Orang kata menjadi pembangkang lebih senang dari menjadi kerajaan. Bagi sesiapa yang pernah menjadi kerajaan sudah tentu memahami. Apabila terdapat satu tuntutan atau desakan kepada kerajaan ia akan melibatkan banyak perkara-perkara lain. Kadang-kala walaupun hanya satu perkara yang hendak dilaksanakan namun terdapat sepuluh perkara malah lebih yang perlu dipertimbangkan. Sama ada ia faktor kewangan, faktor perundangan, faktor pentadbiran atau faktor kemanusiaan kesemuanya perlu diambil kira.
Ketika saya Exco Perumahan di Selangor terdapat satu penempatan peneroka bandar ( setinggan ) yang menimbulkan masalah kepada taman perumahan yang bersebelahan. Penyelesaiannya hanya dengan merobohkan penempatan tersebut. Mungkin perobohan akan menyelesaikan masalah penduduk taman tetapi pelbagai perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu. Memang mudah menghantar penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) dan jentolak-jentolak untuk meratakan penempatan tersebut. Pihak Polis juga akan memastikan mereka yang cuba menghalang akan ditahan. Walau bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain.
Pertama di mana hendak menempatkan penduduk selepas rumah mereka dirobohkan. Kedua bagaimana mereka hendak pergi bekerja jika kediaman baru mereka itu jauh dari penempatan asal mereka. Adakah ini akan melibatkan kos tambahan kepada perbelanjaan bulanan mereka? Atau adakah mereka terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu menampung kos perjalanan?
Kerajaan negeri telah menawarkan mereka rumah kos rendah untuk dibeli dengan harga subsidi. Harga yang ditawarkan adalah RM35,000 sebuah tetapi nilainya di pasaran adalah RM80,000. Walau bagaimanapun dari puluhan keluarga yang ditawarkan pada peringkat awal hanya beberapa keluarga sahaja yang mendapat kelulusan pinjaman bank.
Akhirnya kerajaan perlu menyelesaikan masalah ini tetapi ia tidak dapat dilakukan dengan sekelip mata. Jika kerajaan negeri bukan satu kerajaan yang prihatin, mereka boleh merobohkan rumah-rumah di situ dalam masa beberapa jam sahaja tetapi kerajaan perlu memikirkan satu penyelesaian yang komprehensif.
Keadaannya yang hampir sama berlaku apabila terdapat desakan supaya pekerja-pekerja Muslim dihalang dari bekerja di kilang arak di Selangor. Perbincangan awal adalah tentang cadangan untuk menawarkan pekerjaan alternatif kepada mereka. Pelbagai agensi telah dicadangkan untuk membantu mereka yang mahu mencari pekerjaan baharu. Begitu juga dengan isu Pegawai Perhubungan Pelanggan ( GRO ) di mana ada perbincangan tentang betapa perlunya diwujudkan satu program untuk mereka yang mahu mencari pekerjaan yang lain. Kerajaan perlu memikirkan dari A hingga Z.
Isu kilang-kilang haram juga sama. Kerajaan perlu bertindak tegas ke atas kilang-kilang haram terutamanya yang mencemari alam sekitar seperti sungai atau yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat. Walau bagaimanapun perlu ada perancangan yang komprehensif kerana pemilik-pemilik kilang ini mungkin telah kaya raya tetapi pekerja-pekerja kilang yang kehilangan pekerjaan akan paling tekesan. Kita boleh menghantar pulang pekerja-pekerja warga asing tetapi jika mereka adalah warga tempatan maka masalah mereka adalah masalah kita semua.
Itu sebabnya sebuah NGO pernah mencadangkan agar kilang-kilang terlibat dengan pencemaran alam sekitar bukan sahaja perlu ditutup tetapi aset-aset pemiliknya dirampas. Tujuannya mungkin agar aset ini dapat membantu pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan selain dari memulihkan alam sekitar yang dicemari.
Ketika di dalam kerajaan juga terdapat satu isu tentang kakitangan kontrak yang bekerja dengan kerajaan negeri. Ada yang telah bertahun-tahun berkhidmat di dalam kerajaan. Pada mulanya saya menyangka dengan satu arahan dari Menteri Besar perkara tersebut dapat diselesaikan. Namun begitu terdapat pertimbangan-pertimbangan lain yang perlu diambil kira. Ia bukan satu perkara yang mudah.
Walau bagaimanapun lebih susah untuk menjadi pembangkang setelah menjadi kerajaan. Bagi pembangkang yang bertanggungjawab mereka sudah tentu mengetahui kekangan yang dihadapi oleh kerajaan kerana mereka pernah menjadi kerajaan. Mereka boleh menyerang kerajaan bagai orang yang dirasuk hantu tetapi bagi mereka yang mengetahui seperti pegawai-pegawai kerajaan akan menggeleng kepala. Sudah tentu mereka hairan kenapa pembangkang berkata sedemikian walhal mereka patut mengetahui tentang keadaan sebenar kerana pernah dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Lembaga Pengarah GLC atau jawatan-jawatan perlantikan politik yang lain.
Malah lebih memalukan jika mereka menuduh kerajaan gagal melaksanakan sesuatu perkara walhal ketika mereka diberi peluang menjadi kerajaan mereka juga tidak melaksanakannya. Rakyat tidak mudah tertipu. Mereka sudah tentu akan dipersoalkan apabila rakyat menyedari kisah yang sebenar. Sudah tentu ia amat memalukan.
Ketua Penyelaras
29 Julai 2021