Saranan itu telah disokong oleh wakil-wakil negeri lain. Terengganu dan Selangor di antara yang menyokong.
Walau bagaimanapun pada hari kedua ketika membahaskan usul pilihanraya, wakil Shah Alam berbeza pendapat. Kata beliau sebelum adanya PR, PAS tidak mendapat sokongan. Dari apa yang saya faham maksud beliau masa depan PAS adalah bersama PR dan tidak perlu memikir yang lepas-lepas.
Memang kita tetap bersama PR tetapi yang mana satu betul? Mungkin kedua-duanya betul. Kelantan pun betul. Shah Alam juga betul.
Kelantan telah 20 tahun merasai kemenangan. Dari zaman Angkatan Perpaduan Ummah. Sudah tentu mereka mahu menjaga pengundi-pengundi yang telah memenangkan mereka sejak 1990. Itulah undi teras.
Shah Alam pula baru kali ini menang. Sudah tentu wakilnya memberi tumpuan kepada lonjakan undi-undi yang memenangkan mereka dalam tahun 2008. Pengundi-pengundi yang kali ini memilih PAS atau PR.
Pada saya berapa banyak sekalipun undi lonjakan yang kita dapat, semua dari kita ada pengundi teras. Adakah pengundi teras ini boleh kita abaikan?
Setiap pengundi perlu diberi perhatian. Teras, baru, lama, Melayu, Cina, India, Asli dan Portugis perlu diberi tumpuan.
Di kawasan saya Chempaka, saya dapat lebih kurang 12,000 undi. Dalam tahun 2004, saya mendapat lebih kurang 7,000 undi bagi peti-peti undi yang sama. Dulu saya bertanding Parlimen.
Ini bermakna saya boleh anggarkan undi teras saya sekitar 7,000 dan undi lonjakan saya pula 5,000. Mungkin undi teras itu lebih kecil kerana tahun 2004 pun ada undi lonjakan tetapi kita bicarakan itu di lain kali. Apa yang jelas ada undi teras. Mungkin 7,000 dan mungkin 6,000 atau 5,000 tetapi ia satu jumlah yang besar untuk diabaikan. Jika saya hilang undi teras, kerusi Chempaka kemungkinan tumbang.
Bagaimana dengan pengundi-pengundi baru? Bini baru. Di Pandan walaupun nampak seolah-olah kami terlalu menjaga bini baru tetapi ia tidak menjadi isu.
Pada akhir tahun lepas, PAS Kawasan Pandan telah menutup markasnya di Kg. Pandan dan membuka markas yang baru di Pandan Indah. Pada PRU 2008, PAS kalah teruk di peti-peti undi di Kg. Pandan yang terdiri dari 99 peratus pengundi Melayu. Pandan Indah pula di mana kita menang besar adalah kawasan berbilang kaum. PAS juga telah membeli satu rumah 'corner lot' di Pandan Indah.
Adakah PAS telah meninggalkan bini lama di Kg Pandan dan memberi tumpuan kepada bini baru di Pandan Indah? Menutup markas di Kg. Pandan dan membukanya di Pandan Indah 'is a strong political statement'. Ianya satu penegasan bahawa kedudukan PAS di Pandan bukan hanya untuk orang Melayu tetapi untuk semua kaum. Tetapi ia tidak dijadikan isu kerana orang Pandan memahami PAS di Pandan boleh menjaga bini lama dan bini barunya dengan adil dan saksama. Atau orang Pandan telah biasa dengan orang berbini baru!