Sunday, September 11, 2011

Orang politik tidak boleh cakap tentang agama?

Baru-baru ini heboh ada kenyataan mengatakan orang politik tidak boleh cakap tentang agama.

Saya paling tidak setuju dengan pendirian seperti ini.

Pertama sebab ramai juga orang politik yang ahli agama. Ada kelulusan dalam bidang agama dan bertahun-tahun telah mengajar agama. Contohnya MB Kelantan dan MB Kedah yang merupakan tokoh ulamak.

Begitu juga dengan ramai Exco dan wakil rakyat PAS yang merupakan ulamak atau ustaz. Kenapa pula hendak dihalang mereka ini bercakap tentang agama? Pada saya ini langsung tidak masuk akal.

Selain itu, memisahkan orang politik dari agama amat merbahaya. Apa salahnya orang politik belajar agama, sama ada dari kajian, kuliah atau ulamak, kemudian bercakap tentang agama?

Memisahkan orang politik dari agama seolah-olah mengisytiharkan agama tidak ada kawalan ke atas hal ehwal politik. Maka bebaslah orang politik untuk menipu rakyat, memakan rasuah atau melakukan penyelewengan lain.

Ini penyakit UMNO dan BN. Ajaran Kemal Ataturk (gambar atas) yang membakul sampah agama. Masyarakat dan negara akan hancur akibat fahaman ini.

Iskandar Samad
11/9/11