Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Ketua Pakatan Rakyat Selangor

Saya boleh bersetuju dengan pengumuman Dato' Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim akan kekal sebagai Ketua Pakatan Rakyat Selangor. Walaupun Mohd. Azmin Ali adalah Ketua PKR Selangor yang baru namun Khalid kekal menerajui Pakatan Rakyat di negeri ini. Di Selangor, PKR ada 13 kerusi, DAP juga 13 kerusi, PAS pula 8 kerusi dan PSM 1 kerusi.

Saya yakin ia dapat menghasilkan beberapa kesan yang positif.

Oleh kerana Khalid bukan lagi Ketua PKR Selangor, beliau benar-benar akan dilihat sebagai pemimpin Pakatan Rakyat Selangor. Bukan sekadar pemimpin PKR sahaja. Persepsi ini penting terutamanya jika Pakatan Rakyat mahu "dipasarkan" sebagai pengganti kepada BN. Jika mahu dipecahkan mentaliti pecah dan perintah yang ditanam oleh BN selama 50 tahun maka perlu ada pemimpin atau ikon yang dapat merentasi sempadan parti. Ini mungkin susah dicapai jika Khalid masih lagi Ketua PKR Selangor. Khalid is now truly a Pakatan leader.

Tambahan pula ia dapat memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat itu adil. Ketua yang menerajui pakatan ini tidak menerajui mana-mana parti di dalam pakatan tersebut. Secara teorinya, beliau tidak berkepentingan. Lainlah jika beliau masih Ketua PKR Selangor dan mungkin akan dituduh "bias" kepada parti beliau di dalam membuat keputusan.