Skip to main content

PROVOKASI DAN INFILTRASI

Bukan tujuan saya untuk membincangkan dengan panjang lebar tuntutan Hindu Rights Action Force atau Hindraf tetapi sekadar untuk berkongsi pendapat tentang impak perhimpunan 25 November itu.

Tidak seperti perhimpunan Bersih pada 10 November, perhimpunan Hindraf itu kelihatan lebih ganas dengan ramai penyokong Hindraf dan pihak keselamatan mengalami kecederaan.

Berdasarkan beberapa ceramah-ceramah Hindraf sebelum ini sama ada di Pulau Pinang, Banting atau Johor Baharu yang boleh ditonton di dalam laman “YouTube”, suasana panas pada perhimpunan Ahad lepas adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Pada pendapat saya perhimpunan itu mungkin akan memberi dua impak yang besar kepada rakyat terutamanya orang Melayu iaitu :

1. Memori perhimpunan aman Bersih mungkin akan telah terpadam kerana rakyat sekarang telah dihantui oleh babak baling-membaling dan lempar-melempar penyokong-penyokong Hindraf.

2. Orang Melayu mungkin akan merasa terancam dengan apa yang dilihat sebagai kebangkitan Hindu dan seperti biasa UMNO akan melompat ke dalam gelanggang menyanyikan lagu lama, “Marilah kita bersatu di dalam UMNO”.

Di saat dan ketika saham UMNO jatuh menjunam setelah rakyat berjaya mencabar pantang Pak Lah dengan megadakan perhimpunan lebih 100,000, kehadiran Hindraf seolah-olah satu rahmat kepada mereka. Adakah ia satu kebetulan?

Saya tidak berkata bahawa Hindraf ini didalangi oleh UMNO tetapi infiltrasi dan provokasi sudah sekian lama menjadi taktik mereka.

Siapa yang sebenarnya membaling batu pada 25 November lepas?

Siapa yang melempar kayu?

Siapa yang memecahkan tingkap?

Siapa yang melaungkan slogan-slogan perkauman?

BERWASPADALAH SELALU

Sebagai parti bukan kerajaan PAS walaupun di peringkat Cawangan sekalipun akan terdedah kepada pelbagai tindakan provokasi dan infiltrasi.

Pandangan saya bukanlah angan-angan kosong disebabkan terpengaruh dengan filem-filem James Bond atau novel-novel John Le Carre, tetapi ianya berdasarkan pengalaman kita di Pandan.

Pernah sekali Pemuda kita telah merancang satu demonstrasi dan maklumat hanya dihantar melalui SMS begitu lewat kepada penerima-penerima yang terpilih. Walau bagaimanapun dalam masa beberapa jam sahaja saya mendapat panggilan telefon daripada seorang SB bertanyakan tentang demonstrasi tersebut.

Bagaimana SB itu mengetahui?

Di dalam satu kejadian lain, saya pernah menghantar SMS kepada hanya beberapa orang individu memohon bantuan mengedar risalah.

Tetapi di dalam masa yang singkat saya menerima SMS dari nombor yang tidak saya kenali mengutuk PAS kerana kononnya tidak mempunyai tenaga kerja untuk mengedar risalah. Tujuan SMS itu adalah untuk melemahkan semangat kita.

Saya tidak mengatakan di antara kita terdapat “musang berbulu ayam” kerana SMS malah percakapan telefon kita boleh dipintas dengan begitu mudah tetapi kita seharusnya berhati-hati.

BIJAK MENGENALPASTI ANCAMAN

Tambahan pula dengan pilihanraya yang akan muncul bila-bila masa, pelbagai serangan akan dihalakan kepada kita.

Kita tetap dengan prinsip “bersangka-baik” tetapi kita mestilah bijak di dalam mengenalpasti ancaman kepada jemaah.

Ustaz Sidek Noor pernah memberitahu bahawa ketika beliau ditahan di bawah ISA, beliau mendapat tahu bahawa salah seorang tuan rumah tempat beliau berceramah adalah seorang SB.

Kadang-kala yang membawa beg Ustaz pun SB!

Di saat-saat seperti ini jika ada yang muncul, menjanjikan segala-galanya tetapi janganlah kita terlalu terpesona sehingga kepentingan jemaah diabaikan.

Kita teleh bekerja keras untuk mewujudkan perpaduan di antara kita dan memantapkan jentera kita, janganlah di saat-saat kita akan turun berperang segala-galanya hancur begitu sahaja.

APA FOKUS KITA?

Sebagai sebuah jemaah Islam, tanggungjawab kita merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Sama ada politik, ekonomi, dakwah atau pendidikan, kesemunya patut menjadi sebahagian dari agenda kita.

Ungkapan klasik Ustaz Hassan Shukri bahawa PAS adalah sebuah badan dakwah, parti politik dan gerakan massa tidak akan dilupakan oleh kebanyakan kita.

Tetapi persoalannya adakah kita mempunyai kemampuan untuk melakukan segala-galanya dengan sumber-sumber yang terhad.

Banyak NGO-NGO Islam bertindak mengkhususkan gerakerja mereka kepada beberapa aspek sahaja.

Contohnya JIM mungkin ke hadapan di dalam aspek pendidikan dan perkaderan di kalangan profesional, ABIM dengan hubungan antarabangsa dan dakwah kepada non-Muslim sementara Tabligh pula berusaha mengajak orang ramai ke masjid dan surau.

Secara menyeluruh PAS melakukan semua itu namun di peringkat Kawasan-Kawasan dan Cawangan-Cawangan terdapat pengkhususan tetapi sepatutnya tanpa sebarang pengabaian.

Setiap individu mempunyai minat dan kepakaran masing-masing. Jika minat dan kepakaran ini dihalakan ke arah yang sepatutnya maka natijah yang baik bagi jemaah akan diperolehi.

Tetapi jika kita memaksa seseorang melakukan sesuatu yang tidak disukainya maka natijahnya buruk bagi jemaah.

Kita perlu mencari orang yang sesuai bagi setiap pekerjaan.

MINAT ORANG PANDAN

Di Pandan kita melihat bagaimana Muslimat telah memberi fokus kepada aspek-aspek kebajikan dan kemasyarakatan.

Pada Ramadhan yang lepas, berbelas ribu RM telah dapat dikutip untuk diinfakkan kepada yang memerlukan.

Muslimat juga menempa sejarah apabila berjaya menyelesaikan masalah seorang mangsa Along, satu tugas yang selalunya dilakukan oleh Michael Chong dari Pusat Khidmat MCA walaupun ramai mangsa Along terdiri dari orang-orang Melayu.

Kadang-kala kita memilih-milih siapa hendak dibantu tetapi apabila mereka ini disambar oleh NGO bukan Islam atau lebih parah lagi gerakan “missionary” Kristian, kita hanya pandai berceramah sahaja!

Pemuda kita pula dengan minat dan pengkhususannya tersendiri.

Tahniah kepada pimpinan Pemuda yang telah menjadikannya sebuah entiti perniagaan yang berjaya. Lengkap dengan aset-aset yang berharga dan berupaya memberikan pendapatan kepada ahli-ahlinya.

Kestabilan ekonomi amat penting dan kita masih ingat bagaimana kejayaan Al-Arqam dan Rufaqa’ amat dicemburui.

Sama ada di dalam dakwah atau di dalam politik, kestabilan ekonomi juga penting.

Di dalam dakwah, minyak kereta perlu diisi untuk ke sana dan ke mari!

Di dalam politik, kestabilan ekonomi sedikit sebanyak juga dapat membina keyakinan.

Itu sebabnya MCA tidak menghormati UMNO. Itu sebabnya MCA boleh mengugut UMNO. Itu sebabnya MCA tidak menghiraukan UMNO. Sebab MCA lebih kaya dari UMNO.

20 Zulkaedah 1428 / 30 November 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...