Saturday, March 5, 2011

Ketika sambutan 3 tahun pentadbiran baru Negeri Selangor 5 Mac di Stadium Malawati, Shah Alam.

Terima kasih di atas sokongan rakyat Selangor selama 3 tahun. Semoga kami dapat terus menabur khidmat dan bakti!

Sunday, February 27, 2011

Dialog dan mesra rakyat di Pangsapuri Inai, Pandan Indah 27 Februari 2010.

Acara-acara menarik pagi tadi sempena majlis ramah mesra dan dialog bersama saya sebagai ADUN Chempaka adalah peraduan mewarna kanak-kanak, peraduan menjahit labuci, peraduan menjahit sulam bunga dan sepak raga bulatan. Yang paling bersemangat adalah kanak-kanak kerana hadiah bagi setiap kategori adalah sebuah basikal.

Penduduk telah mengajukan beberapa permintaan dan berkongsi masalah-masalah mereka.

Di antara projek yang saya akan laksanakan adalah Projek Jom Belajar di mana saya akan meja dan kerusi untuk dewan serbaguna pangsapuri itu bagi pelajar-pelajar mengulangkaji pelajaran atau membuat kerja rumah di sana.

Sebelum ini saya membelikan tong-tong sampah untuk mereka dan memasang lampu limpah untuk gelanggang sepak takraw.

Monday, February 21, 2011

ISU PELEPASAN KUOTA PERUMAHAN BUMIPUTERA YANG DIBANGKITKAN OLEH BULETIN UTAMA TV3 PADA 21 FEBRUARI 2011.

Saya menafikan laporan Buletin Utama TV3 bertarikh 21 Februari 2011 bahawa Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menghapuskan kuota perumahan Bumiputera di di negeri ini.
 
Laporan tersebut juga tidak tepat kerana menyebut kuota perumahan Bumiputera di Selangor adalah 30 peratus. Pada hakikatnya kuota tersebut adalah berbeza menurut daerah dan mukim iaitu dari 30 hingga 70 peratus.
 
Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan wakil-wakil pemaju iaitu REHDA dan permintaan pelepasan kuota secara otomatik atau "automatic release" telah dibangkitkan oleh mereka. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri setakat ini belum lagi membuat sebarang keputusan tentang "automatic release" yang diminta oleh REHDA.
 
Kerajaan Negeri telah hanya menubuhkan sebuah syarikat, Syarikat Perumahan Dan Hartanah Selangor, untuk membantu pemaju memasarkan hartanah di bawah kuota Bumiputera. Ini diharapkan dapat meringankan beban para pemaju di samping memastikan pemilikan hartanah di kalangan masyarakat Bumiputera terjamin.
 
Saya berharap masyarakat tidak akan tetipu dengan propaganda yang dimainkan oleh UMNO Barisan Nasional atau media-media mereka.
 
UMNO sentiasa memainkan sentimen perkauman di dalam setiap isu tetapi sebenarnya bersifat hipokrit. Contohnya di dalam isu kuota perumahan Bumiputera, UMNO berkokok kononnya mahu mempertahankan kuota ini tetapi di dalam masa yang sama pemaju-pemaju UMNO juga adalah di antara yang kerap mempertikaikan kuota tersebut.
 
Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
22 Februari 2011

Exco Selangor dirombak?

Penat menjawab soalan dari media dan kawan-kawan sejak semalam tentang berita Exco Selangor akan dirombak. Jawapan saya, saya tidak tahu. Kami tidak pernah bincang di peringkat Exco. Menteri Besar juga tidak pernah membangkitkannya.

Kerajaan Negeri di Selangor adalah pakatan 3 parti. Ia bukan kerajaan 1 parti. Sebarang keputusan sebesar ini perlu dibincang dengan ketiga-tiga parti. Sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor belum lagi menjemput saya atau PAS Selangor untuk membincangkan sebarang rombakan.

Iskandar A. Samad
21 Februari 2011

Coretan YDP Edisi 47 - AKHIRNYA TERDEDAH SIAPA DALANGNYA

Tahun lepas saya telah menghadiri majlis peramian sebuah masjid di Klang oleh DYMM Sultan Selangor. Di dalam titah ucapan Baginda, Baginda telah mengingatkan AJK-AJK Masjid agar tidak membelakangkan Nazir.

Entah kenapa ketika itu saya teringat akan Masjid Nurul Hidayah di Kg. Pandan Dalam. Mungkin disebabkan saya telah menerima aduan bagaimana terdapat AJK, Imam dan Bilal masjid itu yang tidak menghormati sehingga membelakangkan Nazir.

Malah saya mendapat laporan bahawa ada di antara mereka yang telah pergi terus kepada Pegawai Agama Islam Daerah atau PAID untuk memburukkan-burukkan Nazir.

Saya amat terkejut akan perkara ini kerana Nazir dipilih oleh ahli kariah dan sekiranya terdapat sebarang perselisihan faham maka ia seharusnya diselesaikan secara bermusyuwarah atau di dalam mesyuarat.

Saya telah cuba untuk tidak mencampuri urusan masjid dan hanya memberi pandangan kepada Nazir dan beberapa AJK. Walau bagaimanapun saya amat terkejut apabila menerima laporan bahawa nama saya telah turut disebut oleh kumpulan ini kepada PAID.

Walau bagaimanapun saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak masuk campur. Saya difahamkan mesyuarat demi mesyuarat telah diadakan untuk menyelesaikan kekusutan.

Walaupun perkara ini berlarutan namun program-program Masjid Nurul Hidayah diteruskan seperti biasa. Saya telah menghadiri beberapa program tersebut. Syabas kepada Nazir dan AJK-AJK yang telah bertungkus lumus untuk memastikan program-program di masjid itu tidak terjejas walaupun menerima pelbagai tekanan.

Tetapi akhirnya untuk menyelesaikan masalah, pada 19 Januari lepas telah diadakan pertemuan di antara PAID dengan Nazir, AJK-AJK, Imam dan Bilal. Saya telah dijemput oleh PAID untuk hadir bersama. Tetapi saya telah memilih untuk tidak masuk campur dan hanya menghantar wakil.

PAID telah mengarahkan mereka mengadakan satu mesyuarat khas dan melaporkan kepada beliau keputusan-keputusan yang dibuat. Saya yakin keputusan-keputusan mesyuarat ini kita semua telah tahu kerana ianya telah tersebar luas di dalam akhbar-akhbar tabloid. Seorang AJK, dua orang Imam dan seorang Bilal telah dilucutkan jawatan. Mereka yang dilucutkan jawatan telah melaporkannya kepada akhbar.

MENUMBUK AJK, MENYERANG IMAM

Walau bagaimanapun perkara ini tidak selesai di situ. Terdapat mereka yang telah dilucutkan jawatan telah menumbuk seorang AJK yang lain. Bukan sekali tetapi dua kali. Sekali di dalam masjid selepas solat Subuh dan sekali lagi di luar masjid juga selepas solat. Ada di antara mereka yang telah mengganggu majlis ilmu sehingga terpaksa dibatalkan. Menjerit-menjerit dan merampas mikrofon. Seorang lagi pula telah membawa pemuda-pemuda untuk menyerang Nazir. Ada yang melaporkan kepada saya bahawa pemuda-pemuda itu adalah Pemuda UMNO tetapi saya tidak akan menuduh sehingga mendapat bukti-bukti yang kukuh.

Walau bagaimanapun beberapa hari selepas mesyuarat khas itu, keadaan menjadi tenang kembali. Aktiviti-aktiviti masjid berjalan seperti biasa.

Akhirnya setelah bertemu dengan Nazir serta AJK beliau, saya telah menulis surat kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar mengesahkan pelucutan-pelucutan yang dilakukan. Saya telah memerhatikan perkembangan perkara ini sejak sekian lama. Sebagai ADUN saya tidak boleh selamanya berdiam diri.

Malah saya adalah juga seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor atau Exco. Mereka yang dilucutkan jawatan berkata mereka dilantik oleh DYMM Sultan. Saya juga dilantik oleh DYMM Sultan. Malah saya menerima terus surat watikah saya dari Baginda, mengangkat sumpah di hadapan Baginda dan di istana Baginda.

Saya tidak boleh membiarkan beberapa individu memecah belahkan masyarakat. Ini tanggung jawab saya. Saya tidak boleh membiarkan mereka yang tidak patuh kepada titah Baginda agar tidak membelakangkan Nazir terus bermaharaja lela. Saya amat bersetuju dengan titah Baginda, jika AJK, Imam atau Bilal tidak menghormati Nazir dan AJK lain maka akan hancurlah masjid kita.

Ada yang mempertikaikan pelucutan ini dari sudut undang-undang. Tetapi mesyuarat khas tersebut mendedahkan sikap dan keperibadian mereka. Menumbuk dan menyerang Nazir dan AJK. Adakah mereka masih layak untuk terus memegang jawatan-jawatan tersebut? Mencetuskan huru-hara di dalam masjid. Wajarkah masyarakat menerima mereka lagi?

Tetapi mengejutkan apabila saya mendapat tahu dari laman web Pemuda UMNO Pandan bahawa salah seorang yang terlibat mencetuskan kekecohan ini adalah Pengerusi Biro Dakwah mereka. Rupa-rupanya beginilah Pemuda UMNO berdakwah. Maka telah terbongkarlah siapa dalangnya yang sebenar.

Setiap kejadian ada hikmahnya. Saya berharap agar selepas kejadian ini masyarakat kita di Kg. Pandan akan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Marilah kita mengambil sambutan Maulidur Rasul tahun ini sebagai satu titik permulaan yang baru. Kita ada banyak kerja yang hendak dilakukan. Marilah kita memandang ke hadapan.

Sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan, saya memberi jaminan PAS tidak akan membawa politik kepartian ke dalam mana-mana masjid. Tetapi sesiapa yang mengapa-apakan ahli PAS bersedialah menerima padahnya.

Tinta YB dari Selangor Kini

POLIS BANTUAN : MENTERI DALAM NEGERI TERLALU ANGKUH.

Saya amat terkejut apabila Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, menolak cadangan Menteri Besar Selangor untuk mewujudkan Polis Bantuan di beberapa bandar raya dan bandar di Selangor. Sepatutnya beliau yang merupakan Menteri yang bertanggung jawab ke atas keselamatan awam mengalu-alukan cadangan dari Kerajaan Negeri Selangor demi kebaikan rakyat.

Wakil-wakil rakyat seperti saya kerap menerima tuntutan dari rakyat supaya pihak Polis membuka lebih banyak balai Polis atau pondok Polis. Mereka juga mahu pihak Polis mempertingkatkan lagi rondaan. Tetapi apabila tuntutan-tuntutan ini kami kemukakan kepada pihak Polis, jawapan yang kami selalu terima adalah kami tidak cukup anggota.

Saya juga pernah memberitahu bekas Ketua Polis Negeri Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar, bahawa saya bersedia membina beberapa pondok Polis di dalam kawasan saya dengan menggunakan peruntukan saya. Walau bagaimanapun beliau menjawab pihak Polis tidak menjamin dapat membekalkan pondok-pondok itu dengan anggota yang diperlukan.

Negara kita tidak mempunyai jumlah anggota Polis yang mencukupi. Nisbah anggota Polis kepada penduduk di negara kita ( 1 anggota untuk 1,424 orang penduduk ) adalah lebih tinggi dari di negara-negarg jiran kita seperti Singapura ( 1 anggota untuk 295 orang penduduk )dan Thailand ( 1 anggota untuk 228 orang penduduk ). Malah ia adalah lebih tinggi dari nisbah yang dicadangkan oleh Polis Antarabangsa atau Interpol iaitu 1 anggota untuk 250 orang penduduk. Tetapi kenapa Menteri yang bertanggung jawab begitu angkuh apabila mendengar cadangan Menteri Besar Selangor itu? Sepatutnya beliau sekurang-kurangnya mendengar terlebih dahulu apa yang hendak dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat tidak mahu lagi menuding jari kepada pihak Polis apabila rakyat bertanya kenapa jenayah berlaku di mana-mana atau kenapa tidak cukup anggota Polis. Hasrat untuk menubuhkan Polis Bantuan adalah satu usaha agar Kerajaan Negeri sama-sama memikul tanggung jawab menjaga keselamatan awam. Dato' Seri Hishamuddin sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor kerana mahu turut membantu pihak Polis di dalam melaksanakan tanggung jawab mereka.

Setiap hari kita melihat lebih ramai penduduk yang mahu menubuhkan komuniti berpengawal atau 'guarded community' di taman perumahan mereka. Lebih ramai pemaju-pemaju perumahan yang mempromosikan komuniti berpagar atau 'gated comunity'. Rakyat merasa bimbang akan keselamatan mereka. Maka sebab itulah jumlah 'guarded community' dan 'gated community' semakin meningkat.

Rakyat mahu merasakan diri mereka selamat. Ini merupakan naluri manusia. Dengan jumlah anggota Polis yang sedia ada, mereka merasakan diri mereka tidak selamat. Kerajaan Negeri mahu setiap rakyat merasakan diri mereka selamat. Bukan hanya mereka yang tinggal di 'guarded community' dan 'gated community'. Oleh itu, cadangan Menteri Besar untuk menubuhkan Polis Bantuan adalah wajar.

Iskandar A. Samad
21 Februari 2011

Sunday, February 20, 2011

"Sikap SPR Selangor timbulkan tanda tanya"

PAS Kawasan Pandan tidak berpuas hati dengan senarai pemilih baru yang dipamerkan oleh SPR dari 9 hingga 15 Februari yang baru lalu.

Perkara-perkara yang menimbulkan kekeliruan adalah,

1) Pemilih-pemilih yang didaftarkan pada alamat yang tanpa nombor rumah.

2) Pemilih-pemilih yang didaftarkan pada alamat yang tidak wujud.

3) Pemilih yang dikenalpasti tidak wujud di alamat yang didaftarkan.

Kami tidak faham kenapa masih terdapat alamat pemilih tanpa nombor rumah kerana terdapat pemilih-pemilih yang cuba didaftarkan oleh Penolong Pemilih kami tetapi telah ditolak kerana alamat tidak lengkap. Siapa yang telah mendaftarkan mereka?

Kami juga ingin menyatakan rasa kesal di atas sikap pegawai-pegawai SPR di pejabat mereka di Shah Alam yang bersungguh-sungguh enggan menerima bantahan-bantahan kami.

Kami dapati mereka bertindak kasar dan tidak profesional mahu menolak bantahan-bantahan itu tanpa alasan kukuh. Bantahan-bantahan itu dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh SPR.

Sikap SPR ini seolah-olah terdapat muslihat tertentu. Kenapa SPR begitu bersungguh-sungguh hendak menolak bantahan-bantahan yang dibuat? Apa yang SPR cuba sembunyikan?

Hanya setelah didesak dengan keras oleh pihak kami, SPR telah menerima bantahan-bantahan kami.

Oleh itu, pihak kami menggesa agar satu penyiasatan yang terperinci dilakukan ke atas SPR. Kami bimbang SPR telah dijadikan satu alat oleh Barisan Nasional untuk menawan Negeri Selangor dari Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang akan datang.

Setelah kecewa dengan penerimaan rakyat tehadap kempen-kempen mereka di Selangor, Barisan Nasional akan menggunakan apa saja cara untuk mencapai matlamat mereka.

Iskandar A. Samad
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan /
ADUN Chempaka
20 Februari 2011

SIDANG AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD TENTANG PENYELEWENGAN DAN KELEMAHAN SPR.

SIDANG AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD (ADUN CHEMPAKA) TENTANG PENYELEWENGAN & KELEMAHAN SPR PADA SEMAKAN DAN BANTAHAN PEMILIH FEB 2011.

Tarikh : 21 Februari 2011 (Isnin)

Masa : 12.00 tengah hari

Tempat : Pusat Khidmat PAS Pandan, M5-B-10, Jln Pandan Indah 4/1, Pandan Indah (Atas Alpha Pharmacy di hadapan Petronas dekat Menara MPAJ).

SEMUA MEDIA DIJEMPUT HADIR.

HUBUNGI KAMARUL 010-8783402 UNTUK SEBARANG PERTANYAAN

AGEN INFAQ ISTIQAMAH TERIMA INSENTIF TIGA BULAN.

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Agen Infaq Istiqamah kini akan menerima insentif bersamaan tiga bulan sumbangan bagi setiap peserta baharu yang berja...