Skip to main content

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD :
PENJELASAN ISU RUMAH PANJANG PJS1, PETALING JAYA.

Nasib penduduk rumah panjang PJS1, Petaling Jaya telah mendapat perhatian media akhir-akhir ini.

Rumah panjang tersebut merupakan penempatan transit bagi 29 keluarga peneroka bandar sehingga rumah kos rendah mereka disiapkan.

Rumah kos rendah mereka telah mula dibina dalam tahun 2004 pada satu tapak berdekatan tetapi telah mendapat bantahan dari penduduk tempatan yang telah mengambil tindakan mahkamah untuk memberhentikan projek tersebut.

Walau bagaimanapun pada tahun 2009, Kerajaaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah berjaya mendapatkan persetujuan pemaju untuk membina rumah kos rendah ini di tapak alternatif yang bertentangan dengan rumah panjang tersebut.

Sebagai sebahagian dari penyelesaian bagi penduduk rumah panjang itu, setiap keluarga telah pada 4 Mac 2010 ditawarkan RM 10,000 untuk bantuan sewa dan perpindahan ke rumah transit yang lain sehingga rumah kekal mereka siap.

Bantuan sewa dan perpindahan ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju di mana ia akan dibayar secara sekaligus.

Kerajaan Negeri mahu penduduk rumah panjang itu berpindah keluar agar mereka dapat tinggal di dalam keadaan yang lebih sempurna.

Tambahan pula, tapak tersebut diperlukan untuk membina sebuah sekolah kebangsaan.

Walau bagaimanapun tawaran Kerajaan Negeri ini telah ditolak oleh penduduk pada 2 Mei 2010.

Memandangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor merupakan kerajaan yang prihatin, bantuan sewa dan perpindahan ini telah ditambah. Maka pada 12 Mei 2010 setiap keluarga telah ditawarkan RM14, 285.

Walau bagaimanapun tawaran ini hanya diterima oleh 9 buah keluarga.

Akibat dari keengganan penduduk untuk berpindah maka Kerajaan Persekutuan pada 11 Ogos 2010 telah menangguhkan pembinaan sekolah kebangsaan itu.

Kerajaan Negeri telah berusaha bersungguh-sungguh membantu penduduk rumah panjang PJS1.

Adalah tidak benar tuduhan yang mengatakan Kerajaan Negeri tidak memperdulikan nasib mereka.

Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan persetujuan pemaju supaya membina rumah kos rendah mereka di tapak yang baru. Kerajaan Negeri Barisan Nasional telah gagal melakukannya.

Kerajaan Negeri juga telah menawarkan bantuan sewa dan perpindahan kepada penduduk sehingga rumah kos rendah itu siap. Kerajaan Negeri Barisan Nasional telah gagal menawarkannya.

Terdapat maklumat bahawa ada parti Barisan Nasional yang cuba menjadi juara di dalam isu ini. Walau bagaimanapun rakyat tahu Barisan Nasional telah gagal membantu penduduk ketika mereka mentadbir Selangor. Mereka hanya pandai berkokok setelah kehilangan kuasa.

Penyelesaian terbaik bagi penduduk rumah panjang PJS1 adalah dengan menerima bantuan kewangan yang ditawarkan dan berpindah keluar sehingga rumah kekal mereka siap dibina.
Rumah panjang mereka adalah terlalu dhaif untuk dibaikpulih.

Dengan penyelesaian ini, penduduk akan dapat menikmati kediaman yang lebih sempurna dan sebuah sekolah akan dapat dibina untuk ribuan pelajar-pelajar di PJS1.

Hasutan pihak-pihak tidak bertanggung jawab yang hanya memikirkan kepentingan politik dan bukan kepentingan penduduk rumah panjang atau kepentingan seluruh penduduk PJS1 hendaklah diabaikan sama sekali.

Iskandar Abdul Samad
Pengerusi Jawatankuasa Tetap / Exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
24 Mac 2011

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

BAB 15 - HULL, DI MANA PERANG SAUDARA BERMULA.

Hull adalah satu bandaraya di timur laut England dan lebih kurang 200 km dari London. Perjalanan ke London adalah 4 jam dengan kereta atau 3 jam dengan keretapi. Dengan penduduk lebih kurang 250,000 ia adalah bandaraya ke 10 terbesar di Britain. Hull adalah sebuah pelabuhan. Terdapat feri-feri penumpang ke Rotterdam di Belanda dan Zeebrugge di Belgium. Bandaraya tersebut terletak terletak di dalam daerah ( county ) Yorkshire yang unik dengan budayanya yang tersendiri. Yorkshire adalah daerah terbesar di England justeru telah dibahagikan kepada beberapa kawasan pendtadbiran iaitu North Yorkshire, South Yorkshire, West Yorkshire dan East Riding of Yorkshire. Hull terletak di dalam East Riding of Yorkshire atau East Yorkshire dan nama lamanya ketika saya tinggal di sana adalah Humberside. Nama itu ditukar dalam tahun 1996. Saya telah menyambung pengajian saya di Hull dalam bidang Senibina ( Architecture ) setelah menduduki peperiksaan A-Levels. Selepas MCE ( SPM ) saya telah ditawarkan un

BUKAN SEMUA WARGA EMAS CERGAS SEPERTI PAK MAON.

Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 menunjukkan rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dan lebih meningkat dari 3.4 juta ( 2018 ) kepada 3.5 juta ( 2020 ). Dari segi peratusan penduduk, ia adalah peningkatan dari 10.3 peratus kepada 10.7 peratus. Sementara untuk rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat dari 2.2 juta ( 2018 ) kepada 2.3 juta ( 2020 ) atau 6.7 peratus ( 2018 ) kepada 7.0 peratus ( 2020 ).  Peningkatan kumpulan mereka berumur 60 tahun dan lebih ini atau kumpulan Warga Emas bermakna negara dan masyarakat perlu mewujudkan suasana dan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan mereka. Justeru itu dari sudut perancangan bandar dan rekabentuk bangunan pula, ia perlu responsif kepada keperluan-keperluan tersebut. Terdapat undang-undang yang khusus mengambil kira keperluan OKU walau bagaimanapun kumpulan Warga Emas ini juga memiliki keperluan-keperluan mereka yang tersendiri. Kita tidak boleh sama se