Skip to main content

BAB 14 - ONTARIO "KERAJAAN PEMBANGKANG".

Kebanyakan lawatan-lawatan saya ke luar negara ketika berada di dalam kerajaan adalah berkaitan dengan perumahan atau perancangan bandar. Selaku Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Kerajaan Negeri Selangor saya perlu melihat pengalaman-pengalaman negara lain menyelesaikan masalah perumahan dan perancangan mereka. Tetapi bukan untuk menciplak 100 peratus kerana terdapat banyak perbezaan di antara negara kita dan negara orang yang perlu disesuaikan.

Lawatan saya ke Toronto, Kanada pada bulan Mei 2011 adalah juga bertujuan untuk melihat penyelesaian dan pengalaman mereka. Toronto adalah ibu negeri bagi Ontario. Sistem pemerintahan Kanada adalah lebih kurang Malaysia kerana kedua-keduanya adalah bekas jajahan British. Mereka juga mempunyai kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri atau di sana dipanggil "provincial government". Ontario mempunyai satu persamaan dengan negeri Selangor ketika itu. Parti yang menjadi kerajaan di Ontario adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan. Persamaan ini adalah menarik kerana kami dapat belajar dari pengalaman Ontario sebagai "kerajaan pembangkang".

Saya telah tiba di Toronto dari Los Angeles atau LA, Amerika Syarikat. Sebelum itu saya telah tiba di LA pada hari sebelumnya. Di LA saya telah mengadakan pertemuan dengan seorang arkitek yang terlibat dengan pembinaan rumah-rumah rakyat di sana. Pemaju-pemaju di LA turut terlibat menyediakan rumah-rumah untuk disewa kepada rakyat. Di Malaysia rumah-rumah sewa seperti Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) dibina dan diuruskan oleh kerajaan. Menurut arkitek itu di antara insentif bagi pemaju-pemaju adalah pengurangan cukai ( tax breaks ). Walau bagaimanapun kami tidak boleh melakukannya di Selangor kerana cukai bukan di bawah kerajaan negeri kecuali cukai pintu dan cukai tanah.

Di Toronto rombongan kami dari Selangor telah mengadakan mesyuarat dengan jabatan-jabatan kerajaan di sana. Mereka telah memberi taklimat tentang polisi-polisi dan projek-projek mereka. Kami juga telah melawat projek perumahan mereka sepertimana PPR di sini.

Di dalam lawatan tersebut kami telah diberitahu cara mereka menghukum penyewa-penyewa yang gagal membayar sewa. Rumah-rumah di situ tidak menggunakan kunci tetapi menggunakan kad pintar ( smart card ). Mereka yang gagal membayar sewa akan mendapati kad mereka diblok. Justeru mereka tidak akan dapat memasuki rumah mereka. Tetapi mungkin susah hendak dilaksanakan di Malaysia kerana orang Malaysia sungguh kreatif. Tidak ada masalah untuk mereka menghasilkan klon utk kad pintar mereka.

Satu inisiatif yang menarik di kawasan perumahan itu adalah kebun komuniti. Penyewa-penyewa yang berminat akan diberikan tapak untuk bercucuk tanam. Ianya hanya lebih kurang 6 kaki kali 6 kaki walau bagaimanapun memberi peluang kepada penduduk untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Ia juga secara tidak langsung menggalakkan mereka berinteraksi sesama mereka ketika sama-sama berkebun.

Ketika itu kerajaan Ontario dikuasai oleh Parti Liberal sementara kerajaan pusat dikuasai oleh Parti Konservatif. Kerajaan tersebut dipimpin oleh seorang "Premier" dan memiliki kabinet mereka sendiri. Terdapat 10 "provincial governments" seperti Ontario di Kanada.

Menurut Constitutional Act 1867 ( Akta Perlembagaan ), di antara bidang-bidang yang di bawah kuasa kerajaan-kerajaan tersebut adalah kesihatan, pendidikan, pentadbiran sistem kehakiman, sumber asli tertentu dan cukai-cukai untuk tujuan tempatan. Walau bagaimanapun terdapat juga bidangkuasa yang dikongsi bersama kerajaan persekutuan. Terdapat 29 bidang yang di bawah kerajaan Persekutuan dan 16 di bawah "provincial government".

Saya cuba bertanya dengan pegawai-pegawai kerajaan di sana tentang hubungan mereka dengan kerajaan persekutuan dan mereka menjawab mereka tidak menghadapi sebarang masalah. Saya tidak tahu sama ada mereka benar-benar tidak menghadapi masalah atau mereka tidak mahu memburukkan kerajaan mereka apabila bercakap dengan orang dari luar negara.

Berdasarkan pengalaman saya, jarang terdapat mereka yang akan memburukkan negara mereka sendiri apabila berhadapan dengan orang luar. Ketika menjadi Exco saya pernah menerima kunjungan wakil-wakil kerajaan tempatan dari Catalonia atau Catalunya, Sepanyol. Di Catalonia terdapat satu gerakan pemisah yang kuat. Di dalam satu referendum pada 1 Oktober 2017, lebih 2 juta atau lebih 92 peratus dari mereka yang mengundi mahu berpisah dari Sepanyol. Referendum ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Sepanyol yang telah bertindak tegas terhadap para pemisah.

Saya telah bertanya kepada wakil-wakil dari Catalonia itu  pandangan mereka terhadap kerajaan Sepanyol tetapi mereka agak keberatan untuk menjawab walaupun pemimpin mereka telah ditangkap. Sikap mereka ini berbeza dari sikap sesetengah ahli politik Malaysia yang tidak melepaskan peluang untuk memburuk-burukkan negara apabila berjumpa dengan orang luar.

Parti Liberal tidak dapat bertahan di Ontario dan telah telah kalah pada pilihan raya 2018. Mereka kehilangan 48 kerusi dengan hanya memenangi 7 kerusi. Parti Konservatif Progresif yang memenangi 76 dari 124 kerusi telah membentuk kerajaan. Tetapi sekali lagi Ontario adalah "kerajaan pembangkang" kerana hari ini kerajaan persekutuan diterajui oleh Parti Liberal pimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau.

Di Toronto terdapat satu jalan yang bernama Yonge Street ( sebutannya seperti perkataan Inggeris "young" ). Ia pernah dikenali sebagai jalan terpanjang di dunia. Walau bagaimanapun jalan itu telah dikeluarkan dari senarai jalan terpanjang kerana bahagian jalan tersebut yang bersambung dengan sebuah lebuhraya ( Highway 11 ) tidak dikira lagi sebagai sebahagian dari jalan itu. Akhirnya panjang jalan tersebut hanyalah 56 km dan bukan 1,896 km ketika ia dikenali sebagai jalan terpanjang di dunia. Walau bagaimanapun terdapat penduduk tempatan yang masih menganggap ia sebagai jalan terpanjang di dunia.

Toronto terletak di tebing Tasik Ontario. Tasik tersebut adalah di antara 5 tasik bersambung di Kanada dan Amerika Syarikat yang dikenali sebagai "Great Lakes". 4 lagi tasik lain adalah Tasik Erie, Tasik Huron, Tasik Michigan dan Tasik Superior. Tasik-tasik itu begitu luas. Tasik Ontario yang paling kecil adalah seluas 19,000 km persegi iaitu lebih luas dari negeri Kelantan yang hanya 17,100 km persegi. Panjang maksimanya adalah 311 km dan lebar maksimanya adalah 85 km.

Satu pagi selepas solat Subuh sambil menunggu sarapan pagi, saya duduk di tepi tingkap bilik hotel saya memandang jauh ke arah Tasik Ontario. Hotel saya adalah di tepi tasik tersebut. Ketika itu masuk waktu Subuh adalah sekitar jam 4.30 pagi dan waktu matahari terbit ( Syuruk ) adalah sekitar jam 6.00 pagi. 

Tasik itu yang begitu luas bagaikan lautan dan pemandangan di sekeliling ketika matahari mula menjelma adalah sungguh indah sekali. Beberapa hari sebelum itu rombongan kami telah ke Niagara Falls ( Air Terjun Niagara ) dan keindahan pemandangan di situ memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tetapi saya tidak sekadar menikmati keindahan alam tetapi memikirkan sekiranya Malaysia seindah Canada mungkin orang putih tidak akan balik ke negara mereka. Mungkin mereka akan membunuh kesemua anak negeri sepertimana mereka membunuh penduduk asal di Amerika Utara. Ketika Christopher Columbus tiba di Amerika Utara dalam tahun 1492 dianggarkan terdapat sehingga 15 juta penduduk asal ( Native Americans ) tetapi setelah mereka dikalahkan dalam satu siri peperangan yang dinamakan "Indian Wars" bilangan mereka adalah kurang dari 238,000 pada akhir abad ke 19.

Saya juga terfikir mungkin juga orang putih akan menukar nama negara kita kepada "Rafflesia" sempena nama Stamford Raffles sepertimana mereka menukar nama "Zimbabwe" kepada "Rhodesia" sempena nama tokoh penjajah British, Cecil Rhodes, yang bertanggungjawab di atas pelbagai jenayah terhadap anak negeri di Afrika. Tidak ada Tanah Melayu, tidak ada Malaya dan tidak ada Malaysia. Mungkin juga orang putih akan terus menjadi tuan di negeri ini sepertimana di Australia dan New Zealand di mana anak negeri telah diketepikan.

Di tepi hotel yang saya tinggal terdapat sebuah pejabat penerangan pelancongan. Di situ terdapat pameran tentang masyarakat asal Kanada, kaum Inuit. Dulu kita mengenali mereka sebagai Eskimo tetapi hari ini nama Eskimo tidak digunakan lagi. Walaupun terdapat di antara mereka yang menjadi Menteri namun Kanada tetap milik orang putih. Mungkin begini nasib orang Melayu jika orang putih memilih untuk terus menetap di negara kita.

Di Toronto juga tidak ada masalah untuk mendapatkan makanan halal. Di tepi hotel 5 bintang yang saya tinggal terdapat satu booth menjual burger dan saya terkejut apabila mendapati notis yang menyatakan burger yang dijual adalah halal. Ia di tengah-tengah bandaraya Toronto bukan di kawasan yang didiami minoriti etnik.

Rombongan kami ada pergi makan di sebuah restoran yang menghidangkan masakan Pakistan. Selepas kami memesan makanan ada di antara kami yang bertanya sama ada makanan di situ halal. Tetapi soalan kami terjawab apabila terlihat lambang bulan sabit 786 yang selalu digantung di kedai-kedai India Muslim. Sehingga ke Toronto pun ada  restoran 786.

Pada saya segala-galanya di Toronto adalah baru dan moden. Bandarnya moden, lapangan terbangya moden malah kapalterbangnya juga moden. Rombongan kami telah pulang ke Malaysia melalui London dengan menaiki Air Canada. Dari London kami menaiki Penerbangan Malaysia ke KLIA. Saya juga mendapati imigresen di Kanada tidak cerewet seperti di Amerika Syarikat atau Australia.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi