24 Ogos 2011 - Warga pangsapuri membanjiri Majlis Berbuka Puasa Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni.
Majlis tersebut telah berlangsung di Flat Taman Dagang Fasa 2A dan dianjurkan oleh YB Iskandar A. Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor yang juga ADUN Chempaka.
Menurut Iskandar tujuan majlis tersebut adalah untuk menyemarakkan semangat kekitaan di kalangan warga pangsapuri.
Beliau berharap semangat ini akan mendorong mereka untuk berusaha memastikan pangsapuri mereka benar-benar bersih, ceria dan harmoni.
Kata Iskandar selain dari di Taman Dagang majlis berbuka puasa seperti ini telah diadakan di Bandar Baru Sg. Buloh dan Bandar Baru Selayang.
Iskandar telah turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada lebih 80 orang fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang memerlukan pada hari itu.
Satu tazkirah khas telah juga disampaikan oleh Ustaz Safuan Mat Nayan selepas para hadirin mengerjakan solat Maghrib berjemaah dan menikmati hidangan nasi beriani.