Skip to main content

JANGAN JADIKAN RAMADHAN BAHAN DAGANGAN

Saya ingin mengingatkan Menteri Pelancongan Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen bahawa bulan Ramadhan bukanlah satu bahan dagangan seperti kain batik yang boleh dijual beli.

Pada 10 Jun lepas, beliau telah mengumumkan bahawa satu Pesta Ramadhan akan diadakan di I-City, Seksyen 7, Shah Alam bertujuan untuk menarik pelancong Arab. Pesta yang akan dianjurkan pada bulan Ogos ini menurut blog beliau akan dipenuhi dengan "food, shopping and fun filled activities" atau "makanan, membeli-belah dan kegiatan bersuka-ria".

Katanya, "Tents will be erected where tourists can do their late night shopping while enjoying buffet spreads including Middle Eastern cuisine and cultural performances ala Samara festivals" atau "Khemah-khemah akan didirikan di mana para pelancong boleh membeli belah sehingga larut malam di samping menikmati makanan termasuk makanan Timur Tengah dan pertunjukan kebudayaan ala pesta Samara".

Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan ibadah. Umat Islam akan berlumba-lumba untuk mengejar ganjaran-ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT yang tidak ada pada bulan-bulan lain. Ganjaran kepada amalan-amalan mereka akan digandakan. Selain dari berpuasa di bulan Ramadhan, pada lazimnya bulan tersebut akan dipenuhi dengan solat-solat sunat seperti solat Tarawih, membaca Al-Quran, menghidupkan malam dengan amalan-amalan sunat seperti solat Tahajud dan bersedekah.

Nampaknya Ramadhan yang mahu dipasarkan kepada pelancong-pelancong Arab oleh Kementerian Pelancongan adalah jauh berbeza dari Ramadhan yang dikenali oleh umat Islam. Makan dan membeli-belah bukannya tidak boleh tetapi ianya bukan perkara yang paling utama pada bulan Ramadhan. Ia tidak sepatutnya menjadi matlamat utama pada bulan tersebut. Tetapi Ramadhan adalah bulan latihan. Melatih umat Islam supaya bersabar, melatih umat Islam supaya memahami akan perasaan fakir miskin yang terpaksa menahan lapar dan melatih umat Islam supaya dapat mengawal hawa nafsu.

Saya tidak hairan Dr. Yen tidak memahami konsep Ramadhan di dalam Islam tetapi saya menyalahkan pemimpin Islam Barisan Nasional yang gagal memberi penerangan tentang kedudukan sebenar bulan Ramadhan di dalam Islam.

Kelantan sejak diperintah oleh PAS telah selama 20 tahun menganjurkan program sempena meraikan bulan Ramadhan yang dinamakan Ihya Ramadhan. Tetapi ianya bertujuan untuk meningkatkan amalan dan ibadat rakyat. Ianya dihiasi dengan berbuka puasa ( iftar ) beramai-ramai, solat tarawih berjemaah, bacaan Al-Quran, tazkirah dan qiyamulail.

Saya bimbang jika cadangan Kementerian Pelancongan ini dilaksanakan, Malaysia akan dikenali sebagai satu negara yang menyediakan program untuk menjauhkan umat Islam dari Allah SWT semasa bulan Ramadhan.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...