Saturday, April 3, 2010

Turun Padang SKC, Hulu Selangor.

110 bekas pekerja kapal korek South Kinta Company telah mendapat geran tanah.

Walaupun operasi melombong telah diberhentikan dalam tahun 1995, para pekerja terus tinggal di kuarters pekerja. Tanah kuarters itu akhirnya menjadi tanah kerajaan semula.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah meluluskan permohonan tanah dari mereka sebelum ahli Parlimen Hulu Selangor pulang ke rahmatullah. Oleh itu, pemberian geran ini bukan satu gimik politik untuk pilihanraya kecil.

Tadi kami terpaksa ke Perak dulu untuk ke SKC. Kena ambil Lebuhraya Utara Selatan dan keluar di Slim River. Ikut jalan lama dan masuk simpang ke Kuala Slim hingga jumpa jalan estet.

Thursday, April 1, 2010

Boleh tahan!

Lontong di Restoran Kampung Pandan Indah depan MPAJ boleh tahan.

Kuahnya lemak bukan cair macam banyak tempat.

Tapi restoran ini bukan 24 jam. Saya tak suka makan di restoran 24 jam untuk sarapan pagi kerana ia selalu kotor sebab telah semalaman dibuka.

PAS SELANGOR AKAN MEMASTIKAN CALON PKR MENANG DI HULU SELANGOR

Saya memberi jaminan bahawa ahli-ahli PAS di Selangor akan bekerja keras untuk memastikan calon Pakatan Rakyat dari Parti Keadilan Rakyat memenangi pilihanraya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Jentera pilihanraya PAS Selangor akan dikerahkan untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Pakatan.

Khabar-khabar angin bahawa PAS mahukan kerusi tersebut adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Walaupun PAS telah bertanding di kerusi tersebut pada Pilìhanraya Umum 2004 melalui calonnya, Dato' Ismail Kamus tetapi kami di Selangor berpendirian pengagihan kerusi sepertimana Pilihanraya Umum 2008 patut dikekalkan.

Usaha-usaha Barisan Nasional untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat akan gagal. Kami tidak akan termakan dengan umpan mereka. Ia hanya menunjukkan bahawa Barisan Nasional kehilangan arah dan akan tewas di Hulu Selangor.

Iskandar A. Samad
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
1 April 2010

Sunday, March 28, 2010

Borang Permohonan Rumah Kos Rendah RM2 Bukan RM300.

Borang permohonan untuk membeli rumah kos rendah adalah hanya RM2 sekeping. Oleh itu, saya amat terkejut apabila menerima aduan bahawa terdapat mereka yang menawarkan borang-borang tersebut dengan harga setinggi RM300. Saya menasihatkan mereka yang ditawarkan borang-borang itu lebih tinggi dari harga yang sebenar agar membuat laporan Polis atau melaporkanya terus kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor di Shah Alam.

Borang-borang itu boleh didapati dari Lembaga Perumahan atau dari mana-mana Pejabat Daerah. Kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen untuk mengedarkan borang-borang tersebut. Kerajaan negeri juga tidak melantik mana-mana pihak untuk memproses sebarang permohonan. Semua permohonan akan diproses oleh Lembaga Perumahan. Oleh itu, dakwaan bahawa ada pihak yang boleh membantu mendapatkan kelulusan untuk membeli rumah kos rendah adalah tidak benar.

Rumah-rumah kos rendah dibina oleh pemaju tetapi mereka tidak boleh menjualnya terus kepada sesiapa sahaja. Mereka yang hendak membeli rumah kos rendah mesti mendaftar dengan Lembaga Perumahan dengan menyata lokasi yang hendak dibeli.Hanya mereka yang layak akan dibenarkan membelinya. Peraturan ini perlu kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi rumah-rumah kos rendah terutamanya bagi kawasan-kawasan seperti Ampang dan Petaling Jaya. Terdapat senarai menunggu atau "waiting list" yang panjang bagi kawasan-kawasan tersebut.

Ianya juga untuk mengelakkan penyelewengan di mana mereka yang tidak layak dapat membeli rumah-rumah kos rendah.Hanya mereka berpendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 sebulan layak membeli rumah.

Untuk memudahkan borang-borang itu diperolehi oleh rakyat, saya akan mengarahkan Lembaga Perumahan mengedarkan borang-borang itu juga kepada pihak berkuasa tempatan. ADUN-ADUN adalah juga dinasihatkan membeli borang-borang itu dan meyimpannya di pusat khidmat mereka.

Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Tetap Jawatankuasa
Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
23 Mac 2010

Wednesday, March 17, 2010

TINDAKAN MESTI DIAMBIL KE ATAS SETINGGAN WARGA ASING

Kerajaan Negeri Selangor menafikan bahawa polisi berunding dengan penduduk setinggan sebelum melakukan perobohan telah mengakibatkan penempatan-penempatan setinggan warga asing di negeri ini tidak terkawal. Terdapat tuduhan yang mengatakan kawasan-kawasan tersebut merupakan punca kepada kegiatan-kegiatan jenayah.

Saya ingin menjelaskan di sini bahawa pengecualian perobohan untuk rundingan hanyalah untuk rumah kediaman warganegara Malaysia yang dibina sebelum Jun 2008. Oleh itu, penempatan setinggan warga asing tidak dikecualikan dari tindakan perobohan.

Perobohan penempatan-penempatan warga asing telah dilaksanakan seperti di Ampang dan Petaling Jaya.

Kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat tetapi tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan.

Pihak-pihak berkuasa tempatan sedia maklum akan tindakan yang perlu diambil ke atas semua penempatan-penempatan warga asing.

Mereka mesti mengambil tindakan segera ke atas sebarang usaha untuk mewujudkan penempatan baru.

Adalah lebih rumit untuk mengambil tindakan sekiranya sebuah kampung telah terbina tetapi tindakan mesti diambil juga.

Iskandar A. Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
17 Mac 2010

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...