Skip to main content

KENYATAAN AKHBAR REACH, 24 OGOS 2021 - "KERAJAAN PERLU KEKALKAN SYARAT-SYARAT BAHARU SKIM MALAYSIA RUMAH KEDUAKU (MM2H)"

Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob perlu mengekalkan pindaan kepada syarat-syarat MM2H yang diumumkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Ogos lepas.

Telah terdapat desakan agar syarat-syarat asal dikekalkan namun kerajaan telah mengambil masa satu tahun untuk memutuskan syarat-syarat baharu dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat "u-turn".

Skim ini telah ditangguhkan pada bulan Ogos tahun lepas akibat pandemik Covid-19 dan akan diaktifkan semula pada bulan Oktober ini.

Syarat-syarat baharu ini adalah wajar jika kerajaan mahu menarik mereka yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

Menaikkan syarat kelayakan bagi pendapatan bulanan luar negara peserta daripada RM10,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan adalah wajar kerana pendapatan RM10,000 sebulan bukan sesuatu yang luarbiasa bagi seorang profesional yang telah bekerja lebih dari.20 tahun di Malaysia. 

Jika kerajaan mahu menarik mereka yang memiliki keupayaan kewangan yang lebih tinggi dan dapat menyumbang kepada ekonomi negara maka pendapatan mereka sepatutnya jauh lebih tinggi dari penduduk tempatan. RM40,000 sebulan sebagai. kelayakan minima adalah wajar.

Keputusan agar peserta memiliki simpanan tetap minima RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta mungkin tinggi di Malaysia. Tetapi ia mesti dinilai berdasarkan kemampuan rakyat di negara-negara asal pemohon MM2H seperti Jepun atau United Kingdom.

Walau bagaimanapun isu asas adalah apakah fokus kerajaan? Adakah penduduk tempatan atau warganegara luar? Kita mungkin dapat memudahkan warganegara luar membeli rumah kedua mereka di negara kita tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah pertama mereka.

Kerajaan telah juga menetapkan had bilangan peserta MM2H dan tanggungan adalah 1 peratus dari penduduk negara kita. Jika penduduk negara kita adalah 32 juta ini bermakna hadnya adalah 320,000. Tetapi adakah had ini terlalu tinggi memandangkan pelbagai masalah yang kita hadapi dengan warganegara asing sama ada yang sah atau yang tanpa izin?

Sebenarnya adakah pendapatan dari skim ini merupakan sumbangan yang bermakna kepada ekonomi negara dari segi nilai? Sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan. Secara purata sebanyak RM690 juta setahun. Tetapi mungkin dengan syarat-syarat baharu ini pendapatan ini akan bertambah kerana strategi baharu kerajaan adalah menyasarkan kualiti bukan kuantiti.

Jika kerajaan mahu benar-benar menjana ekonomi negara selepas pandemik maka adakah dengan semata-mata menarik mereka yang memiliki simpanan lebih dari RM1 juta? Adakah dengan memiliki pendapatan luar negara lebih dari RM40,000 sebulan akan dapat memulihkan ekonomi kita? Berapa peratus dari pendapatan tersebut akan dibelanjakan di dalam negara? 

Kenapa tidak memberi keutamaan kepada mereka yang dapat menyumbang kepada penduduk tempatan? Contohnya meluluskan mereka yang menjalankan perniagaan yang menggaji tenaga kerja tempatan. Atau yang menjalankan perniagaan menggunakan khidmat syarikat-syarikat tempatan. Atau yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan.

Desakan agar memikirkan kembali syarat-syarat baharu ini mula dibangkitkan di dalam media Hong Kong. Kemudian ia diikuti dengan portal-portal berita tempatan. Sudah tentu pemohonan akan masuk mencurah-curah jika kerajaan melonggarkan syarat-syarat MM2H kerana penduduk di bekas tanah jajahan British itu sedang mencari jalan keluar sejak undang-undang baharu dikuatkuasakan dan tindakan-tindakan ke atas aktivis prodemokrasi. Walau bagaimanapun bukan tugas kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Kita tidak mahu melihat kerajaan tunduk kepada desakan-desakan dari luar negara.

Sekiranya kerajaan mahu memberi kelonggaran sekalipun bukan untuk permohonan baharu tetapi untuk peserta yang sedia ada yang termasuk tanggungan mereka berjumlah 57,578. Walau bagaimanapun kelulusan tidak semestinya automatik tetapi tertakluk kepada syarat seperti telah memiliki kediaman dengan nilai yang tertentu.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
24 Ogos 2021

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah