tube ).

Pembentangan-pembentangan dari tokoh-tokoh seperti beliau merupakan pembuka mata kepada kita semua. Saya masih ingat satu pandangan beliau iaitu, "Orang kaya tidak akan dapat hidup bahagia jika orang miskin hidup sengsara". Dia turut berkata tugas untuk menyediakan kemudahan untuk rakyat bukan hanya tugas kerajaan tetapi juga tugas sektor swasta.

Terdapat banyak pembentangan dan para perserta akan memilih pembentangan yang sesuai dengan profesion mereka atau minat mereka. Saya telah memilih tajuk-tajuk yang berkaitan dengan perancangan bandar.

Saya telah sempat melawat beberapa tempat di Hangzhou ketika di sana. Bandaraya itu adalah bandaraya tua yang bersejarah. Penduduknya ketika itu adalah 6 juta orang. Lebih ramai dari seluruh negeri Selangor. Di antara tahun-tahun 907 dan 978 ia telah menjadi ibu negara kerajaan Wuyue. Dalam tahun 1132 ia telah menjadi ibu negara baru bagi Dinasti Song Selatan apabila ibu negara asal mereka di Kaifeng telah ditawan oleh bangsa Jurchen dari Manchuria.

Bandaraya itu terkenal dengan sebuah tasik yang luas. Panjangnya lebih 3.2 km dan lebarnya 2.8 km. Ia adalah sebuah tapak Warisan UNESCO ( UNESCO Heritage Site ). Terdapat sebuah terowong untuk kenderaan di bawah tasik tersebut. Pengembara Muslim Ibnu Batuta dari Maghribi telah melawat Hanzghou dalam tahun 1345 dan menceritakan Hangzhou terletak di pinggir tasik yang indah dan di kelilingi oleh bukit-bukit yang hijau.

Di Hangzhou saya telah tertarik dengan masjid di sana yang berumur beratus-ratus tahun. Saya telah mengambil teksi untuk ke masjid tersebut. Saya telah meminta penyambut tetamu di hotel saya menulis di atas sekeping kertas dalam bahasa Cina nama masjid yang hendak saya tuju. Saya telah memberikan kertas tersebut kepada pemandu teksi. Akhirnya sampai juga saya di masjid tersebut.

Saya telah bersolat Zuhur di situ dan selepas solat telah melihat-lihat di sekeliling. Masjid itu telah dibina dalam tahun 1281. Terdapat ramai pedagang-pedagang Arab yang tinggal di Hagzhou ketika pemerintahan Dinasti Song. Ketika saya di masjid itu terdapat sekumpulan anak muda yang duduk bersila di dalam bulatan mengaji Al-Quran.

Di sebelah masjid itu terdapat sebuah kedai makan yang menjual mi tarik. Masakan mereka sungguh mudah. Mi tarik dicampur dengan sup tulang dan daging kambing. Memang sedap. Tukang masak dan mereka di kedai itu bukan berbangsa Cina Han tetapi berketurunan Turkistan. Seperti tukang masak, ramai di kedai itu memakai kopiah.

Kedai itu berkongsi dinding dengan tembok masjid. Apabila tiba waktu Asar dan azan dilaungkan tukang masak dan mereka di kedai itu menggunakan satu pintu khas untuk ke masjid meninggalkan saya di kedai itu. Waktu Asar di Hangzhou ketika adalah lebih kurang jam 3.00 petang. Saya telah menunaikan solat jamak. Hanya selepas mereka solat saya dapat membayar dan balik ke hotel.

Saya tidak hairan melihat orang Islam bebas bersolat jemaah, mengaji Al-Quran dan berniaga di sebuah negara komunis di mana mereka adalah kaum minoriti. Saya pernah mendengar kata-kata yang berbunyi, "Umat Islam solat biarkan, umat Islam berpuasa biarkan, umat Islam membaca Al-Quran biarkan, umat Islam berniaga awasi mereka, umat Islam berpolitik halang mereka". Selagi umat Islam tidak lihat sebagai ancaman mereka akan dibiarkan tanpa diganggu. Sekiranya dilihat sebagai ancaman, hendak mengerjakan solat atau berpuasa sekalipun akan dihalang.

Islam bukan agama untuk individu semata-mata tetapi diturunkan untuk membawa perubahan kepada dunia. Agama Islam mengajar kita bukan sekadar untuk menguruskan diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita tetapi untuk menguruskan negara dan dunia.

BAB 11 - BEKU DI HELSINKI.

Saya tiba di ibu negara Finland, Helsinki, pada awal pagi bulan Oktober 2012. Rombongan kami telah bertolak dari KLIA pada waktu malam dan tiba di Amsterdam pada waktu Subuh. Kami telah berhenti lebih satu jam sebelum bertolak ke Helsinki menaiki pesawat yang lebih kecil. Walau bagaimanapun saya sempat solat Subuh di lapangan terbang itu.

Apabila pesawat kami mendekati lapangan terbang Helsinki-Vantaa untuk mendarat pemandangan di luar adalah sungguh tidak menarik. Saya pernah 2 kali mendarat di Los Angeles, banyak kali di London dan lebih banyak di KLIA tetapi pemandangan di Helsinki adalah berbeza. Mereka yang tiba tidak disambut dengan lautan yang membiru, tumbuhan-tumbuhan yang menghijau atau bangunan-bangunan sebuah bandaraya.

Mereka disambut dengan suasana yang muram. Dari tingkap saya, saya hanya dapat melihat salji sejauh mata memandang dan pokok-pokok yang kelihatan kesedihan ( sad looking trees ). Sungguh tidak memberangsangkan dan ia membuat saya berfikir apa yang ada di negara tersebut. Kenapa pula kami bersusah payah untuk datang ke Helsinki. Tetapi saya tersilap.

Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari Finland. Dari abad ke 13, negara tersebut adalah sebahagian dari Kerajaan Sweden ( Kingdom of Sweden ) sebelum ditakluki oleh Empayar Russia dalam tahun 1809. Mereka telah mencapai kemerdekaan dalam tahun 1917. Mereka berperang dengan Soviet Union pada Perang Dunia Kedua tetapi telah kekal merdeka selepas perang walaupun kehilangan beberapa wilayah kepada negara komunis itu. Walau bagaimanapun Finland bernasib baik kerana tidak ditelan seperti negara-negara  Baltik Latvia, Estonia dan Lithuania.

Mungkin tidak ramai rakyat Malaysia yang pernah sampai di Finland tetapi ramai di antara kita yang pernah menggunakan telefon berjenama Nokia dari Finland. Telefon bimbit yang pernah menguasai pasaran dunia. Bayangkan penduduk Finland hanyalah 5.5 juta orang tetapi produk telekomunikasinya pernah menjadi jenama nombor satu dunia.

Satu lagi sumbangan Finland  kepada dunia adalah permainan video "Angry Bird" yang cukup popular di satu masa dahulu. Ia telah dibangunkan oleh syarikat Finland, Rovio Entertainment dan dicipta juga oleh seorang warga Finland, Jaako lisalo. Sejak mula diperkenalkan dalam tahun 2009, permainan ini telah dimuat turun ( download ) sebanyak 4 bilion kali. Pendapatan kepada syarikat itu adalah 289 juta Euro atau RM1.4 billion.

Satu lagi produk Finland yang terkenal di seluruh dunia adalah KONE yang terkenal sebagai pembuat lif dan eskalator. Syarikat itu telah mengeksport kepada  60 negara dan memiliki 1,000 pejabat di 50 negara.

Kehadiran saya di Finland adalah bersama GLC-GLC kerajaan negeri Selangor. Ia adalah satu lawatan kerja untuk meninjau usahasama di antara mereka dan kerajaan atau syarikat di sana. Saya turut serta kerana saya adalah ahli lembaga pengarah salah satu GLC tersebut.

Lawatan seperti ini memang meletihkan kerana tempoh lawatan yang singkat dan kami terpaksa menghadiri mesyuarat dan taklimat di samping lawatan-lawatan.

Saya masih ingat mesyuarat dan taklimat di sana berlangsung di bangunan-bangunan lama yang layak dijadikan muzium kerana kelihatan mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Ia berbeza dengan lawatan saya ke negara-negara lain seperti ke Kanada atau Korea Selatan di mana kami disambut di bangunan moden. Tetapi saya lebih selesa di Helsinki kerana saya merasakan bangunan-bangunannya lebih mesra dan saya memang minat kepada sejarah.

Finland telah lebih 100 tahun dijajah oleh Empayar Russia. Penjajahan ini mungkin telah sedikit sebanyak mempengaruhi bandar raya Helsinki. Di situ buat pertama kali saya telah melihat gereja Orthodox Russia yang berbeza dari gereja biasa kerana mempunyai kubah-kubah berbentuk bawang. Sebelum ini saya hanya melihatnya di dalam gambar. Mungkin terdapat ramai penduduk berketurunan Russia di sana.

Saya pernah bekerja dengan sebuah firma arkitek di utara London dan memiliki kawan-kawan berbangsa Greek. Mereka menganut Kristian Orthodox. Justeru sejak dahulu lagi saya menyedari akan pelbagai aliran di dalam agama Kristian. Seorang kawan saya berbangsa Greek yang sepejabat dengan saya pernah memberitahu saya selain dari hari Krismas pada 25 Disember mereka juga menyambut Krismas mereka sendiri. Ada satu hari beliau bergegas untuk pulang kerana katanya beliau sekeluarga akan menyambut Krismas mereka pada malam tersebut.

Kami telah membuat lawatan ke sebuah taman teknologi ( technology park ) di Helsinki yang sungguh bersih dan teratur. Ianya lebih mirip kepada sebuah kampus universiti. Kami lihat taman teknologi di Selangor mesti setanding dengan taman teknologi di Finland jika mahu menarik para pelabur. GLC yang saya terlibat itu memiliki "science park"  dan taman industri.

Kedutaan Malaysia di Finland telah dimaklumkan tentang kehadiran rombongan kami. Wakil dari kedutaan telah turut bersama kami di dalam beberapa mesyuarat dan taklimat. Ada di antara kami yang bertanya patutkah kami membenarkan wakil kedutaan hadir?

Ketika itu kerajaan negeri Selangor adalah di bawah Pakatan Rakyat sementara kerajaan persekutuan adalah di bawah Barisan Nasional. Adakah wakil kedutaan akan melaporkan kepada Kuala Lumpur segala pergerakan kami? Akhirnya adakah Kuala Lumpur akan menggagalkan perancangan kami? Walau bagaimanapun kami berkeyakinan penuh terhadap profesionalisme pegawai PTD yang ditugaskan bersama kami. Mungkin untuk mesyuarat, taklimat atau lawatan tidak ada masalah tetapi rundingan lain ceritanya.

Kami hanya berada 3 hari di Helsinki. Kami diletakkan di sebuah hotel yang jauh dari kawasan membeli belah. Setelah seharian menghadiri mesyuarat dan taklimat serta lawatan kami terlalu penat untuk ke mana-mana dan hanya pulang ke hotel untuk berehat dan tidur. Seingat saya tidak ada dari kami yang keluar berjalan-jalan atau bersiar-siar. Secara keseluruhannya saya melihat Helsinki sebagai terlalu suram. Penduduknya tidak kelihatan gembira. Cuacanya sejuk kerana ia lebih kurang 750 km daripada Bulatan Artik ( Artic Circke ).

Kami hanya sekali di bawa ke kompleks membeli-belah. Saya hanya telah membeli sebuah buku di kompleks tersebut. Saya telah menggunakan kad kredit untuk membelinya. Ini adalah kali pertama saya tidak menukar duit ke matawang tempatan ketika ke luar negara. Finland berada di dalam European Community dan menggunakan Euro. Buku yang saya beli adalah tentang konflik di Balkan yang tidak ada kena mengena langsung dengan Finland.

Di kompleks tersebut saya cuba mencari buku tentang arkitek Finland yang saya pelajari ketika belajar di United Kingdom dahulu. Namanya beliau adalah Alvar Aalto. Memang terdapat buku-buku tentang beliau tetapi saya telah meninggalkan bidang senibina begitu lama dan merasakan saya tidak perlu membazirkan duit. Walau bagaimanapun saya ada terbaca kompleks membeli belah tersebut direkabentuk oleh Alvar Aalto.

Makanan menimbulkan sedikit masalah bagi kami. Bukan kerana tidak terdapat makanan yang halal dimakan tetapi masalahnya untuk mencari makanan yang sesuai dengan selera kami.

Saya masih teringat satu hari kami menikmati makan tengah hari di sebuah restoran Pakistan. Ya, terdapat restoran Pakistan di mana-mana sahaja di dunia. Restoran itu menghidangkan makanan halal. Ketika itu saya tidak dapat menghabiskan makanan saya. Tiba-tiba seorang pegawai dari sebuah GLC menegur saya, "Makan YB, kita tidak tahu bila kita akan dapat makan begini lagi".

Betul kata beliau kerana malam tersebut kami telah dihidangkan sayur-sayuran dan ikan mentah. Kami mungkin terpaksa berlapar malam itu tetapi wakil agen pelancongan yang bersama rombongan kami telah mengedarkan mi segera yang dibawa dari Malaysia. Maka dapatlah kami merendamnya di dalam air panas di bilik kami.

Secara keseluruhannya makanan orang Finland adalah sihat. Untuk sarapan pagi saya selalu memilih sayur-sayuran dan ikan yang disalai menggunakan minyaknya sendiri. Mungkin ia agak pelik untuk selera orang Malaysia tetapi yang penting ia bebas dari ramuan-ramuan yang haram.

Setelah 3 hari kami pun meninggalkan Helsinki. Penerbangan kami adalah juga pada awal pagi dan kami terpaksa bertolak ke lapangan terbang sebelum waktu Subuh. Alhamdulillah saya telah solat Subuh di tempat menunggu lapangan terbang Helsinki tanpa diganggu oleh sesiapa. Saya membentangkan sejadah dan terus solat. 

Sebelum menaiki pesawat saya telah sempat membeli cenderahati Angry Bird. Ketika di Helsinki rombongan kami telah sempat mengadakan pertemuan dengan syarikat yang menghasilkan Angry Bird. Terdapat satu cadangan untuk mewujudkan taman Angry Bird di Selangor.

Saya ke Helsinki di atas urusan kerja dan tidak ada masa untuk melancong. Sebenarnya terdapat banyak tempat-tempat menarik di Finland. Di antara tarikan utama adalah untuk menyaksikan fenomena semulajadi yang dikenali sebagai "Northern Lights" atau pusaran cahaya di langit pada waktu malam. Ia hanya boleh disaksikan di negara-negara yang hampir dengan Kutub Utara seperti Finland, Norway, Sweden dan Iceland. 

Kami tidak menjelajah ke kawasan-kawasan yang dikunjungi oleh pelancong. Kami hanya berlegar-legar di kawasan pentadbiran kerajaan. Justeru pandangan saya terhadap Finland  adalah tidak begitu adil.

Dari Helsinki kami telah menaiki pesawat milik syarikat penerbangan United Kingdom kerana Syarikat Penerbangan Malaysia tidak terbang ke Helsinki. Kami terpaksa ke London terlebih dahulu. Ketika makanan dihidangkan ada yang was-was untuk makan. Pegawai GLC yang menegur saya ketika makan tengah hari tiba-tiba bertanya, "YB makan tak? Kalau orang bulan makan, saya pun makan". Pada saya ini satu pengiktirafan kepada PAS kerana menjadi rujukan.

Satu perkara yang saya tidak boleh lupakan tentang lawatan ke Finland itu adalah menghubungi pembantu khas saya di Shah Alam pada jam 2.00 pagi waktu Helsinki. Ketika itu saya sedang mengusahakan pembinaan sebuah dewan serbaguna di Kg Pandan dan ketika di Helsinki saya telah mendapat tahu peruntukan dari satu geran yang dinamakan geran Selangorku masih belum diluluskan.

Saya terpaksa menunggu sehingga jam 2.00 pagi untuk pembantu saya bangun tidur dan menyelesaikan segala urusan pagi beliau kerana waktu Helsinki adalah 5 jam di belakang Malaysia. Pembantu saya telah menaip  dan menghantar surat saya kepada Menteri Besar dan akhirnya dewan tersebut telah siap dibina untuk kegunaan orang ramai. Kadang-kala saya memberitahu rakyat, "Jangan main-main dengan dewan ini, saya minta dari Helsinki".

BAB 1 - LONDON DI MUSIM LURUH.

Kali pertama saya menjejakkan kaki di London adalah pada 7 September 1979. Ketika itu perjalanan dari Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Heathrow memakan masa 17 jam. Saya adalah sebahagian dari pelajar-pelajar Malaysia lepasan SPM ( ketika itu MCE ) yang ditaja oleh kerajaan untuk melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Saya tidak tahu berapa ramai pelajar di atas penerbangan itu tetapi saya lihat seperti hampir kesemua adalah pelajar-pelajar. Tetapi mungkin juga ada pegawai-pegawai yang mengiringi kami. Selalunya penerbangan ke London akan menerbangkan lebih 300 penumpang.

Kami telah bertolak pada waktu malam dan dihantar oleh keluarga kami. Sudah tentu lebih dari seorang. Paling kurang ibu bapa mereka dan juga adik beradik mereka jika ada. Maklumlah kali pertama pergi jauh dari keluarga. Jika terdapat 200 pelajar dan setiap pelajar dihantar oleh 4 orang maka Lapangan Terbang Subang penuh sesak dengan 800 hingga 1,000 orang kaum keluarga.

Saya telah dihantar oleh ibu bapa dan adik saya. Turut menghantar saya adalah nenek saya yang saya panggil Tok Nuri. Dia adalah ibu kepada ayah saya. Nama sebenarnya adalah Sainuri Binti Ali. Itu merupakan kali terakhir saya berjumpa dengannya sebelum beliau meninggal dunia. Saya tidak ingat siapa lagi yang menghantar tetapi saya ada berjumpa dengan guru saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar ( MCKK ) yang bernama Cikgu Mohammad Isa yang kami panggil M.I. Mungkin menghantar saudara beliau tetapi malam itu ramai pelajar-pelajar MCKK yang menaiki penerbangan tersebut.

Di lapangan terbang kami telah dikumpulkan menurut bandar di mana kami akan belajar. Saya telah ditawarkan untuk belajar di Southampton Technical College dan akan menduduki peperiksaan A-Levels selepas 2 tahun. Selepas A-Levels saya dikehendaki mengikuti jurusan Kejuruteraan Eletkrik ( Electrical Engineering ) di institusi pengajian tinggi.

Kami mengenali di antara satu sama kerana sebelum itu kami telah sama-sama menghadiri kursus orientasi dan pelbagai taklimat. Kami telah menghadiri satu kursus orientasi yang mengumpulkan pelajar-pelajar yang akan ke luar negara yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA ). 

Kami juga ada berjumpa apabila kami berurusan dengan pegawai JPA di pejabat JPA di Menara UMBC. Saya tidak tahu apa nama bangunan itu hari ini tetapi ia berhampiran dengan "Klang Bus Stand" yang orang KL panggil "Toshiba" kerana pada tahun-tahun 70an terdapat papan tanda berlampu "Toshiba" di atasnya. Seingat saya nama pegawai JPA itu adalah Encik Mohammad Ibrahim.

Kursus orientasi untuk kami telah diadakan di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur. Kursus ini penting kerana ia sebagai persediaan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran apabila berada di luar negara. Bukan semua dari kami akan ke United Kingdom kerana ada yang akan ke Amerika Syarikat. Salah seorang penceramah pada kursus itu adalah Tan Sri Sanusi Junid yang akan menjadi Menteri Kabinet dan Menteri Besar Kedah. Beliau telah berceramah kepada kami tentang kehebatan-kehebatan orang Melayu.

Di kursus itu kami diberikan bilik asrama berdasarkan bandar-bandar kami di luar negara kelak. Justeru kami dapat mengenali rakan-rakan kami. Walaupun kursus itu hanya 3 hari namun ia adalah satu pengalaman yang amat bermanfaat sebelum kami tinggal bersama-sama di bandar yang asing kepada kami.

Di Lapangan Terbang Subang ketika itu anda perlu berjalan kaki dari bangunan terminal dan menaiki tangga ke pesawat sepertimana penerbangan-penerbangan tempatan Firefly atau Malindo hari ini. Tidak ada jambatan bertutup dari bangunan terminal seperti di KLIA. Orang ramai juga boleh melambai-lambai dari tingkat atas dan tidak ada cermin pemisah. Kaum keluarga dan sahabat handai para pelajar penuh sesak di situ untuk mengucapkan selamat tinggal. Tetapi bukan suasana sedih yang menyelubungi kami kerana kami rasa teruja kerana akan meneruskan satu lagi babak dalam kehidupan kami di negeri orang putih.

Bagi kebanyakan dari kami, ia merupakan kali pertama menaiki kapalterbang. Ketika itu kos menaiki kapalterbang adalah tinggi. Ia adalah sebelum adanya Air Asia, Firefly atau Malindo. Pada saya tidak ada beza dari menaiki keretapi kelas pertama. Perbezaannya adalah ada orang yang menghidangkan makanan dan ada tayangan wayang gambar. Keretapi juga adalah lebih luas. 

Wayang gambar ketika itu ditayangkan di layar di hadapan kerana tidak ada monitor peribadi seperti sekarang. Para penumpang juga perlu menyewa headphone dan ia akan dipulangkan apabila hampir sampai ke destinasi. Selain dari digunakan untuk menonton wayang dengannya mereka juga boleh mendengar pelbagai saluran yang disediakan.

Kami tiba di London pada waktu pagi dan barisan untuk pemeriksaan imigresen cukup panjang. Mungkin terdapat beberapa kapalterbang yang mendarat serentak. Saya tidak bimbang kerana kami telah bersedia dengan visa pelajar yang diperolehi dari Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun selepas pasport kami dicop, kami diminta menunggu untuk diperiksa seorang demi seorang di dalam sebuah bilik. Mereka hanya memeriksa sijil kesihatan kami dan bertanya beberapa soalan sahaja.

Di Heathrow terdapat pegawai-pegawai Malaysia yang menunggu kami. Mereka turut dibantu oleh pelajar-pelajar senior. Dari lapangan terbang kami telah bawa ke kota London. Kami telah menaiki bas dan di dalam perjalanan saya tidak melihat banyak perbezaan di antara Kuala Lumpur dan London. Bangunan-bangunannya ada yang baru dan ada yang lama seperti di Malaysia. Bukan semua adalah bangunan-bangunan yang tinggi. Banyak bangunan-bangunan satu atau dua tingkat. Hanya apabila hampir tiba di pusat bandaraya terdapat bangunan-bangunan yang tinggi dan lebih rapat serta padat. 

Satu perbezaan bangunan-bangunan di London dari di Malaysia adalah kebanyakannya menggunakan batu bata merah yang tidak diplaster ( fair-faced brick ). Di negara kita batu bata diplaster dan kemudian dicat. Sudah tentu kos pembinaan di London lebih mahal kerana mereka perlu memilih batu bata yang berkualiti. Di Malaysia mereka boleh menggunakan apa sahaja jenis batu bata dan kemudian ditutup dengan plaster.

Bas telah menurunkan kami di Sussex Garden, satu jalan yang penuh dengan hotel-hotel kecil yang dikenali sebagai "Bed & Breakfast". Mereka dipanggil sedemikian kerana ia menyediakan katil untuk bermalam ( bed ) dan sarapan ( breakfast ) pada keesokan hari. Kami telah ditempatkan di situ terlebih dahulu dan tidak terus di bawa ke bandar masing-masing. Ada banyak hotel di situ dan kami yang akan ke Southampton diletakkan di dalam satu hotel.

Sussex Garden bertemu dengan Edgeware Road. Hari ini kawasan itu adalah popular bagi masyarakat Arab yang datang ke kota London sama ada untuk bekerja, berniaga, melancong, belajar atau yang melarikan diri dari pemerintah negara mereka. Kali terakhir saya ke sana pada bulan Januari 2019, jalan itu dipenuhi oleh kedai-kedai makan dan kedai-kedai runcit ( mini market ) Arab. Pada tahun 1979 tidak begitu banyak kedai-kedai Arab di situ.

Di London, kami pelajar-pelajar baru telah menghadiri satu siri majlis penerangan dan ceramah. Ianya berkaitan tanggungjawab seorang pelajar dan panduan hidup di United Kingdom. Program telah diadakan di Malaysia Hall yang ketika itu beralamat di 44, Bryanston Square berhampiran dengan stesyen keretapi bawah tanah ( Tube ) Marble Arch. Malaysia Hall merupakan pusat tumpuan rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar. Di situ terdapat pejabat Jabatan Penuntut Malaysia Department ( Malaysian Students atau MSD ), sebuah surau yang didirikan solat Jumaat, asrama pelajar dan sebuah kantin yang menjual makanan Malaysia dengan harga yang cukup murah. Taklimat dan majlis ceramah telah diadakan di tingkat bawah tanah ( basement ) bangunan tersebut iaitu di sebelah dewan makan kantin.

Ketika itu isu yang paling panas adalah masalah orang hanyut Vietnam ( boat people ). Setelah Republik Vietnam Selatan jatuh ke tangan komunis Vietnam Utara dalam tahun 1975, terdapat ramai rakyat negara itu yang melarikan diri menggunakan bot. Ada yang sampai di perairan Malaysia dan ada yang mendarat di pantai negara kita. Media antarabangsa telah melaporkan seorang Menteri berkata kami akan menembak mereka, "We will shoot them". Pegawai yang memberi penerangan kepada kami mengingatkan tentang kemungkinan orang tempatan akan marah kepada orang Malaysia akibat kenyataan Menteri tersebut.

Tanggapan awal saya kota London tidak banyak berbeza dari Kuala Lumpur hanya cuacanya lebih sejuk. Walaupun ketika itu musim luruh ( autumn ) dan belum lagi musim sejuk ( winter ) bagi kami yang pertama kali sampai di England kesejukannya cukup terasa. London adalah bagai satu bilik berhawa dingin ( air con ) yang sungguh besar. Udara ketika itu amat berbeza dari Kuala Lumpur yang penuh asap dan berhabuk. Di London lebih nyaman dan segar.

Ada kisah yang melucukan kali pertama kami tiba di London. Kami ternampak pekerja-pekerja menggali jalan memakai kot. Di Malaysia selalunya yang memakai kot adalah golongan-golongan VIP seperti Menteri-Menteri atau pengurus syarikat-syarikat besar. Mereka dihormati kerana memakai kot dan tali leher. Kami juga menempah kot sebelum ke luar negara. Geli hati kami apabila melihat mereka yang bekerja di tepi jalan pun memakai kot.

BAB 2 - LONDON YANG PELBAGAI WAJAH.

Kebanyakan mereka yang datang ke United Kingdom dari Malaysia akan mendarat di Lapangan Terbang Heathrow. Walau bagaimanapun terdapat banyak lapangan terbang antarabangsa yang lain di United Kingdom. Di antaranya adalah di Gatwick, Stansted dan Manchester. Lapangan terbang ini turut menerima penerbangan dari Asia dan Timur Tengah tetapi Penerbangan Malaysia hanya mendarat di Heathrow. 

Tetapi saya pernah mendengar kawalan imigresen di lapangan terbang yang lebih kecil adalah tidak ketat. Ada seorang rakan saya yang menjangka akan menghadapi masalah dengan imigresen telah memasuki United Kingdom melalui lapangan terbang Cardiff setelah menaiki kapalterbang di Amsterdam. Dari Malaysia dia tidak mendarat di Heathrow tetapi mengambil penerbangan ke Amsterdam.

Mereka yang datang ke United Kingdom untuk melancong pasti akan singgah di kota London. Mereka yang bekerja atau belajar akan terus ke bandar masing-masing tetapi jika mereka menaiki keretapi maka mereka perlu pergi ke stesyen-stesyen keretapi utama di London terlebih dahulu untuk ke tempat mereka.

London adalah bandaraya yang menarik. Ia adalah bandar kosmopolitan. Penduduknya adalah hampir 9 juta orang. Jumlah ini adalah hampir 2 kali ganda penduduk Scotland. Menurut satu kajian di kalangan pelajar-pelajar sekolah pada tahun 2000, terdapat lebih 300 bahasa yang digunakan di rumah-rumah mereka. Satu lagi kajian menunjukkan hanya 44.9 peratus penduduk London berkulit putih. 

Mereka yang hanya datang ke London dan hanya berlegar-legar di kawasan-kawasan yang sering dilawati para pelancong seperti di Oxford Street, Knightsbridge, Trafalgar Square, Leicester Square atau Picadilly Circus sudah tentu menganggap London sebuah bandaraya yang teratur dan kaya dengan sejarah. Ia layak menjadi pusat untuk sebuah empayar yang pernah merangkumi 20 peratus penduduk dunia.

Walau bagaimanapun keadaan adalah berbeza hanya beberapa kilometer dari pusat bandar raya tersebut. London memiliki pelbagai wajah. Wajah-wajah yang amat berbeza dan saya berpeluang merasakannya apabila bekerja dan tinggal di sana.

Selepas tamat pengajian saya dalam bidang Senibina ( Architecture ) di Hull pada bulan Jun 1988 saya telah menulis kepada firma-firma arkitek di seluruh England untuk memohon pekerjaan. Ketika itu keadaan ekonomi di United Kingdom dalam proses pemulihan. Beberapa firma telah memanggil saya untuk ditemuduga. Saya telah ke London, Manchester dan Middlesborough untuk menghadiri temuduga. Akhirnya sebuah firma di London telah menerima saya. Sebenarnya lokasi firma itu bukan di London tetapi di sempadan utara bandaraya tersebut.

Selepas mendapat tawaran pekerjaan saya telah pulang ke Malaysia. Saya telah tiba di Malaysia pada 8 Ogos 1988 atau 8.8.88. Heboh ketika itu tentang tarikh tersebut kerana menurut masyarakat Cina nombor 8 membawa tuah. Kepada masyarakat yang lain ia satu tarikh yang cantik dan yang senang diingat. Ada yang melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut.

Di Kuala Lumpur saya telah mendaftarkan diri di bahagian yang berkaitan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam. Setelah mendaftar, pegawai di situ memberitahu saya bahawa ketika itu tidak ada pekerjaan yang dapat diberikan kepada pelajar-pelajar tajaan mereka yang tamat pengajian.

Justeru setelah berehat lebih kurang satu bulan di Malaysia, saya telah kembali ke London untuk memulakan pekerjaan. Firma di mana saya bekerja terletak di sebuah bandar kecil, Enfield Town. Untuk sampai ke sana saya perlu menaiki Tube dari stesyen-stesyen di London seperti King's Cross atau Covent Garden dan terus ke Oakwood. Dari Oakwood saya perlu menaiki bas untuk ke tempat kerja.

Masalah pertama saya adalah untuk mencari tempat tinggal. Untuk tinggal di tengah-tengah kota London atau Central London sudah tentu terlalu jauh dan terlalu mahal. Akhirnya saya dapat menyewa di High Barnet yang terletak di pinggir kota London. Saya perlu menaiki bas untuk ke Enfield. Walaupun perjalanannya hampir 1 jam tetapi tidak perlu bertukar bas. Bas di sana juga akan tiba tepat pada waktunya dan tidak masalah saya tiba di pejabat sebelum jam 9.00 pagi.

Saya telah bekerja di sebuah firma arkitek yang kecil. Ia dimiliki oleh 2 orang rakan kongsi. Terdapat 5 orang pelukis pelan dan seorang kerani yang juga bertindak sebagai penyambut tetamu. Kebanyakan projek-projek firma ini adalah di sekitar Enfield dan utara London. Nama firma itu adalah William Palmer & Partners tetapi William Palmer tidak lagi bersama firma tersebut. Mungkin telah lama meninggal dunia.

Yang unik tentang firma ini hanya seorang dari 5 orang pelukis pelan adalah orang Inggeris. Dua orang berketurunan Greek, seorang berketurunan Turki dan seorang lagi berketurunan Itali. Mereka lahir di England tetapi datuk nenek mereka bukan dari England. Terdapat ramai orang Turki dan Greek di kawasan di sekeliling tempat saya bekerja.

Pada mulanya saya fikir saya akan menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan halal atau bersolat Jumaat. Saya menjangka saya perlu pergi ke Central London seperti ke Masjid Regents Park atau Malaysia Hall untuk bersolat Jumaat. Mungkin saya terpaksa mengambil masa 2 jam untuk ke sana dan balik semula ke pejabat. Saya tidak fikir boss saya akan membenarkannya. 

Tetapi satu petang ketika saya merayau-rayau di kawasan-kawasan sekeliling pejabat saya, saya terjumpa satu kawasan yang didiami oleh masyarakat Islam berketurunan Bangladesh. Di situ terdapat sebuah masjid dan kedai-kedai mereka. Kawasan itu bernama Ponders End dan saya juga berjumpa dengan pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di situ. Mereka adalah pelajar-pelajar Middlesex Polytechnic yang terletak berhampiran di Bounds Green.

Ponders End adalah sebuah pekan kecil lebih kurang 5 kilometer dari stadium kelab bolasepak Tottenham Hotspurs. Ketika itu ia merupakan "pekan Bangladesh". Jika anda berjalan di situ anda akan berjumpa dengan orang-orang tua berjanggut panjang, berkopiah dan berjubah Tabligh berjalan-jalan. Begitu juga dengan kanak-kanak berketurunan Bangladesh yang berlari-lari.

Saya masih ingat satu kedai yang menjual daging halal dan barangan masyarakat Bangladesh bernama Jalalabad. Kedai itu juga menjual ikan air tawar yang telah dibekukan ( frozen ) yang diminati oleh masyarakat tersebut. 

Saya hairan kenapa kedai itu dinamakan Jalalabad kerana Jalalabad adalah sebuah bandar di Afghanistan bukan di Bangladesh. Mungkin ia ada kena mengena dengan peperangan di Afghanistan ketika itu di mana pejuang-pejuang Mujahidin melancarkan jihad ke atas tentera Soviet yang menduduki negara mereka. Jalalabad dapat terus bertahan walaupun ia di kelilingi oleh pasaraya-pasaraya seperti Tesco dan Sainsbury.

Di Ponders End, penduduk orang berkulit putih adalah hanya 41 peratus. Terdapat ramai yang berketurunan Bangladesh atau Afrika. Hanya 26 peratus orang berkulit putih itu adalah orang British sementara yang lain adalah seperti yang berketurunan Greek dan Irish. Ini jauh berbeza dari High Barnet di mana saya tinggal. Lebih 81 peratus penduduk di situ adalah orang berkulit putih. Dua kali ganda bilangan di Ponders End. Bilangan orang kulit putih British pula adalah 68 peratus.

Perbezaannya dua lokaliti ini bukan sahaja terhad kepada komposisi kaum tetapi juga kepada bentuk bangunan dan perancangan bandar. Rumah-rumah di Ponders End adalah lebih rapat di antara satu sama lain dan tidak banyak kawasan lapang atau pokok-pokok. Tetapi High Barnet adalah kawasan yang boleh digelar sebagai "leafy surburb" atau kawasan pinggir bandar yang berdaun kerana ia dipenuhi dengan pokok-pokok dan kawasan-kawasan terbuka. Lanskap di Ponders End adalah keras tetapi High Barnet adalah lembut.

Walaupun Ponders End dan High Barnet adalah di pinggir kota London namun ia melambang 2 wajah kota itu yang berbeza. Pada saya ia sungguh ketara bagaikan negara yang berbeza. High Barnet adalah England yang anda sering baca dalam buku-buku cerita seperti Agatha Christie atau Enid Blyton.

Walau bagaimanapun saya hanya tinggal di High Barnet untuk beberapa bulan sebelum berpindah ke Ponders End. Perjalanan 1 jam dari rumah saya ke tempat kerja adalah memenatkan. Setiap hari 2 jam masa saya terbuang di dalam bas. Sementara dari Ponders End ke pejabat saya hanya 10 minit kerana ketika itu saya telah membeli kereta. High Barnet memang kawasan yang lebih tersusun dan pemandangan di sana layak untuk menghiasi poster-poster pelancongan namun saya rasa lebih selamat di Ponders End.

Selalunya selepas kerja saya tidak akan balik ke rumah tetapi akan pergi masjid di Ponders End untuk solat Maghrib dan Isyak. Ketika itu waktu Maghrib adalah di antara jam 5.00 hingga 6.00 petang. Sekiranya saya balik terus ke rumah kemungkinan saya akan terlepas waktu Maghrib. Waktu kerja saya adalah sehingga jam 5.00 petang.

Di masjid itu saya telah mendapat kawan-kawan baru. Saya tidak berjumpa dengan masjid di High Barnet dan saya tidak ke pub atau bar justeru tidak berpeluang untuk mengenali masyarakat di sana dengan lebih dekat.

Saya telah cuba bercampur dengan masyarakat tempatan dengan menyertai sebuah kelab badminton di Potters Bar lebih kurang 8 kilometer dari rumah saya. Ketika belajar saya selalu menyertai pelajar-pelajar lain bermain bolasepak atau bermain badminton. Tetapi setelah bekerja tidak ada lagi peluang seperti itu. Itu sebab saya menyertai kelab tersebut, Twenty Badminton Club. Walaupun mereka menjemput saya bermain di dalam liga badminton di situ namun mereka adalah berbeza dari kawan-kawan saya ketika belajar dahulu. Malah berbeza dari kawan-kawan sepejabat saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpindah.