Skip to main content

PERUTUSAN 1SYAWAL 1436 DARIPADA YB DATO' ISKANDAR ABDUL SAMAD, NAIB PRESIDEN PAS / PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR : BAKTI UNTUK SEMUA

Di dalam kesempatan pada pagi 1 Syawal tahun ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri kepada seluruh umat Islam.

Saya juga menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang salah silap yang telah berlaku.

Semoga hubungan yang terjalin di antara kita akan terus berkekalan.

ISTIQAMAH TINGKATKAN AMAL IBADAH

Alhamdulillah kita telah berjaya menunaikan ibadah puasa pada sepanjang bulan Ramadhan yang baru lalu.

Bukan sahaja berpuasa tetapi mempertingkatkan amal-amal ibadah pada bulan yang penuh berkat itu.

Semoga kita terus istiqamah dan meneruskan usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

KUKUHKAN PERSAHABATAN

Suasana riang gembira pada bulan Syawal ini merupakan satu peluang untuk mengukuhkan persahabatan sesama kita.

Persahabatan bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi di kalangan seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Tingkatkanlah persefahaman di antara kita. Hormatilah satu sama lain. Elakkan sebarang perasaan curiga mencurigai yang boleh menggugat kestabilan dan kesejahteraan masyarakat. Jangan dilayan sebarang provokasi.

DOA UNTUK UMAT ISLAM YANG DITINDAS

Ketika kita meraikan kemenangan pada 1 Syawal tahun ini, jangan pula kita lupa kepada umat Islam yang sedang menghadapi tekanan dan penindasan yang berterusan di negara-negara mereka.

Di samping menghulurkan sumbangan dan bantuan, teruskan berdoa untuk saudara sesama Islam kita seperti di Palestin, Myanmar dan Xinjiang. Semoga mereka dikurniakan kekuatan untuk menghadapi pelbagai cabaran itu.

RAHMAT UNTUK SEMUA

Islam adalah rahmat bagi sekalian alam. Satu konsep yang telah wujud sejak lebih 1,400 tahun dahulu. Maka menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk memastikan keindahan Islam itu dapat dirasai oleh setiap anggota masyarakat sama ada yang Muslim atau sebaliknya.

Sehubungan itu, saya yakin Cawangan-Cawangan PAS apabila digerakkan dapat memainkan peranan tersebut dan dapat membetulkan imej Islam yang sentiasa diburuk-burukkan oleh media Barat.

Terdapat ribuan Cawangan PAS di seluruh negara dan di Selangor sahaja terdapat hampir 1,000 Cawangan. Sudah tentu mereka akan dapat memberi impak yang begitu besar kepada rakyat.

MEMIMPIN MASYARAKAT

Cawangan-Cawangan mesti berupaya memimpin masyarakat dan tidak bersikap eksklusif dari aspek pendekatan dan program.

Amalkan politik Islam yang sebenar. Mencari keredhaan Allah dan bukan habuan-habuan dunia. Berkhidmat dengan ikhlas, amanah dan jujur. Bukan mengejar kedudukan atau jawatan. Terus istiqamah di dalam jemaah walaupun tidak memegang apa-apa jawatan.

Pamerkan pekerti yang mulia. Tidak perlu menghina atau mencerca. Tidak perlu mencampuri urusan yang tidak melibatkan diri kita.

SABAR DAN BIJAKSANA

Didiklah masyarakat dengan sabar dan bijaksana agar mereka memahami bahawa Islam adalah satu cara hidup yang lengkap.

Bukan hanya sekadar ibadat-ibadat khusus seperti solat, puasa dan menunaikan fardhu haji. Tetapi terdapat juga politik Islam, perundangan Islam dan ekonomi Islam.

BAKTI UNTUK SEMUA

Negara kita dibelenggu dengan pelbagai masalah yang amat membimbangkan kita semua. Kehidupan rakyat semakin tertekan akibat peningkatan kos sara hidup.

Negara perlu diselamatkan dan rakyat perlu dibela. Jangan kita hilang fokus. Tetapkan sasaran-sasaran. Taburkan bakti untuk semua.

YB Dato' Iskandar Abdul Samad
Naib Presiden PAS
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
1 Syawal 1436 / 17 Julai 2015

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

PRESTASI MESTI BOLEH DIUKUR .

Sejak bulan September lepas, Cawangan-Cawangan PAS telah mula mengadakan mesyuarat agung mereka yang berakhir pada bulan Oktober. Sementara pada pertengahan bulan November ini kesemua Kawasan-Kawasan telah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing. Tahun ini merupakan tahun pemilihan di mana para perwakilan akan memilih pimpinan mereka untuk sesi yang baharu. Di antara agenda utama di dalam mesyuarat-mesyuarat agung tersebut adalah membentang, membahas dan meluluskan laporan tahunan. Sama ada Kawasan atau Cawangan, tanggungjawab untuk menyediakan dan membentangkan laporan tersebut adalah pada Setiausaha masing-masing. Lazimnya penilaian sama ada pimpinan sesi tersebut telah melaksanakan tugas dan tanggumgjawab mereka adalah berdasarkan laporan tahunan yang dibentangkan walaupun terdapat faktor-faktor lain. Laporan tahunan yang baik adalah yang memberi tumpuan kepada pencapaian-pencapaian pada sesi tersebut. Ia tidak sepatutnya berjela-jela dan akan mengelirukan mereka yang memba

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau U