Skip to main content

KES YB ELI

Sejak hari Isnin lepas, saya telah mendapat panggilan telefon yang bertalu-talu dari pelbagai wartawan memohon pandangan saya tentang kes yang melibatkan rakan Exco, YB Elizabeth Wong.

Saya telah memilih untuk tidak memberi sebarang ulasan kerana adalah tidak adil untuk memberi komen berdasarkan fakta-fakta yang diterima dari pihak ketiga. Tambahan pula, tujuan kebanyakan media arus perdana hanyalah untuk memberi gambaran yang buruk terhadap Pakatan Rakyat. Contohnya kenyataan akhbar PAS Selangor tentang kejadian ini telah tidak disiarkan dengan sepenuhnya mungkin bertujuan untuk menunjukkan seolah-olah parti-parti Pakatan Rakyat sedang berbalah.

Tiga hari selepas berita yang melibatkan YB Elizabeth mula disiarkan, banyak pandangan dan ulasan telah disiarkan dari pelbagai pihak dan mungkin tidak perlu lagi bagi saya untuk membuat sebarang komen.

Walau bagaimanapun saya ingin menyatakan bahawa saya kurang bersetuju dengan mereka yang berkata Barisan Nasional yang merancang untuk menjatuhkan YB Elizabeth. Saya berpendapat motivasi mereka yang melakukan kerja-kerja terkeji ini mungkin bukan politik semata-mata tetapi juga ekonomi.

YB Elizabeth terkenal sebagai seorang aktivis alam sekitar. Beliau tegas di dalam usaha-usaha untuk melindungi alam semulajadi. Saya yakin ramai yang tidak puas hati dengan ketegasan beliau ini. Sama ada pemaju yang tidak boleh melakukan sebarang pembangunan di cerun kelas 3 dan 4 kerana polisi Kerajaan Negeri yang menghalang pembinaan di cerun-cerun itu atau pemilik kilang yang pernah diambil tindakan kerana mencemar alam sekitar.

Jika ini benar maka saya amat bimbang kerana Exco-Exco lain yang tidak “memihak” kepada pihak-pihak tertentu akan turut menjadi mangsa. Hari ini mungkin foto-foto YB Elizabeth, esok mungkin Exco-Exco yang lain akan diperangkap. Bukan susah untuk memerangkap atau memfitnah seseorang. Seorang lagi Exco, YB Dr. Halimah Ali baru-baru ini difitnah telah ditangkap berkhalwat walhal pada ketika itu beliau berada di dalam satu majlis rasmi dan JAIS menafikannya.

Hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang akan berlaku selepas ini tetapi Selangor mungkin akan kehilangan seorang Exco yang berwibawa, tegas, prihatin dan adil. Beliau lantang memperjuangkan hak seluruh rakyat Malaysia tidak kira dari apa bangsa dan agama sekalipun. Pernah beliau bersungguh-sungguh mempertahankan hak sebuah sekolah agama di Lembah Jaya, Ampang ke atas tanah mereka yang telah diberikan kepada sebuah syarikat pemaju.

Banyak pihak mahu YB Elizabeth dikenakan tindakan jika terdapat sebarang salah laku tetapi trauma yang beliau lalui sejak Isnin lepas mungkin sudah memadai sebagai satu hukuman.

18 Februari 2009
019-2989835

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

PRESTASI MESTI BOLEH DIUKUR .

Sejak bulan September lepas, Cawangan-Cawangan PAS telah mula mengadakan mesyuarat agung mereka yang berakhir pada bulan Oktober. Sementara pada pertengahan bulan November ini kesemua Kawasan-Kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Tahun ini merupakan tahun pemilihan di mana para perwakilan akan memilih pimpinan mereka untuk sesi yang baharu. Di antara agenda utama di dalam mesyuarat-mesyuarat agung tersebut adalah membentang, membahas dan meluluskan laporan tahunan. Sama ada Kawasan atau Cawangan, tanggungjawab untuk menyediakan dan membentangkan laporan tersebut adalah pada Setiausaha masing-masing. Lazimnya penilaian sama ada pimpinan sesi tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggumgjawab mereka adalah berdasarkan laporan tahunan yang dibentangkan walaupun terdapat faktor-faktor lain. Laporan tahunan yang baik adalah yang memberi tumpuan kepada pencapaian-pencapaian pada sesi tersebut. Ia tidak sepatutnya berjela-jela dan akan mengelirukan mereka yang memba

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau U