Skip to main content
BEZANYA FORMULA PERPADUAN UMNO DAN PAS

Pada pilihanraya kecil DUN Batu Talam baru-baru ini, calon BN telah hanya berhadapan dengan seorang calon bebas kerana parti-parti pembangkang telah bertindak memboikot pilihanraya tersebut.

Walau bagaimanapun dalam tahun 1993, PAS telah meletakkan calon pada satu pilihanraya kecil di dalam DUN yang sama menentang calon UMNO. Pilihanraya kecil terpaksa diadakan kerana ADUN kawasan tersebut telah maut di tangan Mona Fandey dan rakan-rakannya.

Ketika itu kami dari Ampang Jaya (sekarang telah menjadi Ampang dan Pandan) telah ditugaskan membantu jentera pilihanraya PAS di sana dan telah ditempatkan di daerah mengundi Ulu Sungai dan Gali Tengah.

Haji Sarom Jais sebagai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan (ketika itu belum ada lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua) telah mengetuai petugas-petugas kita di Ulu Sungai dan saya sebagai Setiausaha PAS Kawasan berada di Gali Tengah.

Ketika kami berkempen, hati-hati kami telah disedapkan dengan satu cerita kononnya berlaku perpecahan di kalangan pimpinan UMNO.
Kononnya sebelum ini Ketua Pemuda di sana berhasrat untuk menjadi wakil rakyat tetapi gagal mendapat sebarang kerusi. Beliau kemudian telah dilantik menjadi seorang Senator.

Perpecahan ini dikatakan akan menguntungkan PAS.

Walau bagaimanapun, cerita tersebut hanyalah satu dongengan seperti cerita naga di Tasik Cini. Tidak kelihatan ahli-ahli UMNO beramai-ramai memberi sokongan kepada pembangkang. Akhirnya PAS yang diwakili oleh Tengku Puji Tengku Abdul Hamid telah kalah.

Cerita yang sama kerap kita dengar di mana-mana. UMNO akan berpecah. Ramai ahli-ahli UMNO tidak bersetuju dengan calon mereka. UMNO sedang menghadapi krisis dan banyak lagi khabar-khabar angin yang tersebar ketika pilihanraya.

Tetapi adakah perpaduan di dalam UMNO itu begitu mantap? Adakah ahli-ahli UMNO itu begitu taat kepada pemimpin mereka? Mereka boleh bergaduh dan bertumbuk mengejar jawatan dan projek tetapi akan tetap mengundi BN.

Pada pendapat saya duit, benda dan jawatan yang menyatukan mereka.

Mungkin ada yang hendak menjadi calon tetapi tidak terpilih maka mereka akan dilantik sebagai Senator atau ahli majlis perbandaran. Projek dan duit boleh diagih-agihkan untuk menutup mulut mereka yang gagal mendapat jawatan-jawatan penting.

Tetapi perkara yang sama tidak akan berlaku di dalam PAS. Jika berlaku perbezaan pendapat atau perselisihan di dalam PAS maka tidak ada jawatan atau projek untuk meredakan kemarahan mereka yang tidak puas hati.

Hanyalah rasa takut kepada Allah dan keikhlasan di dalam perjuangan akan memastikan perpaduan di dalam jemaah kita terus kekal. Hanyalah kesediaan kita untuk berlapang dada dan bermaaf maafan akan memastikan tidak ada sesiapa yang memencil diri atau beruzlah.

Jika ahli-ahli bekerja bukan untuk mencari keredhaan Allah maka PAS lebih senang dijangkiti “virus” dari UMNO.

Maka mesyuarat akan menjadi tempat menuding jari. Mesyuarat menjadi medan untuk bertempur dan UMNO akan bersorak gembira.

Janganlah kita suka membesar-besarkan kelemahan sahabat-sahabat kita. Berikan tumpuan kepada kelebihan mereka supaya dapat dimanfaatkan untuk jemaah.

Nyahkan segala penyakit-penyakit hati yang akan menghancurkan kita dari dalam. Janganlah sampai anda menjadi “virus” kepada jemaah.

TAHNIAH PENDUDUK BROGA

Tahniah kepada penduduk Broga yang telah berjaya memaksa kerajaan membatalkan hasrat untuk membina sebuah insinerator di kawasan mereka.

Tahniah kepada Zulkifli Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang telah dipilih oleh penduduk untuk mengetuai jawatankuasa bertindak mereka. Walaupun majoriti yang menentang itu berbangsa Cina namun mereka telah memilih seorang pemimpin PAS sebagai jurucakap mereka.

Broga merupakan bukti bahawa tiada yang mustahil. Tetapi itu orang Cina. Bagi kebanyakan orang Melayu, termasuk orang-orang PAS, rakyat adalah mentimun dan kerajaan adalah durian. Digelek teruk, menggelek pun teruk.

Bagi orang Cina pula, rakyat adalah “boss”, kerajaan adalah kuli.

Itu sebabnya mereka bersungguh-sungguh di Broga. Ceramah, demonstrasi, dialog, mesyuarat, pertemuan dan memorandum adalah perkara biasa. Sebuah filem rencana turut dihasilkan.

Kalau perkara yang sama berlaku kepada orang Melayu, mungkin mereka akan sekadar bising di kedai kopi sahaja!

28 JAMADIL AKHIR 1428 / 13 JULAI 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi