Skip to main content

Ustaz Hasan dalam kenangan

Pada jam 2.00 petang hari Isnin 14 Jun 2010 Ustaz Hasan Shukri telah meninggalkan kita.

Ada yang mengingati beliau sebagai bekas Timbalan Presiden PAS. Ada yang mengingati beliau sebagai Naib Presiden PAS, Setiausaha Agung PAS, Ketua Pemuda PAS atau Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Tetapi tentu ramai yang tidak akan melupakan dengan kisah-kisah tahun 60-an dan 70-an yang selalu diceritakan beliau.

Jika dibandingkan cerita orang-orang lama seperti Ustaz Hasan, kita akan terasa begitu kerdil. Satu cerita yang beliau selalu ulangi adalah bagaimana beliau pergi berceramah di Hulu Perak. Ketika itu di kampung-kampung tidak ada bekalan elektrik. Maka terpaksalah mereka membawa bersama pembesar suara dan bateri-baterinya sekali. Saya tidak tahu berapa besar atau berapa banyak bateri yang dibawa tetapi sudah tentu besar dan banyak jika mahu berceramah hingga satu kampung dapat mendengar. Tentunya sebesar bateri lori dan bukan satu atau dua. Jika kereta tidak dapat masuk ke kampung maka terpaksalah dipikul bateri-bateri dan corong-corong pembesar suara.

Ustaz Hasan juga kerap bercerita tentang betapa ganas Umno ketika itu dengan Pemuda Tahan Lasak. Beliau memberitahu jika berjalan malam beliau akan membawa peti yang penuh dengan botol-botol kosong di dalam keretanya. Botol-botol itu dapat digunakan untuk mempertahankan diri jika diserang Umno tetapi tidak dikira sebagai senjata jika ditahan polis.

Ramai orang muda apabila mendengar cerita dari orang-orang lama seperti Ustaz Hasan akan mendengar separuh hati sahaja. Tetapi mereka lupa orang tua pun pernah muda seperti mereka. Mungkin ketika muda lebih hebat dari mereka.

Pada saya kehebatan Ustaz Hasan yang paling saya kagumi adalah ketepatan waktu. Beliau begitu teliti menjaga masa. Kalau ada mesyuarat atau ceramah atau kuliah, beliau tidak akan datang tepat pada waktunya. Tetapi beliau akan datang jauh lebih awal. Banyak kali program-program semasa di Ampang Jaya dulu, Ustaz Hasan yang menyambut pimpinan Kawasan dan ahli-ahli walaupun ianya program Kawasan.

Apabila mengenang kembali ketika di Ampang Jaya dulu sebelum berpecah menjadi Gombak, Ampang dan Pandan, saya tidak akan dapat pisahkan Ustaz Hasan dari kuliyyah Tarbiyyah Haraki di Taman Dagang Jaya. Tarbiyyah Haraki setiap malam Jumaat di Pandan sekarang bermula dari Tarbiyyah Haraki di Ampang Jaya pada awal 90-an. Ketika itu saya adalah Setiausaha PAS Cawangan AU2.

Tarbiyyah Haraki ketika itu dipimpin oleh Ustaz Hasan yang membawa kitab Al-Hikam karangan tokoh Ikhwan Sheikh Abdul Kadir Audah. Ianya bukan malam Jumaat seperti di Pandan sekarang tetapi malam Rabu. Ianya bukan jam 9.30 atau 10.00 malam seperti sekarang tetapi selepas Maghrib. Selepas Maghrib? Ya, selepas Maghrib. Sekarang kita buat jam 10.00 malam pun ahli-ahli susah hendak datang, bayangkan apa akan terjadi kalau kita buat selepas Maghrib.

Tetapi dulu lain sekarang lain. Dulu Ampang Jaya jauh lebih luas dari Pandan. Tetapi ahli-ahli dari Klang Gate pun boleh hadir di Markas PAS Kawasan di Taman Dagang Jaya. Kalau ahli-ahli dari Keramat hendak ke Cheras Indah atau Taman Maju Jaya, terpaksa melalui Jalan Tun Razak. Sekarang hendak melintas MRR2 pun ramai yang malas. Mungkin kita telah terlalu selesa. Mungkin kita menunggu hukuman dari Allah.

Saya sempat bersalaman dengan Ustaz Hasan pada Muktamar di Kota Bharu. Tetapi saya tidak sempat berbual panjang dengan beliau. Ustaz Hasan pernah mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor membina rumah untuk orang-orang miskin dengan wang zakat. Saya berjanji hendak berbincang panjang dengan beliau tentang cadangan itu tetapi sekarang semuanya tinggal kenangan.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...